|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-05-16 - 4:45 p.m. Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 2
Kini sudah dua hari Mahidin sekeluarga tiba ke Singapura. Mereka telah ke sini dengan menaiki kereta api dari Ipoh lalu berhenti di stesen kereta api di Tanjong Pagar. Manusia yang paling gembira pada waktu itu adalah Sabariah. Dia merasa cukup bahagia menemui keluarganya walaupun dia baru sahaja pulang dari Ipoh pada musim cuti yang baru lepas. Paling dia suka adalah ketika dia mendapat tahu abangnya Kamarul akan menetap di Singapura. Sabariah masih lagi berusia 8 tahun. Sejak kecil lagi dia telah dijaga oleh datuk dan neneknya di Singapura. Kini dia bersekolah di sebuah sekolah untuk budak-budak perempuan Melayu di Telok Kurau. Sabariah serba sederhana orangnya. Jika dibandingkan dengan abangnya, kulitnya lebih gelap. Rambutnya sedikit beralun. Jika abangnya mempunyai wajah lebih keMelayuan, Sabariah pula kelihatan seperti ibunya, seorang Arab Hadramaut. Sabariah seorang anak yang manja. Walaupun dia jarang dapat bertemu dengan abangnya, entah mengapa, dia cukup-cukup menyayangi abangnya itu. Pada petang itu Sabariah telah meminta abangnya supaya bermain dengannya di belakang rumah datuknya. Kamarul mengiakannya sahaja. Dia tidak keberatan untuk menunaikan permintaan adiknya itu. Lagipun dia kepenatan setelah sehari suntuk mengikut datuk dan bapanya pergi membeli belah di toko Robinsons yang terletak di Raffles Place. Mereka telah ke sana dengan tujuan membeli beberapa barang keperluannya. Banyak juga barang-barang yang telah dibelinya di toko Robinsons. Selain dari alat tulis dan dua buah beg pakaian yang bersaiz sederhana besar, dia telah disuruh oleh datuknya untuk membeli baju, seluar dan kasut baru. Kamarul masih mengingati satu masa di zaman awal remajanya apabila dia cukup benci dibawa membeli belah ke toko ini untuk membeli pakaian - sehingga ibu dan bapanya terpaksa memilih dan membeli pakaian yang perlu dipakainya. Tetapi semenjak dua menjak ini, dia mula merasa senang pergi membeli-belah agar dia dapat memilih pakaiannya sendiri. Dia suka kelihatan tampan dan kemas. Dia suka melihat dirinya menjadi perhatian anak-anak gadis yang bersemuka dengannya... "Abang nak satu atau dua biji gula?" tanya Sabariah kepada Kamarul tatkala mereka sedang duduk di bawah sebatang pohon ru yang rendang di belakang banglo Syed Ali Al-Bakhri. "Dua biji!" jawab Kamarul sambil memandang ke arah set teko permainan kepunyaan Sabariah. Kemudian matanya berpindah ke arah sebuah sampan yang sedang berlayar di Selat Singapura. Fikirannya melayang buat beberapa ketika memikirkan tentang si nelayan yang sedang mengendalikan sampannya itu. Dia cuba memikirkan apa yang sedang bergolak di dalam fikiran si nelayan ketika dia melihat dirinya sedang duduk di atas sebuah kerusi dan meja kecil di belakang sebuah banglo yang telah dibina di tepi pantai itu. "Abang nak main ke tak ni?" rungut Sabariah apabila dia melihat abangnya termenung ke arah laut yang membiru itu. "Abang tengah main dengan Iyah lah ni!" ujar Kamarul sambil tersengih. "Kalau abang nak main, abang kena minum air teh yang Iyah sediakan!" Kamarul tersenyum sendiri lalu dia berpura-pura minum cawan teh kosong yang telah 