zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-08-30 - 7:45 p.m.

Dua oleh Nizam Zakaria: Bab 23

Dua

Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 45: Pembelajaran sepanjang hayat bermula di dalam janin dan berakhir di saat mati

Ilusi Pengawalan

Ahli psikologi Ellen Langer telah melakukan satu kajian yang membawa beliau memperkenalkan istilah "Ilusi Pengawalan". Istilah ini membawa maksud kecenderungan manusia untuk mempercayai bahawa mereka mempunyai kuasa untuk mengawal kesudahan kepada satu-satu kejadian walaupun agak mustahil untuk mereka melakukannya.

Di dalam beberapa eksperimen yang dilakukannya, Langer dapat menunjukkan bagaimana subjeknya menunjukkan tanda-tanda ilusi pengawalan ini dan kemudian mereka akan selalunya menunjukkan bahawa mereka mampu mengawal satu-satu perkara yang melibatkan nasib di mana terdapatnya kewujudan "isyarat kemahiran".

Menurut Langer, Isyarat kemahiran dapat dilihat di dalam situasi yang berkenaan dengan seseorang itu perlu menggunakan kemahiran, terutamanya kemahiran dan penglibatan dalam soal membuat pilihan dalam satu persaingan dan kebiasaan dengan stimulus yang ada.

Di dalam eksperimennya, Langer mendapati apabila subjeknya bermain dengan loteri, mereka yang memilih sendiri nombor loteri didapati sukar untuk berenggang dengan kad loteri mereka dengan menjualnya dibandingkan dengan mereka yang diberikan kad loteri secara rambang. Apabila mereka bermain dengan daun pakau, walaupun peluang kemenangan mereka agak tipis, mereka tetap akan bertaruh dengan jumlah wang yang banyak apabila mereka dapat melihat terlukis raut kurang yakin pada wajah pesaing mereka. Walaupun kita dapat melihat bahawa tindak tanduk mereka jelas kurang rasional, tetapi ada kalanya kita sendiri akan melakukan perkara yang sama. Kita semua sedikit sebanyak mempunyai semangat optimistik tentang masa depan kita dan ada kalanya kita akan mempunyai persepsi yang kurang realistik tentang kemampuan kita mengawal perjalanan hidup kita sendiri yang ada kalanya tidak boleh dikawal.

Kita dapat melihat sebelum meletusnya peristiwa 6/6, pemerintah Kota Sendayu dan beberapa buah kota yang lain mula berlumba-lumba menggunakan kuasa ketenteraan sebagai instrumen diplomasi. Polisi ini diambil kira sebagai satu cara yang terbaik untuk mengawal sebuah dunia yang masih kucar-kacir (setelah sistem ekonomi dan budaya beberapa buah negara langsung musnah akibat Peperangan Robotik). Dalam hal ini, Weltanschauung Kota Sendayu adalah untuk melihat kota-kota lain di seluruh dunia terus mengikut nilai-nilai yang dipersetujui mereka - di antaranya adalah Hukum Eugenik dan keterbatasan teknologi. Kuasa ketenteraan dilihat sebagai satu cara yang terbaik untuk melihat kesinambungan nilai ini terus dikongsi bersama kota-kota yang lain. Apa yang tidak dapat dilihat oleh mereka yang menggunakan kuasa ketenteraan ini adalah mereka telah mencipta satu ilusi pengawalan yang berbahaya. Apa yang tidak disedari oleh Kota Sendayu apabila mereka menggunakan teknologi ketenteraan dalam percubaan mereka mengawal konflik yang berlaku di kota-kota lain di seluruh dunia adalah; penglibatan mereka yang melampaui batas dan tindakan yang kurang bijak yang mereka lakukan kepada kota-kota yang tidak sehaluan dengan mereka.

Tindakan mereka akhirnya memakan diri - kerana apa mereka fikir dapat mereka kawal akhirnya langsung berada di luar kawalan mereka sendiri! Kota Sendayu akhirnya di kawal oleh satu entiti yang selama ini cuba dihindarkan oleh mereka sendiri...

Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 46: Sesebuah negara belum lagi benar-benar merdeka apabila ia masih mencari-cari apa itu erti kemerdekaan

Fidzan tidak mahu keluar dari biliknya walaupun telah dipanggil oleh Faris agar bersama-sama makan malam. Faris muak dengan perangai abangnya itu. Sudah seminggu abangnya murung begitu. Faris pergi menemui ibunya yang sedang menunggu di meja makan. Dia memberitahu ibunya bahawa abangnya tidak mahu makan.

Diana nampak bimbang. Dia mengeluh. Dia duduk di meja makan lalu memastikan agar Faris memakan sayur-sayuran yang telah dimasaknya.

Setelah Faris selesai makan, dia terus meminta Faris supaya mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan. Faris berdecit, tetapi dia tetap sedar akan tanggungjawabnya. Dia terus mengangkat pinggan mangkuk lalu dibawanya ke dapur.

Faris menoleh ke arah ibunya. Dia dapat melihat ibunya membawa sepinggan makanan ke bilik abangnya.

Faris termenung ke hadapan. Dia mula memikirkan tentang perubahan yang berlaku kepada dirinya sejak akhir-akhir ini. Dia tidak faham mengapa perubahan-perubahan ini berlaku kepada dirinya. Apa yang sebenarnya berlaku? Siapa dia sebenarnya?

Faris tidak faham mengapa jika dia menumpukan fikirannya dia boleh melihat apa yang dilihat oleh Muerte. Dia tidak tahu tiba-tiba sahaja dia dapat bermain bola keranjang dengan baik dan bagaimana dia mampu berlari lebih pantas dari atlet pelari pecut sekolahnya di dalam kelas pendidikan jasmaninya. Apa maknanya semua ini?

Semenjak dua menjak ini Faris melihat perangai ibunya juga lain macam sahaja. Dia lebih banyak termenung. Semua ini telah berlaku sejak peristiwa dia jatuh dari tebing tingkap bilik rahsia di dalam perpustakaan Teratak Halcyon. Kenapa agaknya ibunya jadi begitu. Apa yang berlegar di dalam fikirannya?

Dia terpaksa mengetuk pintu bilik anak bujangnya itu sebelum pintu dibuka. Diana dapat mlihat wajah lesu Fidzan.

"Nak apa mak?" tanya Fidzan di belakang daun pintunya.

Diana menunjukkan pinggan yang dipenuhi makanan yang telah disediakan untuk anaknya. Fidzan membuka pintu lalu mempersilakan ibunya masuk ke dalam biliknya.

Diana meletakkan pinggan di atas meja belajar anaknya. Dia dapat merasakan makanan yang telah disediakannya itu tak akan terusik seperti malam-malam sebelumnya.

[Kenapa Fidz?]

Tanya Diana sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di atas katil Fidzan. Dia cukup risau melihat keadaan anak bujangnya ini yang kelihatan murung tak sudah.

"Kenapa apa, mak?" tanya Fidzan kembali seolah-olah dia cuba menyembunyikan perasaannya yang sebenar dari ibunya sendiri.

[Fidz ada masalah?]

Sukar untuk Fidzan meluahkan perasaannya kepada ibunya. Dia termenung lama ke lantai sebelum dia membuka mulutnya untuk bersuara:

"Mak... Kenapa mak tak pernah ceritakan kepada Fidz siapa ayah sebenarnya. Kenapa mak!"

Wajah Diana berubah pucat. Dia sedar bahawa lambat-laun, pasti soalan ini kan tercetus juga di mulut anaknya. Lagipun, sampai bila anaknya itu akan berdiam diri dengan langsung tidak bertanyakan kepadanya tentang hal ayahnya sendiri. Tetapi dia tidak pernah menyangka masanya kini telah tiba untuk dia berhadapan dengan anaknya lantas menjawab soalan anaknya ini dengan sejujur-jujurnya.

