zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2006-10-06 - 12:54 p.m.

Novel Diva Dilla. Oleh Nizam Zakaria - Bahagian 6

Image Hosted by ImageShack.us

Seingat Hasnah, dia tidak pernah menonton sebarang persembahan teater dengan ibunya. Jadi kesungguhan ibunya itu untuk menonton sebuah persembahan teater agak meragukan.

"Dulu bila Nana nak ajak mak tengok teater lakonan Jit Murad, mak bukannya nak pergi." Ujar Hasnah di dalam kereta sambil memeluk tubuhnya.

"Alah, kan mak sibuk." Ujar Hasnah membawa keretanya masuk ke dalam tempat meletak kereta Bangsar Shopping Center yang terkenal sebagai tempat di mana Canny Ong diculik lalu dirogol satu ketika dahulu.

"Mak mana ada sibuk masa tu!"

"Alah... Tu pun nak ungkit-ungkit." Dilla tak suka melihat anaknya itu merungut seperti itu. Tapi dia tahu Hasna bila marah sekejap sahaja. Tak lama.

Hasnah adalah seorang gadis bijak yang ada kalanya merisaukan Dilla. Kalau boleh, dia mahukan seorang anak gadis yang normal, tapi tak ada apa-apa yang normal tentang anaknya ini. Walaupun dilahirkan cantik, Hasnah tak pernah mahu memakai pakaian yang serba anggun seperti yang ibunya. Dia lebih senang memakai pakaian serba hitam. Dia suka dengan imej seorang gadis 'Goth'.

Pernah satu hari setelah Dilla membaca sebuah artikel dari majalah Mastika mengenai fenomena Black Metal, Dilla terus masuk ke dalam bilik Hasnah lalu menggeledah bilik anaknya itu untuk mencari simbol kepala kambing. Tak kisahlah jika Dilla tak tahu membezakan Gothic dengan Black Metal. Apa yang menakutkannya adalah pakaian serba hitam yang dipakai Hasnah hampir pada setiap masa. Pada hari itu, Dilla tidak menjumpai sebarang simbol kepala kambing atau nombor 666 atau salib yang diterbalikkan - yang dijumpainya adalah set novel-novel yang ditulis oleh Edgar Allan Poe, Coleridge, Sheridan Le Fanu dan Daphne du Maurier. Itu pun sudah cukup membimbangkan Dilla kerana gadis-gadis seusia dengan Hasnah, menurut hemah Dilla seharusnya membaca majalah Remaja, Cleo dan Just Seventeen.

Hasnah menggunakan tangga bergerak dari arah tempat meletak kereta lalu naik ke pusat membeli belah yang terletak di Bangsar itu. Pasar raya Cold Storage menyapanya. Di situ dia dapat melihat seorang pemuda sedang membeli rokok di kaunter membeli rokok. Pemuda itu memandangnya dengan satu pandangan yang tajam. Hasnah tahu bukan semua orang yang mempunyai pandangan mata seperti itu. Hanya orang-orang yang berkarisma dan mempunyai tempat di dalam sejarah sahaja yang mempunyai pandangan mata seperti itu, gamaknya. Atau sekurang-kurangnya, itulah yang dipelajarinya setelah banyak membaca novel-novel tulisan Henry James, Jane Austen dan Edith Wharton.

"Itulah dia Fahrin Fauzi, mak." Bisik Hasnah kepada Dilla.

"Oh yer ke?" ujar Dilla menyepetkan matanya. Dia memandang ke arah Fahrin, kemudian ke arah jam tangannya.

"Tres cool." Ujar Hasnah sendiri. Dia rasa beruntung kerana akhirnya dia dapat bertemu dengan penulis seperti Fahrin.

Hasnah melihat Fahrin terus berjalan ke arah tangga bergerak untuk ke tingkat atas. Ibunya pula sedang berjalan ke arah Cafe Dome. Dia terus berjalan dengan pantas untuk mendapatkan ibunya yang telah lama meninggalkannya.

