zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-12-07 - 4:19 p.m.

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria. Bab 4

Pa: Menara KLCC

Hadi bangun pagi-pagi tanpa dikejutkan oleh bunyi ayam berkokok. Dia menggeliat. Dia menggosok matanya lalu keluar dari bilik barunya. Dia mendapati tidak ada sesiapa pun di ruang tamu. Hadi keluar ke balkoni rumahnya. Dia dapat melihat panorama Kuala Lumpur di situ dengan bangunan KLCC tersergam gah di hadapannya. Hadi menarik nafasnya dalam-dalam. Kini dia sudah sampai ke Kuala Lumpur. Dia mula sedar bahawa dia perlu memulakan lembaran hidupnya yang baru di kota ini. Dia budak lagi seorang budak kampung yang selama ini hidupnya di kampung. Banyak benda yang perlu dipelajarinya. Banyak perkara yang perlu dilakukannya untuk memastikan agar hidupnya serasi di sini.

Hadi teringatkan kepada mak dan ayahnya. Mengapa mereka perlu pergi? Mengapa dia ditinggalkan dalam usia begitu muda? Apa salahnya sehingga nasib ini menimpa dirinya. Hadi mengelamun sendiri. Dia teringatkan detik-detik manisnya bersama mak dan ayahnya. Beberapa saat kemudian, dia merasa marah. Dia marahkan segala-galanya yang menyebabkan dirinya menjadi anak yatim seperti ini. Kalau boleh dia mahu segala-galanya di dalam hidupnya menjadi seperti sedia kala. Tapi apakan daya. Menangis air mata darah pun tidak mungkin akan dapat membuatkan kedua orang tuanya itu hidup kembali.

"Hadi buat apa tu?" tanya Ma masuk ke dapur.

"Tak ada apa-apa." Sambut Hadi. Dia cuba mengukir senyuman. Kelat.

"Dah lama Hadi bangun?"

Hadi menggeleng. Dia meraba-raba rambutnya yang kusut masai itu. "Pa mana?"

"Pa, dalam biliknya."

Hadi berjalan ke ruang tamu lalu ke bilik Pa yang tak ditutup. Hadi dapat melihat Pa mengenakan rambut palsunya. Pa menoleh ke arah Hadi serba salah.

"Lain kali kalau Hadi nak masuk ke bilik perempuan, ketuk pintu dulu." Ujar Pa dengan suara rendah tetapi lembut kedengarannya.

Hadi mengangguk.

"Pa pakai apa tu?" tanya Hadi. Dia memegang rambut palsu Pa.

"Rambut... Kepala Pa kan dan botak!"

"Oh... Pa lelaki ke perempuan?"

"Pa... Perempuan."

"Macam Ma?"

"Ya."

"Tapi Makcik Rahmah kata Pa ni pakcik Hadi."

"Pa perempuan, Hadi. Dalam diri Pa ni perempuan. Pa tak mahu tipu diri Pa. Pa selesa dengan keadaan Pa sekarang."

"Dah tu kenapa Pa tak macam ni bila Pa ambil Hadi kat kampung semalam?"

"Kalau Pa terpaksa, baru Pa buat begitu."

Hadi menggaru kepalanya. Pa memandang ke arah Hadi dari cermin soleknya. Dia tersenyum.

"Hadi nak buat apa hari ni?"

"Entah."

"Semalam Ma ada cakap kepada Pa dia nak bawak Hadi ke KLCC."

"Ye ke!" Mata Hadi bersinar-sinar. Teruja.

"Pergi mandi." Perintah Pa. Hadi mengangguk pantas.

Hadi keluar dari biliknya. Pa mengenakan solekan pada wajahnya. Dia menoleh ke belakang. Hadi dah lama menghilang. Pa mengeluh panjang. Dia telah mengambil keputusan pada malam semalam untuk tidak mahu menyembunyikan apa-apa sahaja tentang dirinya dari Hadi. Biar Hadi tahu siapa dirinya. Biar Hadi tahu siapa kawan-kawannya.



Mereka bertiga melangkah masuk ke dalam KLCC. Hadi memandang ke arah sekelilingnya dengan takjub. Ma menyarankan kepada Pa agar mereka pergi mendapatkan tiket untuk menaiki jambatan KLCC. Pa bersetuju. Mereka pergi mendapatkan tiket. Mereka hanya dapat tiket untuk jam 12. Sementara itu Pa dan Ma membawa Hadi berjalan-jalan di sekitar Suria KLCC.

Ramai pengunjung yang ada menjeling ke arah mereka. Ada yang berbisik sesama mereka. Ada pula yang tersenyum sinis. Pa dan Ma langsung tidak mengendahkan apa orang di sekeliling mereka nak cakap. Mereka dah biasa dengan ini semua.

Ma membawa Hadi masuk ke Isetan. Dia beritahu kepada Pa, dia ingin membeli beberapa helai baju untuk Hadi.

"Wah, banyak duit kau nok!" jeling Pa. Hadi melepaskan tangannya yang telah dipimpinnya sejak tadi lalu berlari ke bahagian sukan di Isetan. Dia seronok melihat beberapa peralatan sukan yang ada dijual di situ.

"Alah, apa salah nok! Mak dah anggap dia macam anak mak sendiri."

"Wah, wah, wahhhhhh!"