"Dia masih hidup lagi mak... Mak sendiri tahu, bukan? Selama ini mak sememangnya tahu! Tapi kenapa mak hanya berdiam diri sahaja, mak?"

[Dari mana kau tahu ini semua. Fidz?]

Tanya Diana di dalam nada suara setenang air di tasik yang dalam.

"Dari dia sendiri, mak!" Fidzan terus memandang ke dinding. Wajahnya cukup pasrah.

[Apa? Tapi bagaimana?]

Diana terlalu terkejut gamaknya. Tanya kanannya diletakkan di atas dadanya yang kini berdegup laju.

"Mak tak perlu tahu bagaimana... Yang pentingnya sekarang, saya tahu di mana dia berada! Dan saya juga rasa mak tentu tahu tentang hal ini semua sejak dulu lagi."

[Ya, mak tahu dia masih hidup lagi. Tapi itu satu rahsia yang terpaksa mak simpan dan kau dan Faris.]

Diana akhirnya menjawab. Dia merasakan tak guna lagi dia merahsiakan tentang hal ini dari Fidzan. Mungkin Fidzan kini sudah tahu segala-galanya . Jadi tak guna jika dia berbohong lagi.

"Tapi kenapa mak?"

[Kerana mak tak mahu kau tahu tentang dirinya... Lagipun inilah permintaannya dahulu.]

"Apa yang mak tak nak tahu kami tentang dirinya?"

Diana menggigit bibirnya. Perasaannya dilanda dengan perasaan serba salah.

[Jadi sekarang kau tahu siapa dia sebenarnya?]

"Ya," jawab Fidzan dengan penuh sesal.

[Dia bukanlah seperti yang kau fikir, Fidz]

"Dia lah yang telah menyebabkan peristiwa 6/6!"

[Bukan itu yang sebenarnya berlaku, Fidz]

"Jadi apa yang sebenarnya yang telah berlaku?"

Diana melepaskan nafasnya. Mungkin sudah sampai masanya untuk dia menceritakan segala-galanya kepada anaknya ini. Lagipun, inilah janjinya kepada suaminya dahulu - bahawa anak-anaknya terutamanya Fidzan perlu tahu tentang apa yang telah diperjuangkannya.

[Suami Lydia, Adam ketika dia meningkat remaja dahulu adalah seorang yang mengidap penyakit atropi otot tulang belakang. Ibu dan bapanya telah cuba melakukan apa sahaja untuk memastikan agar anak mereka ini dapat diselamatkan...]

"Jadi Apa kena mengena dia dengan ayah?"

[Segala-galanya... Kerana jika bukan kerananya, mak tidak mungkin akan dapat bertemu dengan ayah kamu.]

"Apa seterusnya yang berlaku?" tanya Fidzan, kerana selama ini tidak pernah sedar bahawa mendiang suami Lydia itu pernah mengidap apa-apa penyakit kronik ketika dia muda dahulu.

[Halcyon Corp. telah mendapatkan khidmat seorang saintis muda untuk mencari jalan menyelamatkan nyawa Adam.]

"Doktor Londoh?"

[Ya, doktor Londoh]

Diana menyentuh bibirnya, seolah memikirkan secebis kisah di dalam hidupnya yang telah lama ditinggalkannya.

"Apa hubungan mak dengan doktor Londoh?"

"Mak pernah bertugas sebagai penyelidik di makmalnya dahulu.]

"Jadi apa yang telah dilakukan oleh doktor Londoh?"

[Sebenarnya pada waktu itu kami sudah mula menyedari tentang wujudnya sekumpulan manusia yang mempunyai kuasa yang luar biasa. Kami tahu semua ini telah berlaku akibat kesan letupan bom denyutan elektro-magnetik berserta beberapa faktor yang lain. Faktor-faktor inilah yang cuba dikaji kami. Halcyon Corp. Seterusnya telah menaja kajian yang sedang dilakukan oleh doktor Londoh pada waktu itu dengan harapan agar penyakit yang dihidapi Adam dapat diubati.]

