|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-12-07 - 4:19 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 5
Pa: Pulut Kuning Sejak pagi tadi Hadi lihat Ma dan Pa sibuk di dapur. Pada waktu tengah hari, Hadi dibawa mereka ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Ma dan Pa membelikan Hadi senaskhah muqaddam dan dua pasang baju Melayu yang baru. Pada waktu petang menjelang maghrib, apabila Hadi ke dapur, dia dapat melihat Ma dan Pa sedang sibuk menyediakan sedulang pulut kuning. Pulut kuning ini dihias dengan cantik macam perhiasan hantaran kahwin anak-anak raja. Bau rendang daging yang baru dimasak memenuhi ruang dapur. Rais berdiri di muka pintu. Dia memberi salam lalu memanggil Ma kerana selama ini hanya Ma sahaja yang menegurnya. Pa banyak berdiam setiap kali mereka bertemu. Ma dan Pa saling berpandangan. "Nak mintak duit lagi lah tu." Rungut Pa. Hadi mahu menyentuh pulut kuning di atas meja makan. Pa membuat isyarat tangan tidak membenarkan. Wajahnya nampak garang. "Nak apa Rais?" tanya Ma sambil bercekak pinggang di depan pintu. "Ma... Tak makan lagi." Ujar Rais menggosok perutnya. Dia buat muka sedih. Pasti akan menjadi untuk cairkan Ma atau sesiapa sahaja yang senang melihat wajahnya yang kacak itu. "Dah tu?" "Ada makanan tak?" Ma menghela nafasnya. Dia tak mahu berkira dengan makanan. Dia membuka pintu pagarnya. Ma menoleh ke arah Pa di dapur. Dia tahu Pa tidak suka Ma menjemput Rais masuk ke dalam rumah. Rais duduk di ruang tamu. Dia menoleh ke dapur. Dia dapat melihat Hadi di situ. Pa kemudian meminta Hadi ke ruang tamu untuk menemani Rais. Hadi pergi mendapatkan Rais. Hadi salam tangannya. Dalam senyap-senyap, Pa dan Ma bertengkar di dapur. "Siapa nama hang?" tanya Rais. Dia mengeluarkan kotak rokoknya untuk menghisap rokok. Tetapi dia tidak dapat melihat tempat membuang abu. Dia tak jadi hisap rokok. Lagipun dia tak mahu Pa atau Ma menegurnya kerana menghisap rokok di dalam rumah mereka yang bersih dan teratur ini. "Hadi." "Nama aku Rais. Aku duduk dua rumah dari sini." Hadi cuba memastikan agar dia dapat mengingati nama Rais. "Hang anak siapa?" tanya Rais apabila dia mendapati Hadi terus merenung ke arahnya sehingga membuat dia rasa tidak selesa. Hadi tidak mahu menjawab. Matanya terus kepada Rais. Dia dapati loghat utara Rais agak pekat. Dia perlu mendengar suara Rais betul-betul barulah dia dapat memahami apa yang katakan Rais. "Rumah hang di mana?" tanya Rais sambil menyuakan rambutnya ke belakang. "Sini." "Tingkat berapa?" "Sini." Ulang Hadi. Dia mula berfikir Rais ini mungkin pekak orangnya. "Hang tinggal dengan Ma dan Pa?" "Ya." "Biar betul! Hang tinggal dengan depa di sini?" Hadi mengangguk pantas. Rais rasa macam nak ketawa, tapi dia menahan rasa lucunya. Dia tersenyum. Hadi mendekatkan dirinya kepada Rais. Hadi memandang ke arah lutut Rais. Dia dapati bahagian lutut Rais ada bekas jahitan seperti yang ada pada lutut arwah bapanya. "Abang jatuh ke?" tanya Hadi. Dia menudingkan jarinya ke arah lutut Rais. "Tak." "Dah tu?" Rais tidak mahu menjawab. Kalau boleh dia tidak mahu mengingati kisah-kisah lampaunya. Semuanya itu sudah lama ditinggalkannya dan kalau boleh dia tak mahu mengingatinya sampai bila-bila. "Abang Rais kau tu mat rempit. Dia accident motor lah tu!" getus Ma sewaktu dia berjalan melenggang ke ruang tamu. "Ya. Accident motor kat