|
Zire 71 Photo of the day!
|
2006-01-20 - 4:10 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 24
Hadi: Kasut Bola Apabila Linda mendapati proses membuat pakaian bola sepak Pasukan Jaguh mengambil masa yang lebih panjang dari yang disangkanya, beberapa orang mak nyah yang dikenalinya dengan sukarela datang menolong. Mereka beramai-ramai cuba menyiapkan baju yang perlu disiapkan untuk perlawanan saringan akhir nanti. Mereka mula mendengar tentang perlawanan bola ini dari buah mulut kawan-kawan mereka. Ramai yang ingin membantu. Maka, pada setiap petang, penuh rumah Lady Sarah Shamara dengan mak nyah dari kawasan sekitar yang duduk beramai-ramai sambil menjahit baju Pasukan Jaguh dengan penuh teliti. Tak kurang juga ada yang mula membuat sepanduk. Baju yang terakhir akhirnya dapat disiapkan pada hari Jumaat petang. Mereka yang telah bertungkus-lumus menyiapkan baju untuk Pasukan Jaguh rasa cukup puas dengan apa yang berjaya mereka lakukan. Baju-baju yang telah disiapkan akhirnya dibawa oleh Ma, Pa, Linda dan Lady Sara Shamara ke studio Dance, Dance, Dance. Anggota-anggota Jaguh mengadakan jamuan kecil di situ sebelum mereka semua berjuang di padang pada hari esoknya. "Cantik baju ni, Pa!" Ujar Hadi apabila dia memandang ke arah pakaian yang telah Pa jahitkan sendiri untuk Hadi. Hadi menoleh ke arah Wan. Wan sudah pun memakai bajunya. Bajunya itu dipakaikan oleh Linda yang cukup bangga dengan baju yang dijahitnya untuk Wan. Dia suka dengan baju yang diterimanya. Dah lama dia tak ada baju baru. Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lepas pun dia tak dibelikan baju baru. Ma duduk sambil menjamah kuih yang disediakan Celisha. Dia menoleh ke arah seorang budak perempuan yang tak henti-henti memandangnya daripada tadi. Ma tersenyum ke arahnya. Budak perempuan itu yang mungkin seusia dengan Hadi senyum kembali. "Kak Nad... Mana abang Rais?" tanya Hadi ketika menyambut huluran kek darinya. "Hari ini dia kata dia sibuk sikit. Ada hal." "Hal apa?" "Entahlah Hadi...Tapi esok dia janji nak datang." "Dia dah beli kasut untuk kami ke?" tanya Hadi separuh berbisik kepada Nad. "Kak Nad tak tahu, Hadi..." "Adi dah bagitahu dia jangan belikan kasut untuk Hadi." "Kenapa Hadi?" "Sebab Adi nak pakai kasut yang bapak Adi belikan untuk Adi sebelum dia meninggal dunia dulu." "Kenapa Hadi ambik keputusan ni?" "Sebab ayah Hadi belikan kasut tu untuk Hadi sebab dia nak Hadi main bola dengan kasut tu." Hadi menjelaskan. "Kalau Hadi tak pakai kasut yang dia belikan tu, kan rugi? Betul tak kak Nad?" "Betul tu, Hadi." Kata Nad sambil tersenyum. Dia memandang ke hadapan. Pa senyum ke arahnya. Nad memegang bahu Hadi. Hadi kemudian meminta diri kerana dia mahu menemui Muz yang memanggilnya kerana ingin memberitahu sesuatu. "Dia dah tak mahu bersedih lagi macam dulu..." Ujar Pa kepada Nad. Nad memotong sekeping kek lalu diserahkan kepada Pa. "Baguslah macam tu, Pa." "Hadi buat aku sedar tentang diri aku sendiri..." "Macam mana tu, Pa?" "Dia buat aku sedar yang kita tak boleh biarkan kejadian masa lampau menghantui hidup kita." Kata Pa tanpa mahu menjelaskan apa-apa lagi. Dia memikirkan kehidupannya selama ini. Apa yang telah berlaku kepada dirinya di kampung sehingga membuatnya membawa diri ke Kuala Lumpur. Dia sememangnya menyesal kerana pernah bersumpah tidak mahu pulang ke kampung. Sumpah yang telah memakan dan menghalang dirinya daripada mengecap satu kehidupan yang pastinya lebih bermakna. Dia yakin, kiranya suatu waktu dahulu dendamnya ditolak ke tepi, keluarga kakaknya pasti menerima dirinya seadanya. Ma dan Pa duduk di kerusi yang disediakan sambil makan-makan bersama ibu bapa kepada beberapa anggota Pasukan Jaguh. Mereka sedang sibuk memperkatakan tentang pertandingan yang akan diadakan esok. Bagi yang mempunyai anak perempuan pula, becok mereka bercerita tentang niat anak-anak mereka untuk menjadi 'cheerleader' pada hari esoknya. "Okay semua! Kita akan mempersembahkan pertunjukan tarian tango gandingan antara Pasukan Jaguh dan pelajar tarian dari studio 3D!" Celisha mengumumkan. Ibu bapa pelajar yang hadir di dalam jamuan ini bertepuk tangan. Pelajar-pelajar yang mempersembahkan tarian mereka pula mula mengambil tempat masing-masing. Apabila muzik dimainkan, pelajar-pelajar terus menari tarian tango seperti mana yang telah mereka pelajari. Ada yang dapat menari dengan baik dan ada pula masih lagi kelihatan kaku. Apa yang pasti mereka semua kelihatan comel dengan gerak tarian yang dipersembahkan. Ibu bapa yang hadir jelas terhibur melihatkan anak-anak mereka dapat menari dengan baik. Ketika sedang menari, Hadi tersengih ke arah Ma dan Pa. Ma dan Pa terus melambaikan tangan mereka ke arah Hadi yang dengan lincah menari tarian tango. Mereka cukup gembira melihat wajah ceria Hadi yang tidak lekang senyuman. Nad berpeluk tubuh. Fikirannya melayang ke tempat lain. Dia kerisauan kerana Rais sehingga kini masih lagi tidak dapat dihubungi. Nad masih dapat mengukir senyuman walaupun hatinya begitu risau memikirkan Rais yang hilang entah ke mana. Oleh Nizam Zakaria
|