|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-06-25 - 8:27 a.m. Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 19
Margaret menoleh lalu memandang ke arah Kamarul yang sedang duduk di sebelahnya. Wajah Kamarul nampak tenang sewaktu dia sedang melelapkan matanya di dalam kereta. Margaret memerhatikan Kamarul dari dekat. Dia memerhatikan turun naik nafasnya. Jambangnya yang baru tumbuh yang belum dicukurnya. Kulitnya yang cerah kemerahan akibat selalu bekerja di bawah sinar matahari. Buat sejenak, Margaret mula mengingati saat-saat pertama dia bertentang mata dengan Kamarul. Dia tidak pernah menyangka Kamarul, abang kepada Sabariah itu kacak orangnya. Margaret serta-merta tertarik kepadanya, walaupun dia tidak pernah memberitahu akan hal ini kepada sesiapapun. Kamarul membuka matanya. Dia menoleh ke arah Margaret. Cepat-cepat Margaret menoleh ke arah Mohsin yang sedang tidur di atas pangkunya. "Sekejap lagi kita akan tiba ke bandar Ipoh." Beritahu Kamarul kepada Margaret yang tidak pernah ke bandar kelahiran Kamarul ini. "Oh..." Margaret mengangguk. Dia memerhatikan pemandangan di luar tingkap. Yang dapat dilihatnya cuma deretan pokok getah. Dia tidak tahu bagaimana Kamarul boleh mengecam mereka akan tiba ke destinasi mereka sebentar lagi. Mungkin dia sudah cukup terbiasa dengan daerah bandar Ipoh sehinggakan sekali pandang sahaja dia sudah tahu di mana dia berada. "Bang... Nanti turunkan kami di pinggir bandar." Pinta Kamarul kepada Ahmad sambil menggosok matanya. Keadaan cuaca pada tengah hari itu mendung. "Kau tidak mahu kami bawa kamu berdua sehingga ke rumah kamu nanti?" tanya Ahmad menoleh memandang ke arah Kamarul dari tempat duduknya di sebelah pemandu. "Tak apalah bang... Kami akan ambil beca." Ujar Kamarul lalu meminta Margaret menyerahkan Mohsin agar dapat didukungnya. Ahmad mengangguk mengerti. Dia terus mendiamkan dirinya. Kumiko berbual kecil dengan Margaret, memberitahunya bahawa dia berharap mereka akan diberi tempat tinggal yang selesa ketika berada di Ipoh Nanti. "Kau tinggal di mana, Kamarul?" tanya Kumiko kemudian kepadanya dengan suara yang lembut. "Di Conally Road." Kamarul terus menjawab walaupun matanya terus kepada Mohsin. Kadang kala Kamarul dapat merasakan wajah Mohsin terlalu menyerupai dirinya. Takut juga dia nanti ibu dan bapanya akan dapat tahu bahawa anak kecil yang dibawanya adalah cucu mereka sendiri dan bukan seorang anak kecil yang telah ditinggal-tinggalkan. "Sebenarnya ramai kawan-kawan aku di sini..." beritahu Ahmad yang pernah menghabiskan masanya menuntut di Kolej Latihan Sultan Idris di Tanjung Malim sebelum dihantar untuk mengajar di Singapura. "Maksud abang di Ipoh?" "Ya..." Jawab Ahmad mengangguk pasti. "Ketika belajar dulu, abang selalu juga datang ke Ipoh. Abang minat betul dengan pertunjukan bangsawan Grand Nooran Opera." "Abang minat tengok bangsawan?" "Kerana abang gilakan bangsawan lah abang berjumpa dengan Kak Kamariah kau ni dulu di Singapura..." jelas Ahmad sambil tersenyum memikirkan kembali saat-saat dia pergi menonton persembahan Zanzibar Royal Theatrical Company yang menampilkan pelakon bangsawan terkenal, Khairudin Tairo. Tatkala itu dia pergi menonton bangsawan di Great World yang terletak di Kim Seng Road