"Dan ayah adalah di antara mereka yang telah dijadikan subjek ujikaji?"

[Ya... Dia adalah seorang anggota polis berpangkat leftenan yang telah cedera parah dalam satu kejadian rompakan. Dia hampir-hampir mati ketika dia dibawa ke makmal kami.]

"Eksperimen itu berjaya... Doktor Londoh akhirnya dapat membina sebuah mesin yang dapat meniru kembali kesan letupan bom denyutan elektro-magnetik dalam makmalnya." Ujar Fidzan cuba meneka sesuatu yang sudah diketahuinya tepat. "Ayah telah digunakan di dalam eksperimen doktor Londoh, bukan?"

[Ya, eksperimen kami akhirnya berjaya menyelamatkan nyawa ayah kamu, setelah eksperimen demi eksperimen yang kami lakukan gagal sebelum ini.]

"Jadi nyawa ayah dapat diselamatkan... Tapi bagaimana pula dengan kesan sampingannya? Halcyon Corp. tidak memikir tentang kesan-kesan sampingan yang ada?"

[Pada waktu itu mereka langsung tidak memikirkan tentang itu semua... Yang penting bagi mereka adalah untuk menyelamatkan nyawa Adam, satu-satunya waris kepada empayar Halcyon Corp.]

"Dan Adam kemudian menjadi Sikapitan..." keluh Fidzan sambil memikirkan tentang adiwira yang penuh dengan misteri ini. Kewujudannya tidak banyak diketahui oleh penduduk Kota Sendayu. Selama ini, ramai di antara mereka yang hanya menganggap Sikapitan sebagai watak adiwira di dalam komik. Hanya segelintir sahaja warga Kota Sendayu yang tahu bahawa komik-komik seperti komik Sikapitan ini merupakan wadah kepada kisah-kisah benar yang berlaku di Kota Sendayu tanpa pengetahuan mereka. Komik-komik seperti inilah di antara medium digital yang tidak begitu dikawal kandungannya oleh pemerintah Kota Sendayu. Komik-komik seperti ini telah dijadikan sebagai medium untuk menyebarkan kebenaran - secara tersurat dan tersirat oleh golongan-golongan yang mahu menegakkan kebenaran.

[Ya... Dia mahu menggunakan kuasa yang ada pada dirinya untuk menentang kejahatan.]

"Jadi kenapa pula ayah menjadi Zohak, mak?"

[Kerana itu pilihannya.]

Pendek sahaja jawapan yang diberikan Diana. Dia langsung tidak menyebutkan bagaimana Alias akhirnya menjadi anggota kumpulan bawah tanah Kokuryu-kai yang dianggotai oleh manusia-manusia yang mempunyai kuasa-kuasa istimewa yang berkongsi ideologi yang sama. Apa yang mereka lakukan langsung tidak dapat diterima oleh pihak berkuasa kerana anggota-anggota Kokuryu-kai akan menjadi hakim, juri dan orang yang menjalankan hukuman di dalam langkah mereka untuk membanteras jenayah.

"Tapi mak... Dia yang telah menyebabkan tragedi 6/6!" sambut Fidzan yang tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh ibunya.

[Itu yang mahu mereka kau fikirkan.]

"Jadi apa yang sebenarnya telah berlaku, mak?"

[Bapa kamu dan Adam mempunyai dua pendapat yang berbeza. Walaupun pada mulanya mereka bersahabat, mereka akhirnya tidak sehaluan, lebih-lebih lagi tentang hal yang berkenaan dengan kota-kota yang bertelagah pada waktu itu. Adam percaya, dengan penggunaan bom antimatter terhadap Kota Nalla, pertumpahan darah yang lebih besar dapat dielakkan dari berlaku di kota-kota lain. Pada waktu itu beberapa buah kota sudah mula bergabung dan bersekutu. Dia mahu mengelakkan perang dunia sekali lagi tercetus di muka bumi ini.]

