|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-06-25 - 8:16 a.m. Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 17
Syed Ali memandang ke arah anak kecil yang sedang didukung oleh Kamarul. Dia mencapai sekeping surat yang diletakkan di dalam bakul. Syed Ali membaca isi surat tersebut yang telah ditulis di dalam bahasa Inggeris. "Ibunya telah meninggal dunia ketika melahirkannya..." Ujar Syed Ali sambil membuka songkoknya, lalu mengusap rambutnya ke belakang. "Bapa saudaranya yang menghantarnya ke sini." Syed Ali mengambil bayi itu dari tangan Kamarul. Dia meminta Kamarul membaca isi surat tersebut. Wajah Kamarul berubah pucat. Dia mendapat tahu bahawa bayi itu telah dilahirkan oleh Mendiang Belinda Clarke. Jururawat yang pernah mengadakan hubungan yang intim dengannya sebelum perang meletus dahulu. Sebelum saya meneruskan surat saya ini, saya ingin meminta maaf kepada Tok Syed kerana telah menyusahkan Tok Syed dengan anak kecil ini yang kami panggil dengan nama Clive. Saya berharap Tok Syed akan dapat menjaga Clive dengan sebaik-baiknya. Clive telah dilahirkan oleh Belinda, anak saudara saya kira-kira lima bulan yang lepas. Walau bagaimanapun, dengan dukacitanya ingin saya beritahu bahawa Belinda telah meninggal dunia ketika melahirkan Clive di Melaka. Sejurus selepas Belinda meninggal dunia, abangnya Patrick yang telah menemaninya selama dia berada di Melaka pulang ke Singapura dengan membawa Clive bersamanya. Dia telah membawa Clive tinggal bersama keluarga saya. Walau bagaimanapun, Patrick telah ditimpa malang apabila dia bersama rakan-rakannya yang lain ditahan tentera Jepun sejurus selepas mereka menonton sebuah filem di Panggung Roxy seminggu yang lepas. Baru kelmarin saya mendapat tahu Patrick bersama rakan-rakannya yang lain telah dihantar ke Burma untuk mengerjakan sebuah landasan kereta api di sana... Di dalam masa-masa yang lain kami pasti akan menjaga Clive, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Kini Patrick tidak ada untuk membantu Saya menjaga Clive. Saya sendiri sedang mengalami masalah untuk memastikan agar anak-anak saya tidak kelaparan. Jepun pula sering mengganggu kami sekeluarga kerana mereka tidak berapa sukakan kepada orang-orang Serani seperti kami, lebih-lebih lagi setelah mereka mengetahui suami saya pernah menganggotai Kompeni Serani Kor Sukarelawan Singapura (SVC)... Saya tahu bahawa bapa kepada Clive baik orangnya. Belinda sendiri, sebelum dibawa ke Melaka, telah memberitahu kepada saya bahawa dia benar-benar menyayanginya walaupun dia tahu cintanya itu tidak berbalas. Di sini, saya meminta agar Clive dijaga oleh bapanya, walaupun ini bukanlah satu perkara yang saya mahukan. Tapi saya berfikir, mungkin inilah yang dimahukan oleh Belinda. Saya harap Clive and dapat dijaga dengan baik oleh Tok Syed sekeluarga. Saya pasti, masa depannya lebih terjamin jika dia di bawah jagaan bapanya sendiri dari dia dihantar ke rumah anak-anak yatim. Syed Ali mengambil surat yang dibaca oleh Kamarul dari tangannya. Dia meletakkan surat itu ke dalam kocek bajunya. Dia memandang ke arah Kamarul. Dia menantikan Kamarul supaya membuka mulutnya. "Bayi ini tanggungjawab saya, tok... Biar saya sahaja yang jaga." Kamarul bersuara tegas. Syed Ali mencium pipi cicitnya itu yang masih lagi berusia lima bulan. "Orang lain tidak perlu tahu ini anak kau." kata Syed Ali dengan perlahan. Kamarul tidak tahu kenapa dia harus melakukan ini semua. Adakah perintah ini datang dari Syed Ali untuk melindungi namanya atau anaknya ini? "Kau tahu berapa umur aku ketika Pak Long kau dilahirkan dahulu?" Kamarul menggelengkan kepalanya. Dia memikirkan tentang Pak Longnya yang kini sudah pun beruban dengan anak-anaknya semuanya sudah besar panjang. "Dua puluh tahun... Cuma setahun lebih tua sahaja dari usia kau sekarang." Syed Ali menjelaskan. Kemudian dia menambah lagi: "Bila aku lihat keadaan diri kau sekarang, susah untuk aku bayangkan aku pernah semuda kau dan terpaksa dipertanggungjawabkan dengan seorang anak kecil." "Mungkin datuk perlu berhenti dari menganggap diri saya ni macam budak kecil. Saya dah besar, tok. Saya dah cukup besar untuk mengetahui tentang kesilapan yang telah saya lakukan dan bertanggungjawab terhadapnya." Syed Ali menarik nafasnya dalam-dalam. Sekelumit resah yang tertuang di dalam hatinya sejak tadi kini hilang sedikit rasanya. Syed Ali melangkah masuk ke dalam rumahnya lalu memanggil isterinya. "Mana abang dapat budak ni?" tanya Siti Alwiyah sambil membetulkan sanggulnya. Si Sabariah berjingkit untuk melihat bayi kecil yang sedang didukung oleh datuknya. "Budak ni