bersama beberapa orang kawan-kawannya. Pada malam itulah buat pertama kalinya dia menatap wajah Kumiko. "Kakak memberanikan diri kakak untuk bertanyakan kepada abang Ahmad kau ni jika dia ni adik kepada Khairudin Tairo... Apa tidaknya, mukanya memang ada iras-iras Khairudin Tairo!" "Kakak Kamariah kau ni gilakan si Khairudin Tairo tu." Ujar Ahmad mengusik isterinya. Matanya kadangkala akan berpindah memandang ke arah perut isterinya yang bunting itu. Setelah lebih tujuh tahun mereka berkahwin, barulah kini Kumiko berjaya hamil. "Saya dengar abang kena sambung belajar di Ipoh nanti..." tanya Kamarul. Dia melihat Ahmad berpaling ke arah Kumiko sambil tersenyum. "Ya... Sementara kak Kamariah kau ni bekerja dengan Majer Koji, aku pula diminta untuk belajar bahasa Jepun di Ipoh Shihan Gakko... Aku kena mengajar budak-budak kita Nippon Go." Kata Ahmad lantas mengingatkan Kamarul bahawa Koji bukan lagi berpangkat Leftenan, tetapi dia kini berpangkat Majer. "Jadi abang nak ajar budak-budak kita bahasa Jepun?" tanya Kamarul sambil menoleh dengan cepat ke arah Kumiko. "Ya..." Jawab Ahmad sambil memandang ke hadapan. Dia memikirkan kembali perbualannya dengan Kamarul malam semalam ketika mereka berehat Kuala Lumpur. Setelah selesai makan malam, dia telah memberitahu kepada Kamarul mengapa dia menyimpan perasaan benci kepada British. Katanya, anak-anak Melayu yang dihantar untuk belajar di sekolah Melayu sebenarnya berada di dalam satu kedudukan yang merugikan. Kanak-kanak Melayu akan disuruh belajar empat tahun di sekolah Melayu sebelum menyertai 'Special Malay Class' sedangkan anak-anak bangsa lain terus dihantar ke sekolah Inggeris. Mereka yang belajar di sekolah Melayu akan diajar untuk berkebun, membuat bakul dan kerja tangan. Lulusan sekolah Melayu tidak mampu bersaing apabila mereka mencari pekerjaan. Menurut Ahmad, British sememangnya tidak mahu melihat orang Melayu maju ke hadapan. Hasilnya kini, ramai anak-anak Melayu ketinggalan, sedangkan orang-orang bangsa asing yang sebelum ini datang ke Tanah Melayu untuk bekerja sebagai kuli kini menjadi kaya raya. "Polisi pendidikan British langsung tidak membantu anak-anak Melayu mendapatkan pekerjaan. Pada tahun 30an, hanya terdapat 16 peratus pelajar-pelajar Melayu yang bersekolah di sekolah Inggeris di Persekutuan Tanah Melayu." Ahmad memberitahu sambil menghirup air kopinya. "British hanya mahu anak-anak Melayu kita lebih pandai sedikit dari bapa mereka yang bekerja sebagai petani dan nelayan. Polisi pemerintahan British langsung tidak banyak membantu untuk memperbaiki hidup orang-orang Melayu. Mereka hanya mahu orang-orang Melayu meneruskan pekerjaan tradisi mereka, sedangkan bangsa-bangsa lain dah maju jauh ke hadapan. Mereka takut jika terdapat ramai Melayu yang berpelajaran, orang-orang Melayu akan berani mempersoalkan tentang kedudukan mereka di tanah air mereka sendiri." Apabila Ahmad membincangkan tentang hal ini dengan Kamarul, pada mulanya dia berfikir Kamarul mungkin sukar untuk memahami apa yang cuba diperjuangankannya. Tetapi apa yang difikirkannya ternyata salah. Kamarul tidak berfikiran seperti golongan Melayu-Melayu elit dan golongan istana, yang sememangnya tidak berapa kisahkan kepada nasib orang-orang Melayu kebanyakan. Kamarul