zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2006-01-20 - 4:10 p.m.

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 16

Pa: Di atas astaka

Ma dan Pa dapat melihat Celisha dan Linda berjalan di tepi padang lalu mencari kelibat mereka. Beberapa orang pemuda bersiul ke arah mereka, lebih-lebih lagi Linda yang cantik, bertubuh langsing dan tinggi lampai itu.

Ma melambaikan tangannya ke arah mereka, walaupun dari setengah batu mereka sudah dapat melihat payung merah jambu yang sedang digunakannya ketika sedang duduk di sebuah astaka yang telah disediakan untuk penonton.

"Sorry lah lambat." Ujar Linda dengan lembut. Mereka berdua terus duduk di sebelah Ma dan Pa.

"Perlawanan akhir baru sahaja bermula." Pa memberitahu. Penonton mula bersorak apabila para pemain dari pasukan Tiger Cub dan Jaguh masuk ke padang.

"Hadi!!!" jerit Ma. Hadi menoleh ke arah Ma lalu melambaikan tangannya. Beberapa orang penonton menoleh ke arah Ma sambil tersenyum. Kebanyakan daripada mereka yang duduk di sini adalah penyokong-penyokong Pasukan Jaguh. Di astaka sebelah pula adalah penyokong-penyokong Tiger Cub.

Linda memerhatikan penonton-penonton yang menyokong Pasukan Tiger Cub. Kebanyakannya nampak berpakaian ranggi. Mereka jelas bukan tergolong dari orang kebanyakan. Linda nampak seorang gadis remaja yang sedang menggunakan beg Channel yang diidamkannya selama ini. Linda mengeluh lesu. Dia tak tahu sampai bila dia harus terus menyimpan secebis impian yang sukar terlaksana sedangkan dia melihat seorang gadis yang entah apa-apa sudah boleh memakai beg yang diidamkan.

Para pemain semua nampak sudah siap sedia di atas padang. Pasukan Jaguh telah diberi peluang untuk sepak-mula. Pengadil meniup wiselnya lalu Muzaffar menendang bola ke arah Hadi.

Segalanya bermula di sini.

Nampaknya Pasukan Tiger Cub bukan calang-calang pasukan. Pasukan ini cukup terlatih. Pergerakan mereka pantas dan lincah di atas padang. Penyokong pasukan Jaguh yang sedang duduk di astaka Pasukan Jaguh terdiam dalam keadaan tegang. Mereka menyerahkan segala-galanya kepada takdir.

Hadi mengawal bolanya lalu mencari teman sepasukannya untuk membuat hantaran. Dia nampak kelibat Wan. Mereka bertentang mata buat beberapa saat, tetapi dalam beberapa saat itulah bolanya di rampas oleh pemain tengah Pasukan Tiger Cub. Dia terus mengelecek bola dengan tangkas lalu apabila dia tiba dekat dengan tiang gol, dia terus menendang bola dengan satu tendangan yang deras. Fadli yang menjaga gol berjaya menyelamatkan bola.

Tak sampai lima minit perlawanan, Pasukan Tiger Cub hampir-hampir menjaringkan gol mereka yang pertama.

Anggota-anggota Pasukan Jaguh saling berpandangan. Mereka nampak seperti kehilangan semangat. Mereka mempunyai 40 minit lagi untuk bermain. Sebelum ini setiap perlawanan yang mereka sertai mereka mampu menang mudah, tapi bukan kali ini.

"Main lah betul-betul!" jerit Muzaffar kepada Najmie dan Shegar di bahagian pertahanan. Mereka perlu bermain habis-habisan sehingga ke minit yang terakhir, walaupun mereka kalah 10-0 sekalipun. Fikir Muzaffar, walaupun mereka kalah dalam perlawanan ini, mereka perlu kalah dalam keadaan bermaruah bermain bermati-matian dengan penuh semangat.

Tiger Cub menguasai bahagian sudut dekat dengan pintu gol. Salah seorang penyerang Tiger Cub tiba-tiba sahaja muncul di sebelah Wan lalu menanduk bola ke arah pintu gol. Lagi sikit bola itu akan masuk ke lubang gol jika tidak kerana ia terkena palang gol.

Pa mengusap-usap dadanya. Dia menoleh ke arah Ma. Dia dapati Ma tidak lagi menjerit-menjerit memberi semangat macam tadi. Dia sedang mengesat peluhnya yang mula merenik di dahi.

Sepuluh minit seterusnya, Jaguh menerima serangan bertubi-tubi dari Tiger Cub. Muzaffar dengan pantas mengambil keputusan untuk mendapatkan pemain-main lain untuk menguatkan bahagian pertahanan semata-mata untuk menepis serangan pantas dan pergerakan lincah dari Tiger Cub yang menghujani mereka. Malah dia sendiri kini terpaksa berada dekat dengan pintu gol untuk mengelakkan bola dari menembusi gawang.

Impian ngeri mereka berlaku jua akhirnya.

Hadi cuba menyelamatkan pasukannya dengan cuba menanduk keluar bola yang bergerak laju ke arahnya. Dia gagal. Bola jatuh di atas padang lalu melantun terkena kasut bola seorang pemain Tiger Cub, yang dengan pantas mengambil peluang ini untuk menyepak bola masuk ke lubang gol sebelum sempat Muzaffar dan Jason menyekatnya.

15 minit sebelum wisel penamat ditiup dan kini Jaguh ketinggalan 1-0 kepada Tiger Cub.

