|
Zire 71 Photo of the day!
|
2006-10-06 - 12:55 p.m. Novel Diva Dilla. Oleh Nizam Zakaria - Bahagian 8
Agenda.Ajinda.Cinta Hasnah merenung ke dalam komputernya. Jam menunjukkan pukul 1 pagi. Dia masih belum menerima skrip yang dijanjikan Fahrin. Mungkin Fahrin terlupa fikirnya, atau mungkin Fahrin tidak mahu menyerahkan skrip tersebut kepadanya. Hasnah mengeluh lesu. Lima belas minit kemudian, ketika Hasnah sedang membaca sebuah blog yang ditulis oleh seorang rakannya, dia dapati dia menerima satu e-mel baru dari satu alamat yang tidak dikenalinya. Di dalam e-mail itu diselitkan sekali lampiran dokumen dengan tajuk 'Agenda.Ajinda.Cinta'. Dengan pantas Hasnah dapat meneka bahawa Fahrinlah yang telah menghantarnya pesanan e-mail yang ditunggu-tunggunya pada pagi-pagi buta itu. Hasnah, Inilah dia skrip abang seperti yang abang janjikan tadi. Ia adalah sebuah kisah cinta mengenai sekumpulan aktivis teater yang sedang mementaskan sebuah cerita berdasarkan kumpulan sebuah kumpulan ghazal dari Kuala Batas yang dikenali dengan nama Ajinda Ghazal Party. Terima Kasih. Fahrin
Setelah Hasnah selesai mencetak skrip Fahrin, dia duduk di atas katilnya. Dia bersungguh-sungguh mahu membaca apa yang ditulis Fahrin. Dia memberitahu dirinya, dia akan membaca lebih kurang 15 muka surat, kemudian dia akan masuk tidur. Setelah membaca 30 muka surat pertama skrip ini, Hasnah dapati dia tidak mungkin dapat berhenti dari terus membaca skrip ini. Matanya mula mengantuk dan berair, tapi dia bersungguh-sungguh mahu mengetahui perkembangan cerita yang ingin dibacanya. Jam kini menunjukkan pukul 3 pagi. Hasnah mengesat air matanya. Dia merenung ke hadapan. Fikirannya dipenuhi oleh bermacam-macam imej yang terbentuk di dalam fikirannya apabila dia membaca skrip ini. Jalan cerita yang berlapis-lapis ini terus berlegar di dalam benak fikirannya. Hasnah akhirnya dapat menutup matanya. Dia terlena tidur. Dia terus dibuai mimpi yang membawanya ke zaman 50-an di mana watak Norlela dan Zainol saling sayang menyayangi di antara satu sama lain. Pada pagi hari esoknya, sebaik sahaja Hasnah bangun dari tidurnya, terus mengetuk pintu bilik tidur ibunya. "Apahal ni Nana?" tanya Dilla dengan matanya masih ditutupi dengan sepasang topeng penutup mata. "Mak... Nana dah baca skrip abang Fahrin." Dilla membuka topeng penutup matanya. Dengan perlahan dia membuka matanya. "Jadi kenapa Nana..." "Mak kena buat cerita ni!" kata Hasnah dengan ghairah. "Cerita apa ni Nana?" "Agenda.Ajinda.Cinta." "Hah?" ternganga Dilla dibuatnya. "Agenda.Ajinda.Cinta." Hasnah sekali lagi mengulangi kata-katanya. "Cerita apa ni?" "Cerita fasal percintaan sepasang kekasih di ambang kemerdekaan dulu." "Jadi apa yang menariknya?" "Kisah hidup mereka akan dilakonkan oleh dua orang pelakon muda yang masing-masing kecewa di dalam cinta mereka." "Hemmm..." "Mak... Buat lah drama bersiri ni. Anggaplah ini hadiah mak untuk hari jadi Nana tahun ni." "Eh, kenapa Nana bersungguh-sungguh sangat ni?" "Nana rasa rugi sangat kalau kisah cerita cinta Norlela dan Zainol tidak diketahui orang lain. Rugi lah mak." Dilla menggosok matanya. Jam menunjukkan pukul 9 pagi. Dia menguap. "Mana skripnya?" Nana menyerahkan kepada ibunya skrip tulisan Fahrin yang sudah dijilidnya dengan kemas. "Nanti mak... Ermmm... Tengok-tengokkan." Kata Dilla yang pasti akan menyerahkan skrip ini kepada Jenny Tan, Pengurus Produksinya untuk membaca skrip ini. "Nana nak mak ambil abang Fahrin untuk menulis untuk drama 13 episod mak tu, tau!" "Ye lah... Tu pun kalau dia nak." "Nana rasa dia nak..." Nana berharap dia akan dapat apa yang dimahukannya. Dan apa yang dimahukannya telah pun diberitahu kepada ibunya tadi. Oleh Nizam Zakaria
|