zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2006-01-20 - 4:10 p.m.

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 19

Pa: Bersembunyi di belakang pohon yang rendang

Rais telah ke rumah Ma dan Pa sejak pagi-pagi lagi. Dia dapat melihat Hadi sudah siap sedia untuk ke perlawanan bola sepaknya. Wajahnya nampak segar, tetapi sedikit terganggu. Dia tanya Ma ke mana perginya Pa. Ma kata Pa ke pasar. Sejak Hadi bangun dari tidur dia tidak nampak berada di dalam rumah.

"Jadi Pa tak tengok Adi main hari ni?" tanya Hadi. Wajahnya terus berubah.

"Tak. Hari ni kami ada kerja kahwin." Jawab Ma pantas. Dia tersenyum tawar.

"Kenapa tak beritahu Adi fasal ni?"

"Hadi kan tahu Ma dengan Pa selalu kerja masa hujung minggu?"

Hadi nampak kecewa. Dia memandang ke arah Rais. Dia dapati Rais kelihatan lesu, tapi tidaklah nampak sakit seperti hari-hari sebelumnya.

"Jangan melencong ke mana-mana pulak nanti." Pesan Ma kepada Rais. Rais tersenyum sambil memegang bahu Hadi.

Hadi dibawa keluar Rais dari rumahnya. Hadi mencium tangan Ma. Dia memandang ke kiri dan ke kanan seolah-olah mencari Pa. Pa tidak ada di pandangannya. Ketika di bawah flat di tempat Rais meletak motornya pun dia melakukan perkara yang sama, sehinggakan Rais terpaksa meminta supaya jangan bergerak-gerak ketika dia memakaikannya topi keledar.

"Abang Is nampak Pa keluar pagi tadi, tak?" Tanya Hadi ketika dia sedang memeluk pinggang Rais.

"Tak nampaklah Hadi." Ujar Rais menghidupkan enjin.

"Hmmm..."

"Hadi masih tak cakap dengan Pa lagi ke?"

"Tak." Suara Hadi perlahan. Rais hampir-hampir tidak dapat mendengar. Dia memandang ke arah Hadi melalui cermin di sisi. Dia dapati Hadi berwajah sedih.



Nad cukup gelisah pada hari itu. Pasukan Jaguh tidak menunjukkan sebarang pencapaian yang cemerlang. Di dalam tiga perlawanan yang mereka sertai, mereka seri dua kali dan kalah sekali. Peluang mereka untuk masuk ke perlawanan akhir di antara kumpulan-kumpulan yang terbaik tipis jika mereka kalah di dalam perlawanan seterusnya.

"Kenapa dengan Hadi?" tanya Nad kepada Rais.

"Entah."

"Awak tak tanya kat dia ke, kenapa dia macam tak ada semangat nak main?"

"Awak tak perasan ke?"

"Tak perasan apa?"

"Ma dengan Pa tak ada di sini."

"Ye ke?" tanya Nad. Dia memandang ke arah astaka. Kelibat Ma dan Pa memang tak ada di situ. "Ye tak ya, jugak kan?"

Pengadil membunyikan wisel separuh masa pertama. Para pemain berjalan ke arahnya. Rais memberikan mereka air mineral yang telah disediakan oleh para penganjur untuk pemain-pemain cilik ini. Nad bercekak pinggang di hadapan Hadi.

"Hadi tahu tak kenapa kak Nad tak suka lihat cara Hadi main tadi?" tanya Nad dengan suara yang tegas kedengarannya.

Hadi menggeleng. Rais menyerahkan sehelai tuala kepada Hadi agar dia dapat mengesat peluhnya.

"Hadi tak tumpukan perhatian Hadi kepada permainan."

"Kalau kita tak kalahkan pasukan ini dengan kelebihan dua gol, kita tak akan dapat ke saringan terakhir." Beritahu Rais pula.

"Adi main macam biasa jer."

"Hadi boleh main dengan lebih baik lagi."

Tiba-tiba telefon bimbit Rais berdering. Dia dapati Pa yang menelefonnya. Rais membawa dirinya jauh dari Nad dan Hadi untuk menjawab telefon.

+ Kenapa dengan Hadi?
- Kenapa pulak dengan Hadi?
+ Kenapa dia tak main bersungguh-sungguh?
- Pa kat mana ni?
+ Belakang pokok besar depan kau.

