zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-10-18 - 3:44 p.m.

Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 8
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.

Dua gambar-gambar lama yang diambil oleh orang yang sama

Aku rasa, dan aku tidak ingat bila perkara ini berlaku, apabila aku terserempak buat pertama kalinya dengan Prasasti aku terkejut beruk lalu menjerit sekuat hati. Mak bapak aku kerja malam, jadi tak ada siapa pun yang dengar jeritan ku.

Aku tak faham bagaimana sebuah kucing robot yang menyerupai Doraemon tetapi berwarna kelabu boleh muncul di dalam bilik ku. Robot kucing ini memperkenalkan dirinya sebagai Prasasti dan memberitahu kepada ku bahawa ia adalah seekor kucing robot betina. Aku tak faham bagaimana robot boleh ada jantina, tapi dah dia nak dirinya diterima sebagai seekor kucing robot betina, aku terpaksa menerima sahaja.

Prasasti ini memang pelik. Dia hanya makan pau kacang hijau dan meminati filem-filem berbahasa Sepanyol, kerana menurutnya sebelum ini dia telah diberikan tugas di Mexico untuk melakukan apa yang perlu dilakukan kepada ku - membetulkan segala-galanya yang tidak betul agar dunia di masa hadapan lebih baik untuk manusia sejagat.

Aku pernah cakap, siapalah aku untuk menentukan apa yang akan berlaku pada masa depan. Dia kata segala-galanya- hatta haiwan sekecil rama-rama pun dapat menentukan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Katanya, mengikut teori Efek Rama-rama seperti mana yang dianjurkan oleh Edward Lorenz, kibaran kepak rama-rama di Brazil bukan sahaja boleh menyebabkan puting beliung di Texas, tetapi juga segala aturan kepada apa yang bakal berlaku di masa hadapan.

Pada petang itu aku menghabiskan masa ku untuk mengajar Yusnor menaiki motor. Aku telah membawanya ke bahagian paling atas tempat meletak kereta Perhentian Bas Putra untuk membiasakan dirinya membawa motor. Pada mulanya memang dia agak kekok, tapi dia cepat belajar. Aku cuba mengambil peluang ini untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang kakaknya, tetapi Yusnor tak mahu menjawab soalan-soalan ku. Dia memang tak mahu masuk campur perihal kakaknya.

Aku masuk kerja seperti biasa pada malam itu. Zila tanya aku mengapa wajah ku berseri-seri. Aku kata sebab aku bawa pulang beberapa keping piring hitam yang telah ditinggalkan untuk ku termasuk lah piring hitam yang aku cari-cari selama ini - album Barry Manilow yang terkandung lagu Copacabana.

Zila mungkin tidak faham mengapa aku suka kepada satu-satu lagu. Tetapi dia cukup faham dengan efek jenis-jenis muzik kepada kita. Sebagai contoh, lagu-lagu berentak pantas seperti techno akan dimainkan di dalam kedai untuk membuat menaikkan semangat pembeli untuk membeli-belah. Di beberapa buah tempat pula, lagu klasikal akan dimainkan untuk memastikan budak-budak tidak melepak di pusat-pusat membeli belah. Muzik dari Mozart yang didengarkan kepada janin di dalam perut dikatakan dapat mencerdaskan lagi anak yang bakal dilahirkan itu. Ada jenis-jenis muzik yang boleh menyebabkan perasaan kita tenang dan ada juga jenis-jenis muzik yang boleh membuatkan fikiran kita kusut.

Bila ada budak-budak yang suka datang buat kacau mula datang melepak di dalam kedai atau di luar kedai, aku akan membuka lagu minimalis Phillip Glass atau setidak-tidaknya lagu klasikal dari Saint-Saëns atau Debussy. Dengan pantas, budak-budak ini akan menghilang sendiri. Yang akan tinggal adalah pelanggan-pelanggan yang betul-betul datang untuk membeli barang keperluan.

