|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-05-18 - 3:08 p.m. Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 4
Pada lewat pagi itu, Chin Chuan dapat melihat sebuah kereta hitam berhenti di hadapan asramanya. Kamarul cepat-cepat bergerak ke arah kereta hitam tersebut lalu meminta Yunus membuka bahagian but kereta. Sebuah beg pakaian diletakkan di situ. Sejurus selepas itu, Kamarul terus duduk di sebelah pemandunya. Chin Chuan dan Majid duduk di bahagian tempat duduk penumpang apabila disuruh oleh Kamarul. Chin Chuan dan Majid merasa seronok apabila dijemput oleh Kamarul untuk ke sambutan hari jadi adiknya yang diadakan di Katong. Sejak mereka berada di Singapura, mereka hanya berpeluang untuk pergi melawat ke beberapa tempat di kota Singapura. Banyak dari masa mereka dihabiskan di kawasan kampus mereka di Outram Road. Jadi, apabila diberi peluang untuk ke Katong, peluang ini terus diambil mereka tanpa perlu berfikir dua kali. Apabila kereta yang dipandu Yunus membelok ke arah Katong dari arah Lapangan Terbang Kallang, mereka terlihat sebuah papan iklan yang besar yang tertulis perkataan: "You can fill this space JOIN THE SINGAPORE VOLUNTEER CORPS" Mata mereka semua tertumpu pada papan iklan tersebut.
"Saya ingat saya nak masuk SVC," kata Yunus yang selalunya diam itu. "Jadi kau tak nak jadi drebar datuk aku lagi?" tanya Kamarul dengan memberi sepenuh tumpuannya kepada Yunus yang berkulit hitam manis itu. Dia tahu bahawa Yunus bukan calang-calang orang. Dia cerdik orangnya. Dia pernah bersekolah di sekolah Melayu. Dia mahu jadi cikgu, tetapi memandangkan tempat untuk meneruskan pelajarannya di maktab perguruan agak terhad, dia terpaksa mencari kerja lain. Dia akhirnya diambil bekerja sebagai pemandu Said Ali setelah tiga tahun dia menganggur. "Mahu... Tapi entahlah. Kalau dibenarkan Tok Said, mahu juga saya masuk SVC." Katanya mengulangi kemahuannya itu. "Kalau saya jadi masuk, saya akan ditempatkan ke Batalion Kedua SVC." "Kenapa pula Batalion Kedua?" tanya Kamarul ingin tahu. Matanya kini terus kepada Yunus. "Batalion ini dikhaskan untuk orang-orang tempatan... Orang Cina, Sikh, Tamil Melayu, Serani..." "Jadi batalion yang lain dikhaskan untuk bangsa-bangsa Eropah?" "Ya..." "Mahukah mereka mempertahankan tanah air kita ni, Yunus?" "Entahlah... Saya pun tak tahu." Kata-kata Yunus langsung terhenti di situ sahaja. Dia terus memandu tanpa mengeluarkan sebarang suara. Dia termenung jauh. Kamarul tidak tahu apa yang dimenungkannya pada ketika itu. Kamarul sedar bahawa lambat laun peperangan pasti akan meletus di daerah ini. Dia cukup sedar tentang hal ini, kerana sejak tahun lepas lagi perkhidmatan perubatan di Singapura telah menyediakan segala kelengkapan untuk menghadadapi keperluan Peperangan Pasifik. Dia sendiri dapat melihat di Hospital Besar Singapura, bilangan katil dan segala peralatan perubatan ditambah pihak hospital. Beberapa senior yang dikenalinya telah mendaftarkan diri untuk bertugas dengan Medical Auxiliary Service (MAS). Kereta yang dipandu Yunus kini bergerak semakin hampir ke arah Hotel Seaview. Pemandangan pantai yang indah dapat mereka lihat dengan jelas dari hotel tersebut. Ini menandakan bahawa mereka sudah semakin hampir ke destinasi mereka. Banyak cerita yang pernah didengar oleh Majid dan Chin Chuan tentang kawasan Tanjong Katong oleh beberapa orang rakan mereka yang pernah ke sini untuk berkelah dan bersuka-suka. Menurut mereka, di sini terdapat beberapa perkampungan nelayan, terutamanya di kawasan Siglap. Air laut di sini jernih. Tetapi pantainya tidak begitu sesuai untuk