|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-12-29 - 2:23 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 14
Rais: Gian Rais melihat kumpulan Jaguh yang diuruskannya berlatih hampir setiap petang. Ahli-ahli pasukan bola sepak yang cilik itu kelihatan bersungguh-sungguh berlatih walaupun mereka kekurangan wang untuk membeli pakaian dan kasut yang sesuai untuk bermain bola sepak. "Kita ada seminggu lagi untuk berlatih sebelum pertandingan bermula." Rais mengingatkan Nad sesuatu yang dia sudah sedia maklum. "Bahagian midfield perlu dilatih lagi agar mereka boleh bergerak lebih pantas menggelecek bola." "Hadi dan Wan tu perlu ditingkatkan skill mereka. Tapi overall diorang tu okay lah. Especially Hadi. Dia memang ada bakat." Sambut Nad dengan matanya terus ke padang. "Itulah... Saya rasa dia memang ada bakat. Hanya perlu diasah sahaja." "Dia kata ada kalanya awak ada ajar dia main bola?" "Ya." Jawab Rais sambil tersenyum. "Awak ni pemain bola, kan?" "Tak lah." "Jangan bohong!" "Emm..." "Saya tahu awak budak bola dari hari pertama kita bertemu." "Mana awak tahu?" "Entahlah... Sebab saya minat dengan bola sepak, jadi saya boleh tahu siapa yang main bola dan siapa yang kaki bangku. Bila saya perhatikan awak... I know you have a passion in football." Jelas Nad lalu dia menambah lagi, "lagipun, lutut awak ada kesan kecederaan yang selalunya pemain bola jer yang ada." "Tu semua cerita lama..." jawab Rais. Wajahnya berubah serius. Suaranya berat ketika berkata-kata. "Cerita lama macam mana ni?" "Saya tak nak ingatkan itu semua!" "Awak kecewa?" "Kecewa?" "Saya lihat awak macam kecewa dengan sesuatu." Garis-garis kedutan terbentuk di dahi Rais ketika dia menggeleng lesu. Dia memandang ke belakang. Sebuah motosikal berhenti di tepi padang sedang membunyikan hon berkali-kali. "Siapa tu?" tanya Nad. "Member." Jawab Rais dengan pantas. Rais mengorak langkah untuk mendapatkan kawannya. "Nak jumpa member sat." "Itu awek yang kau suka sangat tu?" tanya Syam kepada Rais. Sham memeluk tubuhnya yang kurus kering itu. Rambutnya dibiarkan kusut. Rais tidak menjawab. Dia menjeling ke arah Nad yang sedang meniup wisel. "Cun budak tu." Syam menggeliat di atas motor. "Hang nak jumpa aku kat sini untuk apa?" "Kenapa bila aku SMS kau tak nak jawab? Aku call pun kau tak nak angkat?" "Aku dah start kerja. Aku sibuk." "Oh... Bila kau dapat gaji nanti bolehlah kau belanja aku. Kita keluar minum-minum ke-" "Aku cuba nak kurangkan apa yang aku ambik, lah Sham. Aku nak berhenti minum. Aku tak nak balik ke rumah mabuk. Kekadang tu muntah-muntah tepi jalan. Aku nak kurangkan ambik ganja." "Hek elleh! Apesal ni beb!" "Rilek lah." "Kau nak berubah? Kau ingat kau boleh berubah?" "Aku boleh berubah kalau aku nak-" "Butoh bapak hang lah!" Nad menoleh ke arah Rais dan Sham. Dia cepat-cepat menoleh ke arah padang. Dia tak selesa mendengar Sham mencarut-carut di hadapan budak-budak di bawah jagaannya. "Kau kan Rais, senang jer kau lupa! Kau tak ingat ke siapa yang ajar aku minum, ambik ganja, ambik syabu tu semua? Siapa lagi yang ajar aku buat jahat kalau bukan kau?" "Sebab tu lah kau tak nak jumpa aku lagi? Sebab kau nak jadi budak baik?" "Ya." Jawab Rais teragak-ajak. "Ini semua fasal betina tu kan? Molek sangat lah tu!" getus Sham dengan penuh sinis. "Bukan... Memang aku nak berubah. Aku tak nak beli dadah dari kau lagi. Kalau kau berhenti jual dadah ni pun ada baiknya." Sham meluat mendengar kata-kata Rais. Dia meludah ke tepi. Satu ketika dahulu Rais pernah mengajaknya untuk mencuba dadah, kini dia pula yang jadi pengedar dadah lalu menjual dadah kepada penagih seperti Rais. Dalam keadaan benci Sham menghidupkan enjin motosikalnya lalu berkata: "Aku nak tengok kau boleh berhenti ke tak! Bila kau dah start gian, kau sendiri yang akan datang merangkak kat aku nanti!" Rais melepaskan nafasnya. Dia menoleh ke arah Nad. Dia dapati Nad menoleh ke arahnya sekali sebelum dia kembali memandang ke arah padang. Kemudian mata Rais berpindah ke arah Hadi. Dia dapat melihat Hadi sedang memandang ke arahnya dari jauh.
