|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-12-07 - 4:19 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 3
Pa: Kerana sebiji bola Ketika berjalan, Pa terkejut apabila tangannya digenggam Hadi. Buat seketika Pa rasa seperti mahu melepaskan tangan Hadi tetapi dia biarkan sahaja. Dia menoleh ke arah Hadi. Dia dapat merasakan Hadi takut dirinya akan sesat di dalam keadaan orang ramai di sebuah tempat yang begitu asing baginya. "Hadi pernah ke KL?" tanya Pa. Dia membawa Hadi turun tangga besi untuk keluar dari Puduraya. Hadi menggeleng pasti. Inilah pertama kali dia ke kota ini. Dia terpesona melihat kesibukan kota ini. Keadaan orang yang terlalu ramai jumlah di sekeliling menakutkannya. Dia menggenggam tangan Pa dengan lebih erat. Dia merasa selamat apabila dia berada rapat di sisi Pa. Pa membawa Hadi berjalan dengan beg Hadi yang besar itu disandangkan ke bahunya. Mereka brdua berjalan sehingga ke kawasan Kotaraya. Pa menoleh ke arah Kotaraya. Dia mengambil keputusan untuk membawa Hadi masuk ke dalam gedung Kotaraya lalu mencari kedai sukan yang terdekat. Ada sebuah kedai barangan sukan yang masih belum ditutup walaupun jam menunjukkan pukul 9 malam. Mereka masuk ke dalam kedai barangan sukan itu. Apabila dia menoleh ke arah Hadi, dia dapat melihat mata Hadi bulat memandang ke arah beberapa biji bola yang ada dijual di situ. Pa mengambil sebiji bola yang telah menarik perhatian Hadi lalu membeli bola tersebut tanpa banyak soal. Pa menyerahkan bola yang dibelinya kepada Hadi. "Terima kasih, pakcik." Ucap Hadi malu-malu. "Panggil saja Pa... Jangan panggil Pa, pakcik lagi ya, Hadi?" Pa mengusap rambut Hadi yang lembut itu. Hadi mengangguk setuju. Dia memeluk bola yang dibelikan Pa. Selama ini dia hanya bermain dengan bola murah diperbuat daripada getah yang akan melantun entah ke mana-mana apabila dia menendangnya. Apa yang dipeluknya sekarang adalah sebiji bola yang nampak cantik di pandangan matanya. Di kampungnya, hanya budak-budak yang lebih tua darinya sahaja yang dapat dilihatnya bermain dengan bola seperti ini, itu pun mereka bermain dengan bola yang kulitnya dah buruk sangat kelihatannya. "Pa tahu Adi suka main bola?" tanya Hadi ketika mereka sedang menunggu teksi di hadapan Kotaraya. "Tahu." "Hadi memang suka main bola. Dah besar nanti Hadi nak jadi pemain bola." "Hadi suka dengan team Manchester United?" tanya Pa yang mula sedar Hadi mula mahu berbual-bual dengannya. "Kenapa?" "Abah suka dengan Manchester United." Hadi termenung ke hadapan buat beberapa ketika. Hadi teringatkan kepada bapanya dan seterusnya kepada maknya yang sudah tiada. Dia kembali diam seperti sedia kala ketika berjalan di sisi Pa. Mereka berdua terus berjalan menuju ke arah stesen LRT berdekatan untuk pulang ke Kampung Baru dengan keadaan Hadi diam begitu. Semua ini baru buat Hadi. Seumur hidupnya dia tidak pernah menaiki kereta api, inikan pula LRT. Pa memberikan beberapa keping wang siling kepada Hadi lalu mengajar Hadi bagaimana untuk membeli tiket LRT untuk ke Kampung Baru. Dengan pantas Hadi belajar bagaimana untuk mendapatkan tiket. Dia meminta Pa wang agar dia dapat membeli tiketnya sendiri. Pa kini sedar dia sedang berhadapan dengan seorang kanak-kanak yang pintar. Orang kata, susah nak membesarkan kanak-kanak yang pintar seperti Hadi. Dia tidak mahu Hadi nanti jadi seperti Rais bila dewasa kelak. Dia tahu Rais itu cerdik orangnya walaupun kini dia menghabiskan masanya dengan melepak tak tentu arah. Rais setahunya tidak diendahkan keluarganya di kampung. Rais adalah anak ke 7 dalam 9 orang adik-beradik. Keluarganya tak mahu tahu sangat perihal dirinya di Kuala Lumpur. Mereka mungkin tak tahu anak mereka tu dah jadi mat rempit dan sering ambil dadah dan minum-minum. Pa ingin memastikan agar Hadi tidak akan terjebak dengan itu semua. Dia mahu Hadi dibesarkan dengan betul dan menjadi sebaik-baik manusia. "Kereta api dah sampai." Ujar Hadi kepada Pa dengan nada seronok. Pa tersenyum. Dia memandang ke arah wajahnya yang dibiaskan di cermin LRT. Dia dapat melihat bahawa dia mempunyai raut wajah yang garang. Rambutnya sedikit licin. Botak. Tubuhnya gempal. Gemuk. Dia tidak mengenali tubuh di hadapannya. Itu bukan dia, fikirnya. Hadi keseronokan di dalam perut LRT. Hadi melepaskan tangan Pa kerana dia mahu berdiri. Seorang wanita Cina yang agak tua usianya yang sedang duduk di sebelah Pa tersenyum melihat gelagat Hadi. "Wah, your son is so cute, one!" Katanya kepada Pa. Pa tersengih. Dia membiarkan Hadi berdiri ke arah muncung gerabak LRT yang paling hadapan untuk melihat kereta api yang mereka naiki meluncur masuk ke dalam terowong di sebelah Central Market. Hadi menoleh ke arah Pa. Dia jelas teruja.
