|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-12-29 - 2:23 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 12
Rais: Di atas padang Ma dan Pa menonton sebuah rancangan realiti TV yang melibatkan seorang pelakon lelaki yang mereka berdua minati. Rancangan ini mempertontonkan kehidupan individu atau keluarga yang daif. Ma dan Pa saling bertanya jika stesen TV yang menayangkan rancangan ini yang untungnya beratus ribu dari hasil kutipan iklan akan menderma sebahagian dari keuntungan mereka dari manusia-manusia malang yang dipertontonkan kepada umum nasib mereka. "Nyah, macam mana dengan Hadi?" tanya Ma tiba-tiba kepada Pa dengan suara perlahan. Dia tak mahu Hadi mendengar suaranya. Hadi sedang berada di dalam biliknya merajuk. "Kenapa dengan dia?" "Dia nak ikut kawan dia Wan tu main bola." "Dah tu kenapa?" "Bagilah dia main dengan kawan-kawan dia tu. Lagipun mak tengok budak Nad tu baik orangnya." "Kalau dia kena buli lagi macam mana?" "Kan si Rais tu ada." Pa mencebik sambil menjeling. "Nok... Sampai bila kita nak kongkong hidup dia? Sampai bila?" "Dulu kau tentu pernah kena jadi bahan ejekan orang. Kau tentu pernah rasa betapa sedihnya diri kau bila diejek. Dikeji. Dibuli. Aku tak nak Hadi lalui itu semua!" "Nok... Mak tahu sangat. Kekadang tu mak ada jugak fikir, apa dosa mak? Mak sampai tahap tanya kepada diri mak, ada ke agama di dunia ini yang memang meminta pengikutnya membenci, menghukum, menzalimi dan menyisihkan orang-orang macam kita?" "Nok... Kalau kau nak dia lalui kehidupan yang normal, kau kena beri dia hadapi masalah kehidupannya sendiri tanpa kita sentiasa ada untuk melindunginya. Kalau masa kecik ni kita tak biasakan dia dengan segala jenis ragam rencam dunia, dah besar nanti macam mana?" Nasihat Ma. Pa mengeluh. Dia memanggil Hadi supaya keluar dari biliknya. Dia terpaksa memanggil beberapa kali barulah Hadi keluar. "Ya, Pa?" tanya Hadi lesu. "Hadi nak main bola dengan Wan?" Hadi mengangguk perlahan. "Kalau Hadi nak main... Abang Is mesti temankan. Dengar tak apa Pa cakap ni?" Wajah Hadi dengan pantas berubah ceria. Tak sabar rasanya dia mahu ke sekolah esok lalu memberitahu Wan dia akan pergi bermain bola dengan pasukannya.
Awal-awal lagi Rais membawa Hadi ke padang bola sepak. Di situ dia dapat melihat Nad sedang menyusun kon di atas padang. Nad gembira melihat Hadi dapat datang ke sesi latihannya pada petang itu. "Dah lama sampai?" tanya Rais. Dia kemudian mengarahkan Hadi supaya duduk di tepi padang untuk menunggu sehingga budak-budak yang lain datang. "Baru saja sampai." "Awak tinggal kat mana?" "Dekat dengan sini... Palladium... Jalan Gurney." "Awak tinggal dengan siapa?" "Dengan boyfriend." Katanya selamba. Dia melihat wajah Rais berubah. Dia tergelak. "Takdelah... I duduk sana dengan aunty I." "Oh... Awak tak tinggal dengan keluarga awak?" "Tak... Mereka masih berada di Kuala Kangsar." "Awak pulak?" "Saya di sini sorang saja. Duduk dengan member." "Awak study ke, dah kerja?" "Tanam anggur." "Oh..." "Awak study kat mana?" "UTM, Jalan Semarak. I buat diploma jer." "Maaflah kalau saya banyak bertanya." "Alah, apa salah kalau bertanya..." "Ma dan Pa suruh saya jaga Hadi." "Ya, saya tahu." "Mana budak yang