Hadi baru saja lepas mengaji. Dia berjalan pulang ke rumah. Dia naik lif. Dia tekan butang lif untuk ke tingkat rumahnya. Pintu lif tertutup, tapi belum sempat pintu lif tertutup rapat, dia dapat melihat tangan yang menghalang lif dari tertutup. Hadi terkejut. Pintu lif terbuka. Dia dapat melihat Rais di luar lif. Hadi melepaskan nafas lega. "Ingatkan siapa tadi!" ujar Hadi sambil mengurut dadanya. Rais menyandarkan tubuhnya di dinding lif. Tubuhnya basah berpeluh. Dia menggigil. "Tadi Kak Nad cari abang, tapi abang tak datang ke latihan. Dia kata dia cuba call abang, tapi abang tak jawab. Abang Is sakit ke?" tanya Hadi dengan nada risau. Dia melihat mata Rais berair. Hidungnya berhingus. "Hang tak payah risau fasal aku!" Kata Rais tanpa memandang ke arah Hadi. Tekaknya terasa mual. Badannya terasa sengal-sengal sejak semalam. Buat pertama kali dia merasakan apa yang dikenali dengan nama gian. Dia tidak suka dengan apa yang dialaminya sekarang. Dia terasa seperti mahu mati. "Kalau abang sakit macam ni... Esok abang boleh tengok kami main tak?" "Hang tak perlu risau! Berapa kali aku nak habaq!" Rais menaikkan suaranya. "Awat hang yang kalut semacam ja ni!" Kata-kata Rais membuatkan Hadi terdiam. Rais menarik nafasnya dalam keadaan serba salah. Rais mengusap kepala Hadi seolah-olah mahu dirinya dimaafi, tapi Hadi hanya berdiam. Beberapa detik kemudian dia termuntah di hadapan Hadi. Pintu lif terbuka. Hadi cepat-cepat keluar. Rais berjalan keluar dari dalam perut lif. Dia memeluk tubuhnya yang terasa teramat sejuk pada ketika itu. Dia dapat melihat Hadi cepat-cepat mahu masuk ke dalam rumah. Dia sedang memberitahukan sesuatu kepada Pa. Pa menjenguk ke arahnya. Rais terkial-kial mahu membuka pintu. Dia mengesat mulut dan hidungnya yang berlendir. "Bagi aku kunci tu," ujar Pa dengan tenang. Rais ingin menyerahkan kunci tersebut kepada Pa, tapi kunci jatuh ke atas lantai. Pa mengutip kunci Rais. Pa membuka pintu rumah sewa Rais yang kosong pada waktu itu. Rais berlari masuk ke dalam tandas. Dia mahu melegakan keadaan dirinya yang sedang mengalami cirit-birit. "Dah berapa lama kau tak ambil dadah?" "Seminggu." Ujar Rais dari dalam tandas. "Sejak bila kau ambil dadah?" Rais tidak menjawab. Dia tidak mahu memberitahu Pa yang dia telah berjinak-jinak mengambil dadah sejak dia berusia 17 tahun. Ketika itu dia pernah menjadi ketua pasukan bola sepak di sekolahnya. Setahun selepas itu pula dia hampir-hampir dipilih untuk mewakili pasukan bola sepak Kedah jika bukan kerana kesan dadah yang dijumpai di dalam air kencingnya. Rais kecewa, kerana peluangnya untuk bermain bola langsung tertutup. Dalam keadaan kecewanya dia membawa diri ke Kuala Lumpur. Kalau boleh, dia tak mahu lagi fikirkan tentang impiannya untuk menjadi pemain bola, kerana dia tahu dia tidak mungkin akan dapat mencapai impiannya itu. "Kalau kau perlukan apa-apa bantuan... Aku dan Ma sedia menolong." "Is tahu, Pa." Kata Rais dengan perlahan. Dia terus duduk di dalam tandas. Beberapa saat kemudian dia dapat mendengar bunyi pintu rumahnya di tutup. Rais menarik nafasnya dalam-dalam. Rais menyeluk tangannya ke bahagian belakang tangki tandasnya. Dia menjumpai satu straw dadah yang ada disimpannya di situ. Dia merenung ke arah straw dadah di dalam tangannya yang pastinya akan menghilangkan rasa gian yang terpaksa ditanggungnya pada ketika itu. Fikir Rais, dia sekurang-kurangnya perlu nampak sihat ketika Pasukan Jaguh yang diuruskannya buat pertama kalinya bermain di dalam pertandingan bola sepak yang mereka sertai esok. Dia tidak boleh berkeadaan seperti sekarang... Oleh Nizam Zakaria
|