berenang. Di sini terdapat banyak ikan Yu. Walaupun begitu, ada juga terdapat beberapa kawasan pantai yang dikhaskan untuk bermandi manda. Di kawasan-kawasan yang dikhaskan ini akan disediakan pagar agar ikan Yu tidak tersesat ke kawasan cetek lalu membaham si perenang. "Kau berdua nak tahu kenapa tempat ini dipanggil Tanjong Katong?" ujar Kamarul menoleh memandang ke arah Majid dan Chin Chuan yang hanya mendiamkan diri mereka sejak tadi. Majid mengangguk cepat. Chin Chuan tidak menjawab. Dia terpesona melihat pohon-pohon nyiur yang tumbuh merata di tepi pantai yang langsung mengingatkannya kepada kampung halamannya di Pulau Pinang. "Katong ini nama sejenis penyu yang satu masa dahulu sering datang ke pantai Tanjong Katong ini untuk bertelur. Tetapi sekarang, penyu katong ini dah tak ada lagi." "Kenapa?" tanya Chin Chuan. "Entahlah... Sejak rumah banglo orang-orang kaya Cina Peranakan, Eropah dan Yahudi di bina di tepi pantai, penyu katong ini dah tak nak bertelur lagi di sini." Kamarul menjelaskan tanpa mahu menambah lagi. Dia terus membiarkan angin segar yang masuk ke dalam kereta menyapu wajahnya. Mata Chin Chuan kini memerhatikan rumah-rumah banglo yang dibina di tepi pantai. Rumah-rumah banglo ini mengingatkan Chin Chuan kepada rumah-rumah banglo di Gurney Drive, yang dikenali oleh orang-orang tempatan sebagai 'Millionaire's Row'. Kereta yang dipandu oleh Yunus diperlahankan lalu memasuki kawasan banglo Syed Ali Al-Bakhri. Beberapa buah kereta nampaknya telah memenuhi perkarangan banglo. Ada pula terpaksa diletakkan di tepi jalan. "Ini sambutan hari jadi adik kau ke... Durbar?" tanya Chin Chuan sebaik sahaja dia keluar dari perut kereta kepada Kamarul lantas, memandang ke arah beberapa orang drebar yang sedang berkumpul sambil berborak di bawah sebuah pohon ru berdekatan. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dia dapat mencium bau laut yang cukup segar. Dia dapati pasir pantai yang halus ada di mana-mana, walau di atas jalan bertar sekalipun. Dia tersenyum sendiri. "Sambutan hari jadinya lah..." jawab Kamarul perlahan. Sememangnya pada hari ini - 29 November 1941, Sabariah menyambut hari jadinya yang kelapan. Tetapi di dapatinya, yang ramai datang ke sambutan hari jadi adiknya itu kebanyakannya adalah orang dewasa. Kanak-kanak seumur dengan Sabariah boleh dikira dengan jari. "Kamarul!" namanya dipanggil dari arah belakang. Apabila dia menoleh dia mendapati Lyold lah yang telah memanggil namanya tadi. "Oh Lyold..." Sambut Kamarul terus dia berjabat tangan dengannya. Kemudian dia terus memperkenalkan Majid dan Chin Chuan kepadanya. "Ini adik aku Margaret." Lyold memperkenalkan adiknya itu kepada Kamarul dan rakan-rakannya. Mata Kamarul terpaku memandang ke arah Margaret. Jadi inilah dia anak gadis yang telah menyanyikan lagu merdu 'Di Tanjong Katong' yang telah didengarinya ketika dia baru tiba ke Singapura dahulu. Margaret sedang memakai baju kebaya ketat berwarna putih. Bagi seorang gadis yang masih berumur 13 tahun, dia sudah mempunyai perwatakan yang agak dewasa. Kulitnya putih bersih. Senyumannya menawan, tambah-tambah lagi apabila senyumannya itu dihiasi dengan lesung pipit. Mata Majid dan Chin Chuan terus tertumpu pada Margaret. Sementara Margaret pula melangkah beberapa tapak ke hadapan untuk menghampiri Kamarul. Dia bersalaman dengan Kamarul. Kemudian dia menoleh ke belakang. Seorang wanita Cina berpakaian serba hitam yang berusia di sekitar 40-an sedang berdiri di belakangnya dengan membawa dua buah kotak hadiah. Margaret mengambil sebuah bungkusan besar yang telah dibawa oleh amahnya