Aku akan memainkan lagu di tempat kerja aku mengikut mood. Aku akan buat kompilasi lagu-lagu yang aku kumpulkan dan satukan di dalam beberapa keping CD. Hari ini mood aku baik, jadi aku mainkan lagu dari satu kompilasi yang aku namakan "Lagu-lagu untuk hari bahagia Volume 22".

Dah lama aku tak dengar lagu ni. Ujar abang Zamani kepada ku apabila dia berada di hadapan kaunter. Dia meletakkan cornflake dan susu kegemarannya di situ.

Robert Palmer, She Makes My Day. Ujar ku kepadanya.

Kau minat dengan Robert Palmer?

Macam-macam saya minat... Kata ku. Aku lihat dia mengangguk. Dia keluar dari kedai.

Beberapa budak-budak Arab sedang bergurau senda di atas Bintang Walk. Seorang dari mereka terlanggar abang Zamani dari belakang. Abang Zamani tersungkur di atas jalan. Budak-budak Arab itu terus lari entah ke mana. Aku keluar dari kaunter lalu keluar dari kedai. Aku tolong abang Azmani bangun. Susu yang dibelinya pecah dihempap dirinya. Bajunya basah.

Abang tinggal kat mana?

Kondominium KL Plaza...

Oh, pintu masuknya kat belakang bangunan ni jer... Biar saya hantar abang pulang.

Tak apa lah.

Abang macam tak boleh jalan jer. Kataku. Aku rasa buku lalinya terkehel ketika terjatuh tadi.

Beberapa orang pengunjung Bintang Walk berhenti memandang ke arahnya. Tetapi tidak seorang pun yang mahu datang membantu.

Aku memintanya berpaut kepada bahu ku. Apabila aku menoleh ke arah 7Eleven, aku dapat melihat Zila memandang ku dari jauh. Aku memberi isyarat tangan kepada Zila bahawa aku perlu membawa abang Zamani pulang. Dia faham. Aku pasti dia akan meminta Raju mengambil tempat ku di kaunter.

Aku membawanya berjalan ke KL Plaza. Di situ kami terus ke lobi apartmen. Aku membantunya menaiki lif lalu ke tingkat 10. Tubuhnya berat, badannya juga berbau tengik. Aku cuba untuk melupakan semua ini dan berusaha untuk memastikan agar dia dapat selamat pulang.

Aku membantunya untuk membuka pintu apartmennya. Kemudian aku membantunya untuk masuk ke dalam apartmen. Aku dapati apartmennya memang nampak terurus. Ada sebuah rak buku yang tinggi dan panjang memenuhi dinding. Dia memang banyak mengumpul buku. Di dindingnya dihiasi dengan gambar-gambar fotografi hitam putih yang menampakkan suasana di luar negara. Aku tanya di mana gambar-gambar ini diambil. Katanya di England. Dia pernah menuntut di sana ketika dia muda dahulu.

Aku membantunya masuk ke dalam biliknya. Dia kata dia perlu menyalin pakaian. Aku mengangguk. Aku melihat beberapa keping gambar yang dipamerkan di dinding. Di situ terdapat gambar seorang pemuda yang telah diambil di Trafalgar Square sambil memberi makan kepada burung-burung merpati yang ada di situ. Orangnya kelihatan seperti abang Zamani, tetapi tubuhnya tidak sebesar sekarang. Pemuda tersebut sekadar kelihatan sedikit berisi, tidak lebih dari itu.

Itu gambar aku ketika aku berusia 23 tahun. Katanya dari muka pintu. Aku memimpin tangannya agar dia dapat duduk di ruang tamu.

Aku dapat rasakan seolah-olah aku melihat dua manusia yang berbeza. Macam susah nak percaya. Apa yang telah berlaku sehingga membuatkan dirinya berubah seperti ini?

Abang kerja apa? Tanya ku ingin tahu kerana aku sering melihatnya pulang malam.