kampung dulu..." sambut Rais berbohong. "Kami ada lebihan pulut kuning yang kami masak untuk kami sedekahkan kepada Ustazah Saleha. Nanti kau kongsi makan dengan kawan-kawan serumah kau tu nanti." Ujar Ma. Dia menoleh ke dapur. Beberapa saat kemudian Pa bawa plastik yang dipenuhi dengan pulut kuning dan lauk rendang. "Terima kasih." Ucap Rais kepada Pa. Pa hanya menjeling. "Diharapkan berkat budak ni belajar mengaji nanti." Sambungnya dengan perlahan. "Hang memang sesak bulan ni?" Ma ingin tahu. "Ya..." jawab Rais dengan teragak-agak. "Kalau kau tak habiskan duit kau beli arak, beli ganja... Kau tak akan sesak macam ni!" rungut Pa. Rais buat-buat tak dengar. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri gamaknya. "Ma... Pinjam duit boleh? Tak banyak." "Untuk apa lagi?" "Nak bayar sewa." Ma masuk ke dalam biliknya. Pa menggelengkan kepalanya. Ma keluar dengan wang RM 100. Dia serahkan wang tersebut kepada Rais. "Ini... Sedekah dari aku. Tapi aku nak hang bayar duit sewa hang tu nanti. Jangan belanja lain pulak!" "Ya. Memang lah. Kalau tak bayar nanti Is nak tinggal kat mana?" "Kau bukan budak-budak lagi Rais... Betapa umur kau sekarang? 22?" tanya Pa dengan nada serius. "21." "Dua tahun lepas bila kau mula-mula datang KL, aku tengok kau baik jer orangnya. Tapi tengok apa dah jadi sekarang?" Rais tak mahu mendengar leteran Pa. Dia ambil bekal makanan di atas meja. Dia meminta dirinya untuk beransur pergi. Dia ucapkan terima kasih kepada Ma dan Pa. Hadi mengekorinya sehingga ke muka pintu. "Bila Hadi dah besar nanti Pa tak mahu Hadi jadi macam abang Rais." Ujar Pa setelah dia memastikan Rais sudah pun melangkah masuk ke dalam rumah sewanya. "Kenapa?" "Pa mahu Hadi tak mensia-siakan hidup Hadi macam tu." "Mensia-siakan tu apa?" Pa tidak mahu menjawab soalan Hadi itu. Dia mula berfikir tak baik jika dia berkata buruk tentang Rais di hadapan Hadi. "Dah, pergi mandi. Kejap lagi Pa dan Ma nak bawak hadi jumpa Ustazah Saleha." Hadi mengangguk. Dia tak sabar nak pergi belajar mengaji dengan muqaddam dan baju Melayunya itu. Dia terus masuk ke dalam biliknya untuk mengambil tuala lalu mandi di bilik mandi.
Rumah Ustazah Saleha letaknya tidak begitu jauh dari flat yang diduduki Ma dan Pa. Apabila mereka mendekati rumah Ustazah Saleha, mereka dapat mendengar suara budak-budak belajar mengaji. Pa berbaju kurung seperti yang pernah dipakai oleh Sharifah Aini dan Ma pula memakai kebaya ketat macam Saloma. Masing-masing memakai selendang. Nak menutup aurat gamaknya. Ustazah Saleha menjawab soalan dengan suaranya yang lembut itu. Dia tersenyum memandang ke arah Ma dan Pa. Sememangnya dia telah menunggu kedatangan Ma dan Pa ke rumahnya. Dia berpaling ke arah Hadi. Dia lihat Hadi takut-takut. "Kenapa dia takut?" tanya Ustazah Saleha yang masih berusia di sekitar pertengahan 20an itu. Ustazah Saleha berasal dari Kuala Pilah. Dia telah berpindah ke Kampung Baru setelah dia berkahwin dengan Tarmizi anak kepada bilal Jusoh. Sejak dia berpindah ke sini, tiga tahun yang lepas ramai budak-budak Kampung Baru yang pergi belajar mengaji dengannya. "Ini," Pa menunjukkan rotan yang dibawanya yang telah dihiaskan dengan reben merah jambu. "Rotan propah ni." Ustazah Saleha tersenyum. Dia kemudian memandang ke arah pulut kunyit yang ditatang Ma yang telah ditutup dengan kain putih. Pa menyelak kain putih tersebut. Ustazah