|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-12-29 - 2:23 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 11
Rais: Mee Soto Istimewa Seperti kebiasaannya, pada petang Jumaat itu Hadi akan berbasikal untuk ke padang bola. Di situ dia dapat melihat Wan bersama rakan-rakannya yang lain bermain bola. Tapi pada hari ini terdapat satu perbezaan yang ketara di padang bola. Cikgu Sherita ada di situ di samping Muzaffar. Hadi mengambil keputusan untuk bersembunyi di sebalik sebuah pokok besar yang rendang. Dia hairan melihat Muzaffar si kaki buli itu akhirnya masuk di dalam pasukan bola ini yang dianggotai Wan dan beberapa pelajar lain yang pernah dibulinya. Cikgu Sherita bercekak pinggang memandang ke arah Muzaffar. Lebih-lebih lagi apabila dia tak mahu bekerjasama dengan anggota-anggota pasukan yang lain yang lebih kecil saiz tubuh dan lebih muda usianya. "Awak main-main lagi! Kalau awak main-main saya akan beritahu kepada bapak awak yang awak main-main!" Kata Cikgu Sherita dengan suara tegas. Dia memang cukup marah dengan Muzaffar. Apa tidaknya, baru sekarang dia tahu ramai di antara anak-anak muridnya yang menjadi mangsa buli si Muzaffar. "Mana ada main-main cikgu!" "Dah, jangan nak melawan." Cikgu Sherita membeliakkan matanya. Satu ketika dahulu Muzaffar pernah menjadi anak muridnya. Memang si Muzaffar ini degil, orangnya, tetapi dia tak pernah menyangka dia akhirnya akan menjadi seorang kaki buli. Muzaffar menjeling ke arah Wan. Dia tahu Wan yang telah memberitahu kepada Nad dan seterusnya Nad telah melaporkan tentang aktiviti bulinya kepada guru besarnya. Bapanya telah dipanggil untuk menghadap guru besarnya semalam. Nad memberitahu kepada guru besarnya supaya jangan mengenakan hukuman buang sekolah terhadap Muzaffar. Nad berjaya mendapatkan sepenuh kepercayaan dan kerjasama dari guru besar agar menyerahkan Muzaffar supaya dia berada di bawah jagaannya dan cikgu Sherita. Muzaffar perlu datang ke setiap latihan yang diadakannya. Itulah syarat yang diberikan. Jika tidak Muzaffar akan dibuang sekolah. Bapa Muzaffar, Encik Mustafa bersetuju benar dengan hukuman ini. Nad yakin bahawa dia mampu mengubah Muzaffar menjadi seorang manusia yang lebih baik. Dia yakin sukan dapat membantu seorang budak lelaki seperti Muzaffar menjadi lebih berdisiplin. Muzaffar menyepetkan matanya ke arah Wan. Wan ketakutan. Dia menjauhkan dirinya dari Muzaffar. Semalam teruk Muzaffar dipukul bapanya. Tak cukup dengan dipukul, dia disuruh ketuk ketampi di hadapan keluarganya pula. "Jaga kau!" bisik Muzaffar kepada Wan. Wan menelan air liurnya. "Cikgu kenal dengan budak tu?" tanya Nad ke arah Hadi yang sedang bersembunyi di belakang pokok. "Itu Hadi... Dia tinggal berdekatan di sini. Kenapa?" "Dia selalu tengok kami bermain." "Kenapa tak jemput dia main sekali?" "Entahlah... Wan kata mak dan bapaknya tak bagi." "Maksud Nad, Ma dan Pa?" "Ya... Bukan itu mama dan papa dia?" "Bukan," cikgu Sherita tersenyum. "Mereka penjaga Hadi... Pa itu pakciknya." "Oh." Nad menganggukkan kepalanya. Kemudian dia menjerit ke arah Muzaffar. Dia menyuruhnya mempercepatkan pergerakannya menggelecek bola. "Kaki bangku ke ah!" Muzaffar mengeluh. Dia menoleh ke arah Hadi yang sedang memerhatikannya dari jauh. Beberapa detik kemudian, Hadi cepat-cepat mendapatkan basikalnya apabila dia mula menyedari Muzaffar sedang memerhatikannya. "Cikgu tahu di mana tempat tinggal Hadi ni?" "Kenapa?" "Saya rasa dia minat main bola." Nad meniupkan wiselnya. Dia meminta pasukannya yang tidak bernama itu berlatih menendang bola masuk ke dalam lubang gol pula. "Dia tinggal di flat depan tu jer. Tingkat 7. Rumah nombor 3. Rumahnya kalau Nad nak tahu yang paling cantik dan paling bersih dengan langsir mengalahkan rumah mak datin." "Oh ye ke?" "Nanti Nad pergi ke rumahnya Nad tahulah." Cikgu Sherita tersenyum sambil berpeluk tubuh. Dia memandang ke arah Muzaffar. Marahnya kepada Muzaffar belum reda lagi.