buli Hadi tu?" "Muz... Dia tak datang lagi. Kenapa?" "Tak ada apa-apa." Rais menoleh ke arah Hadi. Dia sedang berbual dengan Wan yang nampak sedih. Ada sesuatu yang tak kena berlaku. Beberapa detik kemudian, Rais dapat melihat Wan sedang menangis. "Kenapa Wan?" tanya Nad berjalan ke arahnya. Wan terus menangis. Dia tidak mahu menjawab soalan Nad tadi. "Dia kena buli lagi ke, Hadi?" tanya Rais dengan matanya terus kepada Hadi. "Tak." Jawab Hadi takut-takut. "Dah tu kenapa?" tanya Rais memegang bahu Hadi. "Mak dia gaduh dengan ayah dia." Hadi menjawab dengan berbisik ke telinga Rais. Dia masih segan lagi dengan Nad. "Oh ya ke?" tanya Rais kembali dengan wajahnya terkerut. Dia memberitahu kepada Nad sebab mengapa Wan menangis. "Bapaknya baru sahaja keluar dari pusat serenti... Mak dia dulu ada ambil benda tu jugak, tapi dah berhenti." Bisik Nad kepada Rais. Rais menelan air liurnya. Wajahnya nampak serba salah. Dia tahu dia ada ambil dadah. Tapi dia selalu memberitahu dirinya dia boleh berhenti jika dia mahu. Dia sering beritahu kepada dirinya dia bukan penagih. Dia bukan macam bapa si Wan ini, fikirnya dalam hati. "Wan... Tanda apa ni Wan?" tanya Nad dengan gelisah. Baru dia sedar ada tanda lebam-lebam pada paha Wan dan bahagian lain di tubuhnya. "Apa Wan buat sampai dia jadi marah begitu?" tanya Nad dengan penuh simpati. Dia mengusap-usap rambut Wan dengan harapan Wan akan berhenti menangis. "Dia marah Wan sebab Wan mintak dia duit untuk ikut kelas wan pegi Zoo minggu depan. Dia kata Wan suka habiskan duit dia." "Berapa Wan perlukan?" "Sepuluh ringgit." "Lain kali kalau Wan perlukan wang, Wan tanya kat Kak Nad dulu tau." Beritahu Nad bersungguh-sungguh. Wan mengangguk ketika dia sedang bertunduk begitu. Dia mengesat air matanya. Dia mahu melawat ke Zoo bersama rakan-rakannya yang lain. Dia merasa bersalah kerana telah merengek kepada bapanya tadi sehingga menyebabkan bapanya memukulnya dengan tali pinggang. Dia menyalahkan dirinya kerana telah menyebabkan ibunya bergaduh dengan bapanya tadi. Dia ke sini pun kerana dia ingin melarikan dirinya dari ibu dan bapanya yang bergaduh sampai terbang pinggan dan mangkuk. Hadi berpaling ke arah Rais. Dia lihat wajah Rais kaku memandang ke arah Wan. Nad mengeluarkan kertas tisu dari kocek seluarnya lalu mengesat mata Wan. Dia meminta Wan menghembuskan hingus yang meleleh dari hidungnya. "Wan duduk dulu... Nanti bila Wan dah bersedia, Wan join kitaorang buat latihan, ya? Abang Rais ni akan temankan Wan duduk kat bangku bawah pokok tu." Kata Nad. Dia memandang ke arah Rais. Rais menganggukkan kepalanya kepada Wan. Wan memegang tangan Rais. Rais membawa Wan ke tempat duduk yang dinyatakan Nad. Wan duduk diam di situ sambil memandang ke arah padang. Sesekali Hadi akan menoleh ke arah Wan lalu melambaikan tangannya ke arahnya dan Rais. Lama-kelamaan semakin ramai anggota pasukan bola sepak cilik yang dikendalikan Nad berkumpul di padang, termasuklah Muz. Hadi diperkenalkan kepada rakan-rakan barunya. Wajah Hadi semakin ceria jadinya apabila dia melihat Wan tidak lagi nampak sedih malah dia berjalan meninggalkan Rais lalu pergi mendapatkan Nad untuk memulakan latihannya pada hari itu. Oleh Nizam Zakaria
|