zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-10-10 - 4:17 p.m.

Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 1
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.

Prasasti si kucing robot yang kuat melatah

Si Prasasti kucing robot dari zaman masa depan ini muncul di dalam hidup ku secara tiba-tiba. Sebenarnya aku pun tak tahu bila. Dia tiba-tiba sahaja muncul dan aku rasa macam ia adalah sebahagian dari hidup ku. Dia beritahu aku dia kembar Doraemon (seperti Doraemon, dia lahir pada 3 September, 2112). Tapi aku tak tahu jika ini betul aku dia sengaja nak temberang aku. Prasasti si robot kucing betina kelabu ni memang kaki temberang. Tapi mungkin betul dia ni adik kepada Doraemon sebab macam Doraemon, dia ada poket empat dimensi yang membolehkan dia keluarkan macam-macam mesin ajaib yang tak masuk akal.

Aku pernah tanya kepada Prasasti kenapa dia nak sibuk-sibuk muncul di dalam hidup ku. Dia kata itu adalah kerjanya dan kerjanya adalah untuk memastikan agar dia dapat menjaga ku kerana aku dapat membantunya untuk membetulkan apa sahaja yang tak betul di dalam kehidupan orang lain. Aku telah dipilih kerana menurutnya, aku ada hati yang suci dan hati seperti ku susah untuk dicari. Aku tak tahu apa yang Prasasti lihat yang ada di dalam diri ku, sebab tak pernah terlintas dalam fikiran aku yang aku ada hati yang suci. Masalahnya, aku tak tahu jika aku mampu melakukan tugas berat yang telah dipertanggungjawabkan kepada ku kerana hidup aku sendiri tak betul. Aku rasa Prasasti sendiri tak tahu apa yang sepatutnya dia lakukan sebab aku selalu lihat dia hanya makan tidur makan tidur sepanjang masa. Aku rasa dia dah tersalah pilih orang!

Prasasti tak banyak tolong aku. Cuba kau bayangkan, Prasasti mampu buat aku kaya raya dengan segala mesin ajaib yang dia ada tetapi dia tak pernah nak bagi aku peluang untuk meraih keuntungan. Selalunya mesinnya lebih mendatangkan kesusahan di dalam hidup ku dari kebaikan. Beberapa tahun yang lepas, dia memberi ku untuk mencuba sebuah topi yang boleh ku pakai untuk membolehkan aku membaca fikiran orang lain, tapi aku terus berhenti untuk menggunakannya apabila aku dapat tahu bapak aku ada simpan perempuan lain dan dia dah berhenti menyayangi mak aku. Apabila Prasasti beri aku guna cermin mata khas untuk membolehkan aku melihat menembusi tembok, aku dapat tahu jiran sebelah rumah ku, Uncle Lim tu sebenarnya tauke VCD lucah.

Namaku Masdor. Bapak aku kata dia menamakan aku sempena nama Kassim Masdor pengubah lagu pada zaman P. Ramlee dulu. Bapak aku memang minat dengan filem-filem P. Ramlee. Dia bekerja sebagai seorang jaga di sebuah bangunan pejabat di Jalan Sultan Ismail. Dia bekerja malam. Mak aku pula bekerja sebagai pembantu perubatan di Hospital Besar Kuala Lumpur. Aku seorang sahaja anak mereka. Kami tinggal di Flat Melati di Jalan Loke Yew sejak aku kecil. Flat ku kecil. Dunia ku lagi kecil.

Usia aku sekarang 20 tahun. Aku kerja di 7Eleven di Bintang Walk. Dah dekat setahun aku kerja di sini. Sebelum ini aku kerja jadi budak despatch, tapi aku kena buang bila awek setiausaha muda boss aku suka kat aku. Dengan mesin membaca minda yang dipinjamkan Prasasti, aku dapat tahu bos aku yang ada bini dua dan anak tujuh orang tu rupa-rupanya tergila-gilakan setiausaha muda dia tu dan mahu jadikan dia isteri ketiganya. Tak sampai sebulan selepas aku kena buang, mereka berkahwin. Adeh, melepas aku!!!

