zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-12-29 - 2:23 p.m.

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 13

Rais: Jaguh

Pa menjawab salam. Di luar rumahnya dia dapat melihat Cikgu Sherita. Nad ada bersamanya berdiri di belakangnya sambil tersenyum. Hadi dan Wan berhenti bermain PS2. Mereka memandang ke arah Cikgu Sherita dan Nad.

"Hadi, bawak Wan pergi rumah abang Rais sekejap." Perintah Pa. Hadi mengangguk. Sebentar kemudian mereka berdua keluar dari rumah.

"Budak tu baru saja berhenti menangis." Ujar Ma dari dapur. Cikgu Sherita dan Nad mengangguk lesu.

"Kami baru saja pulang dari rumahnya tadi." Cikgu Sherita membuka lembaran bicara. Wajahnya nampak sayu. Dia memang sayangkan murid-muridnya. Apa yang telah berlaku kepada Wan sememangnya telah membuatnya dirinya tak tenteram.

"Ibunya mahu kami tumpangkan Wan di sini sehingga keadaan di rumahnya reda." Ujar Pa.

"Bapak Wan tak ada di rumah. Tak tahu ke mana lesapnya." Ujar Nad. Dia cuba menghilangkan rasa terkejutnya apabila dia melihat keadaan ibu Wan yang dipukul suaminya.

"Dah keluar masuk Pusat Serenti pun masih tak serik-serik lagi." Keluh Pa.

"Budak Wan tu macam mana keadaannya sekarang?" tanya Nad kepada Pa.

"Bila dia dengan Hadi keadaannya macam biasa jer. Tapi ye lah, budak-budak. Tapi isi hatinya siapa yang tahu."

"Saya dah tak tahu apa yang boleh saya lakukan. Sebab tu saya nasihatkan ibunya supaya tumpangkan Wan di sini buat sementara waktu-"

"Mungkin itu yang terbaik untuknya sekarang." Pintas Ma. Dia menatang dua cawan air teh yang telah disediakannya. Dia terus menjemput Nad dan Cikgu Sherita agar minum. Mereka nampak kebingungan. Mungkin kerana terpaksa berhadapan dengan situasi tegang yang tak pernah mereka hadapi sebelum ini.

Setelah hampir setengah jam berbual-bual, Cikgu Sherita dan Nad meminta diri. Nad berjalan di hadapan rumah sewa Rais. Dia dapat melihat Rais sedang duduk bersama Wan dan Hadi sambil menonton TV. Nad tersenyum ke arah Rais. Si Rais yang tak berbaju itu berdiri. Dia berjalan ke arah pintunya yang terbuka luas itu. Dia memeluk tubuhnya ketika berhadapan dengan Nad. Dia dapati Cikgu Sherita ada di situ.

"Cikgu tunggu kat bawah... Saya nak berbual dengan Rais sekejap." Beritahu Nad. Cikgu Sherita tersenyum sambil mengangguk.

"Saya baru dapat kerja." Bisik Rais kepada Nad.

"Bila?"

"Petang tadi..."

"Kat mana?"

"Kat warung nasi lemak Kak Yam-"

"Kak Yam sebelah padang bola tu?"

"Ya."

"Buat kerja apa?"

"Bancuh air." Jawab Rais tanpa teragak-agak. Rais telah diberikan kerja ini oleh Kak Yam setelah Pa bertanyakan kepada Kak Yam jika dia mempunyai kerja kosong di warungnya itu. Kebetulan, budak Kelantan yang bekerja sebelum ini mahu pulang ke kampung untuk mengerjakan kebun bapanya. Tanpa banyak soal, Kak Yam terus bersetuju untuk mengambil Rais bekerja walaupun Rais tidak mempunyai sebarang pengalaman menyediakan minuman. Tapi seperti kata Pa, Rais sebenarnya cerdik orangnya. Dia cepat belajar.

