|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-11-22 - 5:51 p.m. Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 21
Dataran Merdeka dan Mat Rempit Aku beritahu Mat Jan kawan aku tentang masalah aku. Aku cakap aku perlukan wang. Pagi tadi aku dah keluarkan wang simpanan sebanyak RM 672.57 dari bank aku. Aku nak buat pasport antarabangsa. Tadi aku baru tahu jika aku mahu ke London aku perlu keluarkan wang sebanyak RM 3100. Itu untuk harga tiket sahaja. Belum lagi campur harga penginapan dan perbelanjaan makan minum. Tak kan lah aku ke sana dengan meminta sedekah sahaja? Aku rasa aku perlu ada lebih kurang RM 5000 dalam tangan untuk uruskan segala-galanya agar aku dapat ke London. Tapi mana aku nak cari duit sebanyak itu. Mat Jan sarankan aku racing motor. Dia kata, kalau aku berani nak lawan motor dengan budak-budak dari geng Castello, diorang jugak berani bertaruhkan wang. Dia kata budak-budak geng Castello dah lama cari peluang untuk lawan motor dengan aku sejak aku kalahkan Wazi, ketua diorang yang mati kena langgar lori kat Bangsar tahun lepas. Diorang masih berdendam dengan aku sebab diorang kata aku dah malukan Wazi. Dia bertaruhkan awek dia si Iffa tu - nama betul dia Iffatun Najiha. Aku tak sentuh pun si Iffa. Lepas Wazi serahkan Iffa kepada aku, aku hantar Iffa balik ke rumah. Lepas tu Wazi mengamuk bila dia dapat tahu Iffa sukakan aku. Iffa kemudian tinggalkan Wazi sebab Iffa kata dia mahu dengar nasihat aku supaya jangan jadi minat rempit. Wazi benci dengan aku setengah mati lepas tu. Mat Jan berjumpa dengan seorang kawan sekampungnya yang jadi ahli geng Castello. Kawan sekampungnya itu kata, ketua geng Castello yang baru, si Amir Sentul memang dah lama nak lawan motor dengan aku. Amir Sentul memang cari peluang macam ini tiba untuk dia kalahkan aku. Dia nak buktikan kepada orang lain yang dia ni jaguh, bukan macam Wazi. Jadi kau nak race tak dengan dia? Tanya Mat Jan. Mata dia redup memandang ku. Entah lah. Apa pulak ntah. Kau kata kau nak duit. Aku tak macam dulu lah, Mat Jan. Apa kau nak cuci tangan ke? Entahlah... Kalau kau dah jadi mat rempit... Sampai bila-bila pun kau ni mat rempit! Aku mendengus. Aku pakai topi keledar aku, terus aku tinggalkan Dataran Merdeka. Aku bawak motor aku laju-laju. Biarlah kalau aku kemalangan lepas tu mati. Aku dah tak kisah lagi dengan benda tu semua. Kepala aku buntu. Bila aku tiba di rumah aku terus duduk di hadapan Prasasti. Aku tanya kepadanya jika dia boleh tolong aku. Mana boleh y'olls! Mek tak boleh tolong y'olls dalam hal ini. Y'olls kena cari jalan penyelesaian sendiri. Tapi kenapa? Kerana y'olls kena belajar berdikari! Sampai bila y'olls perlu bantuan mek? Kalau mek tak ada nanti macam mana? Alah, aku mintak tolong sekali ni jer! Kalau kau bagi aku kembarkan duit aku banyak-banyak pun jadilah. Tak payah aku guna Pintu Dimensi Ajaib untuk aku terus muncul di London. Tak boleh! Aku mengeluh panjang. Aku berjalan ke arah pemain rekod aku. Buat sekian kali, aku mainkan lagu Walk on By hasil ciptaan Burt Bacharach yang dinyanyikan oleh Dionne Warwick. Lagu sedih ni memang berhantu. Setiap