Selepas latihan diadakan, Nad melangkah ke arah flat tempat tinggal Hadi. Dia pergi ke unit rumah yang disebutkan cikgu Sherita. Seperti yang dikatakan cikgu Sherita, memang rumah Ma dan Pa dijaga dengan baik. Di luar rumah ada terdapat pasu-pasu dengan pokok-pokok bunga yang menyegarkan suasana. "Assalamualaikum." Ucap Nad dari luar. Pa berjalan ke pintu pagar sambil menjawab salam. Dia dapat melihat seorang anak gadis berpakaian sukan di hadapan rumahnya. Orangnya cantik. Sekali pandang nampak macam tomboy, dua kali pandang nampak macam model iklan TV. "Cik ini siapa?" tanya Pa. Dia tidak biasa menerima tetamu terutamanya pada waktu menjelang maghrib seperti ini. "Nama saya Nurnadhrah. Panggil sahaja Nad." "Jadi Nad nak jumpa dengan siapa?" "Saya nak jumpa dengan Ma atau Pa-" "Saya Pa." "Oh..." Nad cuba sedaya upayanya untuk tidak menunjukkan sebarang rasa terkejut. Walaupun begitu, terlalu banyak perkara yang telah dilaluinya untuk membuatkannya terbiasa dengan apa yang sedang dihadapinya sekarang. "Pa, saya sebenarnya nak berbincang tentang Hadi." "Eh, jemput lah budak tu masuk kalau ya, pun!" ucap Ma dari arah dapur. Pa membuka pintu. Dia menjemput Nad masuk. "Eh, jemput makan, Nad." Ujar Ma dari dapur. "Tak apalah. Saya rasa macam mengganggu pulak." "Eh apa pulak... Meh kita makan sama-sama." Ma meletakkan sebiji mangkuk berisi mee di atas meja makan. Malam ini mereka semua makan mee soto. Rais pun ada. Matanya terus kepada Nad. "Nad... ini Ma. Dan ini Rais, jiran kami yang selalu datang untuk makan dengan kami sebab dia tak ada kerja lagi sebab dia malas nak cari kerja." Ujar Pa menjeling ke arah Rais. Si Rais pula tersengih. "Nama saya Rais." Ujar Rais malu-malu. Dia meletakkan sudu dan garpunya ke tepi. "Saya Nad." Jawab Nad perlahan sambil tersenyum. "Dan ini Hadi, kan?" Hadi mengangguk. Dia memandang ke arah Ma dan Pa. "Saya selalu nampak Hadi tengok kami berlatih petang-petang..." "Oh ye ke?" Ujar Ma. Dia menjemput Nad makan Mee Sotonya yang ditaburkan dengan sambal kicap yang agak banyak. Nad cuba menjamah mee sotonya. Pedas, tapi rasa sedapnya tak terkira. "Kenapa Hadi tak cakap dengan kami yang Hadi selalu pergi lihat diorang berlatih?" tanya Pa. Hadi tidak menjawab. Dia mengunyah cebisan ayam di dalam mulutnya. "Saya sebenarnya nak Hadi masuk ke dalam pasukan kami. Wan kata Hadi suka main bola." Ma dan Pa saling berpandangan. Pa mengeluh. "Nad, bukannya kami tak suka Hadi bercampur dengan budak-budak lain. Tapi kami tak nak dia kena buli." Pa berkata. Di dalam fikirannya dia memikirkan tentang dirinya sendiri yang teruk menjadi mangsa buli di kampungnya dahulu. Dia tak mahu Hadi menghadapi segala trauma yang dihadapinya yang jelas memberi kesan yang mendalam kepada dirinya sehingga kini. "Pa dan Ma tak payah takut. Budak Muz yang buli Hadi tu ada dalam pasukan kami." Nad memberitahu dengan nada yakin. Hadi menelan air liurnya. Dia menoleh ke arah Rais. Dia lihat mata Rais hanya kepada Nad dan Nad sahaja. "Kami tak boleh beri keputusan sekarang-" "Hadi nak main bola dengan kawan-kawan Wan!" pintas Hadi dengan pantas kepada Pa. "Hadi... Bila makan tu tak sopan jerit-jerit macam ni." Tegur Pa. Dia menjeling ke arah Ma. Dia lihat Ma sekadar duduk diam tanpa mahu menyelitkan sebarang pendapatnya. "Tapi Hadi nak main bola." Kata Hadi dengan lebih perlahan. "Pa, kalau Pa takut Hadi kena buli... Is ada. Nanti petang-petang Is pergi temankan Hadi ke padang." Rais beria-ia berkata. Pa termenung ke hadapan. Dia memikirkan tentang Hadi. Haruskan dia benarkan Hadi memasuki pasukan bola yang dipimpin Nad? "Dah lama Nad jadi pelatih pasukan bola sepak untuk budak-budak sekolah tu?" Tanya Ma. "Dah setahun... Saya anggap apa yang saya lakukan ini sebagai kerja sukarela. Saya masih belajar lagi. Budak-budak yang saya latih ni hampir kesemuanya berasal dari keluarga susah dan bermasalah-" "Tapi kami tak susah atau bermasalah." "Saya tahu Ma. Cikgu Sherita pun dah beritahu kepada saya Hadi dijaga oleh dua orang penjaga yang istimewa. Bukan semua pelajar yang bernasib baik sepertinya." Hadi memandang ke arah Ma dan Pa. Dia menunggu sabar agar Pa dan Ma membenarkan dia berlatih di bawah arahan Nad. "Beri kami masa untuk buat keputusan, Nad. Perkara ini kami perlu bawak berfikir dulu, baru kami boleh benarkan." Ujar Pa. Dia memandang ke arah Hadi. Dia lihat wajah Hadi berubah sugul. "Saya faham. Memang saya tak memaksa. Pa dan Ma fikirkan baik-baik nanti. Kalau Pa dan Ma bersetuju untuk benarkan Hadi bermain dengan kami, dia boleh datang ke padang untuk berjumpa dengan saya." Sambut Nad dengan penuh hormat. Matanya kini tertumpu kepada mangkuk mee soto. Dia mahu menghabiskan mee sotonya yang kini dianggapnya sebagai mee soto yang paling sedap yang pernah dicubanya. Oleh Nizam Zakaria
|