ditinggalkan di hadapan rumah kita... Mungkin ibu dan bapanya tidak dapat menjaganya dalam keadaan yang tidak menentu seperti sekarang." Alwiyah mengambil bayi yang didukung oleh suaminya. Dia mendapati bayi tersebut sedang menguap lalu membuka matanya. Sedetik kemudian bayi ini menangis semahu-mahunya. "Comel budak ni bang! Hidungnya mancung. Matanya bulat. Putih kulitnya... Macam anak orang putih!" Alwiyah memeriksa bayi ini dengan lebih teliti. "Kita kena jaga budak ni ke, nek?" tanya Sabariah dengan nada kurang senang. Dia menoleh ke belakang, Margaret berjalan dengan pantas ke ruang tamu apabila dia dapat mendengar suara seorang bayi sedang menangis dari dapur. "Biar abang yang menjaganya. Abang yang menjumpainya di atas tangga tadi." Ujar Kamarul lalu mengambil bayi tersebut dari tangan neneknya. Dia mendodoikan anaknya itu. "Abang akan namakan dia Mohsin." Margaret memandang ke arah Mohsin. Dia memegang pipi Mohsin yang lembut itu. Margaret tersenyum. Buat pertama kali sejak peperangan meletus, Kamarul dapat melihat sekuntum senyuman terlukis pada wajah Margaret. II Kamarul duduk di dalam ruang veranda yang menghadap ke arah Selat Singapura dengan meletakkan Mohsin di atas pehanya. Dia mendapati Mohsin sedang memandang terus kepadanya. Dia cukup sedar bahawa Mohsin mempunyai bentuk mata serta bibir sepertinya. Kemudian dia mengangkat tubuh Mohsin lalu meletakkan Mohsin ke bahunya. Dia membisikkan sesuatu ke telinga Mohsin: "Kau berketurunan Mandailing dari suku Nasution. Asal keluargamu dari Sumatera sebelum mereka berhijrah ke Papan di negeri Perak. Moyangku seorang pembesar Papan. Dia mempunyai beberapa bidang tanah di Papan dan di Larut yang kaya dengan bijih timah. "Walau apa pun berlaku, aku tidak mahu kau lupa tentang ibumu. Namanya Belinda. Cantik orangnya. Seorang gadis kacukan serani dan Inggeris. Dari apa yang diberitahu ibumu dahulu, bapanya adalah seorang kerani yang berasal dari Sheffield di England. Kapal yang dinaiki oleh datuk dan nenekmu karam di dalam perjalanan pulang dari England ketika ibumu berusia 10 tahun. "Satu hari nanti, apabila kau besar nanti, aku akan meminta maaf kepadamu kepada segala apa yang berlaku sekarang. Kesilapan yang telah aku lakukan sehingga menyebabkan kau lahir ke dunia ini. Satu kesilapan yang akan aku kesali sampai bila-bila. "Jadi sebagai bapamu... Aku berjanji akan menjagamu dengan baik. Aku akan menyayangimu tanpa berbelas bagi." Kamarul mengucup pipi Mohsin yang lembut. Mata Mohsin bulat terus kepadanya. "Bang..." Margaret berdiri di muka pintu. Dia memandang ke arah Kamarul dari situ. "Ya, Margaret... Kenapa?" tanya Kamarul. Dia mengusap-usap rambut Mohsin. "Tok Said kata abang bercadang untuk pulang ke Perak?" tanya Margaret sambil bermain-main dengan hujung lengan baju kurung berwarna biru yang sedang dipakainya. "Ya." Jawab Kamarul dengan pasti. "Tapi kenapa? Bukan kita hidup dengan selesa di sini, bang?" "Abang tahu... Tapi buat sementara waktu ini, biarlah dia dibawa ke Ipoh. Lagipun abang dah lama tak pulang ke sana. Abang rindu mak bapak abang di sana." Margaret memandang ke arah laut yang tenang di hadapannya. Matahari akan tenggelam di ufuk barat pada bila-bila masa sahaja. Kemudian pandangannya beralih kepada Kamarul. Dia perlu memberitahu kepada Kamarul tentang keinginannya: "Saya mahu ikut abang ke Perak." "Untuk apa?" "Buat masa ini kalau boleh saya tidak mahu berada di Singapura. Saya mahu berada jauh di sini agar saya boleh melupakan tentang apa yang telah berlaku kepada keluarga saya." Kamarul melepaskan nafasnya. Dia memandang ke arah Margaret duduk bersimpuh di hadapannya dengan wajah yang mengharapkan. "Tapi perjalanan ke Ipoh tu jauh, Margaret-" "Sebab itulah saya perlu ada... Kalau saya ada, saya boleh jaga Mohsin!" kata Margaret bersungguh-sungguh. "Kalau kau ikut aku nanti... Siapa yang akan ternakan ayam dan tanaman kita nanti?" "Wak Karman dan Amah Kim kan ada..." Kamarul mendiamkan dirinya. Dia mencium pipi Mohsin sebelum dia menyerahkan Mohsin kepada Margaret. Kamarul berdiri lantas dia berjalan keluar dari veranda lalu turun ke bawah. Dia terus berjalan ke arah pantai. Dia mahu ke banglo sebelah. Dia perlu menemui Koji. Dia mahu meminta Koji menunaikan satu lagi permintaannya. Satu permintaan yang dia pasti akan ditunaikan Koji, kerana dia tahu, Koji sanggup melakukan apa sahaja untuknya... Kamarul menoleh ke arah Margaret yang masih lagi duduk bersimpuh di atas veranda. Dia nampaknya sedang asyik mendodoikan Mohsin dengan lagu Suriman yang kedengarannya sayup-sayup dibawa bayu. Suriram ram suriram Oleh Nizam Zakaria
|