|
Zire 71 Photo of the day!
|
2006-01-20 - 4:10 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 20
Linda: Beg Chanel "Mana si Linda ni?" tanya Ma kerisauan. Linda sepatutnya datang untuk membantu mereka agar kerja yang perlu dilakukan dapat disiapkan dengan cepat. "Bukan dia dengan kau ke tadi?" tanya Lady Sara Syamara. "Lepas tengok bola, dia kata dia perlu ke KLCC sekejap." Jawab Celisha yang sememangnya berkawan rapat dengan Linda. "Kenapa?" "Chanel ada sale!" jawab Celisha pantas. "Ye ke?" tanya Ma dengan penuh minat. "Kalau Chanel ada diskaun 80% pun bukannya kau mampu." Perli Pa sambil melipat sekeping wang RM10 untuk dijadikan sebahagian dari kepak seekor burung yang mahu dijadikan barang hantaran. "Dah lama si Linda tu kumpul duit untuk beli beg Chanel yang dia idam-idamkan tu." Jelas Celisha. "Dia nak beg Chanel yang dia beli tu sedondon dengan wallet D&G, belt Gucci, boot D&G, dengan sunglasses DIOR yang dia dah kumpulkan selama ini." "Oh, selama ini dia berjimat-jimat sebab nak beli beg Chanel tu lah?" tanya Pa. "Ye lah, dah tu?" "Sanggup pondan tu sekat-sekat makan, kan?" ujar Ma. "Itu lah sebabnya badan dia ramping." Sambut Pa. "Assalamualaikum!" ujar Linda dari luar. Mereka semua menjawab salam, kecuali Celisha. Lady Sara Shamara membuka pintu lalu menjemput Linda masuk. "Tak shopping ke?" tanya Lady Sara Shamara sambil menghisap rokoknya dalam-dalam. "Eh, takdelah." Jawab Linda. Dia memandang terus kepada Celisha. "Ye lah, ingatkan u'olls beli beg Chanel tadi." Ujar Ma dengan sinis. "Kena tunggu sampai dapat gaji bulan depan..." "Tak cukup-cukup lagi duit yang u'olls kumpul ke?" "Tak cukup lah." "Beg tu tengah sale pun masih mahal lagi?" Linda mengangguk lemah. Dia duduk di sebelah Pa untuk menyudahkan kerja yang dilakukannya. "Macam mana dengan permainan Hadi tadi?" tanya Lady Sara Shamara. "Pasukannya menang tipis, tapi masih boleh ke saringan akhir dua minggu lagi." Beritahu Pa. "Tapi kesian lah tengok diorang tu semua." Celah Celisha. "Kenapa?" "Mereka tak ada baju... Kasut bola pun tak ada." Keluh Celisha. Dia memandang ke arah Linda. Linda nampaknya seperti ada dan tiada. Dia sedang memikirkan tentang beg yang sudah lama menjadi idamannya selama ini yang kini dijual dengan harga diskaun. "Apa kata kita buat baju untuk budak-budak tu?" saran Lady Sara Shamara. "Baju bola untuk Pasukan Jaguh?" tanya Pa. "Ya, lah! Dah tu baju untuk kau buat show?" Ma ketawa sambil menutup mulutnya. "Bukannya susah sangat nak buat baju budak-budak tu." Tambah Linda. "Yang kita perlukan sekarang: kain." "Kain tu boleh dibeli." Kata Lady Sara Shamara. Dia ke dapur. Dia mengeluarkan sebiji balang kecil dari kabinet dapurnya. Dia mengosongkan isi balang itu ke atas meja yang terkandung beberapa wang kertas dan syiling. Apabila dikiranya, di dalam balang itu terkandung wang sebanyak RM 232.45. Pa mengeluarkan wang sebanyak RM 100 dari dompetnya. Ma mengeluarkan sejumlah wang RM 50. Celisha mendermakan wang sebanyak RM 70 dan Linda pula, menderma sebanyak RM 30. "Cukup ke?" tanya Ma ingin tahu. "Cukup... Lebih dari cukup." Ujar Linda dengan pasti. "Bahan-bahan menjahit tu kan kita dah ada. Yang kena dibeli kain ela yang sesuai... Mak tahu mana nak beli. Boleh dapat diskaun lagi u'olls!" "Kalau macam tu, nanti kau uruskan dengan si Rais tu fasal saiz badan budak-budak tu. Kita tanya siapa saiz S, M dan L. Senang sikit, kan?" ujar Lady Sarah Shamara kepada Linda sambil menyerahkan wang yang terkumpul kepadanya. "Tapi kita sama-sama jahit kan? Bukan mak sorang jer kena buat benda ni, kan?" "Ye lehhhh!" getus Ma sambil menjeling. Dia duduk semakin rapat kepada Linda. Dia ingin menyarankan konsep baju boleh yang kini terlukis di dalam kepalanya. Kalau boleh, dia mahu Jaguh kelihatan lain dari pasukan bola yang lain! Linda termenung jauh. Dia memikirkan tentang Hadi dan pasukan bolanya. Pasukan Jaguh banyak kekurangannya, tetapi mereka tetap mahu bermain bersungguh-sungguh.