Hobi aku kumpul piring hitam lama yang sukar dicari sekarang. Bilik aku penuh dengan piring hitam lama. Sebelum aku tidur mesti aku akan mainkan lagu dari salah sebuah koleksi yang aku ada, kalau tak aku tak boleh tidur. Semalam bila aku mainkan EP Allahyarham A Ramlee dan Jeffry Din, mak ketuk pintu. Dia minta aku perlahan lagu Pop Yeh Yeh yang aku mainkan tu sebab dia takut Uncle Lim tauke jual VCD lucah tu akan komplen lagi. Anak dia yang masih sekolah lagi tu nak tidur.

Mak kata aku suka berangan-angan. Tapi biarlah apa mak nak kata. Dia kata jika aku tak habiskan masa ku dengan termenung, lalu belajar rajin-rajin, aku dah masuk universiti macam anak Cik Senah kawan baiknya tu. Dia kata aku cerdik, tapi aku malas. Memang aku malas nak baca buku. Aku malas nak belajar. Prasasti pun kata aku ni pemalas.

Aku pernah tanya dengan Prasasti jika dia ada mesin untuk jadikan aku rajin. Dia kata dia ada, tapi dia cakap nanti aku rajin buat benda lain seperti rajin kacau awek-awek cun atau rajin pergi racing moto dengan kawan-kawan mat rempit aku. KAU MEMANG TAK GUNALAH! BUKANNYA NAK TOLONG KAWAN! Aku tengking si Prasasti ni bila dia tak nak tolong aku menang satu race ni dengan kawan-kawan aku. Tak guna aku habiskan duit beli sedozen kuih pau kacang untuknya. Lepas tu aku lagik sikit nak tempeleng muka dia bila dia kata PIRAH MABUK, NAK MAIN RASUAH KONON! Bila aku marah-marah dan nak tempeleng si Prasasti ni, dia terus melatah. OPOCOT MAK KAU MELETUP!

Lepas tu dia mencarut-carut benda-benda yang aku sendiri malu nak sebut. Kucing robot lahanat ni memang kuat mencarut.

Ya, memang benar Prasasti kuat melatah. Cuit sikit pun boleh melatah. Bila dia melatah, hari tu, dia keluarkan sebuah mesin dari kocek dia lalu ditukarnya aku menjadi seekor kucing. Sehari suntuk aku jadi kucing. Tapi aku suka jadi kucing. Menonong aku pergi rumah budak-budak salesgirls yang tinggal di kat tingkat 4 tu. Diorang usap aku, belai aku atas paha diorang sampai aku stim sendiri. Sekarang aku tahu kenapa kucing suka kena belai. Aku dah banyak kali pujuk dia untuk jadikan aku seekor kucing parsi yang comel, tapi Prasasti tak bagi. Kemut lah dia tu!

Aku kerja shif malam. Aku suka kerja syif malam sebab tak banyak kerja yang perlu aku lakukan malam-malam di hadapan kaunter dibandingkan dengan kerja di waktu siang. Pada malam hari, macam-macam manusia yang aku temui - kakidiskokakibotolkakijantankakibetinakakilepaklesbian
homoheterometroseksualmatrempitbohjanbohsia
pelacurmoneyboymakdatintaitaiposersyuppyawekcunawekgedikawekbertudung...