Pa menampakkan dirinya. Begitu juga Ma. Dari jauh mereka melambai-lambaikan tangan mereka. Dari jauh juga Rais mendapati mereka tidak memakai pakaian wanita seperti kebiasaannya.

- Kenapa ni Pa? Kenapa tak duduk kat astaka jer? Kenapa kena sembunyi belakang pokok pulak ni?
+ Kalau kami ada nanti, kami takut Hadi akan bergaduh lagi kerana kami.
- Lah! Fasal tu ke?
+ Dah tu?
- Hadi tak ada semangat nak main hari ni...
+ Kenapa?
- Entah...
+ Tanya dia kenapa!
- Okay. Nanti Is tanya Hadi... Saya call Pa balik bila dah dapat jawapannya.

Rais meletakkan kembali telefon bimbitnya ke depan kocek seluarnya. Dia menjeling ke arah pokok besar di tepi padang sebelum dia berdiri di hadapan Hadi.

"Hadi kata Ma dan Pa tak ada... Sebab tu dia tak dapat main bersungguh-sungguh." Nad menjelaskan kepada Rais.

"Betul ke ni, Hadi?" tanya Rais.

Hadi mengangguk.

"Tapi kenapa?"

"Diorang selalu tengok Adi main.. Tapi hari ni diorang tak ada!"

Rais memberi isyarat kepada Nad supaya dia dapat membawa Hadi pergi dari situ. Nad bersetuju di dalam keadaan dahinya terkerut. Rais memimpin tangan Hadi. Dia memandang ke jam tangannya. Mereka mempunyai 5 minit lagi sebelum masa rehat mereka tamat. Mereka berjalan mengelilingi padang lalu ke pokok besar di tepi padang.

"Ma, Pa!" jerit Hadi sebaik sahaja dia melihat kelibat mereka di belakang pokok. Hadi terus mendapatkan mereka. Pa yang pada mulanya teragak-agak, terus melulu mendapatkan Hadi. Hadi mendakap tubuhnya.

"Adi mintak maaf, Pa!" kata Hadi perlahan.

"Kenapa ni Hadi?"

"Adi takut Pa tak sayang Adi lagi."

"Apa pulak Pa tak sayang Hadi..."

"Pa tak nak cakap dengan Hadi lagi..."

"Alah, Pa marah sikit jer tu." Pa mengusap rambut Hadi yang dibasahi peluh itu. "Sekarang Pa tak marah lagi."

"Kenapa Pa dengan Ma pakai baju lelaki ni? Kenapa Ma dengan Pa sembunyi belakang pokok?"

"Kenapa? Tak boleh ke?" tanya Ma. Dia nampak seperti badut memakai baju kemeja dan seluar pejabat yang singkat itu.

Hadi menggeleng pasti. "Ma dengan Pa tak cantik kalau macam ni!" katanya kemudian.

"Ma dan Pa tak mahu Hadi malu dengan kami." Kata-kata Pa telah membuatkan dahi Hadi terkerut seribu.

"Malu apa?"

"Malu sebab kami tak cantik macam mak kawan-kawan Hadi yang lain." Ma berseloroh.

"Ma, Pa... Adi tak malu dengan Ma dengan Pa. Kalau Ma dengan Pa tak jaga Adi... Siapa lagi?" kata Hadi bersungguh-sungguh. Kemudian dia merenung ke dalam mata Pa. "Adi mintak maaf sebab kurang ajar dengan Pa hari tu."

Pa mengangguk. Dia mengusap-usap rambut Hadi.

"Adi nak Ma dengan Pa tengok Adi main. Bila Ma dengan Pa tak ada, Adi tak ada semangat nak main."

Ma dan Pa mengangguk. Si Ma bersiul kuat. Celisha dan Linda muncul di belakang pokok berdekatan. Hadi tersenyum kegirangan. Orang-orang yang paling dekat di dalam hidupnya kini ada di hadapannya untuk memberikan sokongan moral dan memberikan semangat kepadanya untuk terus bermain.

"Okay dah... Kita tak banyak masa lagi!" getus Rais. Dia memegang bahu Hadi lalu memintanya mengikutnya kembali mendapatkan Nad.

"Dia dah okay... Ma dan Pa ada di sini dengan kawan-kawannya." Ujar Rais sambil menjuihkan bibirnya ke arah astaka. Di sana Ma, Pa, Linda dan Celisha sedang mencari tempat duduk.