"Dan ayah pula? Apa pendapatnya tentang ini semua?"

[Dia percaya ada cara lain selain dari kekerasan. Dia percaya pemerintah kota-kota ini boleh menyelesaikan masalah mereka melalui rundingan diplomatik.]

"Apa sebenarnya telah berlaku antara dirinya dan Sikapitan?"

[Ayahmu cuba membawa keluar bom antimatter yang telah dibuat di dalam makmal Halcyon Corp., tetapi tindakannya cuba dihalang oleh Sikapitan. Kemudian, belum sempat ayah kamu dapat melakukan apa-apa, sistem auto-pembinasaan telah dihidupkan secara tiba-tiba. Jika bukan kerana ayah kamu, letupan itu pasti akan membinasakan seluruh bahagian kota ini dan membunuh kesemua penduduk-penduduknya.]

"Dia telah menggunakan kuasanya untuk menyerap kuasa letupan?"

[Ya, sejauh mana yang termampu olehnya.]

"Oh..." akhirnya Fidzan mengerti apa yang sebenarnya telah berlaku. Selama ini sememangnya Zohak telah disalahkan dan dikatakan telah menyebabkan berlakunya peristiwa 6/6 sehinggakan namanya pun takut untuk disebut. Dia telah dimomokkan. Dari seorang adiwira, Zohak terus berubah menjadi seorang yang dianggap jahat. Malah, sejak tercetusnya peristiwa 6/6 anggota-anggota Kokuryu-kai yang lain menjadi buruan pemerintah.

[Lydia masih berdendam dengan ayah kamu kerana telah menyebabkan kematian suaminya.]

"Jadi kenapa kita di sini, mak? Kenapa mak bekerja dengannya?"

[Ayah mu pada satu ketika dahulu adalah anak didik Puan Nora sejak dia mula-mula bertugas di Pasukan Polis Kota Sendayu lagi... Lagipun mak rasa, Puan Nora tidak mungkin akan melupakan jasa-jasa ayah mu dahulu.]

"Jasa-jasa ayah?"

[Kau tidak dapat bayangkan keadaan Kota Sendayu sebelum bapa mu muncul sebagai Zohak. Kota Sendayu pada waktu itu tidak seperti sekarang. Kota ini dipenuhi dengan korupsi dan kejahatan.]

"Tapi sekarang-"

[Ya, sekarang semuanya telah berubah sejak peristiwa 6/6 dan sejak munculnya Ziggurat Merah.]

Fidzan merapatkan dirinya kepada ibunya. Dia duduk di sebelah ibunya. Keadaan dirinya menjadi semakin keliru setelah mendengar penjelasan ibunya walaupun ada beberapa perkara kini yang membuatnya lebih memahami kepada apa yang telah berlaku dahulu.

[Apa yang telah berlaku di dalam makmal Halcyon Corp. bukan satu kemalangan. Ia telah dirancang. Semua ini telah dirancang agar mereka dapat menyalahkan bapa kamu lalu memulakan satu Order Baru di Kota Sendayu]

Mungkin benar kata-kata ibunya, fikir Fidzan. Kejadian yang telah berlaku di Kota Sendayu pada 6/6 telah menyebabkan kota-kota yang telah bertelagah memberhentikan persengketaan mereka. Mereka tidak mahu apa yang telah berlaku di Kota Sendayu pada waktu itu berlaku kepada kota mereka. Pemerintah Kota Sendayu pula mengambil peluang ini untuk merombak cara mereka memerintah kota ini di dalam satu bentuk pemerintahan yang dikenali mereka sebagai Order Baru. Kesemua warga Sendayu perlu diidentifikasikan dengan tag mikro frekuensi radio. Media dikawal ketat. Ziggurat Merah pula dibina kononnya untuk memproses segala informasi yang keluar masuk ke dalam kota ini.