kali aku dengar lagu ni, aku rasa macam hati aku dirundung duka, tapi entah mengapa, aku nak dengar juga. Agaknya memang aku suka seksa jika aku macam ni. Tiba-tiba pintu aku diketuk. Aku buka lihat jam di dinding. Pukul 3 pagi. Aku suruh Prasasti sorok di dalam almari. Aku buka pintu. Ayah tercegat di luar. Dia tidak tidur lagi. Wajahnya nampak muram. Dia tanya aku kalau dia boleh masuk dalam, aku kata boleh. Dah lama dia tak masuk dalam bilik aku macam ni. Dia duduk atas kerusi. Dia termenung di situ. Dia dengar lagu nyanyian Dionne Warwick ini. Bait-bait lirik Hal David menyentuh perasaannya. Ayah akan berpisah dengan mak ke? Tanya ku akhirnya kepadanya langsung membuat dia mendongak ke arah ku. Mak beritahu kepada kau kami akan berpisah? Ya. Tadi. Sebelum orang keluar dari rumah. Maafkan aku. Kenapa? Kerana ini semua. Orang tak tahu apa nak cakap lah, yah... Aku akan keluar dari rumah ini nanti. Aku cuba cari rumah sewa dekat dengan tempat kerja aku. Ayah dah fikir masak-masak ke? Dia mengangguk lesu. Dia kemudian termenung melihat kaset lama pemberiannya yang ada di atas meja. Dia memasukkan kaset itu ke dalam alat pemain kaset ku. Dia mendengar suara ku ketika kecil. Dia mendengar kembali suara mak yang senang mengacah ku. Ayah tidak dapat menahan rasa sedihnya apabila dia mendengar suaranya mendodoikan aku dengan lagu ciptaannya sendiri. Air matanya mengalir membasahi pipinya. Aku tak tahu apa yang harus aku lakukan pada ketika itu. Aku hanya duduk diam di atas katil ku. Aku tidak pernah melihat ayah aku menangis di hadapan ku begini. Aku biarkan ayah menangis begitu buat seminit dua. Ayah menarik nafasnya dalam-dalam lalu dia mengesat air matanya. Dia tertunduk, seolah-olah dia malu memandang ke arah ku lalu berkata: Mak kau kata kau perlukan wang. Ya. Untuk apa? Orang nak ke London. London? Ya. Tapi kenapa? Orang dah janji dengan Sanisah untuk jumpa dia kat sana nanti. Ayah menggosok-gosok belakang lehernya. Dia macam tak percaya dengan apa yang didengarnya. Sanisah ni siapa? Orang punya awek... Ayah tersenyum kelat. Oh ye ke? Dah lama kau kenal dia. Lama tu, tak lama jugak. Kau sayangkan dia? Ya. Macam ayah sayangkan mak dulu. Ayah menarik nafasnya dalam-dalam. Kemudian dia tanya aku berapa yang aku perlukan untuk ke London. Lima ribu ringgit. Banyak tu. Tahu. Ayah hanya boleh beri kau tiga ribu ringgit. Biar betul! Ayah nak bagi orang duit simpanan ayah untuk ke Liverpool tu, ke? Ya. Orang tak boleh terima duit ayah tu. Orang tahu ayah susah nak kumpul duit tu. Aku tak mahu kau jadi macam aku... Maksud ayah? Jika kau bersungguh-sungguh mahu ke London, pergilah. Sekurang-kurangnya apa yang kau mahukan terlaksana. Kau tak perlu fikir tentang aku. Aku dah tua. Aku tak perlu fikirkan tentang impian aku sebab itu semua dah tak bermakna lagi bagi aku. Muzik dah tak membawa apa makna lagi kepada ayah? Ayah aku menggelengkan kepalanya. Dia berdiri lalu keluar dari bilik ku. Dia langsung tidak menoleh ke belakang. Dia tinggalkan bilik ku tanpa berkata apa-apa langsung membungkus kesunyian yang wujud di dalam dirinya. Oleh Nizam Zakaria
|