|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-11-24 - 11:56 a.m. Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 29
London, 21 September Aku memandang kosong ke luar tingkap apabila kapal terbang berlegar di udara Sepang. Kemudian aku menoleh ke arah mak dan ayah yang sedang duduk di kerusi sebelah. Mereka sedang bergurau sesama mereka sebelum mereka ketawa berdekah-dekah. Mereka nampak bahagia. Hati ku tenteram melihatkan kebahagiaan yang terwujud di dalam diri mereka. Muzik terus hidup di dalam jiwa ayah dan inilah yang membuatkan ayah menjadi seorang manusia yang mencintai kehidupannya. Kebahagiaannya membahagiakan mak. Lampu untuk meminta penumpang memakai tali pinggang keledar dimatikan. Aku membuka ikatan tali pinggang keledar ku. Aku menoleh ke arah ayah. Dia mahu ke tandas. Mak, ingatkan orang kenapa orang nak jadi doktor. Tanya ku dengan suara perlahan kepada mak. Mak tersenyum. Dia memandang ke arah ayah yang sedang berjalan ke arah tandas sebelum dia menoleh ke arah ku. Mak menjawab soalan ku dengan memulakan cerita tentang kerja-kerja sukarelawannya. Mak kata, dia mula menjadi sukarelawan ketika aku berusia dua tahun. Dia menggunakan pengalamannya sebagai seorang bekas jururawat untuk menyedarkan pekerja seks di Chow Kit tentang amalan seks secara selamat. Ketika itulah mak mula-mula bertemu dengan Miss Lee. Mereka akhirnya menjadi kawan baik. Mereka berdua sering bekerjasama untuk menyedarkan pekerja-pekerja seks di Chow Kit tentang bahaya HIV. Ingat tak dulu bila mak ada bawak Masdor berjumpa dengan Cik Wati yang terlantar di hospital... Cik Wati kawan baik Miss Lee. Masdor kata, Masdor ingin menjadi doktor supaya satu hari nanti Masdor dapat mencari jalan untuk mengubati pesakit AIDS macam Cik Wati. Aku hanya mengangguk walaupun aku tidak dapat mengingati semua ini. Orang harap satu hari nanti orang dapat melakukan ini semua. Sebab itu mak nak kau belajar rajin-rajin. Mak yakin kalau Masdor tumpukan perhatian Masdor kepada pelajaran, pasti Masdor akan berjaya. Kalau Masdor berjaya mencipta vaksin untuk mengubati penyakit Aids, berjuta-juta nyawa akan dapat diselamatkan. Aku mengangguk perlahan. Aku lihat ayah kembali duduk di tempatnya. Seorang pemuda yang seusia dengan ku datang mendekatinya lalu meminta ayah menandatangani CD Tribute to The Phase yang ingin dibawanya ke London. Dia panggil ayah dengan panggilan Munsyi. Satu panggilan yang sinonim dengan ayah sejak awal 90-an dulu setelah ayah berjaya membuktikan dirinya sebagai seorang pemuzik dan komposer bertaraf antarabangsa. Setelah ayah selesai menandatangani CDnya, dia sempat bertanyakan kepada ayah jika benar ada ura-ura untuk ayah bekerjasama dengan Sifu M. Nasir untuk album barunya. Ayah tersenyum sambil mengangguk perlahan. Kota London adalah sebuah kota yang mempesonakan bagi ku. Entah mengapa, walaupun aku tak pernah ke kota ini, perasaan "deja-vous" menyelinap ke seluruh jiwa ku. Di dalam realiti ini, ayah akhirnya berjaya mencapai cita-citanya untuk ke Liverpool dan seterusnya ke Strawberry Fields pada tahun 1989. Kemudian, dua tahun sekali, dia pasti akan membawa kami sekeluarga bercuti ke UK. Dia kata, dia mahu aku belajar di sini pun, agar dia mempunyai alasan untuk sering berulang alik ke sini. Mak pula menegaskan aku telah memilih untuk belajar di King's College, University of London kerana ia mempunyai tradisi penyelidikan yang cemerlang di dalam bidang perubatan. Semalam sehari suntuk aku habiskan masa ku memindahkan barang-barang aku dari Great Dover Street ke New Hunts House. Mak dan ayah tolong aku berpindah. Bilik baru aku letaknya di tengah-tengah kampus Guy. Jadi aku tak payah berjalan jauh untuk ke kuliah. Kuliah aku akan bermula dalam masa seminggu dua sahaja lagi. Entah mengapa, aku rasa tak sabar untuk mula belajar. Bersemangat pula aku untuk belajar sehingga satu hari nanti aku berjaya menjadi seorang doktor dan mungkin seorang penyelidik. Esok, 21 September. Jadi kenapa? Yah... Orang ada suka dengan sorang budak perempuan ni, tapi dia tak wujud dalam dunia ni. Tapi orang rasa dia wujud. Apa yang kau ceritakan ni, Masdor? Ayah menggaru-garu kepalanya. Dengarlah dulu yah! Ya, ayah dengar ni. Orang rasa dia wujud. Macam mana kau tahu dia wujud? Orang dapat rasa dia wujud. Tak tahu lah macam mana orang nak explain. Jadi... Kalau kau tahu dia wujud, kau perlu cari dia sampai dapat. Ya. Saya akan cari dia sampai dapat. Kalau memang dah jodoh kau... Walaupun dia berada seribu batu dari kau sekarang, satu hari nanti, kau akan tetap diketemukan