'dihidangkan' oleh Sabariah. Beberapa detik kemudian dia memerhatikan gelagat Sabariah yang sedang berbual-bual kosong dengan anak patungnya yang sedang duduk di sebelah Ibrahim. Ibrahim sedang merenung ke arah anak patung Sabariah dengan penuh minat. Sesekali dia dapat melihat si Ibrahim merepek-repek berbual dengan anak patung kepunyaan kakaknya itu seolah patungnya itu bernyawa lagaknya. Kamarul menoleh ke sisi kanannya apabila dia dapat mendengar gelak ketawa yang datangnya dari arah rumah banglo di sebelah rumah banglo datuknya. "Siapa tu?" tanya Kamarul kepada Sabariah. Dia sedang memandang ke arah pepohon renek setinggi tujuh kaki yang telah ditanam agar kelihatan seperti memagari kawasan sempadan di antara kedua-dua buah banglo ini. Sabariah tidak menjawab kata-kata abangnya, dia sedang memarahi si Ibrahim kerana cuba memeluk anak patungnya itu. Sebiji bulu tangkis terbang ke hadapan dan ke belakang. Apabila bulu tangkis tiba-tiba berhenti bertebangan, akan kedengaranlah deraian ketawa berdekah-dekah. "Siapa yang main badminton di rumah sebelah, Iyah?" tanya Kamarul mengulangi soalannya itu kepada adiknya. "Margaret dengan abangnya Lyold..." Sabariah menjawab dengan selamba. Dia meletakkan kembali anak patungnya di atas kerusi kecilnya. "Dah lama mereka tinggal di sini?" "Dah... Tapi mereka tinggal di rumah sebelah ni pada hari minggu jer bang. Hari-hari biasa mereka tinggal di bandar." "Patutlah tak pernah nampak." "Alah abang tak pernah nampak sebab abang jarang ke Singapura!" Sabariah merengek kecil sambil menjeling. "Alah... Abang kan sekarang dah mula nak duduk di Singapura. Nanti abang selalu-selalulah datang melawat Sabariah di sini!" pujuk Kamarul apabila dia melihat adiknya mula mencebik. Dia mengusap-usap rambut Sabariah yang panjang itu dengan rasa penuh rindu. "Dulu Margaret selalu nak main masak-masak dengan Iyah, tapi sekarang dia sombong lah bang!" Sabariah mula mengadu dengan suara yang manja. "Kenapa pulak?" "Dia kata dia dah besar... Dia tak boleh lagi main anak patung dengan Iyah!" kata-katanya terhenti di situ sahaja apabila bulu tangkis tiba-tiba terbang masuk ke dalam kawasan mereka. Deraian ketawa yang didengarinya tadi kini tiba-tiba terhenti. Begitu juga bunyi pukulan raket badminton kepada bulu tangkis yang tidak henti-henti kedengarannya sejak tadi. Kamarul berjalan mengambil bulu tangkis di atas padang rumput yang tubuh subur menghijau di belakang banglo datuknya itu. Dia membelek-belek bulu tangkis tersebut buat beberapa ketika sebelum Sabariah memanggil untuk menarik perhatiannya: "Bang... Lyold kat sana tu!" Kamarul memandang ke arah pantai. Dia mendapati Lyold sedang berdiri di pintu pagar sambil memandang ke arahnya. Kamarul berjalan ke arah Lyold sambil membawa bulu tangkis kepunyaannya itu. Tatkala itulah dia dapat mendengar suara Margaret yang sedang menyanyi di sebalik tumbuhan renek yang memagari dua banglo yang telah dibina di tepi pantai itu: "Di Tanjong Katong airnya biru, di situ tempatnya dara jelita... Duduk sekampung lagikan rindu, inikan pula nun jauh di mata" Suara Margaret merdu kedengarannya. Mahu benar Kamarul melihat wajah Margaret yang telah menyanyikan lagu ini sementara menunggu abangnya Lyold mengambil bulu tangkis darinya.