Di rumah, Pa mendapati Ma belum pulang lagi. Dia pasti Ma akan pulang lewat malam ini untuk mengemaskan apa yang patut di rumah pengantin. Pa meminta Hadi duduk di ruang tamu. Dia mahu menyediakan air untuk Hadi. "Hadi... Mulai hari ini anggap rumah ini macam rumah Hadi sendiri." Pa menghidangkan air Milo untuknya. Dia menyusun beberapa keping majalah hiburan seperti URTV, Mangga dan Media Hiburan yang berselerak di atas meja. Majalah Mastika pun ada. Di dalam majalah picisan itu ada cerita fasal pondan. Pa berpendapat, cerita yang tertulis di dalam majalah itu langsung tak betul dan sengaja ditokok tambah untuk mengelirukan pembaca. Itu tak lagi jika dikira bahasa yang cacamarba dengan kandungan yang langsung tidak sesuai untuk bacaan kanak-kanak yang terdapat di dalam majalah itu. Pa mengambil majalah itu lalu ke dapur untuk dibuang ke tong sampah. Sememangnya majalah itu selayaknya berada di situ, fikirnya. Dia tak mahu minda Hadi dirosakkan dengan bahan-bahan bacaan seperti itu. Dia perlu mengingatkan dirinya agar membeli bahan-bahan bacaan yang lebih berfaedah untuk dibaca Hadi seperti majalah Dewan Pelajar dan Majalah Kuntum. "Sekolah Hadi pulak macam mana?" dia bertanya sebaik sahaja Pa masuk semula ke ruang tamu rumahnya yang kecilnya itu. "Di sini ada sekolah. Nanti Pa daftarkan Adi ke situ." "Jauh tak sekolah tu?" "Jauh jugak. Tapi nanti Pa hantar." "Macam mana Pa nak hantar?" "Kita jalan kaki. Bila Hadi dah biasa ke sana, Pa akan belikan basikal." "Adi dah pandai naik basikal!" "Nanti tunggu sampai Adi dah biasa dengan jalan di sini... Kat KL ni banyak kereta, Hadi." "Nanti Adi tidur kat mana Pa?" Pa menudingkan jarinya ke arah bilik kecilnya. Dia membawa masuk beg Hadi ke dalam bilik tersebut. Dia membuka suis lampu. Di dapatinya beberapa barang-barang kepunyaannya tak ada lagi di dalam bilik itu. Alat-alat soleknya sudah tak ada lagi di atas meja soleknya. Apabila dia membuka almarinya, baju-baju kepunyaannya dah hilang. Dia pasti ini kerja Ma. "Ini bilik baru Hadi." Pa akhirnya berkata. Dia meletakkan beg Hadi di sebelah almari. Hadi memandang bilik barunya ini, lebih-lebih lagi ke arah gambar berbingkai Sharifah Aini di dinding. Pa mengambil gambar tersebut lalu memeluk gambar itu ke dadanya. Gambar itu adalah di antara harta dunia yang paling dihargainya. Sharifah Aini sendiri telah menandatangani gambarnya ketika Pa pergi ke salah satu konsert yang telah diadakannya. Pa dapat mendengar bunyi pintu pagar dibuka dari luar. Ma baru sahaja pulang. Ma memanggil nama Pa. Pa menyahut perlahan. "Alahai comelnya budak ni!" kata Ma sambil memegang dadanya. "Hensem budak ni bila dah besar nanti nok!" "Nyah, kau dah pindahkan barang-barang aku ke?" tanya Pa dengan wajahnya terkerut. "Dah... Mak nak budak ni ada bilik dia sendiri. Kita share bilik macam zaman kita buat show kat Cherating dulu. Alah, macam tak biasa!" Pa mengeluh lesu. Dia lihat Ma duduk di sebelah Hadi. Dia meminta Hadi supaya memanggilnya Ma dan menganggapnya sebagai ibu angkatnya yang baru. "Kau ingat kau dah woman sangat nak jadi mak dia?" tanya Pa menjeling. "Perlu ke kita berebut siapa jadi mak dia, nok? Tak perlu kan?" Ma bercekak pinggang. Dia lihat Hadi tersenyum melihat gelagatnya. "Dah, budak Hadi ni kepenatan. Aku nak suruh dia mandi. Lepas tu nak suruh dia tidur." Hadi mengangguk. Pa hampir terlupa mereka belum makan malam lagi. Dia cuba mengingatkan dirinya agar jangan sekali-kali melupakan tentang diri Hadi seperti ini. Kini tanggungjawabnya bukan hanya pada dirinya, tetapi kepada Hadi. Makan dan minumnya perlu dijaga. "Hadi pergi mandi. Nanti Pa sediakan tuala. Ma dan Pa nak masak. Nanti kita makan sama-sama." Hadi mengangguk lagi. Matanya terus kepada Ma. Dia mula merasakan Ma ini berlainan benar dengan wanita-wanita yang ditemuinya sebelum ini. Tetapi itu semua tidak penting baginya sekarang. Apa yang penting adalah dia mempunyai tempat untuk berteduh dan orang-orang yang mahu mencurahkan kasih sayang kepadanya. Oleh Nizam Zakaria
|