Kalau Nobita ada Shizuka, aku pula ada Zila. Kawan aku yang paling rapat dengan aku sekarang ini nama penuhnya Nur Zila binti Effendi. Dia setahun lebih muda dari aku. Lesbian. Berasal dari Kota Baharu, Kelantan dan dah dua tahun berhijrah ke Kuala Lumpur. Aku tak pernah jumpa manusia yang baik macam dia. Di dalam Kuala Lumpur yang segala-galanya palsu, dia sahaja yang aku lihat antara contoh manusia yang jujur. Dia tak pernah berbohong kepada ku. Kalau dia tak sukakan sesuatu, dia akan beritahu. Dia tak akan selindung-selindung. Kalau dia kemaruk marahkan aku, dia akan belasah aku cukup-cukup. Dia pernah tumbuk muka aku bila dia dapat tahu aku ikut kawan aku sedut syabu. Mata aku lebam. Dia marah betul dengan aku. Dia ugut aku dia akan bunuh aku kalau dia dapat tahu aku guna syabu lagi. Dia akan panggil kawan-kawan lesbian butch dia tu lepas tu belasah aku sampai mati belakang Lot10. Aku boleh bayangkan aku mati terkangkang tepi longkang kena belasah pengkid. Dia kata kalau aku nak mampus, biar dia dan kawan-kawan dia sahaja yang bunuh aku.

Pagi ini aku ada terima SMS dari Miss Lee pondan kertu yang menjaga kedai antik kepunyaannya di Central Market. Dia kata dia ada sekotak rekod-rekod lama yang sampai ke kedainya semalam. Miss Lee hidup sezaman dengan penyanyi Teresa Teng yang menjadi idolanya. Jadi, hari-hari dia akan pakai baju ikut style Teresa Teng dalam zaman 70-an. Dia namakan kedai antiknya, Teresa Forever.

Pagi tadi bila aku balik ke rumah, aku belikan Prasasti dua biji pau kacang dari kedai kopi Cina di bawah flat aku yang menjadi kegemarannya. Dia makan dengan rakus.

Mrasalah* you all dapatkan koleksi rekod baru kan dari Miss Lee, kan? Kata Prasasti kepada ku apabila aku mainkan piring hitam Teresa Teng (dengan penyanyi Malaysia Lee Yee pada bahagian A piring hitam yang sukar dicari ini) . Prasasti tahu aku dah sebulan tak beli piring hitam baru sebab aku tak ada duit.

Tengoklah nanti kalau dia ada koleksi yang gerek. Jawab ku. Suara Teresa Teng memenuhi setiap ruang di dalam bilik ku.

Prasasti mengunyah pau kacangnya lalu dia mendekati ku. Dia pandang aku dalam-dalam kemudian dia kata aku perlu mendapatkan sekeping piring hitam khas oleh Sanisah Huri dari kedai Teresa Forever. Dia kata piring hitam yang perlu aku dapatkan ini akan menentukan hidup dan mati aku nanti.

Hah?

Nanti mrasalah you all akhirnya tahu jawapan kepada rahsia kehidupan dan segala-galanya.

Jawapannya: nombor 42. Kata ku dengan muka seposen. Aku dah tengok cerita Hitchhiker's Guide to the Galaxy dengan Zila walaupun aku tak pernah membaca bukunya.

Prasasti bercekak pinggang. Dia pantang jika aku main-main setiap kali dia serius kepada ku macam ni.

Okaylah... Nanti aku cari. Aku akhirnya mengalah. Malam itu sebelum aku masuk kerja, aku terus ke Central Market. Aku dapati kedai antik Teresa Forever tak ada pengunjung. Miss Lee aku lihat sedang duduk mendengar radio sambil berkipas. Dia meletakkan bunga plastik di telinganya macam dalam gambar zaman kegemilangan Terese Teng dulu.

Hensem boy! I ingatkan you tak mahu datang jumpa I lagi! Miss Lee menutup lipatan kipasnya lalu memukul manja bahu ku dengan kipasnya itu. Dia kemudian mengeluarkan kotak rekod-rekod lama dari bawah kaunter sempitnya.

Ni jer ke?

Sekarang banyak susah nak cari stok baru lah, Masdor!

Itu Barry Manilow punya rekod, Copacabana ada tak?

Mana ada. Susah nak cari lah. You terai eBay lah. Mana tahu boleh dapat.

