zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-11-24 - 11:51 a.m.

Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 28
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.

Banglo di Bukit Antarabangsa

Perasaan sedih mengelumuni diri ku. Aku kurang pasti jika aku dapat menjalani hidup ini tanpa Sanisah. Kepala ku terasa tepu. Aku akan terus mengingatinya sampai bila-bila walaupun dunia menidakkan kewujudannya.

Wajah ayah berseri-seri pada subuh itu. Dia memang sukar tidur malam. Sebab itulah dia bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan. Mak bekerja di hospital pada syif malam agar dia dapat bersama ayah pada siang hari dan lama-kelamaan aku terikut sama.

Wajah ayah berseri-seri kerana dia mula jatuh hati kepada mak. Aku tahu perasaan yang dilaluinya. Aku pernah melaluinya sendiri.

Prasasti mengingatkan aku bahawa matahari akan terbit beberapa detik sahaja lagi. Apabila aku cuba tanya apa yang akan berlaku kepada ku nanti, dia tidak menjawab, tetapi aku dapat melihat kesedihan terlukis di wajahnya.

Kenapa kau tiba-tiba sahaja sedih, Prasasti? Tanya ku dengan perlahan. Aku tidak pernah melihatnya bersedih, malah, aku tak tahu pula dia telah diprogramkan untuk mempunyai kemampuan untuk mengalami kesedihan dan menunjukkan perasaan sedih.

Tugas mek dah selesai. Katanya dengan suara layu.

Jadi kenapa?

Mek kena tinggalkan u'olls dan pulang ke dunia mek semula.

Jadi aku macam mana?

U'olls ingat mek akan bersama u'olls untuk selamanya ke?

Aku mengangguk. Itulah yang aku fikirkan selama ini. Malah pernah aku berfikir Prasastilah yang akan menjaga diri ku ketika aku tua nanti.

Prasasti duduk di atas paha ku. Dia mengusap pipi ku. Wajah ku muram. Aku rasa mahu menangis, tetapi aku rasa terlalu sedih sehingga air mata pun sukar untuk aku titiskan. Dia meminta aku supaya jangan bersedih.

Aku tidak tahu jika aku merasa terlalu sedih pada waktu itu sehingga aku tak mampu berkata-kata. Prasasti yang telah aku kenali sejak kecil kini akan meninggalkan ku begitu sahaja.

Selamat tinggal, Masdor!

Jadi inilah kali terakhir kita bertemu?

Prasasti mengangguk.

Jadi... Kau tak akan muncul lagi di dalam hidup aku?

Prasasti menggeleng.

Prasasti memegang tangan ku dengan kuat sebelum dia berdiri di atas lantai. Dia mengeluarkan Pintu Dimensi Ajaib dari poketnya. Dia berjalan ke arah pintu tersebut lalu memulas tombol pintu. Apabila daun pintu terkuak, cahaya yang maha terang bersinar dari sebalik pintu sehingga membuat mata ku silau. Aku dapat melihat Prasasti melambaikan tangannya ke arah ku. Aku melambaikan tangan ku kembali.

Keadaan di sekeliling ku menjadi terang. Aku cuba menggunakan tangan ku untuk mengelakkan cahaya yang terang itu dari menyilau mata ku. Pada masa yang sama, aku dapat merasakan tubuh ku semakin ringan dan lemah. Mata ku kabur. Aku rasa terlalu mengantuk. Aku menutup mata ku sehinggalah aku tidak apa yang berlaku kepada diri ku selepas itu.

Apabila aku membuka mata ku, aku dapati aku tidak lagi berada di dalam bilik lama ayah tetapi di dalam sebuah bilik yang kelihatan begitu asing bagi ku. Aku menggosok-gosok mata ku. Aku bangun dari katil ku. Aku mendapati kesemua barang-barang yang ada di dalam bilik ini adalah barang-barang kepunyaan ku.

Aku memeriksa jaket kulit yang masih aku pakai. Aku mengeluarkan gambar Haryati yang telah diambil di Carnaby Street dari poket jaket ku. Gambarnya ini masih ada di dalam simpanan ku. Aku mengeluarkan dompet wang ku. Kad Menilik Masa Depan yang aku simpan selama ini tidak ada lagi di situ.