"Lagipun Isetan tengah sale. Jadi apa salah?" Ma pergi mendapatkan Hadi. Dia memegang tangan Hadi lalu membawanya ke bahagian pakaian kanak-kanak. Bersungguh-sungguh dia meminta Hadi memilih pakaian yang dianggapnya sesuai untuk dirinya. Tapi Hadi kata dia suka dengan baju bola. Dia tak suka baju-baju yang nampak 'trendy' yang telah dipilih Ma untuknya. Hadi ini rupa-rupanya cerewet juga budaknya. Dia sudah biasa dimanjakan arwah ibu dan bapanya dahulu. Jadi apa yang dia berkenan, itulah yang mahu dibelinya juga.

"Baju yang dia nak tu kat Petaling Street pun ada jual." Kata Pa dengan nada merungut. Ma hanya menjeling. Pa tahu Ma tak banyak duit. Wang yang mereka dapat untuk menyara hidup mereka datangnya dari kerja-kerja kahwin yang mereka lakukan. Jika tak ada kerja kahwin, wang tak akan masuk. Mereka bukan muda lagi, boleh buat show macam dulu. Tetapi Ma berkeras mahukan yang terbaik sahaja untuk Hadi. Dia sanggup belikan Hadi baju Manchester United untuk saiz kanak-kanak semata-mata untuk Hadi. Hadi kesukaan.

"Dah puas?" tanya Pa kepada Ma ketika dia mengeluarkan wang untuk membayar baju baru Hadi. Ma mengangguk sambil memuncungkan bibirnya.



Dari arah jambatan KLCC itu Hadi ditunjukkan oleh Ma dan Pa di mana letaknya tempat tinggal barunya di Kampung Baru. Mulut Hadi terlopong dibuatnya. Dia tidak pernah menyangka dia akan dapat melihat suasana Kuala Lumpur dari sudut ini. Keadaan flat tempat tinggalnya yang baru itu nampak kecil. Kereta-kereta di bawahnya juga kecil yang bergerak di atas jalan juga nampak kecil.

"Kenapa Ma dengan Pa bawak Hadi ke sini?" tanya Hadi tanpa menoleh.

"Hadi sekarang dah jadi orang KL. Jadi kena biasa-biasakan diri Hadi dengan keadaan di KL." Jawab Pa.

"Kenapa dari sini semua nampak lain saja, Pa?"

"Ada kalanya kita mesti melihat dunia sekeliling kita dari pandangan yang lain, baru kita betul-betul faham apa yang kita lihat."

Hadi mengangguk. Dia mendekatkan dirinya ke cermin untuk melihat panorama Kuala Lumpur. Tak sedikit pun dia merasa gayat seperti yang dirasakan Ma pada waktu itu yang menggigil-gigil kepala lututnya memandang ke bawah.

Pada malam itu Hadi tidur dalam keadaan kesukaan. Dia tidak henti-henti berbual tentang pengalamannya melihat benda-benda baru sewaktu dibawa Ma dan Pa ke Petrosains Discovery Centre. Pa terpaksa merayu kepada Hadi supaya masuk tidur, jika tidak sehingga semalaman dia akan terus membuka mulutnya untuk berceloteh.

Sesudah Hadi masuk tidur, barulah Pa rasa lega lalu duduk di ruang tamu bersama Ma. Dia dapat melihat mata Ma terpaku ke kaca TV sambil menonton sebuah rancangan telemovie Melayu.

"Cerita apa ni, nyah?" tanya Pa. Dia mengambil beberapa biji kuaci di atas tangan Ma.

"Cerita fasal si ayahda tokoh korporat yang menggatal dengan secretary dia. Lepas tu, isteri dia tak rela dimadu. Jadi berlakulah pergaduhan."

"Apa tajuk telemovie ni?"

"Cinta Berpaut Kasih."

"Tajuk meletup! Tapi cerita fasal laki bini bergaduh. Macam mana tu?"

"Biasa lah nok, cerita Melayu." Sambut Ma. Dia menggigit jarinya apabila si ayahda korporat menyepak isterinya yang dikatakan telah kurang ajar kepadanya. Anak-anaknya dua orang yang masih berusia belasan tahun terus mendapatkan ibu mereka yang sedang menangis.

"Kita tak boleh jadi macam ni lah, nok." Ujar Pa bersungguh-sungguh.

"Macam mana?"

"Macam keluarga yang kita selalu tengok dalam cerita Melayu... Gaduh, gaduh, gaduh. Tak pernah aman. Siang gaduh, malam gaduh sampai tembak-tembak."

"Tu cerita Gerak Khas lah nyah!"

"Ye ke?"

"Ye lah! Cerita berlakon macam plastik tu kan? Dengan skrip buku teks sekolah rendah-"

"Entahlah nok, mak tak dapat bezakan cerita-cerita Melayu kat TV ni lagi. Semuanya sama jer mak tengok." Ujar Pa memeluk bantal kusyennya. "Apa-apa pun... Mak nak kita besarkan Hadi dalam suasana bahagia. Kita dah tak boleh mencarut-carut macam dulu. Kita tak boleh lagi cerita benda tak senonoh depan dia. Kalau nak cerita pun bukan depan dia."

"Betul tu nok. Mak setuju dengan pendapat kau."

"Esok mak nak jumpa Ustazah Saleha. Mak nak beritahu dia mak nak masukkan Hadi dalam kelas mengajinya tu."

Ma tersenyum setuju. Kemudian dia berpaling semula ke kaca TV. Si ayahda kini sedang bermanja dengan kekasih mudanya yang sebenarnya mempunyai motif ingin mengikis hartanya. Ma rasa dah sepuluh drama Melayu dengan plot yang sama yang telah ditontonnya tahun ini, tetapi dia terus menontonnya dengan hati dan minda yang sudah lama sebal...

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!