|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-10-18 - 3:47 p.m. Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 10
Uncle Chandran dan anjingnya yang tak bernama Jeles aku kau dapat ke Kuantan. Kata Zila pada tepat pukul 6 pagi itu. Pada masa-masa seperti itu jarang ada pelanggan yang masuk ke dalam kedai. Jadi kami akan menghabiskan masa kami dengan mengira stok dan membersihkan kedai. Tetapi memandangkan ada seorang rakan sekerja kami bernama Halim yang memang rajin orangnya, kami suruh dia sahaja melakukan kerja-kerja ini untuk kami. Alah sekejap jer beb. Bukannya lama. Kata ku selamba sambil menongkat dagu di atas kaunter. Tapi dapat jugak kau cuti-cuti Malaysia dengan awek kau, kan? Alah, bukan boleh buat apa pun, aunty dia ada. Ye lah tu. Betullah! Aku segan dengan aunty dia. Oh, kau bawak dia masuk dalam bilik stor hari tu tak segan? Alah bukannya aku buat apa pun dalam tu. Sudah! Kalau ada video kamera dalam bilik stor tu, aku boleh jadi kaya jaja rakaman video korang kat apek VCD, tau! Alah ringan-ringan jer. Macam tak ada tempat lain, kan? Zila menjeling. Aku tersengih. Tapi hari tu, memang aku dengan Sanisah masuk ke dalam bilik stor yang kecil dalam kedai ni. Aku tak buat apa-apa dengannya. Aku nampak dia macam nak menangis. Dia kata dia perlu berbual dengan ku. Jadi aku bawak dia ke stor. Dia terus menangis dalam bilik stor tu. Aku tutup pintu stor sebab aku tak mahu pelanggan-pelanggan kedai nampak dia menangis begitu. Aku cuba pujuk dia supaya jangan menangis. Bila aku tanya kenapa dia menangis, dia kata sebab bapak dia mahu dia pulang ke rumahnya sedangkan dia tak nak. Aku meminta dia bawak berbincang dengan Aunty Rafidah. Aku cakap, tentu Aunty Rafidah dapat memberitahu kepada bapanya yang dia masih mahu tinggal dengannya. Aku memintanya supaya banyak bersabar. Beberapa minit sebelum syif ku untuk hari ini selesai, aku keluar dari kaunter. Aku ambil sebuah bakul plastik dan masukkan beberapa bungkus makanan ringan ke dalam bakul. Aku letakkan bakul di hadapan kaunter. Aku keluarkan dompet wang aku. Zila mengira harga barang yang ingin aku beli. Ketika mengeluarkan wang, aku terjumpa dengan sekeping kad yang telah diselitkan di dalam dompet aku. KAD MENILIK MASA DEPAN! Suara Prasasti tiba-tiba sahaja kedengaran apabila aku mengeluarkan kad tersebut dari dompet ku. Dah sah lah dia yang letakkan kad ini. Bunyi apa tu? Tanya Zila dengan dahi terkerut. Dia menjengahkan lehernya ke arah ku. Tak ada apa-apa! Kata ku cepat-cepat. Aku memandang ke arah kad tersebut. Ia kelihatan seperti sekeping kad tarot. Aku tak tahu bagaimana untuk menggunakannya. Mungkin arahannya ada di belakang kad ini, cuma aku malas untuk membacanya sekarang. Aku meletakkan kad ini kembali ke dalam dompet ku. RM 10.90 kesemuanya. Kata Zila. Aku mengeluarkan wang kertas sebanyak 10 ringgit dan wang siling sebanyak 90 sen. Kau tak pergi ke mana-mana hari ni, Zila? Mungkin sekejap lagi aku kena tolong Miss Lee jaga kedai dia. Kenapa? Dia tak sihat. Ye ke? Tu lah. Suzi tolong jaga kedai masa siang. Aku pulak petang nanti baru aku gantikan tempat dia. Lepas ni aku akan ke rumahnya. Aku kena jaga dia. Teruk sangat ke sakit dia tu? Zila tidak menjawab. Dia masukkan barang-barang yang aku beli ke dalam beg plastik. Barang-barang yang aku beli itu aku bawa masuk ke dalam bilik stor. Kemudian aku kembali ke kaunter. Aku lihat Zila sedang termenung. Uncle Chandran berjalan di hadapan kedai. Seekor anjing berjalan mengekorinya. Kemudian dia berhenti berjalan. Dia memandang ke arah ku. Aku keluar dari kaunter lalu keluar dari kedai untuk mendapatkannya. Mana uncle dapat anjing ni? Tanya ku kepadanya. Dia tidak menjawab. Aku merenung ke arah anjing berwarna kekuningan ini. Aku menundukkan diri ku lalu bertanya: Excuse me, are you hungry? What is your name? Anjing tu memang lah tak boleh menjawab. Dia bukan macam Prasasti, kan? Jadi aku tergelak sendiri bila aku cakap orang putih dengan anjing tu. Anjing tu pulak nampak manja. Ekornya melibas ke kiri dan ke kanan dengan pantas. Aku rasa anjing tu kelaparan. Kesian pulak aku lihatnya kelaparan macam tu. Aku berpaling ke arah Uncle Chandran. Aku rasa pun lapar. Aku tak tahu berapa hari dia tak makan. Aku memegang tangannya untuk memintanya mengikut ku masuk ke dalam kedai. Ketika dia dibawa masuk ke dalam 7eleven, dia pun berkata kepada ku: Sebakul penuh dengan roti berada di atas kepala mu, tetapi kau menagih cebisan roti dari pintu ke pintu. Air sungai mengalir hingga ke tahap lutut mu, tetapi kau tetap menagih air dari orang lain. Rumi lagi, Uncle Chandran? Tanya