|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-12-07 - 4:19 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 1
Pa: Panggilan telefon dari Rosmah Sudah lama Pa tidak mendengar namanya itu digunakan. Jadi apabila namanya itu digunakan untuk memanggil dirinya, dia sudah dapat meneka pasti ada sesuatu perkara yang tidak diingininya berlaku kepada orang yang disayanginya. Pa terduduk di atas pangkin pelamin yang baru sahaja dibinanya. Dia terasa seperti mahu pitam. Kawan-kawannya yang lain seperti Ma, Linda dan Celisha terus mendapatkannya. Ma cepat-cepat mengipaskan Pa yang bertubuh gempal itu. Seperti seorang ratu, Pa kembali berdiri tanpa menunjukkan sebarang emosi. Dia berjalan keluar dari rumah pengantin yang sedang mereka berempat sediakan untuk hari esok. Dia perlu mendapatkan udara segar. Dia berjalan terhuyung-hayang dengan mulutnya ditutup dengan tangan kanannya. Ma yang kurus seperti biskut itu cuba memimpinnya agar dia tidak jatuh lalu menghempap barang-barang hantaran hasil kerja tangan mereka. "Kenapa nok? Apa dah jadi ni?" tanya Ma dengan nada serius. Pinggangnya ramping macam Saloma. Memang dia meminati Saloma pun. Sejak kecil lagi dia telah menganggap Saloma sebagai ratu yang bertakhta di hatinya. Sebab itulah dia dipanggil dengan nama Ma. Ketika dia membuat show bersama Pa di sebuah resort di Pantai Cherating dahulu, lagu-lagu Saloma lah yang dibawanya. Si Pa pula akan membawa lagu-lagu Syarifah Aini. Siapa tak kenal dengan mereka berdua? Satu Pantai Timur mereka hiburkan dengan lagu-lagu evergreen Saloma dan Sharifah Aini. "Kakak Mak baru saja meninggal dunia, nok." Jawab Pa dengan nada sedih. Dia cuba mengawal air matanya dari turun bercucuran. Di dalam kepalanya tiba-tiba kedengaran soundtrack lagu Hapuslah Airmata Mu. Semakin sedih lah dia jadinya. "Innalillah..." Sambut Ma. Dia menoleh ke arah Linda dan Celisha yang sedang berdiri terpinga-pinga di atas pelamin. "Kau balik lah dulu nok..." Saran Ma. "Pergi duduk berehat, tenangkan fikiran." "Tapi kerja kita di sini macam mana?" "Kita semua boleh uruskan." "Tapi-" "Mak tahu kau nak semuanya perfect. Jangan risau! Kita kan dah lama buat kerja ni." Pa mengangguk lesu. Dia perlu tenangkan fikirannya. Berita yang diterimanya terlalu mengejutkan. Apa tidaknya, kakaknya yang disayangi tiba-tiba sahaja pergi begitu sahaja. Pa keluar dari rumah pengantin yang terletak di Wangsa Maju itu lalu terus mengambil teksi untuk pulang ke flatnya yang terletak di Kampung Baru. Di sepanjang perjalanan jiwanya resah. Perasaannya tidak tenteram. Masakan tidak, kakaknya itu sudah banyak kali memujuknya supaya pulang ke kampungnya tetapi Pa berdegil tidak mahu menjejakkan kakinya lagi ke sana. Walaupun begitu, mereka masih terus berhubungan melalui surat ataupun panggilan telefon. Ada kalanya Pa akan menghantar kepada kakaknya gambar-gambarnya yang terbaru. Kakaknya memang suka Pa menghantar gambar-gambarnya itu, kerana menurutnya, inilah satu-satunya cara untuk dia menghilangkan rindunya kepada adik kesayangannya itu. Kali terakhir kakaknya itu pergi menemui Pa adalah pada empat tahun yang lepas ketika dia menghadiri satu kursus kesihatan di Kuala Lumpur. Ketika itu, Pa ditunjukkan kepada gambar anak saudaranya yang bernama Hadi yang pada ketika itu berusia dua tahun. Pa mendapati Hadi adalah seorang anak yang comel. Berkulit putih dan mempunyai wajah persis bapanya, yang hanya akan menjanjikan bahawa satu hari nanti dia akan menjadi seorang pemuda yang kacak. Setibanya Pa di rumah, dia terus masuk ke dalam biliknya. Dia mengeluarkan surat-surat serta gambar-gambar yang telah diterimanya dari kakaknya itu. Dia menangis lagi. Dia mengeluarkan gambar Hadi, yang terbaru sekali menunjukkan Hadi dibawa bapanya ke sekolah dengan menaiki motornya bersama ibunya di sebelah. Air mata Pa terjatuh ke atas gambar. Pa cepat-cepat