|
Zire 71 Photo of the day!
|
2006-01-20 - 4:10 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 17
Pa: Marah Rais menghilangkan diri buat seketika untuk pergi berjumpa dengan para penganjur pertandingan bola sepak ini untuk mengesahkan penglibatan Pasukan Jaguh terhadap perlawanan saringan seterusnya yang akan diadakan pada minggu hadapan. Itu pun dilakukannya setelah dia selesai memberi ucapan tahniah kepada anggota Pasukan Jaguh yang kelihatan kelesuan. Dia sempat memberikan kata-kata semangat kepada mereka bahawa mereka mampu melakukan apa sahaja asalkan mereka bersungguh-sungguh melakukannya. Rais memandang ke arah senarai pasukan yang berjaya ke peringkat seterusnya. Dia dapati Pasukan Jaguh terpaksa melawan beberapa pasukan yang hebat-hebat belaka. Walaupun begitu, dia yakin pasukannya akan dapat memberikan yang terbaik walaupun mereka serba kekurangan. Setelah selesai mengisi beberapa keping borang, Rais pergi mendapatkan Nad. Dia dapati Nad masih berada di tepi padang dengan seorang lelaki yang berusia pada awal 40-an. Mereka sedang berbual. Nad kelihatan tidak selesa berbual dengan lelaki tersebut. Rais berdiri berdekatan dengan Nad. Nad pula memandang ke arah Rais depan pantas sebelum dia memberitahu sesuatu kepada lelaki di hadapannya. Lelaki itu memandang ke arah Nad. Dia mengeluarkan kad perniagaannya lalu dihulurkan kepada Nad dan beredar meninggalkannya untuk mendapatkan anaknya yang sedang menunggu di tepi padang berdekatan dengan tempat meletak kereta. Nad membuang kad perniagaan lelaki itu ke tepi. Dia menoleh ke arah Rais seolah-olah tiada apa yang berlaku. "Siapa tu?" tanya Rais dengan selamba. "Tak ada siapa..." "Dia nak awak coach anak dia ke?" "Ya." Jawab Nad. Dengan cepat Rais sedar Nad berbohong. "So... Kat mana kita nak celebrate ni?" "Celebrate apa?" "Team kita dapat ke saringan seterusnya." "Oh... Mana-mana pun boleh." "Saya belanja." "Dekat-dekat ini pun boleh." "Kita makan kat CM lah macam tu." "KFC?" "Boleh jugak." "Kalau macam tu, kita jumpa kat sana ya! Awak naik motor, kan?" "Ya." Jawab Rais pantas. Dia membantu Nad membawa begnya lalu ke tempat meletak kereta. Dia meletakkan bag Nad ke bahagian penumpang, "Drive baik-baik ya!" Nad tersenyum. Tawar. Perasaannya masih terganggu dengan pertemuannya dengan lelaki yang pernah dikenalinya dahulu. Dalam satu masa yang ingin dilupakannya.
Rais dapat melihat Nad seperti tak ada selera makan. Dia tak banyak makan. Ayam goreng yang dipesannya pun dicubitnya sahaja. Rais tahu ada perkara yang menganggu perasaan Nad, tetapi dia tak tahu apa. "Awak okay ke tak ni?" Tanya Rais. Dia mengelap bibirnya dengan kertas tisu. "Okay. Don't worry about me." Ujar Nad dengan mengerutkan dahinya. "Baik..." sambut Rais dengan sinis. "Is... I want to say something. Harap awak tak kecik hati." "Apa?" tanya Rais dengan serius. "Lain kali jangan tanya lagi fasal hal saya... Saya tak suka." Nad melepaskan nafas lesunya. "Diri awak tak terjaga, jangan jaga hal saya." "Okay." Rais mengangguk sekali. "And really... Where were you yesterday?" "Jumpa kawan." "Tadi kata demam?" "Demam tapi jumpa kawan." "Yeah right!" "Nad... Kenapa ni?" "Saya tahu awak ambil dadah." Rais terdiam. Dia tak berani memandang ke arah Nad. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Dia menoleh ke tepi. Dia dapat melihat sebuah keluarga Melayu yang sedang makan di dalam restoran KFC. "Kenapa awak cari fasal ni?" tanya Rais akhirnya setelah dia duduk membisu dengan agak lama. "Saya bukan nak cari fasal... Tapi awak ada tanggungjawab sekarang ni-" "Saya tahu lah!" Rais menaikkan suaranya. Wajah Nad tiba-tiba sahaja berubah. Matanya berkaca-kaca. "Maaf." Ujar Rais pantas dengan nada risau. Nad mengesat air matanya. "Saya nak balik..." Rais mengangguk. Dia memandang ke arah keluarga yang duduk di sebelahnya. Si bapa dan si ibu sedang memerhatikannya dengan penuh minat. Rais pasti apa yang berlaku kepada Nad sekarang ini bukan semata-mata kerana dirinya tetapi kepada apa yang telah berlaku tadi. Perkara ini benar-benar mengganggu jiwa Nad.