"Ya..." "Sabariah selalu juga ceritakan tentang kau kepada Margaret..." Beritahu Lyold sambil tersenyum mesra. "Oh ya, nama aku Lyold. Lyold Neo." Lyold menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Kamarul. Kamarul bersalaman dengan Lyold. Dia dapat meneka bahawa mungkin Lyold berusia tiga atau empat tahun lebih tua darinya. Kamarul menjengahkan lehernya ke arah rumah yang didiami Lyold. Dia tidak dapat melihat kelibat Margaret di situ. Kemudian dia memandang ke arah raket kayu yang sedang dipegang Lyold. "Kau mahu bermain badminton dengan kami?" tanya Lyold mempelawa. Kamarul menggeleng pasti. Dia langsung tidak berminat bermain dengan permainan yang diketahuinya sering dimainkan di dalam taman oleh anak-anak gadis berbangsa Eropah di waktu santai mereka. Lyold tersenyum ke arahnya sebelum dia mengangkat tangannya lalu berlari masuk ke dalam kawasan taman di rumahnya. Kamarul memandang ke arah laut yang jernih membiru itu. Dia dapat melihat sampan yang diperhatikannya tadi sudah berlayar jauh ke tengah laut... II
Timbul pula rasa takut dan resah di dalam hati Kamarul apabila buat kali pertamanya dia telah menjejakkan kakinya ke dalam kawasan Hospital Besar Singapura yang terletak di Outram Road. Cuaca tengah hari bulan Jun 1941 itu cukup terik rasanya. Kawasan hospital ini agak luas. Ketika kereta Bentley yang telah dipinjamkan datuknya itu memasuki kawasan hospital, dia dapat melihat bahawa sebahagian besar bangunan-bangunan di dalam hospital ini diperbuat dari konkrit. Bangunan-bangunan ini pula bersambung-sambung sehingga menjadi satu bangunan yang besar. Semua bangunan di sini dicat putih, dan ianya mempunyai koridor yang luas dan panjang. Kereta Bentley hitam yang dipandu oleh Yunus, seorang pemandu yang berusia di sekitar pertengahan 20-an itu diberhentikan di hadapan bangunan Kolej Perubatan King Edward VII. Sebaik sahaja kereta berhenti, Kamarul cepat-cepat keluar dari perut kereta. Kamarul berdiri dengan megah di hadapan bangunan College of Medicine. Bangunan tersebut nampak teguh lagi kukuh. Seni bina bangunan telah mengingatkan Kamarul kepada bangunan Hephaesteion di Athens, (yang pernah di lihatnya di dalam buku sejarahnya dahulu). Tiang-tiang konkrit yang tersusun rapi menghiasi bahagian hadapan bangunan kolej perubatan ini. Dengan pantas Kamarul memerhatikan seluruh bahagian sekolah barunya ini. Dengan pantas juga dia mendapati bangunan tempat tinggal para jururawat pula telah dibina di hadapan College of Medicine. Dan di sebelah bangunan yang sama, (di atas sebuah bukit yang kecil) terbina sebuah bangunan yang dipanggil FMS (Federated Malay States) Hostel-asrama untuk pelajar-pelajar perubatan sepertinya. "Nama kau, Kamarul?" Tanya seorang pemuda berbangsa India kepadanya sebaik sahaja Kamarul keluar dari dalam perut kereta. Ketika itu pemuda berbangsa India itu sedang bercekak pinggang di hadapan bangunan Asrama FMS. Dia memakai seluar dan pakaian serba putih. Orangnya bertubuh tinggi tegap.