mengesat air matanya itu dari permukaan gambar tersebut. Dia takut air matanya itu akan merosakkan gambar lalu menidakkan memori yang dia ada terhadap keluarga kakaknya yang disayanginya itu. Pada lewat malam itu, Ma pulang ke rumah. Dia pergi mendapatkan Pa di biliknya. Pa duduk termenung sambil menghadap ke gambar Sharifah Aini yang diletakkan di atas meja soleknya. Dia perlu menguatkan semangatnya. Dia perlu mempunyai semangat kental macam Kak Pah. Walaupun banyak onak dan duri perlu di hadapinya, Kak Pah tetap diva - dan inilah yang mahu dicontohi Pa. "Kerja semua we all dah siapkan. Pelamin pun dah cantik. Keluarga pengantin suka dengan kerja-kerja kitaorang." Jelas Ma. Pa mengangguk perlahan. Dia mengeluh lesu. "Jadi u'olls nak balik Muar ke?" Tanya Ma meminta kepastian. "Mak tak tahu lah nyah." "Sampai bila u'olls nak jadi macam ni? Sampai bila u'olls nak bertekat tak nak balik kampung u'olls lagi?" "Mak dah tak ada apa-apa lagi di situ, nyah." "Anak saudara u'olls masih ada di situ, kan?" "Itulah masalahnya sekarang nok!" "Masalah apa?" "Mak kena bawak balik budak tu ke sini." "Haiyohhh, sentap nih!" Mata Ma terbeliak. Tapi dia nampak teruja. Dia memang suka dengan budak-budak dan entah mengapa, budak-budak yang tinggal di kawasan ini pun suka dengannya. Cita-cita besarnya adalah untuk menjaga seorang anak angkat yang dapat dicurahkan segala kasih sayang yang ada di dalam dirinya. Sekurang-kurangnya, jika dia ada anak angkat, ada orang yang akan memanggilnya dengan panggilan 'mak' di dalam konteks sebenar-benarnya. "Mak dia yang mintak ini semua." "Jadi apa masalahnya sekarang, nok?" "Nyah! Kita mampu ke?" "Mampu apa?" "Mampu jaga budak ni! Diri kita pun ada kalanya tak terurus!" "Nok... Anggap budak tu sebagai rahmat. Soal cari makan soal rezeki, nok. Rezeki Tuhan yang beri. Walaupun hidup kita susah, mana tahu budak tu murahkan rezeki kita nanti." "Entah lah nok..." "Oh ya, Lady Sarah Shamara nak jumpa." Ujar Ma. Dia tahu Pa takut benar dengan nyah 'kertu' ini. Lady Sarah Shamara adalah 'mak ayam' bagi mereka berdua. Mereka berdua bekerja pun di bawah naungan ratu segala ratu ini. Orangnya garang. Kalau pelamin yang dibina dan dihias Pa tidak mengikut spesifikasi kualiti yang ditetapkan Lady Sarah Shamara, depan-depan orang ramai dirinya akan dimaki hamunnya. "Apahalnya, nok?" "Tadi dia ada tanya u'olls pergi mana, jadi mak bagitahu lah apa yang berlaku. Sekarang dia nak jumpa u'olls." "Tak mahu lah... Mak takut!" "Jom lah! Nanti mengamuk ponen kertu tu nanti!" Ma menarik tangan Pa. Jam menunjukkan pukul 12.20 malam. Lady Sarah Shamara belum tidur lagi. Dia jarang tidur malam walaupun esoknya dia ada kerja mengandam. Ada orang kata dia ada ilmu. Apa tidaknya, dia mampu membuatkan Leman Tanjung Malim yang sejantan-jantannya nampak macam peserta Miss World. Inikan pula pengantin perempuan yang diandamkannya... Pa mengeluh. Dia membetulkan rambutnya. Dia berdiri tegak. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Lady Sarah Shamara tinggal di tingkat paling atas flat mereka. Dengan teragak-agak dia mengikut Ma untuk pergi menemui mak ayam mereka ini. Lif terbuka. Di dalamnya Ma dan Pa dapat melihat kelibat Rais di situ, seorang pemuda berusia 21 - seorang mat rempit yang berasal dari Sungai Petani, Kedah. "Awal kau balik hari ni Rais?" tanya Ma dengan sinis. Rais tidak menjawab. Dia hanya menjeling. Dia keluar dari perut lif lalu berjalan terhuyung-hayang ke rumah sewanya. "Dah lalok, lah tu!" tegur Pa pula. Mereka masuk ke dalam ke dalam lif. Bau ganja bercampur arak menusuk ke dalam hidung mereka. "Muka hensem macam dia tu kalau dah jadi mat fit... Satu sen pun tak guna, nyah! Semalam aku dengar dia kena pecat dari tempat kerja dia tu sebab selalu datang lambat! " Keluh Ma. Pa tidak menjawab. Matanya terus ke siling lif. Diam tanpa kata. Oleh Nizam Zakaria
|