yang bernama Khoo Siew Kim itu lalu diserahkan kepada Kamarul. "Ini dia hadiah yang abang suruh kami beli tu..." ujar Margaret dengan suara yang "Terima kasih." Ucap Kamarul pendek. Mata Kamarul terus kepada Margaret yang kini mengambil sebungkus lagi kotak hadiah dari tangan amahnya. Dia bercakap sesuatu kepada amahnya itu dengan perlahan, lalu amah Kim terus berjalan pulang ke banglo sebelah. "Kami masuk ke dalam dulu, ya?" ujar Lyold dengan penuh sopan. Kamarul mengangguk. Dia memandang ke hadapan. Dia dapat melihat Yunus sudah pun masuk ke dalam banglo datuknya mengikut jalan belakang sambil membawa beg pakaian yang dibawanya tadi. "Dia panggil kau abang!" getus Majid sambil menyikunya sebaik sahaja dia melihat Llyod dan Margaret naik ke banglo Syed Ali Al-Bakhri. "Dah tu kau nak suruh dia panggil apa Majid? Kakak?" tanya Kamarul kembali dengan mengetapkan giginya. Majid ketawa terkekeh-kekeh, diikuti oleh Chin Chuan dan kemudian Kamarul. Seterusnya Kamarul membawa Chin Chuan dan Majid masuk ke dalam rumah datuknya itu mengikut pintu belakang. Mereka berdua terus dibawanya masuk ke dalam bilik tamu. Mereka berehat buat seketika di dalam bilik sambil berbual-bual kosong sebelum pintu bilik diketuk. "Abang dah lama sampai?" tanya Sabariah dengan matanya bersinar-sinar keseronokan. "Baru sahaja sampai." Ujar Kamarul membiarkan adiknya itu mendakap tubuhnya. "Berapa lama abang dengan kawan-kawan abang nak tinggal di sini?" tanya Sabariah dengan matanya berpindah kepada Majid dan kemudian kepada Chin Chuan. "Alah... Sampai esok petang saja." Sambut Kamarul sambil mengusap-usap rambut Sabariah yang panjang itu. Sabariah didapatinya memakai gaun putih yang dihiasi dengan kain renda yang cantik. "Kenapa abang tak tinggal lama-lama?" "Abang belum cuti lagi... Lagipun peperiksaan abang tak berapa lama lagi." "Oh... Iyah dah cuti, tau bang!" "Abang tahu..." ujar Kamarul lalu membongkokkan dirinya untuk mengambil kotak hadiah Sabariah yang telah diletakkannya di tepi katil. "Hadiah ini untuk Iyah." Sabariah mencapai hadiah itu dari tangan Kamarul. "Iyah bukak ya bang!" "Tak boleh tunggu sehingga Iyah tiup lilin ke?" "Tak boleh!" "Kalau macam tu, bukaklah." Sabariah dengan rakus membuka balutan hadiah pemberian abang itu. Kamarul sendiri sebenarnya ingin mengetahui apa yang telah dibelikan oleh Margaret untuk adiknya itu. "Eh, patung Shirley Temple!" kuat si Sabariah menjerit apabila dia membuka kotak anak patungnya itu. "Mana abang tahu Iyah nak anak patung ni!" Kamarul menaikkan kedua belah bahunya. Sememangnya dia sendiri tak tahu tentang hal ini. "Abang nak tahu apa?" "Apa, Iyah?" "Margaret hadiahkan Iyah baju anak patung Shirley Temple. Mula-mula Iyah fikir nak pakaikan baju anak patung yang Margaret hadiahkan pada anak patung lama Iyah. Tapi sekarang dah ada patung Shirley Temple ni... Elok lah tu!" ucap Sabariah bersungguh-sungguh. Kamarul memerhatikan anak patung Shirley Temple yang sedang dipeluk erat oleh Sabariah. Dia dapat melihat lencana 'The World's Darling' dengan gambar Shirley Temple pada gaun anak patung tersebut. Tatkala itu barulah dia teringat bahawa Sabariah sememangnya minat menonton filem-filem Shirley Temple yang sering ditontonnya di pawagam Alhambra di Beach Road dengan datuknya. Sabariah sesungguhnya keseronokan. Dia memimpin abangnya itu untuk memintanya keluar menemui kawan-kawannya. Kamarul menurut sahaja. Chin Chuan dan Majid mengekori Kamarul dari belakang. Sabariah terus-menerus menunjukkan anak patung Shirley Temple yang sedang di dukungnya kepada kawan-kawannya dengan penuh