Dalam masa tidak sampai setahun mereka berjaya mengubahkan segala-galanya untuk menepati Order Baru ini. Mereka telah berjaya menurunkan kadar jenayah dan membanteras hampir apa sahaja yang didapati tidak akur kepada acuan mereka.

"Siapakah yang telah mengaturkan ini semua, mak?"

[Sehingga kini perkara ini masih menjadi misteri... Tapi apa yang pasti, jawapannya ada pada Ziggurat Merah. Ia menyimpan segala rahsia tentang apa yang telah berlaku.]

Fidzan terbayangkan struktur menara tinggi yang menempatkan Ziggurat Merah. Dia tidak pernah ke sana. Tidak ada sesiapapun yang dibenarkan untuk melihat sendiri keadaan di dalam Ziggurat Merah, kecuali beberapa pegawai tertinggi Halcyon Corp. seperti Lydia...

"Saya tahu bahawa Ziggurat Merah itu digunakan untuk mengubah kandungan pemikiran warga Kota Sendayu... Hanya mereka yang mempunyai mutasi sahaja yang tidak akan terjejas. Saya tahu mak juga tahu tentang hal ini."

[Ada di antara mereka yang bekerja di makmal doktor Londoh yang terdedah kepada denyutan elektro-magnetik sehingga memberi kesan sampingan kepada diri mereka, termasuk mak. Fikiran mak juga tidak dapat diubah mereka.]

"Sebab itulah saya dah Faris jadi begini?" Fidzan menutup lampu biliknya lalu membuka cermin mata hitamnya untuk mendedahkan kepada ibunya matanya itu. Anak matanya perlahan-lahan berubah merah apabila Fidzan menyesuaikan pandangannya agar dia dapat melihat dengan lebih jelas lagi di dalam keadaan di dalam keadaan biliknya yang gelap itu.

[Ya.]

Wajah Diana terlukis kekesalan. Kalau boleh dia mahu Fidzan dan Faris membesar sebagai manusia biasa. Tapi apakan daya, semua ini adalah di luar kawalannya.

"Selama ini kita semua telah diasuh supaya takutkan kepada Zohak... Saya tidak pernah menyangka bahawa Zohak itu adalah ayah, mak!" kata Fidzan setelah lama dia termenung memikirkan tentang hal bapanya itu.

[Ayah kamu telah melakukan pengorbanan ini untuk kita semua... Agar kita semua dapat terus hidup.]

"Jadi siapa musuh kita yang sebenarnya, mak?" tanya Fidzan yang mula memikirkan kembali tentang nasib yang telah menimpa diri bapanya.

Diana hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak tahu. Wajahnya muram. Dia meminta diri untuk keluar dari bilik anaknya yang gelap-gelita itu. Dia mula sedar bahawa apa yang berlaku kelak kepada fidzan adalah di luar kawalannya.

Fidzan memandang sayu ke arah ibunya yang sedang melangkah keluar dari biliknya. Dia merasa serba salah kerana telah meluahkan perasaannya itu kepada ibunya, walaupun sebelum ini dia begitu beria-ia memberitahu dirinya bahawa dia mahu merahsiakan hal ini darinya.

Fidzan berjalan masuk ke bilik airnya. Dia memandang ke arah cermin di hadapannya. Buat seketika dia dapat melihat wajahnya berubah menggerutu. Apabila dia memandang ke arah tangannya pula dia dapat melihat beberapa duri tajam keluar menembusi kulitnya dari dalam. Fidzan hampir-hampir mahu panik.

Fidzan menutup matanya rapat-rapat. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Apabila dia membuka matanya, apa yang dapat dilihatnya tadi tidak berlaku lagi. Keadaan dirinya normal.

"Walaupun Adam sudah tiada lagi, Sikapitan tidak pernah mati... Begitu juga Zohak." Bisik Fidzan kepada dirinya sewaktu dia sedang berdiri di hadapan cermin. Kata-kata itu dibiarkan terkubur terus di dalam hatinya.

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!