Konsultan untuk instrumen bank... Pejabat abang tak jauh dari sini.

Kenapa abang selalu pulang lewat tiap-tiap malam?

Mana kau tahu?

Saya selalu perhatikan abang berjalan di pulang pada masa yang sama hampir tiap-tiap malam.

Banyak kerja yang perlu aku lakukan di pejabat... Lagipun kalau aku pulang awal, tak ada apa yang boleh aku lakukan di sini.

Abang duduk seorang saja kat sini?

Ya.

Abang ada kertas dan pen tak?

Kau cuba cari dalam bilik tengah tu.

Aku berjalan masuk ke dalam bilik tersebut. Bilik itu digunakannya sebagai bilik pejabat kecil lengkap dengan komputer dan sebuah rak penuh dengan segala jenis buku mengenai filem, patung-patung Spawn dan komik-komik yang dikumpulkannya. Aku menjumpai sekeping kertas dan pen di atas mejanya.

Ketika itulah aku terpandang kepada sekeping bingkai gambar yang diletakkan di atas mejanya. Aku memandang ke arah gambar tersebut. Aku rasa aku kenal dengan wanita di dalam gambar itu. Aunty Rafidah...

Aku ambil gambar berbingkai itu lalu membawanya keluar.

Bang... Siapa dalam gambar ni bang? Tanya ku kepadanya.

Dia memandang ke arah ku dengan wajah yang berkerut. Mungkin dia hairan mengapa aku ingin tahu ini semua darinya.

Kawan lama aku... Kami sama-sama belajar di UK.

Jadi... Siapa namanya?

Rafidah Suparman. Ketika itu dia masih dalam pengajiannya di dalam bidang Ekonomi di London School of Economics. Kami sama-sama buat Masters di sana.

Oh...

Kenapa kau tanya ini semua?

Tak ada apa-apa, bang...

Gambar ini telah diambil di Carnaby Street.

Saya tahu. Jawab ku pantas. Memang gambar ini langsung serupa dengan gambar ibu Sanisah yang aku telah temui dan pulang kembali kepada Sanisah. Gambar ini telah diambil pada masa yang sama. Abang kenal dengan seorang wanita bernama Sanisah? Tanya ku kemudian.

Wajahnya berubah pucat. Dia seperti terkejut mendengar nama itu aku sebut.

Abang telah mengambil gambar seorang wanita bernama Haryati di sini juga bukan? Di bawah papan tanda Carnaby Street ini.

Mana kau tahu ini semua?

Aku mahu membuka mulut untuk menjawab, tetapi handphone ku berdering. Zila kata Sanisah baru sahaja muncul di 7Eleven untuk mencari ku. Aku terpaksa pergi. Aku ambil kertas dan pen tadi lalu aku menulis nama dan nombor ku di situ. Aku memberitahu kepada abang Zamani aku perlu pergi. Aku salam tangannya lalu aku terus meminta diri ku.

Saya nak abang ceritakan kepada saya tentang buku yang abang kata ada kena mengena dengan Bohemian Rhapsody. Getus ku di muka pintu.

Buku L'Étranger? Sahutnya dari ruang tamu rumahnya.

Ya.

Kau boleh ke sini sebelum kau masuk kerja... Aku boleh pulang awal jika kau mahu.

Okay. Abang SMS saya bila abang free, ya?

Aku terus mengucapkan selamat jalan kepadanya lalu menutup pintu. Aku cepat-cepat mencari jalan keluar agar aku dapat pulang ke tempat kerja ku. Aku mahu tahu tentang hubungan ibu Sanisah dengan Aunty Rafidah dan abang Zamani, tetapi aku ada hal yang lebih penting. Aku lebih pentingkan Sanisah dari segala-galanya!