bersependapat dengannya bahawa anak-anak Melayu perlu diberikan pendidikan yang lebih baik dari apa yang ada sekarang. Anak-anak Melayu, fikir Kamarul, perlu diberikan peluang untuk bersaing dengan lebih adil dengan anak-anak bangsa asing. Perbualan mereka semalam berterusan sehingga ke larut malam apabila mereka berbincang tentang hubungan Melayu yang agak tegang dengan bangsa-bangsa lain. Di antara perkara yang mereka bincangkan adalah tentang keadaan tanah orang-orang Melayu yang tergadai lalu diambil alih oleh orang-orang chettiar. Kemudian Ahmad bercerita pula tentang dakwaan Lim Cheng Ean, seorang hartawan Cina Pulau Pinang yang mempersoalkan kedudukan Melayu sebagai pemilik asal Tanah Melayu. "Who says Malaya belongs to the Malays?" katanya dengan penuh angkuh. Menurutnya lagi, ketika Francis Light mula-mula mengasaskan Pulau Pinang dahulu, kuli-kuli Cinalah yang dipertanggungjawabkan untuk membersihkan dan membangunkan Pulau Pinang. Jadi Pulau Pinang adalah milik mereka. "Walaupun dia berkelulusan Universiti Cambridge, dia tidak faham bahawa Pulau Pinang sebenarnya milik Sultan Kedah dan pulau itu telah terlebih dahulu didiami oleh para nelayan dan pekebun Melayu sebelum Francis Light datang ke pulau itu pada tahun 1786..." beritahu Ahmad dengan nada penuh kesal. "Manusia riak selalunya selalunya jahil, bang... Pelajaran setinggi gunung tidak menjamin seseorang itu mempunyai pertimbangan." Sambut Kamarul tatkala sedang berbual dengan Ahmad di dalam bilik yang disewa mereka. "Jika Pulau Pinang itu milik orang-orang Cina semata-mata kerana mereka membantu British untuk mengubah hutan kepada bandar... Perkara ini samalah seperti seorang tukang kayu yang telah diupah untuk membina rumah oleh tuan tanah, kemudian si tukang kayu mendakwa rumah itu miliknya walaupun dia sudah dibayar untuk membina rumah tersebut oleh tuan tanah. "Tanah Melayu kita ni kaya, Kamarul... Yang miskin cuma orang Melayu. Selama ini, orang putih kerjanya hanya mengaup hasil kekayaan bumi bertuah kita ni... Kini, orang Cina dan orang India pun ikut sama. Segala harta kekayaan yang mereka kaup, mereka akan hantar ke negara mereka sendiri. Satu-satunya cara untuk orang Melayu untuk maju adalah untuk kita mendapatkan kemerdekaan. Sudah sampai masanya kita menjadi tuan kepada tanah air kita sendiri." Suara Ahmad berkobar-kobar dengan kesungguhannya. "Walaupun apa yang didakwa orang Cina seperti Cheng Ean itu keterlaluan dan bodoh kedengarannya... Tetapi saya berfikir-" "Apa yang kamu fikirkan?" tanya Ahmad cepat-cepat dia memintas kata-kata Kamarul. "Saya berfikir... Bila British lari lintang pukang ketika Jepun menyerang Malaya dan Singapura... Dan kini apabila kita dapat melihat Jepun sudah menunjukkan taringnya - kita tidak mempunyai jalan yang lain kecuali untuk kita semua bersatu sebagai satu bangsa lalu berusaha bersama untuk mendapatkan kemerdekaan lalu berusaha mentadbirkan negara yang kita bina sendiri. Ya, mungkin satu hari nanti kita perlu bekerjasama dengan orang-orang Cina, India dan Serani untuk membina sebuah negara yang kita ingini." "Kau berpendapat kita harus berkongsi kuasa dengan bangsa-bangsa asing?" "Ya." Jawab Kamarul mengangguk dengan nada teragak-agak. Kemudian perbualan mereka