bangga. Selepas Sabariah menunjukkan kepada Kamarul kek hari jadinya yang di letakkan di atas meja di ruang tamu, dia terus menghilang entah ke mana bersama kawan-kawannya. Bahagian ruang tamu yang luas yang telah dikosongkan itu nampaknya kini dipenuhi oleh mereka yang datang ke pesta hari jadi Sabariah. Ada yang juga pengunjung yang nampaknya sedang duduk bersantai di bahagian padang di belakang banglo. Pengunjung pesta hari jadi Sabariah terdiri dari pelbagai bangsa dan agama. Kamarul dapati sebuah kumpulan keroncong yang mana anggotanya berbangsa Cina Peranakan, Silver Star Minstels telah dijemput khas oleh datuknya untuk menghiburkan mereka yang datang. Lagu keroncong yang dimainkan mereka sungguh mengasyikkan.
"Dah lama kau sampai, Kamarul?" tanya Said Ali yang kelihatan bergaya dengan pakaian berkot berjenama Austin Reed yang telah didapatkannya sendiri di London. "Baru sahaja sampai, Tok." Jawab Kamarul dengan ringkas. Dia mencium tangan datuknya itu. Dia dapat mencium bau wangi rokok corot yang sedang dihisap oleh datuknya yang melekap di tangannya. "Kau tentu dah kenal dengan Lyold... Dia kata dia terserempak dengan kau di High Street minggu lepas," ujar Syed Ali memandang ke arah Llyod. Kamarul mengangguk sambil tersenyum. "Ini pula bapa Lyold, Encik Neo Say Hian." Kamarul menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Say Hian. Dia mendapati Loyld sememangnya mempunyai iras-iras wajah bapanya. Kemudian Syed Ali mengalihkan pandangannya ke arah seorang lelaki Melayu yang bertubuh tegap dengan wajah yang agak tampan yang sedang berdiri di sebelahnya. "Encik Yusof... Ini cucu saya Kamarul. Dia sedang mengambil kursus perubatan di King Edward." Yusof Ishak berjabat tangan dengan Kamarul. Kamarul mendapati genggaman Yusof agak keras dan padat. "Encik Yusof bersama beberapa orang kawan rapatnya telah mengasaskan akhbar Utusan Melayu pada bulan Mei dua tahun yang lepas." Lyold memberitahu Kamarul. Pengarah Urusan 'Utusan Melayu Press Ltd' itu hanya mampu tersenyum. Yusof tiba-tiba meminta dirinya apabila dia terlihat seorang rakan sekelasnya yang pernah menuntut di Raffles Institution dengannnya di pertengahan tahun 1920-an dahulu yang sudah lama tidak ditemuinya. Said Ali tersenyum sambil mengangguk. Kamarul berpaling ke arah rakan Yusof ketika mereka sedang bersalam mesra. Kamarul pernah melihat rakan Yusof yang telah dilihatnya berbual dengan Lyold di kedai buku Ensign di High Street pada minggu lepas - Lim Bo Seng. Beberapa detik kemudian, barulah dia berpaling kembali ke arah datuknya semula. "Seperti yang saya katakan tadi..." Lyold berhenti sebentar untuk mengeluarkan sebuah kotak rokok yang diperbuat daripada perak yang terkandung beberapa batang rokok Players. Dia menawarkan Kamarul sebatang rokok, tetapi Kamarul menolak dengan baik. "Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura perlu bersedia menentang serangan Jepun." "Tapi kita tak sepatutnya bimbang... Singapura ini telah dibina seperti sebuah kubu. Kubu yang terkuat di dunia!" sambut Said Ali menjawab kata-kata Lyold dengan penuh yakin. Dia sememangnya telah mengenali Lyold sejak kecil lagi, kerana bibik Neo (atau lebih dikenali dengan nama bibik Puteh oleh rakan-rakannya, kerana kulitnya yang putih bersih), ibu kepada Lyold telah berkawan dengan isterinya lama sebelum bibik Neo berkahwin dengan suaminya. "Tapi dapatkah Singapura dipertahankan British nanti jika Jepun datang menyerang?" tanya Kamarul bersungguh-sungguh kepada sesiapapun yang sudi menjawab soalannya itu. Seperti Lyold, dia merasa kurang yakin dengan kebolehan