|
Zire 71 Photo of the day!
|
2006-01-20 - 4:10 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 21
Celisha: Dance Dance Dance Linda dan Celisha turun dari kereta kancil yang mereka naiki lalu terus berjalan ke padang untuk melihat pasukan Jaguh berlatih pada petang itu. Mereka berpayung. Rais cepat-cepat mendapatkan Linda. Wajahnya berseri-seri. "Kak Linda... Terima kasih sebab-" Linda terus menarik Rais ke tepi. Dia memandang ke arah Celisha. Dia berbisik kepada Rais: "Jangan beritahu sesiapa fasal benda ni, ya Rais? Biarlah kita-kita sahaja yang tahu." "Okay. Saya faham." Rais mengangguk serba salah. Kawannya Sham sudah tahu tentang hal ini apabila dia membawa pulang wang pemberian Linda. Dia memang tidak mampu menyembunyikan apa-apa dari Sham. Apa sahaja yang dilakukannya akan diketahui oleh Sham. Mungkin dia tidak biasa membawa wang sebanyak itu ke mana-mana sehingga menyebabkan Sham mensyaki sesuatu darinya. Akhirnya, Sham memaksa Rais menunjukkan kepadanya apakah yang disimpan di dalam kocek seluarnya. Di dalam keadaan terpaksa, Rais terpaksa menunjukkan juga isi yang terkandung di dalam sampul surat yang dibawanya itu untuk menjelaskan kepada Sham bukan dadah yang dibawanya. "Dah ambil saiz kasut budak-budak tu?" "Sudah... Tapi beri saya masa untuk cari kedai kasut yang berikan harga yang sesuai." "Apa-apa pun, Rais uruskanlah hal ini semua, ya?" Rais mengangguk pantas. Di bahagian padang yang bertentangan dia dalam melihat Sham berdiri di situ. Rais menghela nafasnya. Dia tahu apa yang Sham mahukan darinya... Linda berjalan kembali ke arah Celisha. Dia berdiri di tepi padang sambil memerhatikan Pasukan Jaguh yang sedang berlatih bersungguh-sungguh di tepi padang untuk menghadapi perlawanan saringan akhir pada minggu hadapan. "Diorang ni main okay tau... Tapi macam ada yang kurang." Ujar Celisha sambil menggigit jarinya. "Eh, apa yang u'olls tahu fasal bola?" tanya Linda. "Haiyoh! I pernah jadi lelaki lah u'olls!" "Tomboy lah gituh?" "Very der!" "Memang ada yang kureng..." Celah Nad yang telah mendengar kata-kata Celisha tadi. "Memang budak-budak ni boleh main, tapi skill diorang ni kureng sikit." "Itulah." Sambut Celisha. Sebiji bola tersasar ke arahnya. Celisha dengan tangkas menyebak bola kembali ke padang. "ZAASSST!" ucap Linda hampir-hampir mahu ternganga dibuatnya. "Apa kata kita cuba cara lain untuk ajar budak ni dengan skill main bola?" saran Celisha kepada Nad. "Skill apa tu?" tanya Nad ingin tahu. Celisha membisikkan sesuatu ke dalam telinga Nad. Nad tersenyum lalu mengangguk. Rais yang sedang berdiri berdekatan saling berpandangan dengan Linda.
Pada petang itu setelah menamatkan latihan, Nad dibawa Celisha ke Studio Dance Dance Dance di Jalan Ipoh. Linda pun ikut sama. Nad tidak pernah ke sebarang studio tarian. Apabila dia ke sini, dia terus rasa seperti seorang kanak-kanak yang baru sahaja dibawa ke taman permainan. Dia dapat mendengar lagu Tchaikovsky, dimainkan. Beberapa orang kanak-kanak perempuan didapatinya sedang diajar menari oleh seorang tenaga pengajar muda berbangsa India. "Kaladevi pandai menari Bharatanatyam juga!" beritahu Celisha dengan bangga. "Comelnya budak-budaknya menari ballet!" ujar Nad sambil memegang kedua belah pipinya. "Umur diorang sama macam budak-budak yang you coach tu, Nad." Beritahu Linda. "Tu lah!" Celisha menjemput Linda dan Nad ke pejabatnya. Apabila dia masuk sahaja ke pejabatnya, dia terus menutup pintu. Biliknya itu dihias seperti sebuah pejabat moden dengan perabot dari Ikea. Celisha membuka laci yang diletakkan di bawah tingkap. Di situ terdapat beberapa piala dan sebuah album. "Piala Bola sepak?" tanya Nad. "Ya... Pemain terbaik Sekolah Menengah St. Micheal, Ipoh." Ujar Linda ketika dia mengambil piala tersebut tanpa pengetahuan Celisha. "Jantan sangat kan kau, nok!" katanya kemudian sengaja mahu mengusik Celisha. Celisha menjeling. Dia mengeluarkan sebuah album gambar-gambar lamanya. Nad memerhatikan gambar-gambar tersebut. Terdapat gambar Celisha ketika di sekolah menengah dahulu beraksi di padang bola. Linda ketawa terkekek-kekek. "Tapi bukan kau minat tarian ke, Celisha?" tanya Linda selepas dia berhenti ketawa. "Apa?" "Menari tu kan memerlukan kelincahan dan stamina." Cepat Celisha menjawab. "Betul tu Kak Linda... Kadangkala saya dapat melihat dua orang pemain yang bergelut merebut bola macam dua orang penari yang sedang menari bersama." Jelas Nad. "Jadi esok, Nad bawa budak-budak Jaguh ke sini, ya? Kita mulakan latihan mereka di sini." "Ya, Kak Celisha. Nanti saya akan SMS ibu bapa diorang suruh mereka ke sini terus. Yang tak ada transport tu nanti saya uruskan sendiri." Linda tak faham apa yang dipersetujui di antara Nad dan Celisha. Apa yang difahaminya, esok anggota-anggota Pasukan Jaguh disuruh datang ke studio tarian Dance Dance Dance dan bukan ke padang bola seperti kebiasaannya.
Oleh Nizam Zakaria
|