Rais sebenarnya beria-ia mahu mencari kerja setelah dia bertanyakan kepada Ma bagaimana caranya untuk dia memikat hati seorang gadis. Ma kata: "Hensem macam mana pun kalau tak ada kerja, tak guna. Perempuan tak akan minat dengan kau." Jadi setelah mendengar kata-kata Ma, dia terus beria-ia mahu mencari kerja. Dia tak mahu jadi penganggur. Dia mahu ada duit hasil titik peluhnya sendiri. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa lagi.

"Baguslah macam tu... Sekurang-kurangnya sekarang awak ada pekerjaan. Tak duduk rumah jer goyang kaki." Kata Nad sambil tersenyum. Dia memandang ke arah Hadi dan Wan yang sedang tersengih. "Okaylah... Saya minta diri dulu. Cikgu Sherita tumpang kereta saya..."

"Okay... Kita jumpa esok kat padang." Kata Rais sambil menggaru-garu dadanya yang tak gatal itu. Nad mengangguk. Dia berjalan ke arah lif. Rais menoleh ke arah Hadi dan Wan. Didapatinya mereka tak henti-henti tersengih.

Pada petang itu Rais membawa Wan dan Hadi ke padang. Wajahnya cukup teruja. Dia cepat-cepat mahu berjumpa dengan Nad. Dia terus berjalan ke arah Nad yang sedang mengikat tali kasut bolanya di tepi padang.

"Boleh order Milo ais tak?" tanya Nad berseloroh.

"Bang Is, Adi dengan Wan nak Milo ais jugak!"

"Boleh! Kejap lagi abang bawakan!" jawab Rais dengan pantas.

"Eh, saya gurau je lah." Nad berdiri bertentangan dengan Rais. "Saya ada bawa bekal air saya sendiri."

"Tahu..." mata Rais berpindah ke arah botol air Nad yang diletakkan bersebelahan dengan beg sukannya. Botol air berwarna biru yang diisi dengan air kegemarannya - Milo. "Budak-budak ni pun dah bawa bekal air diorang sendiri... Saja jer nak mintak orang buat dia air kat gerai Kak Yam tu."

"Kenapa hari ini awak nampak macam excited je ni?"

"Oh, awak tahu fasal perlawanan bola sepak antara kelab kanak-kanak bawah 12 tahun?"

"Oh, tahu. Saya ada baca dalam akhbar tadi."

"Jadi-"

"Jadi kenapa?"

"Team awak ni nak masuk tak?"

"Entahlah... Budak-budak ni main suka-suka."

"Lah! Bagi lah diorang peluang bermain dengan pasukan lain!"

"Awak cuba lah tengok budak-budak ni... Main bola pakai kasut sekolah. Itu satu hal. Lagi satu hal, kita tak ada pengurus pasukan. Nak masuk pertandingan bola sepak tu kena ada pengurus pasukan."

"Ye ke?"

"Ya!"

Rais menggaru-garu kepalanya. Dia memandang ke arah Muzaffar yang baru sahaja tiba ke padang untuk memulakan latihan. Dia dapat melihat Muzaffar sedang berjalan ke arah Wan dan Hadi. Dia membiarkan sahaja.

"Apa kata saya jadi pengurus pasukan ini?" kata Rais dengan tiba-tiba.

"Awak nak jadi pengurus pasukan ini?" Nad mengulangi saranan Rais tadi.

"Ye lah. Dah tu siapa lagi?"

Nad memandang penuh ke arah Rais. Dia pernah duduk semeja bersama Ma dan Pa lalu meminta mereka berdua bercerita tentang latar belakang Rais kepadanya. Dia mendapat tahu dari mulut Ma dan Pa sendiri tentang tabiat buruk Rais mengambil dadah dan ada kalanya pulang dalam keadaan mabuk setelah dia menghabiskan masanya bersama kawan-kawan rempitnya yang lain. Walaupun begitu, Ma dan Pa tahu bahawasanya Rais adalah seorang yang berhati baik. Tanpa ragu-ragu mereka memberitahu kepada Nad tentang perkara ini.