Aku keluar dari bilik ku. Bahagian di tepi dinding dihiasi dengan beberapa buah album dari kumpulan The Phase yang menerima anugerah emas dan platinum. Aku menggaru-garu kepala ku. Aku rasa aku sedang berada di dalam sebuah rumah banglo yang aku diami di dalam sebuah dunia yang telah aku ubah.

Aku turun ke tingkat bawah. Mereka tersenyum ke arah ku. Aku memandang ke arah sekeliling ku. Rumah ini nampak mewah dan cantik. Aku berjalan ke meja makan. Aku dapati mak dan ayah berada di situ.

Kau dah pack beg kau tu, Masdor? Tanya ayah ketika matanya terus ke akhbar The Star yang sedang dibacanya.

Beg? Kenapa? Tanya ku. Mak memegang bahu ku. Meminta aku duduk di meja makan.

Untuk ke London lah.

Untuk ke London?

Saya dan pack beg dia tu siang-siang, bang. Kalau kita tak buatkan untuk dia, sampai esok bila kita nak fly pun dia tak akan pack bag dia tu. Kata Mak. Dia meletakkan sepinggan nasi goreng di hadapan ku.

Kita semua nak ke London?

Ish budak ni... Kau deman ke apa, Masdor? Tanya Mak. Dia nampak risau. Aku menggeleng pantas.

Ayah, buat apa kita ke London?

Untuk tolong kau berpindah dari bilik kau sekarang di Great Dover Street ke New Hunts House yang kau kata dekat dengan the Guy's?

The Guys?

Ya... Kampus Guys di Kings College? Tempat kau belajar sejak setahun lepas!

Macam mana dia nak jadi doktor kalau begini perangainya? Mak merungut. Dia menjeling ke arah ku.

Aku tak tahu bagaimana semua ini boleh berlaku. Aku tak tahu bagaimana aku menjadi seorang pelajar perubatan tahun pertama di King's College yang sedang bercuti di Malaysia. Aku tak tahu apa yang aku lakukan apabila semester ku bermula nanti, tapi itu semua tak penting sekarang. Yang penting aku perlu menemui Zila. Aku harap dia masih mengenali ku di dalam realiti ini. Aku perlu memberitahu kepadanya apa yang telah berlaku kepada diri ku sekarang.

Mak... Ayah, orang nak keluar. Kata ku dengan tergesa-gesa.

Ke mana?

Central Market.

Buat apa? Nak pergi ke Teresa Forever?

Ya.

Bukan kau baru saja jumpa dengan budak Zila tu semalam?

Zila bekerja di sana?

Ye lah, dah tu? Tanya mak dengan wajah risau. Aku lihat dia menggaru-garu kepalanya.
Mmm... Mak? Orang bawak kereta atau motor?

Masdor! Mak bercekak pinggang. Dia ingat aku main-main. Ayah tersengih. Dia meletakkan surat khabarnya ke tepi. Aku menyeluk kocek seluar ku. Di dalamnya ada kunci kereta.

Aku berjalan ke ruang tamu. Mak mengekori ku. Dia membuka pintu hadapan lantas membuka pintu pagar automatik. Aku menekan butang kawalan jauh kunci kereta kepunyaan ku. Lampu kereta Honda City berwarna merah berkelip-kelip lalu mengeluarkan bunyi.

Mak... Mak dan ayah okay ke? Tanya ku kepada mak yang sedang mengomel menegur ku yang didapatinya belum mandi pagi tapi sudah mahu keluar dari rumah.

Soalan apa ni Masdor?

Mak tak gaduh-gaduh dengan ayah ke?

Gaduh apa ni Masdor? Buat apa kami nak bergaduh.

Aku terus mendakap tubuh mak dengan erat. Mak terkejut, tapi dia membiarkan aku mendakap tubuhnya. Apabila aku memandang ke hadapan, aku dapat melihat ayah memandang ke arah ku dari muka pintu sambil menghisap rokoknya. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya. Mak punya masih kelihatan terkejut melihat perangai ku yang dianggapnya aneh itu.

Aku masuk ke dalam kereta. Aku hidupkan enjin. Aku menarik nafas ku dalam-dalam. Aku keluarkan dompet ku semula. Korek punya korek aku ada lesen kereta. Sebelum ini aku tak pernah belajar bawak kereta.

Bawak kereta tu baik-baik. Ucap mak dengan wajah risau lalu menoleh ke arah ayah yang sedang memegang bahunya.