Pa mengeluh. Dia dapat mendengar keluhan penyokong-penyokong Jaguh yang ditenggelamkan oleh sorak gembira penyokong-penyokong Tiger Cub.

Pa, Ma, Linda dan Celisha saling berpandangan tetapi mereka cepat-cepat berpaling ke arah lain. Mereka tak mampu melihat kegelisahan dan keperitan yang terpancar di mata masing-masing. Mereka mula dapat merasakan Jaguh pasti akan kalah dalam perlawanan kali ini tetapi mereka kini dengan serentak dan sebulat suara ingin memberi semangat kepada Jaguh agar terus berjuang. Walaupun mungkin Jaguh kalah dalam perlawanan hari ini, sekurang-kurangnya mereka dapat membuktikan bagaimana bangganya mereka kepada Jaguh khususnya kepada Hadi yang telah melakukan segala-galanya untuk berjuang mempertahankan maruah pasukannya.

Hadi menggosok-gosok rambutnya. Dia kerisauan. Dia menoleh ke arah Nad dan Rais. Wajah mereka jelas kusut. Jaguh tidak mempunyai banyak masa lagi. 10 minit sahaja lagi sebelum wisel penamat dibunyikan. Dia memandang ke arah rakan-rakan sepasukannya yang lain. Masing-masing kepenatan.

Hadi bertekad untuk main dengan lebih bersungguh-sungguh. Kesungguhannya ini mula disedari oleh salah seorang pemain Tiger Cub bernama Zaki. Zaki perlu memastikan agar Hadi dijaga dengan rapi agar segala tindakannya untuk cuba menjaringkan gol cepat-cepat dapat dipantas olehnya.

Zaki mula mendapati Hadi ini walaupun kecil agak terlalu lincah buat dirinya. Apabila bola dihantarkan kepadanya, Hadi dengan pantas dapat merampas bola tersebut darinya lalu menendang ke arah Wan.

"Zaki! Stop dreamning lah!" jerit jurulatih Zaki dengan kuat.

Zaki memandang ke arah Hadi dengan perasaan benci. Dia kemudian menoleh ke arah penonton. Dia dapat melihat Hadi sedang memandang ke arah Ma, Pa, Linda dan Celisha yang sedang memberi kata-kata perangsang kepada dirinya.

"Hoi, tak tahu malu ke mak kau pondan!" getus Zaki apabila dia berdiri di belakang Hadi.

"Mak dia pondan pun, mak dia lagik cantik dari mak kau tu yang serabai tu!" sambuk Muzaffar yang berada dekat dengannya.

"Eh, kau ni apesal berani panggil mak aku serabai!" getus Zaki. Dia mendada ke arah Muzaffar dengan tangannya menuding ke arah Hadi. "Aku kutuk dia sebab mak dia PONDAN! Macam korang ni semua! Main bola macam PONDAN!"

Hadi dengan marah menumbuk muka Zaki. Si Zaki pula dengan penuh drama rebah ke atas padang sambil memegang mukanya. Muzaffar terpaksa memegang tubuh Hadi yang cuba menyepak Zaki yang sedang tergolek-golek di atas padang. Pengadil membunyikan wisel.

"Apa dah jadi ni nyah?" tanya Ma dengan risau kepada Pa. Pa tidak dapat menjawab. Perkara ini berlaku terlalu pantas di hadapan mereka. Belum sempat dia dapat membuka mulut, pengadil mengeluarkan kad merah.

Hadi dibuang padang.

"Oh my God!" Celisha menutup mulutnya. Matanya mengekori Hadi yang berjalan lesu mendapatkan Nad dan Rais. Hadi menangis. Dia terus dipujuk Nad dan Rais supaya jangan menangis.

Pa berdiri dari tempat duduknya. Risau. Dia ingin mendapatkan Hadi. Dari jauh Rais memberi isyarat tangan kepada Pa supaya terus duduk di astaka. Dia dapat menyelesaikan hal ini sendiri.

Si Zaki pula kini sedang tersengih ke arah Muzaffar di atas padang. Dia puas dengan apa yang telah berjaya dilakukannya sekarang. Kini Jaguh hanya ada 10 pemain!

Kesukaran kini menimpa Pasukan Jaguh apabila mereka terus dibelasah oleh Pasukan Tiger Cub. Dalam saat-saat akhir perlawanan ini, Tiger Cub sekali lagi berjaya menembusi gawang gol Jaguh. Hadi yang sedang duduk di tepi padang terasa semakin serba salah dibuatnya. Dia rasa segala apa yang berlaku kepada Jaguh adalah salah dan silapnya sendiri.

"Kita kalah, tapi kalau ikut agregat, kita masih boleh ke saringan seterusnya." Ujar Rais kepada Nad sebaik sahaja wisel penamat ditiup. Nad mengangguk setuju. Para pemain Jaguh dengan sedih berjalan ke arahnya. Mereka kalah buat kali pertamanya pada hari itu. Nad senyum ke arah mereka. Nad meminta mereka senyum. Mereka telah mencuba yang terbaik.

Muzaffar menepuk bahu Hadi. Katanya, "dah, jangan nak sedih-sedih. Dah adat bermain, mesti ada kalah menang."

Hadi tidak menjawab. Dia terus berdiam. Dia menjeling ke arah ahli-ahli Pasukan Tiger Cub yang sedang bersorak kegembiraan, kemudian dia menoleh ke arah Ma dan Pa. Apabila mata mereka bertentangan, dia cepat-cepat berpaling ke arah lain.


Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!