Linda berjaya mendapatkan saiz anggota Pasukan Jaguh dari Rais. Dia membuat beberapa pengiraan ringkas di atas buku nota kecilnya untuk mengira berapa ela kain yang perlu dibelinya. Nad dibawa Linda ke kedai kain yang selalu dikunjunginya ketika membeli fabrik di untuk pakaian yang direka di butik tempat kerjanya. Nad dibawanya bersama agar Nad dapat memilih jenis fabrik dan warna yang sesuai untuk Pasukan Jaguh. "Oh... okay. Fuschia." "Kenapa fuschia?" "Saya suka dengan warna tu. Rais pula suka dengan warna purple." "Rempit sangat warna purple tu kan?" "Tu lah!" kata Nad sambil tersenyum. Dia meraba-raba sehelai kain yang di hadapannya. Kain itu lembut rasanya. "Nad... sebenarnya kakak panggil Nad ikut kakak beli kain ni sebab kakak ada hajat." "Apa dia kak Linda?" Linda mengeluarkan sampul surat dari dalam tas tangannya. Sampul surat tebal itu diserahkan kepada Nad. "Apa ni kak?" "Ini wang yang Kak Linda kumpul selama ini..." "Oh, yang kakak nak guna untuk beli beg Chanel tu kan?" "Eh, macam mana Nad tahu?" "Ma beritahu kepada Hadi dan Hadi beritahu kepada Rais dan kemudian Rais beritahu kepada saya." "Satu KL agaknya dah tahu, kan?" Nad tersenyum. "Kakak pergi semula ke KLCC semalam... Kakak tengok beg tu. Tapi entahlah Nad. Kakak rasa kalau kakak dapat beli pun, kakak tak dapat apa. Beg Chanel tu sekadar beg saja, kan?" Nad tak tahu apa sebenarnya yang mahu diluarkan Linda. Dia mengangguk sahaja. "Bila akak fikirkan balik... Akak rasa orang tak akan anggap kakak ni lebih woman... Atau perlu dihormati dengan adanya beg itu. Kalau ada orang yang benci akak kerana akak ni mak nyah, beg Chanel tu tak akan menyebabkan mereka kurang membenci. Lagipun, akak rasa dengan tak ada beg itu pun, dah ada orang yang boleh terima akak seadanya." "Betul tu kak..." "Jadi... Sebab itulah akak mahu Nad serahkan duit ini kepada Rais nanti. Suruh dia dapatkan saiz kasut budak-budak tu secara rahsia, kemudian suruh dia belikan kasut-kasut bola untuk mereka. Kita surprisekan budak-budak tu nanti di hari perlawanan akhir tu nanti!" "Kakak nak Rais buat ini semua?" Nad menggaru kepalanya. "Ya... Rais. Kakak dah fikirkan fasal benda ni dalam-dalam. Biar dia dipertanggungjawabkan dengan tugas ini. Kakak tahu Rais tu mat fit. Tapi kakak percayakan dia. Kita kena bagi dia peluang, Nad." Nad mengangguk setuju. Dia sendiri mahu memberikan sepenuh kepercayaan kepada Rais dalam hal ini. "Terima kasih kak!" ujar Nad. Dia terus mendakap tubuh Linda. Linda merasa puas walaupun wang yang telah dikumpulkannya selama ini bertukar tangan. Dia sedikit pun tidak menyesal. Tatkala Nad sedang mendakapnya, di hujung matanya, dia ternampak kain berwarna Fuschia yang paling sesuai untuk digunakan bagi membuat baju-baju baru Pasukan Jaguh...
Oleh Nizam Zakaria
|