Ma dan Pa membawa Hadi pulang dari padang bola. Dia kelihatan sugul walaupun Pasukan Jaguh berjaya ke peringkat seterusnya. Ma mahu memujuknya, tetapi Pa meminta Ma supaya membiarkan sahaja Hadi berkeadaan begitu. "Hatinya masih panas, biarlah dia lega sedikit," kata Pa. Di rumah, Hadi terus masuk ke dalam bilik. Dia termenung. Pa tak tahu apa yang direnungkan itu, tapi dia mungkin dapat meneka. Tadi Rais telah menceritakan segala-galanya. Hadi telah bergaduh kerana menerima ejekan dari seorang anggota pasukan lawannya. "Kita kena nasihatkan dia jugak." Bisik Ma kepada Ma di dapur ketika dia sedang memasak nasi goreng untuk makan malam. Pa bercekak pinggang. Dia tidak tahu jika dia harus duduk di hadapan Hadi untuk berbincang mengenai apa yang telah berlaku tadi atau hanya mendiamkan dirinya. "Hadi, mandi!" ujar Pa dari dapur. Dia lihat Ma menjelingnya. Hadi tidak menjawab. Pa masuk di dalam bilik Hadi. Dia lihat Hadi terbaring di atas katil di dalam gelap. Pa membuka lampu. "Kenapa Hadi perlu bergaduh tadi?" tanya Pa dengan lembut. Hadi tidak menjawab. "Kalau ada orang ejek Hadi ke apa ke... Hadi diam jer. Jangan melawan. Tadi sebab Hadi melawan, Hadi dapat kad merah." Hadi memeluk bantalnya. Pa mengambil bantal itu dari Hadi. Dia kata Hadi tak mandi lagi. Badannya berbau. "Pa mahu Hadi kawal diri Hadi. Jangan cepat-cepat naik angin. Pa tak mahu lihat Hadi bergaduh lagi. Faham tak Hadi?" Hadi menggelengkan kepalanya. "Kenapa ni, Hadi?" "Adi tak suka orang ejek Adi sebab diorang kata Ma dengan Pa, pondan!" "Adi jangan layan diorang tu semua." "Pa senang jer cakap macam tu!" Hadi menaikkan suaranya. "Dah... Pergi mandi." "Tak nak!" "Hadi... Pergi mandi. Sekejap lagi kita makan sama-sama." "Tak nak!" "Hadi... Kenapa ni?" "Adi tak nak mandi!" "Dah tu Hadi nak apa?" Hadi tak mahu menjawab. Wajahnya jelas marah. Hatinya masih belum sejuk lagi. "Pa nak Hadi mandi... Bersihkan diri Hadi. Nanti kita sembahyang sama-sama. Ma pun dah nak siap masak tu." "Ma dengan Pa bukan mak ayah Adi nak suruh Adi buat itu ini!" teriak Hadi sehingga membuat pa terkejut. "Hadi!" menyirap darah Pa dibuatnya. Dia lihat Hadi menjerit-jerit di hadapannya tapi dia tak tahu apa yang hadi jeritkan. Dia terlalu marah sehinggakan apa yang dijeritkan Hadi langsung tidak didengarinya. "Pa!" laung Ma dari belakang. Tanpa Pa sedari tangannya separuh jalan hampir-hampir melempang Hadi. "Mengucap Pa!" pinta Ma kemudian. Pa tersedar dari keadaan marahnya. Dia terkejut melihat keadaannya begitu. Dia beristighfar berkali-kali. Tangan kirinya memegang tangan kanannya. Dia kecewa dengan dirinya. Kini apa yang pernah dilakukan oleh bapanya kepada dirinya ingin pula dilakukan kepada Hadi. Pa meluru keluar dari bilik Hadi. Dia membuka pintu pagar rumahnya. Dia keluar dari rumah tanpa memberitahu Ma arah tujuannya. Oleh Nizam Zakaria
|