terhenti sahaja di situ sahaja. Ahmad kelihatan kurang senang dengan pendapat yang dikeluarkan oleh Kamarul. "Bang Seman... Berhenti di sini!" pinta Kamarul kepada si Seman drebar. Dia menurut sahaja. Kereta yang dipandunya dihentikan di penghujung Hugh Low Street. "Jika kamu berdua ada masa nanti, jemputlah datang ke rumah kami nanti..." ujar Ahmad menoleh ke arah Kamarul yang bergegas keluar dari dalam kereta. "Aku pasti kau akan pandai mencari kami nanti." "Insyallah." Sambut Kamarul dengan ringkas. Kamarul menyerahkan Mohsin kepada Margaret. Dia terus ke bahagian belakang kereta untuk mengambil begnya. "Jaga diri kau baik-baik, Margaret, Kamarul." Ucap Kamariah sambil mengikir senyuman. Kamarul mengangguk sekali. Dia bersalaman dengan Ahmad lalu mengucapkan terima kasih kepada Seman. Kereta yang dibawa Seman meninggalkan mereka berdua di hadapan deretan rumah kedai di pinggir bandar Ipoh. Margaret memandang ke arah Kamarul. Dia melihat Kamarul sedang menggaru-garu tengkuknya. "Rumah abang jauh lagi ke?" tanya Margaret sambil memastikan kain batik yang digunakan untuk menyelubungi tubuh Mohsin menutupi wajahnya sekali. "Jauh." "Kenapa tak minta abang Seman hantar kita terus ke rumah abang?" tanya Margaret sambil membetulkan selendang di kepalanya. "Abang tak nak orang tahu kita kenal rapat dengan mereka." Itulah sahaja jawapan yang diberikan Kamarul. Dia langsung tidak mahu menambah lagi kata-katanya itu dengan sejelas-jelasnya. Dia tidak mahu menjelaskan kepada Margaret bahawa dia tidak mahu orang-orang di Ipoh mengecapnya sebagai tali barut Jepun setelah mereka melihatnya nanti menaiki sebuah kereta yang dipunyai oleh tentera Jepun. Margaret mengeluh. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Dia tidak tahu berapa jauh dia harus berjalan sehingga mereka terjumpa dengan seorang penarik beca yang akan membawa mereka pulang ke Conally Road. Kamarul berjalan dengan membawa begnya yang besar itu yang berat kerana dipenuhi dengan buku-bukunya. Walaupun telah ditegah oleh datuknya kerana mahu membawa buku-bukunya yang akan membebani perjalanan, Kamarul tetap berdegil. Kamarul mendapati keadaan di Ipoh sedikit berbeza dengan keadaan Ipoh yang diingatinya sebelum perang. Tidak seperti di Singapura, di sini tak ada tanda-tanda bangunan yang telah musnah dibom. Tanda-tanda perniagaan di hadapan kedai-kedai di sini diubah dengan menggunakan tulisan Jepun Katakana. Beberapa buah kedai pula terus ditutup. Toko Whiteways yang sering dikunjungi keluarganya dahulu untuk membeli barang-barang yang khususnya diimport dari England kini terus ditutup. Di beberapa buah kaki lima, dia dapat melihat barang-barang curi yang sedang dijual yang datangnya dari rumah-rumah yang telah ditinggalkan ketika Jepun menyerang Ipoh. Kamarul akhirnya menemui dua buah beca yang bersedia untuk membawanya pulang ke rumahnya. Sebuah beca dinaiki oleh Margaret dan Mohsin. Sebuah lagi dinaiki oleh dirinya sendiri dengan begnya yang berat itu. Apabila Kamarul tiba di rumahnya, dia mendapati tidak lagi terdapat bendera Union Jack yang dikibarkan di hadapan rumah seperti kebiasaannya. Dia melepaskan nafas lega. Walaupun begitu, dia dapat melihat keadaan halaman rumahnya yang kurang dijaga. Lalang mula tumbuh meliar