Kerajaan British mempertahankan Persekutuan Tanah Melayu, inikan pula Singapura. "Aku dengar kapal perang kebanggaan Pasukan Tentera Laut British, Prince of Wales dan Repulse akan tiba ke Singapura dalam masa dua tiga hari lagi... Jadi kita tak perlu bimbang. Jika Jepun cuba datang untuk menyerang, mereka dapat menangkis serangan mereka dari sini." Said Ali memberitahu sambil meraba-raba misainya yang tebal itu. Sememangnya sebagai seorang pedagang, hal keluar masuk kapal di perairan Singapura diketahuinya dengan terperinci. "Ya, sememangnya kita tahu kubu-kubu pertahanan di Singapura dilengkapi dengan meriam lima belas inci untuk mempertahankan Singapura jika serangan datang dari arah laut. Tapi bagaimana pula jika serangan datang dari arah darat?" Tanya Say Hian yang telah mendengar soalan yang sama dikemukakan oleh rakannya di dalam kelab Ee Hoe Hean pada minggu sebelumnya - kelab untuk jutawan Cina Singapura. "Sebaik-baiknya kita mengharapkan perang tak akan meletus di sini." Kata Said Ali dengan suaranya diperlahankan. "Yang lebih penting lagi, Turki tak akan terjebak di dalam peperangan ini di Eropah seperti mana yang berlaku pada Perang Dunia Pertama dahulu... Jika tidak, padah jadinya. Ada juga yang akan berkata perang di Eropah tu Perang Salib yang baru." "Aku tak akan lupakan peristiwa itu ketika ia berlaku," ujar Say Hian sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. "Apa tidaknya, ketika itu kami sedang menyambut Tahun Baru Cina. Kami takut hendak keluar ke mana-mana apabila kami mendengar berita askar Sepoy dari 5th Light Infantry yang berjumlah seramai 800 orang dari Berek Alexandra memberontak-" "Apa yang sebenarnya telah berlaku?" tanya Kamarul dengan penuh minat. "Ketika itu Perang Dunia Pertama baru sahaja meletus. Turki pula mengisytiharkan bahawa ia akan berperang dengan Britain dan Pihak Perikatan. Ramai yang mengatakan tanda-tanda datangnya hari kiamat sudah benar-benar jelas! Inilah dia lanjutan perang salib, kata mereka..." Said Ali membuka lembaran cerita dengan mengaturkan baris-baris bicaranya dengan cermat. "Apabila perkara ini berlaku, ramai umat Islam yang mahu berjihad menentang Britain, termasuk ahli-ahli tentera India Muslim yang berkhidmat untuk Empayar British yang berpangkalan di Singapura. Tetapi pemberontakan mereka hanya mampu bertahan selama 3 hari. 36 pemberontak akhirnya dihukum tembak di penjara Outram Road. Beribu-ibu orang telah datang untuk menyaksikan hukuman tembak ini dijalankan... Termasuk datuk sendiri." Kamarul terbayangkan apa yang telah disaksikan oleh datuknya pada waktu itu. Dia tidak pernah menyangka penjara Outram Road yang terletak agak dekat dengan kampus kolej perubatannya itu tersimpan begitu banyak kesan-kesan sejarah seperti ini. Perbualan di antara mereka berempat nampaknya berlanjutan selama sepuluh minit. Mereka terus berbual tentang kebarangkalian peperangan di Eropah yang akan merebak ke rantau ini. Perkara ini sesungguhnya membimbangkan Said Ali dan Say Hian. Mereka pernah mengalami kerugian ketika meletusnya Perang Dunia Pertama dan tatkala berlakunya kemurungan ekonomi pada tahun 1930-an dahulu. Mereka tidak mahu perkara yang sama akan menyebabkan keruntuhan kepada perniagaan yang telah mereka bina selama ini hasil titik peluh mereka sendiri. Itulah yang paling mereka takutkan sebenarnya... Said Ali memandang ke arah jam yang dikeluarkan dari kocek kotnya. Kemudian dia menjemput Say Hian dan Lyold supaya masuk ke ruang tamu banglonya. Majlis meniup lilin akan diadakan sebentar sahaja lagi, katanya. Mereka berdua mengangguk lalu terus masuk ke dalam rumah. Kamarul ingin melangkah masuk ke dalam, tetapi Said Ali telah terlebih dahulu menahannya dengan memegang lengannya. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Dia mendapati ramai pengunjung perlahan-lahan mula bergerak masuk ke dalam banglo apabila dijemput agar berbuat begitu oleh beberapa orang pembantu rumahnya. Kata Said Ali kepada kamarul: "Datuk ingin berbual dengan kamu sekejap..." "Tentang apa tok?" Said Ali menarik nafasnya dalam-dalam. Wajahnya kini berubah serius. Tidak lagi seperti tadi. Dia memegang bahu Kamarul lalu membawanya berjalan ke arah pantai, jauh dari hiruk-pikuk yang sedang berlaku di banglonya. "Baru seminggu yang lepas seorang lelaki Serani datang menemui datuk... Patrick Clarke namanya." Kamarul tidak faham apa yang hendak dinyatakan oleh datuknya pada ketika itu. Dia keliru. "Dia beritahu kepada datuk, adiknya bekerja sebagai seorang jururawat di Hospital Besar Singapura. Adiknya itu seusia dengan kau... Dia datang menemui datuk dengan marah-marah kerana katanya kau telah rosakkan adiknya!" Wajah Kamarul berubah pucat. Dia menelan air liurnya sendiri. Dia rasa seperti dia tidak sanggup memandang ke arah mata datuknya yang sedang tajam merenungnya pada ketika itu. Pada saat itu juga fikirannya terus melayang lantas memikirkan tentang seorang gadis yang bernama Belinda Clarke yang pernah dikenalinya. Belinda memang cantik orangnya, pandai bergaya dan mempunyai bentuk badan yang menggiurkan. "Si Patrick tu mahu sahaja memberitahu hal ini kepada Pengetua kau... Dr. GV Allen, supaya dia tahu apa yang telah berlaku. Tetapi memandangkan dia hormatkan kepada datuk, dia telah membatalkan niatnya itu dan memberitahu kepada datuk tentang hal ini terlebih dahulu sebelum dia melakukan tindakan selanjutnya... "Datuk telah menyelesaikan perkara ini dengannya dengan membayar ganti rugi... Dia berjanji tak akan menyebut lagi tentang perkara ini selepas ini. Dia sendiri mengakui perkara ini telah berlaku kerana kesilapan dua-dua pihak... "Tok... Saya minta maaf kepada segala apa yang telah berlaku..." Kamarul dibebani penyesalan. Wajahnya keruh. "Kau telah malukan datuk... Kau telah malukan mak bapak kau-" "Mak dan ayah saya sudah diberitahu tentang hal ini?" tanya Kamarul takut-takut. "Mereka tak perlu tahu..." Said Ali mencampakkan rokok curutnya ke pantai. Dia dapat melihat Kamarul berdiri di hadapannya sambil tertunduk. "Saya berjanji perkara macam ini tak akan berlaku lagi, tok..." Said Ali memeluk tubuhnya. Dia menarik nafasnya dalam-dalam sebelum dia berkata dengan nada yang tegas: "Kau cukup-cukup mengecewakan, Kamarul..." Kata-kata dari datuknya itu cukup tajam baginya. Dia dapat merasakan seperti hatinya dihiris-hiris. Dia lebih rela jika datuknya itu mengambil sebatang rotan tebal lalu membelasahnya cukup-cukup dari mengeluarkan kalimah-kalimah yang melukakan hatinya seperti tadi. Said Ali melangkah meninggalkan Kamarul lalu berjalan kembali ke banglonya. Dia pergi menemui tetamu-tetamunya seolah tak ada apa pun yang telah berlaku. Sabariah pula sibuk mencari kelibat abangnya. "Abang mana, tok?" tanya Sabariah sebaik sahaja dia melihat datuknya itu muncul di ruang tamu. "Dia sedang berehat di luar... Tapi biarlah dia di situ. Dia perlu berehat." Ujar Said Ali dengan nada memujuk kepada cucu kesayangannya itu. Dia kemudian meminta isterinya, Syarifah Zubaidah supaya menyalakan lilin-lilin kecil di atas kekek Sabariah. Syarifah Zubaidah menurut tanpa banyak soal, walaupun dia sendiri sedang mencari-cari kelibat cucunya yang satu lagi itu... Oleh Nizam Zakaria
|