Jangan bawak laju-laju. Kau tu suka sangat bawak laju! Nasihat ayah pula.

Aku mengangguk. Kemudian aku cuba membawa kereta ku keluar dari kawasan rumah banglo ini. Entah mengapa, dengan senang aku dapat membawa kereta ini keluar lalu memandu keluar dari kawasan perumahan ini yang terletak di Bukit Antarabangsa. Aku memandang ke arah tangan ku yang sedang memegang stereng ketika membawa kereta ku menuruni Bukit Antarabangsa. Aku dapat menamakan tulang Metacarpals dan Phalanges satu persatu. Semua fakta-fakta ini sudah tersimpan di dalam kepala ku.

Setibanya aku di Teresa Forever, aku dapat melihat Zila sedang membantu Miss Lee membuka kedainya.

Kenapa you berdiri tercegat di situ? Tanya Miss Lee kepada ku. Kenapa mulut you ternganga macam nampak hantu?

Aku tidak menjawab soalan-soalannya itu. Aku sekadar tersenyum kelat. Aku memandang ke arah Zila. Aku lihat Miss Lee memberitahunya dia akan hanya pulang pada petang itu kerana dia mahu menghadiri sebuah mesyuarat untuk sebuah program amal Pink Triangle yang akan dianjurkan tidak lama lagi.

You fly ke London esok kan Masdor? Tanya Miss Lee.

Ya.

Don't forget to write to me, ya! Macam biasa. I suka terima poskad dari you.

Aku menganggukkan kepada ku. Miss Lee tersenyum lalu dia mengucapkan selamat jalan kepada ku.

Zila... Kita kawan baik ke, Zila? Tanya ku ragu-ragu kepada Zila yang sedang duduk di belakang kaunter.

Ya kot... Kenapa?

Aku nak ceritakan kepada kau tentang satu perkara... Fasal diri aku.

Ceritakan lah. Katanya sambil menongkat dagu. Jadi aku pun bercerita. Aku bercerita dari awal ketika aku mula-mula terjumpa dengan gambar Hartini sehinggalah kepada apa yang aku alami pagi tadi.

Kau kata Prasasti tu seekor kucing robot dari masa depan? Tanya Zila cuba menahan ketawa.

Ya. Tapi dia dah pulang ke dunianya semula.

Kau ni macam-macam lah Masdor! Zila mungkin fikir aku gila. Aku sendiri mula berfikir aku gila. Tapi aku tak gila. Aku masih waras lagi.

Kau nak ke mana tu? Tanya Zila. Aku memberitahunya aku perlu ke Bukit Bintang. Aku perlu mencari Abang Zamani. Mungkin dia faham!

Aku dapati kondominium yang dihuni oleh Abang Zamani kini dihuni oleh sebuah keluarga Cina dari Indonesia. Aku tak tahu di mana dia sekarang. Aku tak tahu di mana aku harus mula mencarinya. Aku sempat ke Tower Records yang terletak di KL Plaza. Di sana aku dapati album Tribute to The Phase yang dibawakan semula oleh penyanyi-penyanyi dan kumpulan-kumpulan terkenal tanah air berada di carta no. 1 penjualan album di Malaysia. Lagu lama The Phase, Berlibur Di hari Minggu yang dinyanyikan secara duet oleh Mawi dan Siti Nurhaliza kini berada di dalam carta single no. 1 di Malaysia.

Apabila aku berjalan di Bintang Walk, aku dapat melihat seorang lelaki India berpakaian kemas yang sedang duduk sambil membaca akhbar Asian Wall Street Journal di Cafe Dome. Aku mengenali dirinya.

Uncle Chandran? Tanya ku kepadanya setelah aku memberanikan diri ku untuk mendekatinya.

Yes, but have we met?

Aku menggelengkan kepala ku. Aku berjalan meninggalkannya. Dia memandang ke arah ku dengan dahi terkerut seribu.

Semuanya ini terlalu aneh bagi ku. Aku perlu pulang. Aku mahu tutup mata ku rapat-rapat. Aku mahu tidur dan bila aku bangun nanti aku mahu bangun di dalam bilik kecil ku dan aku mahu hidup ku kembali seperti sedia kala. Tapi adakah itu yang benar-benar aku mahukan?



Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!