zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-12-07 - 4:19 p.m.

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 2

Pa: Pulang ke Kampung

Ma dan Pa berjalan di koridor di luar flat kediaman Lady Sarah Shamara. Koridor itu sunyi. Pa mahu berpatah balik tetapi dihalang oleh Ma. Ma menarik tangan Pa, lalu mengetuk pintu sampai memberi salam.

"Waalaikumsalam... Masuk!" ucap Lady Sarah Shamara dengan nada garang. Ma menolak daun pintu yang tidak berkunci itu.

Ma dan Pa masuk dengan takut-takut. Rumahnya ini dicat dengan warna hijau cair. Lady Sarah Shamara sedang berada di dapur sambil menunggu kuihnya masak di dalam oven. Rambutnya sedikit kerinting. Orangnya kurus. Dia sedang merokok dengan matanya tepat ke arah Ma dan Pa.

"Esok kau nak balik kampung, Pa?" tanya Lady Sarah Shamara dengan suara yang rendah.

"Tak tahu lagi, Lady Shamara."

"Macam mana boleh tak tahu ni?"

"Esok kan kita kena uruskan kerja kahwin tu?"

"Ish, aku tangan jugak pondan ni tau!" Lady Sarah Shamara mencucukkan rokoknya yang telah kontot ke dalam tempat abu rokok yang penuh dengan rokok-rokok yang telah dihisapnya. "Ini hal keluarga kau... Nak tak nak kau kena pergi jugak!"

"Tapi Pa dah janji tak mahu jejak kampung Pa lagi."

"Nyah... Perlu ke berdrama-drama ni semua?" Lady Sarah Shamara membakar puntung rokok yang baru sahaja dikeluarkan dari kotak rokoknya.

"Tapi-"

"Nak tapi apa lagi nyah?"

"Pa malu dengan orang-orang kampung!"

"Kau nak malukan apa? Selama ini kau ada mencuri harta benda diorang di sana? Menyusahkan hidup diorang?"

"Tak ada, Lady Shamara... Tapi dengan keadaan Pa macam ini sekarang?"

"Tak ya jugak kan? Dulu masa kau mula-mula datang KL, slim aku tengok. Sekarang dah gerga!"

"Bukan fasal tu-"

"Aku tahulah fasal apa!" tengking Lady Sarah Shamara. Dia memakai sarung tangan kain untuk mengeluarkan kuihnya dari dalam oven. Dia meletakkan dulang kuih di atas dapur untuk menyejukkan kuih yang tengah panas itu. Hobinya memang memasak kuih. Hampir setiap malam dia akan memasak kuih untuk menenangkan fikirannya. "Nok... Dalam hal yang melibatkan keluarga, aku tak nak kau main-main. Keluarga tu penting, kau tahu tak?"

Pa mengangguk perlahan lalu tertunduk.

"Pa kena bawak pulang anak saudara Pa. Tak ada orang yang mahu menjaganya di kampung."

"Jadi apa masalahnya sekarang?"

"Susah-"

"Apa yang susah?"

Pa termenung. Dia sukar untuk menjawab soalan Lady Sarah Shamara tadi.

"Kau lakukanlah tanggungjawab kau tu. Kau tu bukannya budak muda lagi nok, masih boleh terkinja-kinja. Kau tu dah tua. Kalau kau dah kahwin, anak kau dah masuk universiti dah dek non!"

"Tapi-"

"Kau didik budak tu nanti dengan sebaik-baik didikan yang kau mampu. Lengkapkan dia dengan ilmu supaya dia sejahtera dunia dan akhirat. Kau tak perlu takut kalau kau tak ada duit untuk tanggung dia. Kita semua ada, nyah. Kalau kita-kita sendiri ni tak tolong kaum sendiri, siapa lagi?" Lady Sarah Shamara mengingatkan.

Pa tidak dapat memberi sebarang alasan lagi. Dia akur dengan nasihat yang diberikan oleh Lady Sarah Shamara. Dia tidak dapat membantah. Jika bukan kerana Lady Sarah Shamara menjaga dan mengambilnya bekerja sebagai seorang penari latar ketika dia mula-mula tiba ke KL dahulu, mungkin dia terpaksa melakukan kerja yang bukan-bukan untuk menyara hidupnya.

Lady Sarah Shamara memasukkan beberapa keping kuih yang telah dimasaknya tadi ke dalam bekas plastik yang hampir penuh. Dia menyerahkan kuih tersebut kepada Pa. Pa menerima kuih tersebut sambil menarik nafasnya.

"Bagi kuih ni kat budak tu nanti. Beritahu dia, nenek dia yang buat!"