"Abang Irwan dan Miss M dah lama menunggu di Dome." Ujar Dilla tergesa-gesa. "Mengamuk Miss M tu nanti kalau kita datang lambat macam ni selalu."

Dilla terus dapat melihat kelibat Miss M dan Irwan duduk di bahagian luar Cafe Dome sebaik sahaja dia berada di sana. Dilla duduk di sebelah Irwan, pelakon lelaki kesayangannya.

Hasnah tak berapa sukakan Irwan. Dia tak faham bagaimana ibunya sering melibatkan Irwan di dalam hampir kesemua drama TV yang diterbitkannya. Wajah Irwan memang kacak. Jika dia tidak diambil berlakon, dia akan menjadi pengacara sebuah rancangan kuiz popular di TV. Hasnah tak sukakan Irwan kerana Irwan sering memintanya mengulangi setiap apa yang ingin diberitahu kepadanya. Fikir Hasnah, Irwan mempunyai masalah untuk memahami kata-katanya seolah-olah dia bercakap di dalam satu loghat yang sukar untuk difahaminya. Sebenarnya Irwan faham setiap ayat yang keluar dari mulut Hasnah, tetapi dia sengaja berbuat begitu untuk menyakat Hasnah.

"Maaflah. Lambat sikit." Ujar Dilla ketika melabuhkan punggungnya ke kerusi.

"Kalau tak lambat, bukan Dilla namanya kan, u'oll." Sambut Miss M menjeling.

"Kita nak tengok cerita apa malam ni?" tanya Irwan kepada Hasnah.

"Mesin.Hati.Cinta."

"Apa?"

"Mesin... Hati... Cinta lah bang. Dah pekak ke apa ni?"

"Misi hari cin... Cin apa ah?"

"Cincau!" Hasnah memeluk tubuhnya dengan mimik wajah kurang senang. "Mak tengok lah. Abang Irwan usik Nana lagi."

Dilla tersenyum melihat gelagat nakal Irwan. Dia memang suka melihat Irwan begini yang langsung mengingatkan dia kepada cinta pertamanya dahulu bersama Zaki, yang tinggal sekampung dengannya yang kini telah pun berkahwin dengan Farhana, kawan sekelasnya dan mempunyai anak tiga. Irwan sebenarnya tak pandai berlakon. Lakonannya macam kayu. Tetapi Dilla tetap mahu Irwan berlakon kerana kalau boleh, Dilla mahu melihat Irwan maju di dalam kariernya sebagai seorang pelakon.

"Dah... Jom kita ke Actors Studio. Nanti lambat pulak nanti." Pinta Dilla. Selepas Miss M membuat pembayaran kepada minuman yang dia dan Irwan pesan, terus mereka berempat berdiri lalu berjalan ke arah tingkat teratas Bangsar Shopping Center.

Dilla dapati sudah keadaan di luar Actors Studio agak lengang. Penonton-penonton yang datang hampir kesemuanya sudah lama masuk ke dalam panggung.

Dilla menyerahkan tiketnya kepada pengutip tiket. Dia dibawa masuk lalu disuruh duduk di barisan hadapan yang menghadap ke tengah pentas.

"Mana setnya nok?" tanya Dilla kepada Miss M.

"Entahlah... Pakai kerusi ni jer ke?"

"Shhhh!" Hasnah meminta ibunya dan Miss M diam. Persembahan akan dimulakan bila-bila masa sahaja lagi.

Pentas digelapkan. Sofiah muncul dengan keadaan dirinya memakai pakaian serba putih tetapi rekaan pakaiannya kelihatan seperti pakaian ala tentera British abad ke 19. Dengan perlahan dia bergerak ke tengah-tengah pentas. Wajahnya kosong. Lagu minimalisme ala-ala Philip Glass dimainkan.