Di hadapan 7Eleven aku dapat melihat Sanisah sedang berbual dengan seorang budak lelaki yang begitu beria-ia mahukan nombor telefonnya. Sanisah membisikkan nombornya ke telinganya.

Maaf saya ada hal tadi. Kataku sambil merenung ke arah budak lelaki yang sedang berdiri di hadapan Sanisah. Wajahnya nampak puas. Dia mengeluarkan handphonenya. Dia menyalin nombor yang diberitahu Sanisah itu ke dalam handphonenya itu.

Budak lelaki itu mengucapkan selamat tinggal kepada Sanisah, lalu dia berjalan meninggalkan kami berdua di situ tanpa sedikit pun memandang ke arah ku, seolah-olah aku tidak wujud di situ.

Siapa dia tu?

Budak sekolej dengan I dulu...

Okay.

Kenapa... You jeles ke?

Tak ada lah. Kata ku berbohong. Hatiku terasa seperti dibakar di atas unggun api.

Where were you?

Zila tak cakap ke?

Dia kata you tolong seorang customer yang terjatuh di depan kedai ni.

Ya... Dia tinggal kat kondo KL Plaza. Namanya Zamani. Awak kenal tak sesiapa bernama Zamani yang tinggal kat sini?

Tak. Orangnya macam mana?

Besar.

Besar?

Badan dia sihat... Gemuk.

Oh... Tak. I don't know anybody by that name. Jawab Sanisah dengan ikhlas. Aku memegang kedua belah tangannya. Aku menoleh ke arah Zila yang sedang bekerja di kaunter. Dia menjeling ke arah ku.

Awak keluar malam-malam macam ni buat apa? Tanya ku dengan perlahan.

Tak boleh ke? Sejurus menjawab, dia merapatkan kedua ulas bibirnya.

Boleh... Tapi mesti ada sebab, kan?

I was in the neighbourhood, so tak salah kan, kalau I jumpa you di sini?

Tak salah. Kata ku tersenyum. Tapi saya kena kerja.

Okay... I tahu. I just wanted to say hi!

Kenapa awak rindu dengan saya ke?

Entahlah. I don't know. Mungkin jugak.

Saya pergi ajar Yusnor naik motor.

I know. Dia ada beritahu I tadi. Tapi I harap dia tak excited sangat. Peperiksaan SPMnya seminggu dua sahaja lagi.

Tu lah... Tapi dia kata dia nak release tension. Sebab tu dia nak belajar bawak motor.

Well... He's smart enough to decide for himself. Dia bukannya budak kecik lagi.

Awak okay tak duduk dengan Aunty Rafidah?

Okay jer. Tapi macam I cakap hari tu, dia tak suka I keluar malam macam ni.

Betul cakap dia tu.

Well... Perhaps you're right. Kalau macam tu, I nak balik. Kalau lambat sangat pulang nanti Aunty Rafidah bising pulak nanti. Ye lah, I pun duduk menumpang...

Aku mengangguk. Sanisah mengingatkan ku supaya menghantar SMS kepadanya nanti, kerana dia suka menerima pesanan SMS dari ku terutamanya pada lewat malam.

Aku masuk ke dalam 7Eleven. Dari dalam aku dapat melihat Sanisah melintasi jalan untuk ke tempat meletak kereta di situ. Belum apa-apa aku dah rasa kerinduan yang amat sangat kepadanya.

Handphoneku bergetar. Aku menerima pesanan SMS. Aku membuka pesanan tersebut yang tertulis:

Freedom is nothing else but a chance to be better. - Albert Camus. Jumaat ini datang ke tempat aku pukul 6 petang. Zamani.

Aku menjawab pesanannya dengan perkataan 'OK'.

Sepanjang malam aku tidak dapat berhenti dari berfikir tentang hubungan abang Zamani, Aunty Rafidah dan ibu Sanisah. Mengapa aku diketemukan dengan mereka?

Aku yakin Prasasti telah merancang ini semua tanpa pengetahuan ku...

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!