ku. Dia tidak menjawab. Aku tanya kepadanya jika kata-kata dari Rumi itu ditujukan kepada ku ataupun ia satu ucapan yang dilakukan secara rawak, dia masih tidak mahu menjawab. Aku suruh dia duduk di atas kerusi makan. Dia menurut sahaja. Aku belikan dia air kopi dan roti sardin. Dia makan dengan perlahan dengan mulutnya terkumat-kamit. Di luar kedai aku memintanya supaya menjaga dirinya baik-baik. Aku keluarkan roti sadin dari dalam plastik yang membungkusinya lalu aku berikan kepada anjingnya. Anjingnya makan dengan lahap dek kelaparan. Selepas dia habis makan, dia mahu bermanja dengan ku. Aku usap-usap kepalanya. Aku beritahu kepadanya supaya menjaga Uncle Chandran baik-baik. Kata Prasasti, jika manusia bercakap kepada binatang yang cerdik seperti anjing dan kucing, mereka akan memahami. Aku tak tahu jika dia temberang ataupun apa yang dikatakannya ini betul. Tapi apa yang pasti, anjing Uncle Chandran aku lihat seolah-olah dia mengerti kata-kata ku tadi. Dia seperti ingin berterima kasih kepada ku lalu mengucapkan selamat jalan. Uncle Chandran berjalan ke hadapan dengan beg plastik penuh dengan makanan ringan pemberian ku tanpa menoleh ke belakang. Anjingnya mengekorinya dari belakang - anjingnya yang sehingga kini aku tidak tahu namanya itu. Eh, kau tak takut dosa ke? Kan pegang anjing tu haram! Ujar Halim ketika dia keluarkan sampah sarap untuk dibuang ke tempat pembuangan sampah. Sejak bila pulak pegang anjing yang kering macam tu haram? Siapa ajar kau? Aku tahu lah fasal halal haram ni semua! Kau ingat aku tak belajar agama ke? Pegang anjing tu makruh. Kau tahu apa beza haram dengan makruh? Kau ingat aku bodoh ke? Makruh hukumnya bila kau merokok. Kau suka merokok, kan? Setiap kali kau merokok hukumnya makruh. Bila aku usap anjing tu tadi, hukumnya makruh juga. Kalau aku tak konfiden, aku samak je lah. Hek elleh, berlagak lah tu! Oh, semalam kau bagi kawan kau rokok tiga kotak free macam tu kat kaunter tak haram? Dah lah! Kau ingat kau ustaz? Aku cuma nak ingatkan... Mencuri tu haram. Halim mendengus benci. Dia bawak plastik hitam penuh dengan sampah ke tempat membuang sampah. Aku hanya mampu menjeling. Aku masuk semula ke dalam kedai. Kau ni baik sangat lah Masdor. Kata Zila. Apa yang baiknya? Eleh, buat-buat tanta pulak! Kata Zila mencebik. Kemudian dia minta aku ambil sahaja barang makanan ringan yang ingin aku bawa ke Kuantan. Dia kata dia nak belanja. Aku cakap tak apa. Dia kata kalau aku tak buat apa aku suruh dia akan sekeh kepala aku. Jadi aku buat jer apa dia suruh tu tanpa banyak soal. Sejurus selepas aku selesai dengan syif aku pada pagi Sabtu itu, aku terus bergegas ke rumah Yusnor. Apabila aku tiba di situ, Yusnor sedang menunggu di hadapan pondok jaga. Dia nampak gembira melihat ku. Macam mana dengan semalam? Okay tak? Tanya ku. Semalam dia mengambil kertas SPM terakhirnya. Hari ini kami ke Kuantan agar dia dapat merehatkan fikirannya setelah berhempas puas selama hampir 3 minggu menjawab segala kertas peperiksaan yang diambilnya. Okay lah... Kau rasa boleh skor tak? Skor macam kakak Sanisah susah kot... Kenapa? Dia dapat 6 A1, 3 A2 Ye ke? Tu lah... Kau boleh skor lah. Kata ku. Aku nampak dia risau seperti mana risaunya aku ketika aku baru sahaja selesai mengambil kertas peperiksaan SPM ku dahulu. Kereta pacuan beroda empat yang dipandu Aunty Rafidah berhenti di hadapan kami. Sanisah turun dari kereta lalu membuka pintu paling belakang agar kami boleh letak barang-barang kami di situ. Sanisah tersenyum ke arah ku. Aku pegang tangannya buat seketika sebelum Yusnor menjeling ke arah ku. Aku masuk ke dalam kereta Aunty Rafidah yang luas itu. Aku duduk di depan dan Yusnor duduk di belakang. Hanisah dan Aunty Rafidah yang sedang duduk di bahagian paling depan sedang berbual tentang sebuah restoran yang terletak di Jalan Besar, Kuantan bernama Chantek. Aunty Rafidah kata makanan di situ sedap-sedap. Masdor dah pernah sampai ke Kuantan? Tanya Aunty Rafidah tiba-tiba kepada ku. Tak pernah Aunty. Saya jarang keluar dari Kuala Lumpur ni. Jawab ku. Kemudian suasana dalam kereta terus senyap. Sesekali aku akan memandang ke hadapan untuk melihat wajah Aunty Rafidah dengan lebih dekat lagi. Wajahnya memang nampak tegas, tetapi dalam ketegasannya ada kelembutannya. Rambutnya ikal. Wajahnya masih nampak muda lagi walaupun usianya sudah lama mencecah 40 tahun. Aku membaringkan tubuh ku sambil menutup mata ku. Aunty Rafidah sedang membuka stesen radio Light & Easy yang sedang memainkan lagu When Doves Cry oleh Prince. Lagu ini terus membuai ku lantas membuat aku tidur lena. Oleh Nizam Zakaria
|