Nad mengangguk mengerti. Dia memberi isyarat untuk sekali lagi menukar pemain. Kali ini dia mahu tempat Fadli digantikan oleh Hadi.


Dalam minit ke 35, penyerang Pasukan Musang berjaya membolosi gol Pasukan Jaguh. Penyerang Pasukan Musang itu telah menggelecek bola lalu menendang bola ke dalam lubang gol sebelum sempat Wan dapat melakukan apa-apa. Dia tercengang jadinya. Kesemua penyokong Pasukan Jaguh mengeluh dalam kekecewaan. Beberapa minit sahaja kemudian, penyerang Pasukan Musang yang sama dengan pantas menggelecek bola lalu menendang ke arah pintu gol Pasukan Jaguh. Sorakan dan teriakan dari penyokong Pasukan Musang semakin lama semakin kuat Kali ini, Wan, walaupun bertubuh kecil, dengan pantas melompat tinggi lalu menanduk bola jauh dari kawasan gol.

Pa dan kawan-kawannya meneriak nama Wan berkali-kali untuk memberikan sokongan kepadanya. Beberapa penyokong Pasukan Musang menepuk tangan di dalam semangat kesukanan setelah melihatkan kecemerlangan Wan mengawal bola.

Di atas padang, Muzaffar juga menyebut nama Wan berkali-kali. Dia menoleh ke arah Hadi sambil tersenyum. Siapa akan menyangka Muzaffar si kaki buli ini akan menjadi kapten Pasukan Jaguh yang kebanyakan ahlinya adalah budak-budak yang pernah dibulinya dahulu.

"Kita perlu dapatkan dua gol untuk ke saringan akhir." Muz mengingatkan Hadi. Hadi mengangguk mengerti.

Hadi memandang ke arah astaka. Dia dapat melihat wajah Ma, Pa, Celisha dan Linda yang telah datang semata-mata untuk memberikan sokongan kepadanya dan kepada rakan-rakannya. Tatkala itu, timbullah kesedaran di dalam dirinya bahawa inilah tujuan utamanya untuk bermain dan menjadi seorang pemain bola sepak. Dia bermain untuk Ma, Pa, kawan-kawannya, penyokong-penyokong setia Pasukan Jaguh yang tak pernah berhenti dari terus menyokong dirinya dan anggota pasukan bola sepaknya. Mereka berhak mendapatkan yang terbaik darinya. Hadi menarik nafasnya dalam-dalam lalu dia merasa begitu gembira sekali pada waktu itu. Dia tidak dapat menahan dirinya dari merasa begitu bertuah kerana dirinya disayangi oleh Ma, Pa, Rais dan Nad lalu melakukan sesuatu yang amat-amat dicintainya - bola sepak. Dalam keadaan gembiranya itu, Hadi berlari dengan laju ke arah lubang gol Pasukan Musang. Di tepi matanya dia dapat melihat Muzaffar sedang menggelecek bola lalu menghantar bola tersebut kepadanya.

Pasukan Musang terpaksa memperkuatkan lagi pertahanan mereka. Dua orang pemain bahagian tengah cuba merampas bola dari Hadi, tetapi dengan licik Hadi terus menendang bola ke arah Muzaffar. Dalam sekelip mata, Muzaffar terus mengambil keputusan untuk menggelecek bola sehingga dekat ke pintu gol. Dalam masa yang sama dia tahu bahawa walaupun pintu gol sudah dekat, dia tidak mungkin dapat mengelirukan penjaga gol. Dia mengambil keputusan untuk melepaskan bola ke arah Hadi. Keputusan yang diambilnya itu berbaloi. Pasukan Jaguh berjaya membolosi gol pasukan lawan.

Para penyokong Pasukan Jaguh tersorak kesukaan. Pa dan Ma menjerit nama Hadi dengan kuat. Beberapa orang pemain Jaguh memeluk tubuh Hadi di tengah-tengah padang.

Gol kedua Pasukan Jaguh telah dijaringkan tiga minit sebelum wisel penamat ditiup. Kali ini Muzaffar pula yang telah menjaringkan gol. Apabila wisel penamat ditiup, penyokong-penyokong Pasukan Jaguh bersorak gembira, lebih-lebih lagi Ma dan Pa yang begitu bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan Hadi pada petang itu.

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!