"Kalau macam tu... Saya tak kisah kalau awak nak jadi pengurus pasukan kita ni. Tapi saya harap awak serius dan tak main-main."

"Saya memang serius." Rais menoleh ke arah Wan dan Hadi. Dia dapat melihat Muzaffar sedang mengeluarkan sesuatu dari begnya. Rais mahu mendapatkan Hadi dan Wan. Dia takut Wan dan Hadi diapa-apakan oleh Muzaffar nanti.

"Biarkan mereka." Ujar Nad, dia memegang lengan Rais lalu dengan pantas dia melepaskannya seolah-olah dia baru sahaja terkena arus elektrik yang kuat. "Muzaffar tu taklah sejahat mana... Dia membuli sebab dia mahu mendapatkan perhatian. Sekarang Wan dan Hadi tu kawan dia sepasukan. Mereka semua perlu diberikan sedikit masa untuk menerima diri masing-masing di dalam satu pasukan."

Rais mengangguk setuju. "Pasukan ini perlu ada nama."

"Jadi... Awak sebagai pengurus baru pasukan ini nak menamakannya apa?"

"K.G.B."

"Biar betul! Macam nama organisasi perisikan jer."

"KGB tu Kampung Baru... Tapi memang ler nama KGB tu ganas sikit kan?"

"Oh." Nad ketawa sendiri. "Tak ada nama lain ke?"

"Okay, apa kata kita guna nama Jaguh. Kita namakan team ini Jaguh FC?"

"Boleh!" Nad mengangguk pantas. Dia terus memandang ke arah Rais. Dia telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada Rais untuk menguruskan pasukan bola sepaknya. Dia berharap, dia tidak akan menyesal kelak ke atas keputusan yang telah diambilnya ini.



Hadi memandang ke arah kereta Wira yang berhenti di tepi padang. Di dalamnya Muzaffar mencium tangan ibunya sebelum dia keluar dari dalam kereta. Dia menoleh ke arah kereta Wira yang dipandu ibunya itu beredar dari kawasan padang sebelum dia berjalan ke arah Wan dan Hadi.

Wan menahan nafasnya. Dia masih takut dengan Muzaffar walaupun Muzaffar tidak lagi mengganggunya di sekolah. Muzaffar berdiri di hadapannya. Wajah Muzaffar nampak garang, lebih-lebih lagi jika dia berdiri kaku tanpa senyum begitu.

"Nak apa?" tanya Hadi memberanikan dirinya semata-mata kerana Rais ada berdekatan, walaupun dia sedang tekun kelihatannya berbual dengan Nad.

"Bapak aku jumpa bapak kau semalam kat Chow Kit." Muzaffar memberitahu. "Dia kata bapak kau ambik dadah kat belakang lorong."

Wan tidak menjawab. Dia dah lama tahu tentang hal ini.

"Bapak aku sebenarnya kawan baik bapak kau masa diorang kecik-kecik dulu. Dia kata dulu bapak kau tak macam ni."

Hadi memandang ke arah Wan. Dia lihat Wan diam sambil menelan air liurnya.

Muzaffar mengeluarkan sesuatu dari dalam begnya. Dia keluarkan sepasang baju sekolah. Dia serahkan baju tersebut kepada Wan.

"Baju ini aku beli untuk kau. Aku ganti balik baju kau yang aku koyakkan dulu." Kata Muzaffar lalu mengetapkan bibirnya. Bapanya sendiri yang telah memintanya agar menggunakan wang sakunya sendiri untuk membelikan baju sekolah Wan sebagai hukuman ke atas segala apa yang telah dilakukannya selama ini kepada Wan di sekolah.

"Terima kasih." Jawab Wan perlahan sambil menggigit kuku. Dia berpaling ke arah Hadi. Dia dapat melihat Hadi sedang memandang ke arah Rais yang nampaknya bersungguh-sungguh menyebut perkataan 'Jaguh FC' kepada Nad...


Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!