|
Zire 71 Photo of the day!
|
2006-01-20 - 4:10 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 18
Pa: Warung Kak Yam Sejak beberapa hari ini Pa langsung tidak membuka mulutnya untuk berkata-kata kepada Hadi. Ma sudah banyak kali meminta Pa supaya sekurang-kurangnya menegur Hadi, tapi Pa berdegil. Ma mula merasakan bahawa keturunan Pa memang jenis yang panas baran dan cepat ambil hati. Kalau beginilah gayanya, masing-masing tidak mungkin mahu beralah. Masing-masing akan terus merajuk tanpa mahu dipujuk. Fikir Pa, Ma tidak mungkin akan dapat memahami perasaannya. Pa lari dari kampung kerana mahu membebaskan dirinya daripada seseorang yang tidak berhati perut dan banyak menyeksa jiwa raganya. Arwah bapanya adalah seorang pemarah. Sepanjang hayatnya, Pa telah berjanji kepada dirinya untuk tidak menjadi seperti bapanya, tetapi peristiwa yang telah berlaku beberapa hari yang lalu telah membuktikan sebaliknya. Pa duduk termenung di warung Kak Yam. Rais meletakkan secawan kopi yang dipesan Pa ke atas meja. Tangan Rais menggigil. Pa mendongak lalu memandang ke arah Rais. Jelas pada pandangannya yang Rais tidak berapa sihat. Bajunya basah berpeluh-peluh. Wajahnya pucat. "Kalau segala-galanya kau mahukan dengan segera, kau tak akan dapat apa yang kau mahukan." "Hah?" tanya Rais bingung. "Kau tentu tahu apa yang aku cakapkan..." Rais mengangguk-anggukan kepalanya. Dia faham. "Is nak berhenti, tapi susah Pa." Jelas Rais bersungguh-sungguh. Dah lima hari dia tak ambil dadah. Kini dia gian kembali. "Benda tu dah jadi darah daging kau, inilah jadinya." Kata Pa dengan selamba. Dia menghirup kopi panasnya. "Kenapa baru sekarang kau nak berhenti?" "Is dapat lihat sendiri apa yang berlaku kepada ayah si Wan tu... Apa dia lakukan kepada Wan. Is tak mahu jadi macam tu. Lagipun-" "Lagipun kau dah mula suka dengan budak Nad tu?" "Bukan mula suka... Is memang suka dengan dia." Rais mengesat peluhnya. Dia cuba menelan air liurnya tapi tekaknya terasa sakit. Tubuhnya semakin kurus. Badannya semakin cengkung. Dia hilang selera untuk makan. Sejak pagi tadi dia tidak menjamah makanan. "Dia suka dengan kau tak?" "Entahlah Pa... Macam mana kita nak tahu kalau orang tu sukakan kita?" "Bila dia dah mula selesa dengan kau dan dia akan luahkan isi hatinya kepada kau. Masa itulah kau tahu dia anggap kau istimewa, bukan sekadar kawan sahaja." "Oh..." Rais mahu menarik kerusi, fikirnya dia mahu duduk di sebelah Pa untuk mendengar kata-katanya, tetapi dia tak mahu Kak Yam merungut pula nanti. Rais masuk ke tempat dia membancuh air. Buat seketika dia termenung memikirkan tentang Nad. Dia mencari jawapan kepada kegelisahan hatinya. Ada sesuatu tentang diri Nad yang disembunyikan darinya, tetapi dia tak tahu apa - tetapi mahu ketahuinya juga.
Kak Yam risau melihatkan keadaan Rais yang menggigil kesejukan di dapur. Dia meminta Rais pulang. Lagipun warung itu akan ditutup sebentar sahaja lagi. Pelanggan pun dah tak ramai yang datang. "Kalau kau tak sihat, duduk sahaja di rumah." Kak Yam memberi nasihat. "Kau minta Ma buatkan kau bubur. Nanti sembuhlah tu." Rais memeluk tubuhnya ketika dia berjalan pulang ke flatnya. Kalau difikirkannya, mahu sahaja dia tidur di tepi padang. Kakinya terasa tidak lagi terdaya untuk terus melangkah. Rais berjalan dengan langkah perlahan di tepi padang. Dia menoleh ke padang. Dia mendapati kereta Nad ada diletakkan di bahagian bertentangan. Rais berjalan ke arah kereta Nad. Dia mendapati Nad sedang duduk di dalam kereta sambil mendengar muzik. "Awak buat apa di sini?" tanya Rais sebaik sahaja dia menghampiri kereta Nad. "Tunggu awak habis kerja..." "Saya pulang awal malam ni. Tak sihat." "Masuklah... Saya hantar awak pulang." Rais masuk ke dalam kereta Nad. Nad menghidupkan enjin kereta. Dia memandu keretanya ke arah flat tempat tinggal Rais. Lagu Jatuh Cinta oleh Titiek Puspa yang dipopularkan kembali oleh Project Pop berkumandang di corong radio. Biar siang biar malam terbayang wajahnya. Lagu in membuat Rais senyum seketika. "Kenapa senyum-senyum ni?" tanya Nad ingin tahu. "Tak ada apa-apa..." "Awak perlu berehat. Lusa