dengannya. Esok kita ke Carnaby Street, ya? Ayah mengangguk. Katanya elok juga jika kami ke sana kerana esok dia dan mak memang bercadang mahu membeli-belah di Oxford Street. Pada malam itu aku terasa sukar untuk masuk tidur. Aku terbaring di dalam bilik ku sambil memandang ke arah siling. Ada kalanya aku akan menoleh ke kaki ku kerana Prasasti selalu berada di situ. Tetapi dia tak ada. Aku merindukannya. Aku berjalan ke arah jendela. Aku memandang ke arah kampus. Aku mengeluh. Tak berapa lama dahulu aku seorang mat rempit yang bekerja di 7Eleven dan sekarang aku seorang pelajar perubatan di London. Dunia di sekeliling ku berubah akibat satu irama yang aku siulkan ke dalam telinga ayah. Aku menarik nafas ku dalam-dalam. Wajah Sanisah terus terlekat di dalam jiwa ku. Aku paling takut jika satu hari nanti aku akan melupakan rupa wajahnya itu. Memang benar seperti kata Prasasti Sanisah dan Yusnor tidak wujud lagi di dunia ini. Sejurus selepas aku menemui Uncle Chandran, aku pergi ke kondominium yang didiami Sanisah dan Yusnor. Mereka tidak ada di situ. Yang ada cuma sebuah keluarga India yang telah tinggal di situ sejak lima tahun yang lepas. Dalam keadaan pasrah, aku keluarkan gambar Haryati. Gambar itu aku tatap lama-lama kerana gambar ini memberi seribu pengertian buat diri ku. Aku kembali baring di atas katil ku. Aku letak gambar itu dekat ke dada ku sehinggalah aku tertidur dengan sendirinya. Pagi-pagi lagi aku telah bersiap sedia untuk menaiki tube ke hotel yang didiami mak dan ayah di Park Lane. Sejurus selepas makan pagi, kami terus berjalan ke arah Oxford Street. Ayah dan mak kata mereka suka berjalan di London. Apa tidaknya, jika ada apa sahaja yang menarik perhatian mereka, mereka akan berhenti lalu melihat-lihat ke dalam kedai. Aku memandang ke arah jam tangan. Jam menunjukkan pukul 10 pagi ketika kami tiba di Marble Arch. Kenapa kau nampak tergesa-gesa, Masdor! Tanya Mak ketika dia mahu melangkah masuk ke dalam Selfridges. Orang ada janji dengan kawan... Pukul 12 nanti. Sambut ku dengan suara yang sengaja aku kuatkan. Terlalu ramai orang yang lalu lalang di sini. Aku lihat ayah sedang memegang tangan mak dengan erat agar mereka tidak berpisah. Kau janji untuk berjumpa dengan kawan kau di mana? Tanya ayah. Di Carnaby Street. Apa kata kau ke situ sahaja. Kami akan ke sana juga nanti. Bila kami sampai ke sana kami akan call kau. Saran ayah. Aku mengangguk laju.
Aku mendongak ke langit. Langit cantik membiru. Sesekali aku akan terasa sejuk apabila bayu musim luruh menyapu wajah ku. Aku memandang ke arah jam tangan ku. Aku mempunyai 15 minit lagi sebelum pukul 12. Aku memandang ke arah sekeliling ku. Terlalu ramai manusia di sini. Aku terasa rimas. Beberapa buah bas dua tingkat berwarna merah lalu di sisi ku ketika aku berhenti di persimpangan jalan menuju ke arah Carnaby Street. Tak sabar-sabar aku menunggu lampu trafik berubah warna agar aku dapat melintas jalan. Aku akhirnya tiba di Carnaby Street dua minit sebelum pukul 12. Aku termengah-mengah. Aku tiba di bawah tanda jalan Carnaby Street yang terkenal itu. Di sinilah Haryati mengambil gambarnya dahulu. Aku berdiri di situ. Di sudut yang sama. Aku memandang ke kiri dan ke kanan mengharapkan Sanisah akan muncul di sini pada bila-bila masa sahaja. Jadi aku tunggu dan aku tunggu. Lebih setengah jam aku menunggu di sini, tetapi Sanisah tak kunjung tiba. Aku kecewa. Aku rasa macam nak menangis. Aku rasa diri ku terlalu bodoh kerana menunggu dirinya yang tidak mungkin wujud di dalam dunia ini. Aku keluarkan gambar Haryati. Aku renung gambar itu. Kerana gambar inilah aku akhirnya berada di sini. Aku mengeluh lesu. Seorang lelaki Inggeris melanggar tubuh ku secara tidak sengaja. Dia meminta maaf. Gambar Haryati terlepas dari tangan ku. Ia terbang di bawa angin. Aku berlari mendapatkan gambar itu. Inilah satu-satunya gambar yang dapat mengingatkan aku kepada dunia yang telah aku tinggalkan. Aku tidak mungkin akan membenarkan gambar ini hilang begitu sahaja. Gambar yang terbang ini akhirnya jatuh di atas jalan raya. Tanpa berfikir panjang aku terus cuba mendapatkan gambar ini. Aku dapat mendengar nama ku dipanggil apabila aku sedang melangkah ke atas jalan tanpa berfikir panjang. Aku menoleh dengan pantas. Aku dapat melihat wajah ayah yang cemas yang sedang menjerit memanggil nama ku. Beberapa detik kemudian aku dapat mendekar bunyi hon kenderaan yang kuat. Apabila aku menoleh ke sisi ku aku dapat melihat sebuah bas dua tingkat berwarna merah dengan pantas menuju ke arah ku! Oleh Nizam Zakaria
|