"Senang sahaja… Tidak ramai pelajar Melayu yang belajar di sini. Di dalam kumpulan kau hanya terdapat enam orang pelajar Melayu dari tujuh puluh pelajar yang diambil masuk. Dua dari Perak, dua dari Selangor, satu dari Kedah, dan satu dari Johor." Beritahunya dengan nada yang terang. "Kau dari Perak. Aku tahu. Kau anak Encik Mahidin, pegawai daerah hulu perak. Itu pun saya tahu. Kerana aku juga berasal dari Perak..." Katanya sebelum dia menambah lagi. "Nama aku Joseph Durai Raj." Kamarul berjabat tangan dengan Joseph. Kemudian dia bertanya: "Perak di mana?" "Tapah." "Sebelum ke sini, kau menuntut di mana?" "St. Micheal's Institution di Ipoh... Kau pula?" "MCKK..." "Oh... MCKK." Buat beberapa saat, Kamarul dapat melihat Joseph mencebik. Kemudian dia mendekatkan dirinya kepada Kamarul seraya berbisik: "Kau tak nak memperkenalkan aku kepada bapak kau?" Kamarul terus memperkenalkan Joseph kepada bapanya. "Ayah... Ini Joseph. Dia juga berasal dari Perak... Orang Tapah." "Oh... Bakal doktor kita berasal dari Tapah..." kata Mahidin dengan paipnya masih terlekat di mulutnya itu. "Dah berapa lama belajar di sini?" "Saya pelajar tahun keempat." Jawab Joseph dengan bangga. Kemudian dia menambah lagi: "Encik Mahidin tak perlu susah-susah hantarkan anak encik ini sehingga ke dalam asrama. Nanti saya akan uruskan kesemuanya. Sudah menjadi tugas saya untuk menjaga pelajar-pelajar baru sepertinya." Mahidin mengangguk tanda faham. Dia mengerti benar bahawa anaknya itu sudah tidak sabar benar untuk masuk ke dalam bangunan asrama. Wajahnya jelas nampak teruja, sesekali mendongak ke arah bangunan asramanya. "Jaga diri kau tu baik-baik." Mahidin menasihati anaknya, sambil menyerahkan kepadanya wang sebanyak $300-cukup untuk perbelanjaannya selama setahun di Singapura. Kamarul cepat-cepat memasukkan wang tersebut di dalam kocek kemejanya. Dia sedikit pun tidak memberitahu kepada bapanya bahawa sebelum mereka bertolak ke sini dari rumah datuknya di Katong, datuknya, Syed Ali Al-Bakhri telah memberikan sejumlah wang sebanyak $200 sebagai wang perbelanjaannya untuk penggal ini. Kini dia mempunyai wang sebanyak $500. Satu jumlah wang yang banyak pada waktu itu, memandangkan seorang kerani muda gajinya $25-$30 sebulan. Dia sememangnya tidak tahu apa yang akan dilakukan dengan wang sebanyak itu... "Kalau tak cukup, jangan segan-segan minta duit tambahan dari nenek kau di Katong." Ujar Syarifah Alwiyah pula. Hatinya kini semakin sebak. Air mata mula bertakung di kelopak matanya. Lalu dia menggunakan selendang untuk mengesat air matanya itu. "Dah besar rupanya anak mak." Ujarnya di dalam hati sambil mengucup pipi anak kesayangannya itu. "Alah mak! Malu saya mak buat saya macam ni!" dengus Kamarul. Mukanya meronai merah menahan malu. Terutamanya dia mula sedar bahawa terdapat beberapa orang jururawat muda yang sedang berjalan di hadapannya tersenyum melihatkan perbuatan ibunya mengucup pipinya itu. "Bila abang nak balik, mak?" tanya Sabariah dengan wajah yang muram. Abangnya itu belum pergi ke mana-mana lagi mulutnya sudah mencebik kesedihan. "Mak pun tak tahu, Iyah!" jawab ibunya, sambil mengesat air matanya itu lagi. "Cuti nanti saya baliklah mak!" jelas Kamarul. "Kalau kau tak mahu balik ke Perak semasa cuti pun tak apa... Mak boleh turun ke Singapura ni.... Jenguk-jenguk kau dan adik kau di sini." Ujar Alwiyah apabila Kamarul mula mengangkat begnya yang satu lagi dari dalam kereta Kamarul mengangguk perlahan. Apabila kedua ibu dan bapanya sedang memandang ke arah lain, dia cepat-cepat mengenyitkan matanya kepada seorang jururawat