Sepuluh minit kemudian, muncul pula Helle. Kepalanya botak. Dia sedang memakai pakaian serba merah yang diperbuat daripada kain sari. Dia menyebutkan perkataan: "Kau tinggalkan aku!" berkali-kali ketika dia duduk di atas kerusi di sebelah Sofiah. Lima minit kemudian, muncul pula beberapa orang penari yang menari mengikut koreografi yang boleh dikatakan avant-garde. Mereka mengusung tubuh Helle yang sedang menangis dan meratap. Sofiah pula menyebut beberapa kalimah di dalam bahasa Perancis yang mungkin hanya difahami oleh dua atau tiga penonton yang ada. Wajahnya nampak kecewa dan marah.

"Aunty Helle kau ni marah-marah?" bisik Dilla ke telinga Hasnah.

"Dia sedang melakonkan semula watak Lakmé dari opera Léo Delibes lah mak."

"Tak faham lah mak benda alah ni semua."

"Itu sebab mak kena baca programnya awal-awal."

Dilla mengesotkan bibirnya. Matanya mula mengantuk. Tanpa diketahuinya, dia telah tertidur. Apabila dia membuka matanya, dia dapati Halle dan Sofiah sedang menari mengikut lagu 'The Flower Duet' yang dimainkan menggunakan sebuah alat pemain piring hitam yang antik. Apabila dia menoleh ke arah Miss M, dia dapati rakannya itu sedang tidur. Irwan pula sedang sibuk membalas SMSnya. Hanya Hasnah seorang sahaja yang dilihatnya sedang menonton persembahan ini dengan tekun.

Lima minit kemudian, persembahan ini tamat. Para penonton memberikan tepukan gemuruh. Miss M terkejut dari lamunannya.

"Hai... Baru nak habis ke?" getusnya dengan sinis. "Ingatkan tak reti-reti nak habis."

"Macam mana Nana? Okay ke?" tanya Dilla ingin tahu.

"Best. Nana suka sangat interpretasi karya lama Delibes yang diberikan nafas baru ni."

"Mak tak faham lah Nana."

"Itulah. Mak pun tak faham, nyah." Sampuk Miss M.

Mereka berempat keluar dari panggung. Di luar beberapa penonton berkumpul untuk berbincang mengenai apa yang baru mereka tonton. Dilla memasang telinganya. Dia dapati rata-ratanya penonton yang hadir memuji persembahan teater yang baru sahaja mereka tonton.

"Cultural amalgamation is nothing new, but the playwright's retrospective takes on a French opera about the British Raj in India by two seemingly lesbian characters in Malay is simply wonderful. Don't you think so, Martha?" ujar seorang lelaki berbangsa Eropah kepada isterinya. Mereka kemudian menoleh ke arah Dilla yang sedang berdiri dekat-dekat dengan mereka. Dilla tersenyum kambing lalu berjalan beberapa tapak jauh dari mereka.

Pada saat itu, Helle keluar ke lobi. Dia terus mendapatkan Dilla. "Macam mana persembahan aku tadi. Okay tak?"

"Okay. Wonderful bak kata orang kampung aku." Ujar Dilla lantas berlaga-laga pipi dengan Helle.

"Aku nak kenalkan kau dengan penulisnya. Fahrin." Ujar Helle dengan matanya bulat bersinar-sinar. "Fahrin... Come here for a while dahhling!" kata Helle kepada Fahrin yang nampaknya sedang berbual dengan Fadzil, seorang rakan rapat aku merangkap penulis sci-fi yang telah datang untuk menonton persembahan ini dengan Sofiah di sebelahnya.

Fahrin menoleh ke arah Helle. Dia mendapati Helle mahu dia bertemu dengan Dilla. Dia kenal betul dengan Dilla, seorang bekas pelakon yang kini terkenal sebagai penerbit drama TV yang akan membuat dirinya membebel tak sudah-sudah apabila dia menonton drama TV yang diterbitkannya. Tetapi apa yang telah menarik perhatiannya pada waktu itu adalah Irwan, pelakon muda yang pada minggu ini wajahnya terpapar pada kulit majalah URTV lalu digandingkan dengan Ina, bekas tunang Mawi yang sedang berdiri rapat di sebelah Dilla...

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!