|
Zire 71 Photo of the day!
|
2006-02-10 - 4:31 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 26
Pasukan Jaguh vs Tiger Cub - 1 Rais memandang ke arah pemain-pemain Tiger Cub yang nampak gah itu. Dia menoleh ke arah Pasukan Jaguh yang sedang berkumpul di hadapannya. Ini adalah permainan yang akan menentukan segala-galanya pada hari ini. Menang atau kalah itu semua tak penting baginya. Yang penting, mereka semua telah melakukan yang terbaik untuk sampai ke tahap ini. "Kamu semua Jaguh. Ingat tu. Bukan calang-calang pasukan boleh sampai ke perlawanan akhir!" ucap Rais dengan semangat berkobar-kobar. "Kita boleh menang!" Ujar Muz. Kawan-kawannya yang lain mengangguk dengan penuh bersemangat. Pengadil memberi isyarat kepada Nad dan Rais agar Pasukan Jaguh masuk ke padang. Rais mengangguk mengerti. Dia kemudian meminta Pasukan Jaguh supaya berjalan masuk ke padang ke posisi masing-masing. "Hadi, cuba yang terbaik, ya!" ujar Rais sambil menepuk bahu Hadi. Hadi mengetapkan bibirnya sambil mengangguk. Hadi menoleh ke arah Zaki, pemain Tiger Cub yang telah menyebabkan dia mendapat kad merah dahulu. Zaki menjeling benci. Hadi sekadar melepaskan nafasnya. Dia ingin menumpukan perhatiannya kepada permainan ini. Dia tidak akan membiarkan Zaki atau sesiapa sahaja dari Pasukan Tiger Cub untuk memusnahkan peluang pasukannya dari memenangi perlawanan yang penting ini. Bahang dapat dirasakan Pasukan Jaguh sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan. Tiger Cub dengan agresif membuat serangan bertubi-tubi untuk memastikan bola sentiasa berada dekat dengan pintu gol. Dalam masa 15 minit pertama, Tiger Cub hampir-hampir dapat menembusi gawang gol Jaguh. Penyokong-penyokong Jaguh langsung duduk terdiam dibuatnya. Bola yang ditendang oleh seorang penyerang Tiger Cub meluru dengan laju ke arah pintu gol. Penjaga gol Jaguh, Jason lambat menjunam untuk menyelamatkan bola. Nasib baiklah bola itu tidak masuk ke dalam lubang gol tetapi terlepas beberapa sentimeter sahaja di bahagian tepi tiang gol di sebelah kiri. Penyokong-penyokong Tiger Cub mengeluh di atas peluang yang disia-siakan itu. "Tak apa... Kita cuba lagi! Kita tunjukkan kepada budak-budak mentah siapa jaguh yang sebenarnya di sini!" kata Zaki yang berada betul-betul di sisi Hadi kepada rakan-rakannya. Apabila Zaki berjalan melepasinya, Hadi dapat merasakan rasa benci meluak-luak di dalam hatinya ke atas keangkuhan Zaki. Berani dia berkata-kata seperti itu di hadapannya. Muz mula hilang sabar. Dia cukup benci dengan taktik melambat-lambatkan permainan yang dipraktikkan Tiger Cub. Pemain-pemain Tiger Cub lebih matang dan berpengalaman. Mereka mempunyai stamina untuk bermain dengan lebih lama jika dibandingkan dengan Jaguh yang terdiri dari pemain-pemain lebih muda. Dalam keadaan kepenatan nanti, dia pasti Tiger Cub akan mengorak langkah untuk menyerang lalu memulakan pesta gol terhadap Jaguh. Perkara ini harus dielakkan sama sekali, fikir Muz dalam hati. Muz mendekati Hadi lalu memberikan beberapa arahan kepadanya. Dia harus memberi tekanan kepada penyerang Tiger Cub. Tetapi itulah di mana letak silapnya. Apa yang dilakukannya kini adalah sesuatu yang telah dirancang awal-awal oleh Tiger Cub. Apabila Hadi, Muz dan tiga orang pemain Jaguh yang lain cuba menggelecek bola dari seorang penyerang Tiger Cub, bola terus dihantar oleh