muda yang baru keluar dari asramanya lalu berjalan ke arah hospital sambil berpayung. Wajah jururawat itu kemerahan dibuatnya walaupun sebelum ini dia sudah biasa diganggu oleh beberapa pelajar perubatan di sini. "Saya berjanji akan akan belajar rajin-rajin, yah… Mak!" Kata Kamarul kepada kedua orang tuanya. Kemudian dia mendapatkan Sabariah untuk mencium dahi adik perempuannya yang tersayang itu, diikuti dengan ciuman di pipi Ibrahim yang sedang berpegang tangan dengan Sabariah. Mahidin mengangguk bangga. Lalu menyarankan agar Kamarul pergi sekarang, memandangkan Joseph sudah lama menunggunya untuk dibawa ke bangunan Asrama FMS yang terletak di atas bukit itu. Kamarul dapat merasakan bahawa bapanya agak terganggu pada saat itu. Terharu dalam keadaan wajahnya yang kaku itu. Bapanya cuba menyembunyikan perasaannya, namun Kamarul dapat merasakannya juga. Kamarul mencium tangan bapanya, lalu tanpa dijangka, bapanya itu terus mendakap tubuhnya dengan erat. Setahu Kamarul, inilah kali pertama bapanya itu mendakapnya begitu. Kamarul kini terus berjalan ke arah kawasan asrama FMS tanpa menoleh ke belakang. Perasaannya semakin berkobar-kobar untuk membuktikan kepada semua bahawa dia juga mampu untuk menjadi seorang doktor pada satu hari nanti... III Ketika Kamarul masuk ke dalam biliknya asramanya, dia tersentak. Dia dapati, biliknya itu langsung tidak seperti mana yang dibayangkannya selama ini. Walaupun bilik tersebut nampak kemas, ianya sempit dan sememangnya kecil. Dia juga mendapati kini bahawa dia terpaksa berkongsi bilik dengan beberapa orang pelajar yang lain. "Ingat, ini asrama FMS! Bukannya asrama MCKK!" Getus Joseph dengan suara yang keras dan lantang. Kamarul hairan melihatkan keadaan Joseph yang tiba-tiba sahaja berubah garang. "Katil kau di sana!" Katanya dengan suara kasar. Kamarul meletakkan beg-begnya di atas katil barunya itu. Joseph keluar dari bilik setelah mendapati Kamarul sudah dapat membiasakan dirinya dengan bilik barunya itu. "Nama aku Ho Chin Chuan… Berasal dari Pulau Pinang." Ujar seorang pelajar baru sepertinya yang sedang duduk di atas katil di sebelah katilnya. "Nama aku Kamarul... Dari Perak." Kamarul menghulurkan tangannya untuk bersalam. "Jadi kau dari MCKK?" "Ya, dan kau pula?" "Penang Free School." Kamarul tersenyum. Dia memerhatikan perwatakan Chin Chuan. Orangnya lemah lembut. Berkaca mata. Bertubuh kurus. "Aku baru sahaja tiba ke sini semalam." Chin Chuan memberitahunya. Kemudian dia tiba-tiba berbisik kepadanya. "Malam ini jaga diri kau itu sikit. Kita ni freshmen… mereka pula semuanya seniors!" Kamarul masih tidak tahu apa yang cuba diperkatakan oleh Chin Chuan kepadanya tadi. "Jadi apa halnya dengan mereka?" "Seniors suka menyeksa freshies yang baru datang." "Ragging lah ni?" tanya Kamarul yang sudah terbiasa dengan istilah ini. Ketika di MCKK sendiri dia pernah diragging ketika dia mula-mula masuk dahulu. Apabila dia sudah bergelar senior pula, giliran dia pula me'ragging' pelajar-pelajar junior. Chin Chuan mengangguk cepat. Lalu cepat-cepat dia menyuruh Kamarul menutup mulutnya sebaik sahaja seorang senior masuk ke dalam bilik mereka. 