|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-05-20 - 8:25 a.m. Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 5
Kawan-kawan yang paling rapat dengan Kamarul seperti Majid dan Chin Chuan dapat melihat perubahan ketara di dalam diri Kamarul sejak dia pulang dari pesta hari jadi adiknya. Dia lebih banyak diam dari bercakap. Dia lebih suka menyendiri dari beramai-ramai dengan kawan-kawannya. Banyak dari masanya dihabiskan di dalam biliknya. Dua tiga malam berturut-turut dia tidak makan malam. Sudah lebih seminggu dia berkeadaan begini. Sebaik sahaja Kamarul pulang ke asramanya pada Ahad yang lepas, dia terus mencari Belinda di asrama jururawat Hospital Besar Singapura. Kamarul telah diberitahu oleh sahabat Belinda yang paling rapat bahawa Belinda sudah berhenti dari menjadi jururawat sejak minggu lepas. Dia dikatakan telah mengikut keluarganya berpindah ke Melaka. Alamatnya di Melaka tidak diketahui oleh rakan-rakannya itu... Fikiran Kamarul kusut sebenarnya. Dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya. Dia rasa terlalu malu kepada datuknya. Dia rasa dia tidak sanggup lagi untuk bersemuka dengan datuknya lagi. Dia terasa dirinya begitu hina di pandangan mata datuknya... II Pada hari Ahad 7 Disember 1941, pada pukul 10.20 pagi, tiga buah kapal perang Jepun berlabuh satu batu setengah dari Kuala Pak Amat dan pantai Sabak di Kota Bharu, Kelantan. Kapal-kapal ini membawa 5,300 askar Jepun. Serangan ke atas Kota Bharu bermula satu jam setengah sebelum Pearl Harbour di Hawaii diserang. Jeneral Tomoyuki Yamashita, Panglima Kor 25 Tentera Darat yang juga dikenali sebagai 'Harimau Malaya' dipertanggungjawabkan untuk menyerang Malaya. Pada hari esoknya pula, pada hari Isnin 8 Disember 1941, pada pukul 4 pagi, pihak tentera Jepun memulakan serangan bom ke atas Singapura... III "Bangun Kamarul!" Chin Chuan menepuk pipinya dengan kuat. Dia membuka matanya. Dia mendapati keadaan masih gelap. Bunyi siren yang sedang berkumandang memecahkan kesunyian subuh. "Aku rasa ini bukan latihan." Ujar Chin Chuan berbisik kepadanya. Dia memandang ke luar tingkap. Dia dapati keadaan gelap gelita. Lampu jalan dan lampu bilik dimatikan. "Orang putih mana yang akan bangun pagi-pagi buta semata-mata nak buat latihan perang?" kata Chin Chuan bersungguh-sungguh. Kamarul mencapai kemejanya. Lalu dengan hanya berseluar pendek, dia keluar dari biliknya lalu terus ke tingkat bawah. Di luar asrama FMS, dia mendapati terdapat beberapa orang pelajar yang sudah berada di situ sambil memandang ke arah langit. Seperti pelajar-pelajar lain, dia mendongak. Lampu 'search-light' telah pun dihidupkan untuk mencari sesuatu di langit gelap. Suasana pada subuh itu tenang buat seketika kecuali bunyi siren yang membingitkan. Kemudian, tanpa amaran, beberapa das tembakan meriam antikapal terbang dilepaskan ke udara. Kamarul dapat melihat das-das tembakan dilepaskan seperti mercun. Bunyi ledakan tembakan meriam cukup-cukup memekakkan. Menakutkan. Walau bagaimanapun, dia tidak dapat melihat sebarang kapal terbang yang sedang terbang pada ketika itu, hatta kapal terbang peninjau British, Brewster Buffalo sekalipun... Beberapa saat kemudian, dia dapat mendengar bunyi letupan dari arah pelabuhan Singapura, diikuti oleh beberapa lagi letupan yang datangnya dari daerah lapangan terbang Kallang. Kamarul tiba-tiba terfikir tentang keselamatan Sabariah, juga datuk dan neneknya di Katong. Dia mula merasa resah tidak sudah. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia pergi ke Katong pada saat itu juga! IV Pada pagi itu, Kamarul terus ke Katong dengan menaiki teksi. Di dalam perjalanan ke Katong, dia dapat melihat lapangan terbang Kallang masih berada di dalam keadaan tidak terusik. Si pemandu teksi memberitahunya bahawa tentera Jepun tidak mampu mengenai sasaran dengan betul. Beberapa biji bom jatuh ke dalam laut. Si pemandu teksi cukup yakin bahawa pihak tentera British akan dapat menumpas serangan tentera Jepun dengan senang dan pantas. "Bagaimana pula dengan sasaran Jepun yang lain?" Kamarul memberanikan dirinya untuk bertanya. "Bom Jepun berjaya merosakkan beberapa buah rumah kedai di kawasan bandar... Beberapa buah rumah di Kallang ni pun ada yang musnah. Ada juga orang yang terkorban..." jawab si pemandu teksi dengan suara yang lebih perlahan. Kata-katanya terhenti di situ sahaja. Setibanya di banglo datuknya, Kamarul dapati tidak terdapat sebarang kesan pengeboman di situ atau di persekitaran kawasan perumahannya. Dia menjenguk ke dalam banglo Lyold. Dia mendapati Lyold sedang melakukan membincangkan sesuatu dengan tukang kebunnya. Wajahnya nampak serius. Sebaik sahaja Kamarul masuk ke dalam rumah, dia dapati neneknya sedang sibuk memasukkan barang-barang kemasnya ke dalam sebuah kotak kecil. Sabariah pula sedang duduk di sebelah neneknya sambil memeluk anak patung Shirley Templenya dengan erat. Wajah Sabariah yang muram itu tiba-tiba sahaja berubah ceria apabila dia melihat kelibat abangnya masuk ke dalam bilik. Dia cepat-cepat pergi memeluk tubuh abangnya. "Mana datuk nek?" itulah soalan pertama yang terpacul dari mulut Kamarul sejurus selepas dia mencium tangan neneknya itu. "Dia baru sahaja keluar untuk cari kau tadi..." beritahu Syarifah Zubaidah sambil mengusap-usap rambut cucunya. Dia cukup bersyukur cucunya itu masih berada di dalam keadaan selamat. Dahi Kamarul terkerut dibuatnya mendengar penjelasan neneknya itu. "Dia risau benar tentang keselamatan kau. Tidak senang duduk dibuatnya sejak subuh tadi bila Jepun datang menyerang-" "Nenek nak ke mana?" tanya Kamarul apabila matanya berpindah kepada sebuah beg besar yang diletakkan di tepi katil neneknya. "Penduduk-penduduk di Katong sebenarnya telah dinasihatkan British sejak dua tiga hari yang lepas supaya berpindah, kerana mereka rasa Jepun akan menyerang dari arah Selat Singapura..." "Jadi nenek hendak ke mana ni?" "Kami bercadang untuk ke rumah Pak Usu kamu di Muar buat sementara waktu ini." "Jadi siapa yang akan jaga rumah ni nanti?" "Wak Karman tukang kebun kan ada..." "Oh..." "Datuk pergi ke asrama kamu tadi untuk menjemput kamu ke sini supaya kita semua dapat berpindah ke Muar secepat mungkin." Syarifah Zubaidah memberitahu. Dia kembali memasukkan satu persatu kalung emasnya ke dalam kotak barang kemasnya itu. "Tak boleh nek... Esok lusa saya terpaksa menghadapi peperiksaan akhir untuk penggal ini-" "Tak kanlah masa-masa darurat macam ini pun kau kena ambil periksa!" "Entahlah nek... Saya tak boleh ikut nenek dan datuk ke Muar. Saya perlu terus tinggal di sini. Lagipun saya bercadang untuk jadi sukarelawan MAS." "Apa?" "Medical Auxiliary Service... Pagi tadi perwakilan pelajar asrama saya memberitahu mereka memerlukan lebih ramai