kita ada perlawanan saringan kedua." "Saya tahu." Rais menggigil kesejukan. Nad terus mematikan alat penyaman udara di dalam keretanya. "Saya tahu awak mahu berhenti ambil dadah... Tapi saya tak sampai hati tengok awak macam ni." Rais menarik nafasnya. Hingusnya disedutnya kembali ke dalam hidunya. "Awak boleh cuba untuk mendapatkan rawatan buprenorphine dan methadone. Awak boleh dapatkan rawatan di klinik Doktor Mahmud. Ini alamat kliniknya." Ujar Nad, dia mengeluarkan sekeping kertas dari kocek seluar jeansnya. "Beritahu kepada Doktor Mahmud, saya yang suruh awak berjumpa dengannya." "Siapa Doktor Mahmud ni?" "Awak dah jumpa dia... Hari tu di padang." "Oh... Lelaki tu." "Awak pergilah berjumpa dengan dia nanti. Dulu dia pernah membantu saya." "Kenapa awak lain macam jer selepas awak bertemu dengan dia hari tu?" "Banyak yang awak tak tahu fasal saya, Rais." "Bila awak dah sedia nanti awak boleh beritahu." Jawab Rais pendek. Nad memberhentikan keretanya di hadapan flat Rais. Dengan suara yang perlahan Rais mengucapkan terima kasih kepada Nad sambil terbatuk kecil. Dia keluar dari kereta Nad tanpa menoleh ke belakang. Nad merenung ke arah stereng keretanya. Kemudian dia menoleh ke arah Rais dalam keadaan serba salah. Rais membelakanginya, berjalan sambil berpeluk tubuh. Nad mematikan enjin keretanya. Dia keluar dari kereta lalu terus mendapatkan Rais. Nad memegang lengan Rais yang dibasahi peluh itu. Dia dapati suhu tubuh Rais panas. "Ketika saya remaja dulu saya banyak buat kesilapan..." Ujar Nad tiba-tiba. "Kita semua tak pernah lari dari membuat sebarang kesilapan, Nad." "Tapi kesilapan yang saya lakukan itu besar, Rais." "Kesilapan apa?" Rais terus menoleh ke arah Nad. "Sejurus selepas saya selesai SPM, saya dipaksa kahwin dengan seorang lelaki Siam." Kata Nad tanpa memandang ke arah Rais. Matanya terus ke lantai simen di hatapannya yang retak seribu itu. "Bapak saya kaki judi... Dia tak boleh bayar hutangnya, jadi saya dipaksa kahwin dengan lelaki Siam yang boleh saya panggil datuk. Saya tak mahu berkahwin dengannya-" "Jadi apa yang berlaku selepas itu?" "Saya melarikan diri saya ke Kuala Lumpur. Di sini saya tak kenal sesiapapun. Hidup saya terumbang ambing di sini. Nak dipendekkan cerita, saya buat kerja-kerja gila untuk dapatkan duit. Kemudian saya terpaksa jadi seorang perempuan simpanan seorang ahli korporat yang terkenal. Saya disimpannya sehingga satu hari saya dapati diri saya mengandung. Saya dipaksa menggugurkan anak saya itu demi untuk menjaga nama baiknya. Sekarang bila saya fikirkan balik, saya rasa bodoh sangat kerana telah mengikut sahaja katanya. Dia telah membawa saya berjumpa dengan Doktor Mahmud. Dialah yang telah menggugurkan janin di dalam perut saya-" Wajah Nad terlukis garis-garis kekesalan. "Awak tinggal dengan siapa sebenarnya sekarang ini?" "Saya tinggal dengan Kak Idah. Dia bekas isteri ahli korporat yang buat saya mengandung... Kak Idah akhirnya dapat tahu tentang saya dan hubungan saya dengan suaminya. Saya sendiri yang beritahu kepadanya. "Kak Idah ini baik orangnya... Dia yang telah meminta saya supaya tinggal bersamanya setelah dia berpisah dengan suaminya. Dia mahu saya sambung belajar. Saya lakukan apa sahaja yang disuruhnya sehinggalah sekarang." Jelas Nad. Seorang wanita India berdiri di hadapan pintu lif. Dia menekan butang lif. "Apa yang buat awak sedih ketika awak berjumpa dengan Doktor Mahmud hari tu?" "Kehadirannya sahaja pada hari itu mampu mengingatkan saya kepada segala kesilapan yang pernah saya lakukan dahulu, yang saya fikirkan dapat saya lupakan begitu sahaja." Nad akhirnya menjelaskan. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. "Lupakan saja perkara yang dah lepas tu, Nad." Kata Rais dengan perlahan. Pintu lif terbuka. Nad melepaskan lengan Rais yang dipautnya sejak tadi. Rais melangkah masuk ke dalam perut lif. Wanita India tadi menekan butang tingkat 3. Nad masih berdiri di tempatnya tadi. Rais terus memandang ke arahnya. Mereka bertaut pandangan, masing-masing diam seribu bahasa dan perlahan-lahan pintu lif tertutup. Oleh Nizam Zakaria
|