di dalam taman Inggeris yang pada satu ketika dahulu menjadi kebanggaan bapanya. Kamarul memberi salam berkali-kali barulah kelibat ibunya keluar untuk mendapatkannya. Wajah Alwiyah terkejut melihat wajah anaknya itu muncul di hadapan rumahnya. Dari telegram yang baru diterimanya pagi tadi dari Syed Ali, dia menyangka anaknya itu akan datang dua tiga hari lagi, dan bukannya pada hari ini. Alwiyah merenung ke dalam mata Margaret. Dia cukup-cukup bersimpati dengan apa yang terpaksa dialami oleh Margaret. Ibu Margaret, bibik Puteh adalah kawan baiknya sejak kecil. Perasaannya terus sebak tatkala memikirkan nasib yang telah menimpa bibik Puteh dan keluarganya. "Jadi inilah dia anak kecil yang ditinggalkan di hadapan rumah datuk kau?" tanya Alwiyah lalu meminta Margaret menyerahkan Mohsin agar dapat didokongnya. "Ya, mak..." jawab Kamarul sambil menelan air liurnya. "Comel budak ni... Ada iras-iras muka kau ketika kau kecil dulu." Kata Alwiyah. Wajah Kamarul berubah pucat. Dia tidak tahu ibunya itu serius atau sebaliknya. "Tak... Masa saya kecil dulu muka saya lagi elok." Kamarul cuba berseloroh. Alwiyah tersenyum kecil. Sememangnya dia tidak dapat menafikan bahawa anak sulungnya itu memang comel keadaannya ketika dia kecil dahulu. "Mak... Ayah mana, mak?" Alwiyah mengeluh seketika, sebelum dia menjawab: "Dia di belakang..." Kamarul berjalan ke belakang rumahnya. Ke arah sebuah veranda yang menghadap ke arah padang yang kini ditumbuhi lalang. Bapanya ada di situ. Dia sedang duduk di kerusi malas sambil termenung jauh. Kamarul terus mendapatkan bapanya lalu mencium tangan bapanya itu. Mahidin mengusap-usap rambut Kamarul sambil berkata: "Ayah telah mengambil keputusan untuk tidak bekerja dengan Jepun... Jadi sekarang ayah terpaksa duduk rumah sahaja." Ujar Mahidin dengan suara perlahan. Kemudian dia menambah lagi dengan suara yang lebih perlahan. "Leluhur kita telah berhijrah dari Sumatra lebih seratus tahun yang lalu kerana mereka mahu melarikan diri mereka dari cengkaman penjajahan Belanda. Mereka telah membina kehidupan mereka di sini sehinggalah datuk kamu akhirnya berjaya membina perniagaan bijih timahnya di sini. Kini segala harta pusakanya diambil Jepun. Kita dah tak ada apa-apa lagi, Kamarul." "Tak apa, yah... Sekarang saya ada di sini. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari kerja untuk menampung segala keperluan keluarga kita." Kata Kamarul sambil menggenggam tangan Mahidin. Dia mendapati garis-garis halus pada wajah bapanya semakin jelas kelihatannya. Dia pasti bapanya telah melalui satu tekanan yang hebat sehingga membuatnya begini - seperti seekor singa yang telah kehilangan taringnya. Alwiyah memegang bahu Kamarul, seolah meminta Kamarul supaya jangan mengganggu bapanya. Kamarul mengangguk mengerti. Dia berdiri lalu berjalan beberapa tapak ke belakang. Dia menoleh. Dia dapat melihat Margaret memandang ke arahnya. Kamarul memegang lehernya tanpa berkata apa-apa kepada Margaret. Dia berjalan masuk ke ruang tamu untuk membawa masuk begnya itu ke dalam kamar tidurnya. Dia mahu berehat. Esok pagi-pagi dia mahu ke bandar Ipoh untuk mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan keluarganya yang didapatinya tidak seperti dahulu... Oleh Nizam Zakaria
|