penyerang itu kepada seorang pemain tengah Tiger Cub. Tiba-tiba sahaja, Tiger Cub mengubah corak permainan. Dari bahagian tengah, bola dihantar jauh sehingga ke bahagian gol. Di situ terdapat beberapa orang pemain Tiger Cub yang sedang menunggu, sedangkan bahagian pertahanan hanya tinggal Wan sahaja di situ. Penyokong-penyokong Jaguh bersama-sama memekik dalam kekecewaan. Mereka sedar Jaguh telah melakukan satu kesilapan yang besar dari segi taktik permainan. Tiger Cub telah memperolok-olokkan Jaguh dan Jaguh pula telah termakan kepada taktik ini yang telah dirancang sejak awal-awal lagi. "KUATKAN BAHAGIAN PERTAHANAN!" jerit Rais sekuat hati sambil menudingkan jarinya ke arah pintu gol. Hadi menoleh ke arah Muz. Wajah Muz jelas terlukis perasaan marah yang sedang meluap-luap. Hadi seolah-olah dapat membaca perasaan Muz pada waktu itu. Dia tahu bila Muz begini, dia akan bermain dengan ganas. Sesaat kemudian, apabila seorang penyerang Tiger Cub membawa bola mendekatinya, dia cuba menggelecek bola dengan kasar. Dia hampir-hampir dapat menjatuhkan pemain tersebut lalu mencederakannya. Mungkin itulah yang mahu dilakukannya. Dia mahu Tiger Cub kekurangan pemain yang berbakat seperti si penyerang tadi. "Jangan main macam tu. Nanti pengadil bagi kad merah!" ujar Hadi kepada Muz. Muz menarik nafasnya dalam-dalam. Memang kata-kata Hadi itu ada betulnya. Jika dia diberikan kad merah, dia terpaksa keluar padang. Jaguh memerlukannya. Tiger Cub sekali lagi menukar haluan permainan. Dari jauh Rais dapat melihat pengurus Tiger Cub menjerit kepada pemain-pemainnya beberapa langkah yang perlu mereka ambil. Sememangnya dari segi teknik permainan, mereka agak ketinggalan jauh jika dibandingkan oleh Pasukan Tiger Cub yang dilatih oleh seorang jurulatih profesional dan diuruskan oleh seorang berpangkat Datuk yang dikenali ramai sebagai seorang ahli korporat yang berjaya. "Mereka tak gunakan lagi teknik-teknik yang mereka pelajari di studio 3D." Keluh Nad. "Saya yang suruh." Kata Rais. "Kenapa?" "Save the best for last... Kita ada separuh masa kedua. Jangan risau, Nad." Baru beberapa saat Rais mengakhiri kalimah-kalimahnya, Tiger Cub menjaringkan gol kedua mereka. Nad dan Rais terdiam seribu bahasa. Nad menoleh ke arah Rais. Wajah Rais tenang. Dia nampaknya seperti mencongak-congak sesuatu. Nad memberikan seluruh kepercayaannya kepada Rais, kerana dia tahu Rais mempunyai pengalaman yang luas dalam permainan bola sepak berbanding dirinya...
Suasana di astaka gegak-gempita dengan suara sorakan para penonton. Penyokong-penyokong Jaguh tetap memberi sokongan walaupun pasukan kesayangan mereka jauh ketinggalan. Dua minit kemudian, wisel dibunyikan. Para pemain keluar padang untuk berehat seketika. Para pemain pasukan Jaguh nampak muram. Rais sekadar tersenyum. Dia memberikan kata-kata perangsang kepada pasukannya. "Korang masih ingat apa yang korang belajar kat studio tarian 3D, kan?" "INGATTTT!" kata Jaguh beramai-ramai. "Bila korang turun padang lepas ni... Gunakan segala apa yang korang belajar tu." Para pemain menganggukkan kepala mereka. Para pemain menganggukkan kepala tanda faham. Bayangan setiap gerak langkah tarian tango yang telah dipelajari memenuhi segenap ruang ingatan. Kini, setelah penat lelah mereka bermain beransur-ansur hilang, mereka rasa tak sabar untuk masuk semula ke padang. Oleh Nizam Zakaria
|