Pa mengangguk. Dia meminta dirinya untuk pulang ke rumah. Lady Sarah Shamara mengangguk sekali. Dia menghisap rokoknya dalam-dalam. Dia mengambil majalah Mastika kegemarannya di atas meja dapur. Dia membaca isi majalah tersebut tanpa memandang ke arah Ma dan Pa yang mahu beredar keluar dari rumahnya.

Pa tiba di Stesen Bas Tangkak pada pukul 1 tengah hari. Dia tidak keruan. Sudah lama dia tidak ke sini, fikirnya. Bandar ini sudah banyak berubah. Dengan berpakaian kemeja lengan panjang yang agak ketat untuk saiz tubuhnya yang gempal dan seluar palazzo berwarna putih, dia berjalan berlenggang ke arah teksi berdekatan. Dua tiga buah teksi tidak mahu membawanya ke destinasinya. Sebuah teksi lagi bersetuju untuk membawanya ke Kampung Sialang hanya selepas dia bersetuju untuk membayar lebih.

Di sepanjang perjalanan ke Kampung Sialang, fikiran Pa melayang memikirkan tentang kisah lampaunya di kampungnya ini. Dia teringatkan saat-saat dia bermain masak-masak dengan Rosmah dan kakaknya di bawah kolong rumahnya. Dia teringat bagaimana bapanya itu pernah memukulnya separuh mati apabila menjumpai dia memakai gincu ibunya ketika dia berusia 12 tahun dahulu. Dia terbayangkan semula saat-saat budak-budak kampung mengekorinya ketika dia pulang dari sekolah lalu memanggilnya pondan beramai-ramai. Apabila bapanya tahu dia tidak melawan, dia pula dipukulnya. Pa tidak tahan dengan deraan yang diterima bapanya yang berkeras mahu dia berubah menjadi anak jantan sehingga dia lari dari rumah. Sejak dia lari dari rumah, belakangnya tak ada lagi bekas-bekas sebatan tali pinggang atau kaki dan tangannya lebam-lebam dek dihentam dengan tongkat. Walaupun begitu, lebam dan luka di dalam hatinya tak pernah sembuh. Sekurang-kurangnya ketika dia lari ke KL, dia sedikit tenang setelah dia tidak perlu lagi mendengar deruan tangisan ibu dan kakaknya yang merintih meminta bapanya berhenti dari terus memukulnya.

Apabila teksi masuk ke dalam kawasan kampungnya, di mana-mana yang dipandangnya, dia akan lihat kehampaan bergerak mengabui matanya. Pa merasa sayu. Segala luka yang ada di dalam hatinya berdarah kembali. Segala cemuhan yang pernah diterima dari bapanya kembali terngiang-ngiang di dalam kepalanya.

"Berhenti di sini, pek!" perintah Pa sebaik sahaja apek teksi tiba di hadapan rumahnya. Pa terus membayar ongkos teksi tanpa banyak cakap. Apabila apek teksi mula menukar gear untuk bergerak, Pa memintanya supaya menunggunya di sini. Katanya dia tidak akan lama di sini. Dia mahu pulang ke Tangkak secepat mungkin.

Rumah di hadapannya kosong. Mak dan bapaknya sudah lama meninggal dunia. Rumah ini sudah tak berpenghuni lagi. Dia pasti Hadi ditumpangkan di rumah Rosmah. Dia berjalan ke rumah sebelah.

Pa memberi salam. Rosmah muncul di hadapan rumah. Dia memandang ke arah Pa dari atas ke bawah, kemudian dia tersenyum. Senyumannya mesra. Terus dia menjemput Pa masuk ke dalam rumah. Dia meminta Pa duduk di ruang tamu.

Beberapa detik kemudian, Rosmah muncul semula dengan Hadi berdiri di sisinya. Hadi pergi mendapatkan Pa lalu mencium tangannya. Hadi langsung tertunduk. Dia tidak berani memandang ke arah Pa.

"Berapa lama kau di sini, Shukor?" tanya Rosmah.

"Sekejap aja. Aku nak balik ke KL secepat mungkin. Banyak kerja aku di sana."

"Lah, kenapa tak duduk berehat jer di sini. Boleh kita bersembang cerita-cerita lama. Tunggulah laki aku tu balik kalau ya, pun!"

"Lain kali sahajalah, Mah."

"Kau jadi bawak balik Hadi bersama kau?"

"Ya."

Rosmah mengangguk sambil memandang ke arah Hadi. Dia mengeluh lesu. Khairul dan Khairil yang sejak tadi sedang menyorok di dapur berjalan ke arah Hadi.