pelajar perubatan untuk menjadi sukarelawan di hospital..." "Nak buat apa kau susah-susahkan diri kau, Kamarul?" tanya Syarifah Zubaidah dengan suara perlahan. "Nek... Saya nak jadi doktor. Saya nak jadi doktor sebab saya nak tolong orang sakit. Kalau saya tak tolong orang sekarang, bila lagi, nek?" jawab Kamarul penuh kesungguhan dan tanggungjawab. Setelah mendengarkan penjelasan Kamarul, Syarifah Zubaidah pasrah. Mungkin suaminya dapat membuatkan Kamarul mendengar nasihatnya itu nanti. Dia sendiri tidak mungkin akan membenarkan cucunya itu terus menetap di Singapura dalam keadaan yang begitu genting seperti ini. "Sabariah... Pergi kemaskan baju-baju kau. Masukkan ke dalam beg yang nenek sediakan tu." Perintah Syarifah Zubaidah dengan lembut. Sabariah mencebik. Kamarul keluar dari biliknya sambil memegang tangan Sabariah lalu membawanya ke dalam bilik tidurnya. Di situ dia mengambil beg yang telah dinyatakan oleh neneknya lalu meletakkannya di atas katil. Kemudian dia membuka almari Sabariah. Dia memilih beberapa helai baju lalu dilipatnya elok-elok. Dia memasukkan baju-baju tersebut ke dalam beg. "Di Muar nanti abang tak nak Sabariah nakal-nakal. Abang tak nak Sabariah bergaduh dengan si Salim dan si Latif tu." "Alah bang, diorang tu jahat lah!" Sabariah merungut ketika dia mengingatkan kepada sepupu-sepupunya yang suka mengusiknya itu. Kamarul hanya mampu tersenyum. Kemudian dia menoleh ke arah luar tingkap. Dia memandang ke rumah sebelah. Dia mendapati Lloyd sedang berada di dalam bilik utama. Dia sedang menghidupkan suis radionya. Lyold memusingkan kepalanya lalu dia dapat melihat Kamarul sedang memerhatikannya dari bilik Sabariah. Lyold tersenyum lalu berteriak sambil membuat isyarat tangan meminta Kamarul supaya datang menemuinya. Kamarul sekadar mengangguk lalu membuat isyarat tangan bahawa dia akan datang melawatnya sebentar lagi setelah dia menyelesaikan kerja-kerjanya di rumah datuknya. "Dengar nasihat abang ya, Sabariah!" pinta Kamarul sambil memegang kedua belah tangan adiknya itu. Sabariah mengangguk kemudian tak semena-mena dia menangis. "Temankan Iyah lah bang! Ikut Iyah ke Muar!" "Abang tak boleh ikut... Kan abang dah cakap, abang kena ambil kertas periksa." Pujuk Kamarul. Akhirnya sedu-sedan Sabariah reda. Kamarul mula merasakan dia tidak boleh lama-lama di sini. Dia takut adiknya Sabariah akan menangis lagi jika dia ada bersamanya. Seterusnya Kamarul menemui neneknya sekali lagi. Dia memberitahu neneknya bahawa dia mahu pergi. Ada banyak perkara yang perlu diselesaikannya. Lagipun dia perlu mengkaji pelajarannya untuk menghadapi peperiksaannya yang akan diadakan sepanjang minggu ini. "Kau tak mahu tunggu sehingga datuk kau balik ke sini?" tanya Syarifah Zubaidah dengan wajah risau. "Kau tak nak makan sarapan dulu di sini dulu?" "Tak apa lah nek... Kirimkan salam saya kepada datuk. Beritahu kepada datuk saya akan jaga diri saya baik-baik di sini." Kamarul mencium tangan neneknya. Kemudian dia memegang kepala Sabariah yang sedang berdiri di sebelahnya pada waktu itu. Dia mengusap-usap rambut Sabariah sebelum dia mencium dahi adiknya itu. Kamarul menarik nafasnya dalam-dalam. Dengan hati yang berat dia melangkah keluar. Neneknya menghantarnya sehingga ke muka pintu sebelum dia kembali masuk ke dalam untuk mendapatkan Sabariah yang sedang menangis teresak-esak. Kamarul