'Rangging'! Perkataan ini mula bergema di dalam kepala Kamarul... IV Seperti yang telah dijangkakan, para pelajar baru seperti Kamarul tidak dapat lepas dari diragging oleh pelajar-pelajar senior. "Tak cukup kilat!" Gertah Joseph kenapa Kamarul. Matanya bulat dalam marahnya. "Tapi dah dua kali aku kilatkan kasut kau ni!" Kamarul mempertahankan dirinya. Dia menudingkan jarinya ke arah kasut kulit Joseph. "Berani kau lawan aku!" Suara Joseph semakin kuat. Chin Chuan yang bertubuh kurus tinggi yang sedang duduk di sebelah Kamaruh tersentak dibuatnya. Dia mengurut-ngurut dadanya. Dia tidak faham mengapa di dalam ramai-ramai freshies yang ada, dia ditempatkan sebilik dengan Kamarul yang pantas menjawab. "Cuba kau tengok kasut tu. Berkilat. Macam cermin!" Sememangnya Kamarul suka melawan. Jika kata-kata bapanya sendiri berani dilawannya, inikan pula Joseph yang hanya berusia tiga tahun lebih tua darinya. Chin Chuan hairan melihat perangai Kamarul yang suka melawan ini. Berani mesti bertempat, fikirnya sendiri. Dan sudah tentunya sekarang bukanlah masanya untuk dia menunjukkan keberaniannya itu. "Keluar!" Getus Joseph kepada Kamarul. "Keluar mana ni? Sekarang kan dah malam. Sekejap lagi warden akan datang ke sini untuk-" "Keluar!" Joseph mengulangi dengan memekik. Chin Chuan menasihati Kamarul supaya menurut sahaja permintaan Joseph tadi tanpa banyak soal. "Kalau tidak, nahas kita nanti!" Bisiknya kepada Kamarul. Kamarul terpaksa menurut sahaja kata-kata Joseph. Itupun setelah Joseph mengancamnya untuk menghukum freshies-freshies lain kerana sikapnya yang angkuh dan suka melawan. Jadi pada malam itu, Kamarul telah disuruh mengelilingi kawasan asrama pada malam-malam buta dengan hanya berseluar dalam oleh Joseph semata-mata kerana tidak berpuas hati dengan cara Kamarul mengilatkan kasut kulitnya. Setelah berlari mengelilingi padang selama sejam, Joseph meminta Kamarul berhenti. Dia datang bersama beberapa orang senior yang lain. Mereka rata-ratanya berwajah garang. Bertubuh sasa... Kamarul menarik nafasnya dalam-dalam untuk menahan penat. Tatkala disuruh berlari tadi, hujan turun renyai-renyai. Tubuhnya kini lencun. Lumpur terpalit ke betis dan pahanya. Seluar dalamnya basah kuyup. Dia disuruh berdiri tegak tatkala melaporkan dirinya kepada mereka. "Aku dapat tahu dari Abdul Majid budak Victoria tu... Kau beritahu dia kau kapten pasukan kriket di MCKK?" tanya Joseph sambil meraba-raba dagunya. "Dan hoki..." Kamarul menambah lagi, dengan suara yang sedikit angkuh. "Kami mahu kamu cuba ragbi pula..." ujar seorang senior bernama Hoffman. "Kenapa pulak ni?" ujar Kamarul, dia mengesat peluh jantannya yang mula menitik mengalir membasahi kelopak matanya. "Kami rasa kau sesuai untuk bermain ragbi..." jawabnya ringkas tanpa memberi sebab mengapa. "Kami akan mengambil ahli-ahli baru ke dalam pasukan ragbi kolej kami ini tak lama lagi." Kata seorang senior bernama Hock Heng pula sambil memeluk tubuh. "Jadi, kalau boleh, kami mahu kau mewakili kolej kami dalam pasukan ragbi." Kamarul tidak menjawab. Dia tidak mengiakan atau menidakkan. Dia hanya berdiri tegak di tepi padang sambil memandang ke arah Joseph dengan pandangan penuh dendam. Senior-seniornya yang lain kini berjalan kembali ke bangunan asrama FMS. Yang tinggal hanya Joseph dan Kamarul di dalam gelap di tepi padang. "Aku tak mahu kau lupa ke padang ini pada petang lusa nanti. Kami akan memulakan latihan pertama kami bermula jam 4 petang." Kata Joseph lalu membiarkan kesunyian malam mematikan kata-katanya. Dia berlari-lari anak pergi mendapatkan kawan-kawannya yang lain. Kamarul memandang ke langit. Awan hitam masih berkepul-kepul lagi walaupun hujan renyai-renyai dah lama berhenti. Kemudian dia menoleh ke sisi bahagian hujung padang. Dia mendapati Chin Chuan sedang menunggunya di dalam gelap sambil membawa sehelai kain tuala. Dia terus berjalan mendapatkan Chin Chuan. Tubuhnya kesejukan. Dia tidak mahu lama-lama di luar bermandikan embun, takut-takut pula dia jatuh sakit nanti... Oleh Nizam Zakaria
|