"Salam pakcik," perintah Rosmah kepada anak-anaknya. Dia meminta diri untuk membawa keluar beg Hadi yang telah dikemaskan sejak malam tadi.

Pa duduk diam. Dia lihat kedua-dua orang anak Rosmah sedang merenung tajam ke arahnya. Pa meraba-raba kepalanya yang botak itu. Dia rasa tak selesa. Selalunya dia akan memakai rambut palsu ke mana-mana dia pergi, tetapi hari ini tidak. Dia menoleh ke arah Hadi. Dia lihat Hadi duduk terdiam dengan kepalanya tertunduk ke lantai.

Rosmah membawa beg Hadi keluar. Wajahnya nampak sedih. Dia meminta Pa supaya sering menghubunginya. Pa sekadar mengangguk tanpa mengutarakan janji.

Khairul dan Khairil jelas sedih. Khairul memeluk Hadi lalu menangis. Ibunya memujuknya supaya jangan menangis. Sejak dia kecil, Hadilah yang menjadi sahabatnya yang paling rapat. Kalau boleh, dia langsung tak mahu berenggang dengan Hadi.

Hadi bersalaman dengan Rosmah. Wajahnya terus kaku tanpa bicara.

"Jaga diri Hadi baik-baik. Jangan nakal-nakal. Hormat orang tua, ya Hadi." Pesan Rosmah. Hadi mengangguk.

Pa menjemput Hadi keluar. Teksi yang ingin disewanya masih menunggu di luar. Dia meminta Hadi duduk di belakang sementara dia duduk di sebelah apek.

"Apek... Ikut jalan depan ni. Terus kemudian belok ke kiri. Kita ke situ dulu sebelum ke Tangkak." Pinta Pa. Apek itu terus memandu tanpa banyak soal. Di rumah Rosmah, Pa dapat melihat Rosmah anak-beranak sedang melambaikan tangannya ke arah Hadi, tetapi Hadi hanya duduk diam dengan kepalanya memandang pahanya sendiri.

Pa mengambil keputusan untuk menziarahi kubur kakak serta abang iparnya. Dia menangis di atas kubur arwah kakaknya. Dia menoleh ke arah Hadi. Dia lihat Hadi berdiri kaku tanpa emosi. Mungkin di sebalik wajahnya dia tercetus perasaan marah di dalam jiwanya. Dia marah kerana kedua orang tuanya telah meninggalkannya secara mengejut. Dia rasa semua ini tak adil. Kenapa dia harus lalui ini semua sedangkan kawan-kawannya yang lain hidup bahagia dengan keluarga mereka sendiri.



Pa mendapatkan dua keping tiket untuk pulang ke Kuala Lumpur. Dia agak beruntung kerana dia tidak perlu menunggu lama. Dalam masa sepuluh minit lagi bas akan tiba. Dia bertanya kepada Hadi jika dia mahu beli minuman atau buang air kecil. Hadi tidak menjawab. Pa, berjalan ke tandas berdekatan. Hadi mengikutnya sahaja. Pa dah lama tak masuk ke tandas lelaki.

Pa membelikan Hadi sebotol minuman mineral. Dia teringatkan kepada kuih yang dibekalkan oleh Lady Sarah Shamara. Dia menyerahkan bekas plastik yang terkandung penuh dengan kuih itu kepada Hadi. "Cookie ni nenek yang bagi." Kata Pa. Hadi mengambil bekas kuih itu lalu mengucapkan terima kasih. Bas yang mereka tunggu tiba pada masa yang ditetapkan. Hadi dan Pa duduk di tempat duduk paling belakang. Tak ramai yang mahu ke KL pada hari itu. Hadi terus duduk diam walaupun Pa cuba berbual dengannya.

Ketika bas yang mereka naiki berhenti berehat di Seremban, Pa menelefon Rosmah. Dia risau melihatkan keadaan Hadi yang tidak mahu bercakap itu. Rosmah menegaskan bahawa sebelum orang tuanya meninggal dunia, Hadi adalah seorang anak yang ceria dan petah bercakap.

"Apa yang dia suka, Mah?" tanya Pa sambil menggosok-gosok kepalannya. Dia mendongak ke atas. Hadi sedang memerhatikannya dari tingkap bas sambil mengunyah kuih Lady Sarah Syamara.

"Dia suka main bola... Dalam beg dia ada kasut bola pemberian bapak dia. Tapi sampai sekarang dia tak pakai kasut tu lagi." Rosmah menjelaskan, dengan harapan dia dapat membantu Pa untuk membuat Hadi membuka mulutnya untuk berkata-kata.



Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!