berjalan dari kawasan rumah datuknya lalu ke rumah sebelah. Dia memanggil nama Lyold dari luar. Lloyd cepat-cepat turun dari tingkat dua untuk mendapatkannya. "Kau tak kerja hari ini?" tanya Kamarul kepada Lyold sejurus mereka bersemuka. "Tak... Aku dah mengambil keputusan untuk jadi ahli Batalion Anti-Jepun Cina Singapura." "Kau biar betul!" “Aku serius ni. Kau ingat aku main-main?” Lyold bertanya kembali sambil tersengih. "Bapak kau tak cakap apa-apa?" "Dia tak tahu lagi... Tapi kalau dia tahu, mengamuk dia nanti." "Kenapa?" "Aku anaknya yang paling tua... Dia tak mungkin mahu aku lakukan ini semua." Ujar Lyold sambil menggeliat. "Lagipun aku tak rasa diri aku akan selamat jika aku hanya duduk tak buat apa-apa. Dari aku duduk bersembunyi di dalam rumah, lebih baik aku pergi melawan Jepun... "Aku tak mahu apa yang telah mereka lakukan di Nanking akan mereka lalukan di sini. Ramai orang Cina telah dibunuh mereka dengan kejam di Nanking." Kata Lyold dalam nada geram dan berdendam. Di dalam peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Nanking yang telah berlaku pada tahun 1937, lebih 300,000 tentera China dan orang awam yang dibunuh dan 20,000 wanita telah dirogol tentera Jepun. Lyold kemudian mengeluarkan puntung rokoknya. Dia menyerahkan sebatang rokok kepada Kamarul. Pada mulanya Kamarul mahu menolak, tetapi dia membatalkan niatnya itu. Kamarul terbatuk-batuk apabila dia cuba menghisap rokok pemberian Lyold. Lyold ketawa kecil. "Tadi aku nampak kau dengar radio... Jadi apa berita terbaru?" tanya Kamarul. Wajahnya kemerahan akibat terbatuk-batuk tadi. "Kapal tentera laut British, Prince of Wales dan Repulse telah bertotal dari pangkalan tentera British di Sembawang mengarah ke utara untuk cuba memintas tentera laut Jepun dari cuba mendaratkan askar-askarnya di kawasan utara Malaya..." Beritahu Lyold mengengai dua buah kapal perang kebanggaan tentera laut British yang juga dikenali dengan nama Force Z yang telah mendarat di Singapura sejak 2 Disember 1941 itu. "Kau tahu bukan, Jepun telah pun mendarat di Kota Baru?" "Tidak... Aku tak tahu." Jawab Kamarul dengan jujur. "Mereka akan tiba ke Singapura tak lama lagi... Percayalah!" kata Lyold menghembuskan rokoknya ke tepi. "Jadi kau nak ke mana selepas ini?" "Aku mahu pulang ke asrama aku. Aku perlu melaporkan diri aku di hospital besar tengah hari ini." "Kau jadi sukarelawan MAS?" Lyold cuba meneka. "Ya!" Jawab Kamarul pantas. "Baguslah macam tu!" katanya dengan suara serak. Kahaknya tersekat di dalam tekaknya. Kemudian dia membuang kahaknya dengan meludah ke tepi. "Biar aku hantar kau ke sana... Lagipun aku sendiri akan ke arah sana..." "Ke mana?" "Ke Bukit Pasoh Road... Dekat sahaja dengan Outram Road." Beritahu Lyold, dia mencampakkan puntung rokok yang tidak habis dihisapnya itu atas rumput yang menghijau yang dijaga rapi di hadapan banglo. "Aku ada hal yang perlu aku selesaikan dengan bapak aku di Kelab Ee Hoe Hean. Aku perlu beritahu kepadanya tentang niatku mahu berhenti kerja buat sementara waktu ini. " Kamarul mengangguk setuju. Lyold meneriakkan sesuatu kepada amahnya. Beberapa detik kemudian dia terus masuk ke dalam sebuah kereta Rover yang diletakkan di hadapan banglo. Kamarul masuk ke dalam kereta. Apabila dia menoleh ke rumah datuknya, dia mendapati datuknya masih belum pulang lagi. Dia mengeluh lesu. Oleh Nizam Zakaria
|