I tak ada credit card lah, Miss Lee! Aku memeriksa koleksi piring hitam lamanya. Aku keluarkan beberapa keping piring hitam yang hendak aku beli. Sekeping piring hitam Anita Sarawak (sebelum dia blondkan rambutnya). Sekeping dari Anneke Gronloh (juga sebelum dia blondkan rambutnya) yang dah lama aku cari. Dan sekeping piring hitam oleh Sanisah Huri, seperti mana yang dinyatakan Prasasti kepada ku.

Koleksi EP dari Sanisah Huri ini terkandung lagu-lagu yang dicipta oleh Kassim Masdor dan Yusnor Ef.

Berapa harganya semua sekali, Miss Lee?

Tiga saja ke?

Tiga jer ni. Lain kali kalau I ada duit lebih I beli lagi lah. Kataku sambil mengeluarkan dompet wang ku. Miss Lee mengeluarkan album Hasnah Haron lalu menyerahkan album itu kepada ku sebagai hadiah. Kemudian dia minta 50 ringgit dari ku. Aku tak sampai hati nak mintak tawar. Aku masukkan piring hitam ini ke dalam beg ku. Apabila aku melangkah keluar dari kedainya, dia melambaikan tangannya lalu menghadiahkan 'flying kiss' kepada ku. Aku balas 'flying kiss'nya kembali.

Malam itu aku kerja macam biasa. Aku lihat Zila bawak bekal. Awek dia Suzi masakkan nasi goreng. Dia kongsi nasi goreng tu dengan aku. Kami makan di tepi jalan Bukit Bintang sambil memandang kenderaan yang lalu lalang. Seorang lelaki gila (dengan rambut kusut ala rasta dan badannya kotor kerana dah lama tak mandi. Aku selalu nampak dia jalan mundar mandir kat Jalan Bukit Bintang ni), berdiri di hadapan aku lalu berkata: Menurut Jalaluddin Rumi, hati memiliki kemampuan tujuh puluh kali dalam melihat kebenaran dibandingkan dengan deria penglihatan kita. Dia tersengih-sengih (macam orang gila), lalu meninggalkan aku begitu sahaja. Dia akan buat begini setiap kali aku menemuinya di sini. Aku masih tak kenal siapa namanya. Aku masih tak tahu siapakah dia sebenarnya sebelum dia jadi gila.

Pagi itu seperti biasa aku belikan Prasasti pau kacang kegemarannya. Aku duduk di atas katil lalu keluarkan piring hitam yang aku beli semalam. Prasasti mahu aku mainkan lagu Sanisah Huri. Jadi aku terus mengeluarkan piring hitam dari dalam sampulnya. Sekeping gambar yang terselit di dalam piring hitam terkeluar lalu jatuh di atas lantai. Aku ambil gambar tersebut. Gambar ini aku rasa telah diambil pada tahun 70-an sebab warnanya pudar macam kebanyakkan gambar yang diambil pada masa itu. Di dalam gambar itu aku nampak ada papan tanda tulisan Welcome to Carnaby Street yang diletakkan di antara dua buah bangunan. Di bawah papan tanda ini pula kelihatan seorang gadis Melayu dengan wajah yang ayu. Aku terus jatuh cinta kepada gadis yang aku lihat di dalam gambar ini.

Salam sayang untuk abang Mokhtar, dari Haryati. London 1979.

Demikianlah tulisan yang tertulis di belakang gambar ini. Oh, cinta mati ku ini bernama Haryati rupa-rupanya!

Aku memainkan lagu Sanisah Huri yang bertajuk "Bersabarlah Sayang" lalu meletakkan gambar itu ke dada ku.

Lagu Hari Raya lah pulekkkkk!!! Kata Prasasti dengan sinis. Pedulik apa dia nak kata apa. Sekarang aku dah jumpa dengan wajah yang boleh aku sayangi seumur hidup ku!

*mrasalah = bolehlah

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!