Saleha terkejut melihat hiasan pulut kuning yang mahu disedekahkan kepadanya. "Fuuh! Macam kek mat saleh! Bertingkat-tingkat!" terbeliak mata Ustazah Saleha dibuatnya. Beberapa orang anak-anak muridnya berhenti mengaji lalu melihat persembahan pulut kuning oleh Pa. "Eh, jemput masuklah kalau ya, pun." Ma dan Pa masuk ke dalam rumah Ustazah Saleha. Mereka duduk bersimpuh di hadapan Ustazah Saleha. Mereka mempersembahkan pulut kuning kepadanya. Dua tiga orang anak-anak murid ustazah Saleha menelan air liur melihat pulut kuning yang dihias cantik itu. "Rotan ini saya beri kepada Ustazah untuk mendidik Hadi. Kalau perlu, pukul lah dia dengan rotan ini. Tapi janganlah dipukulnya sampai berdarah." "Insyallah." Hadi terlopong mendengarkan kata-kata Pa kepada Ustazah Saleha. "Ustazah Saleha ni baik, Hadi tak payah takut dengannya." Bisik Ma ke dalam telinga Hadi. Hadi mengangguk - dia memberi sepenuh kepercayaan kepada apa yang diberitahu oleh Ma kepadanya. "Kami mintak diri dulu, ya Ustazah." Ujar Pa. Dia memandang ke arah jam dinding. Setengah jam nanti pada pukul 8 dia akan ke sini untuk membawa Hadi pulang. Apabila dia melangkah keluar dari rumah Ustazah Saleha, dia dapat mendengar kembali suara anak-anak murid Ustazah Saleha yang sedang mengaji. "Minggu depan aku kena daftarkan dia ke sekolah pula." Ujar Pa kepada Ma. "Susah jugak nak jaga budak ni, kan?" sambut Ma. "Macam-macam kerja kena buat." "Kalau ada anak tapi duduk melingkar jer, bukan jaga anak namanya tu, Ma!" Ma bersetuju dengan kata-kata Pa. Fikirnya, jika orang lain boleh buat, masakan dia tak boleh melakukannya. Ya, dia - yang menganggap dirinya ratu itu.
Ma dan Pa menunggu di luar rumah Ustazah Saleha sehingga Hadi selesai mengaji. Apabila dia keluar dari rumah Ustazah Saleha, dia terus pergi mendapatkan Ma dan Pa di luar rumah. "Dah salam dengan ustazah?" tanya Pa ingin memastikan. "Dah. Dia kata pulut kuning tu sedap." Jawab Hadi dengan petah. "Tadi Hadi makan pulut tu dengan kawan-kawan Hadi?" "Ya." "Ustazah ada guna rotan tu kat Hadi tak?" "Tak. Dia simpan rotan tu." Dua orang nyah bertudung memberi salam kepada Ma dan Pa. Mereka berjalan ke arah rumah Ustazah Saleha. Mereka mahu belajar mengaji. "Si Natasha dan si Lolita tu ke? Bukan ke diorang tu cik endut kat Chow Kit?" tanya Ma kepada Pa dengan suara perlahan agar Hadi tidak mendengar. Mereka berjalan meninggalkan kawasan tempat tinggal Ustazah Saleha untuk pulang ke rumah mereka. "Dah bertaubat lah tu." "Alhamdulillah..." "Cik Endut tu siapa?" tanya Hadi kepada Ma. "Haiyoh! Telinga bionik Six Million Dollar Man budak ni!" "Bukan aku dah cakap-" "Abang Rais!" getus Hadi dengan nada ghairah. Dia nampak Rais sedang melepak di tepi sebuah padang bola. Dia sedang duduk di atas motornya sambil merokok. Di tepi motornya ada sebiji bola. "Hadi nak ke mana ni?" Tanya Pa. Dia mendapati Hadi sedang menarik tangannya ke arah Rais. "Buat apa?" "Dia ada bola tu." "Biarkan dia kat situ!" tegah Pa meninggikan suaranya. Rais menoleh ke arah Hadi. Dia memandang sekali kepada Hadi sebelum dia berpaling ke arah padang yang gelap di hadapannya. Termenung. Entah apa sahaja yang sedang difikirkannya pada waktu itu. Pa menarik tangan Hadi lalu memujuknya supaya berjalan dengan lebih pantas lagi agar mereka dapat pulang ke flat mereka. Ma menoleh ke arah Rais. Dia yakin dia telah melihat Rais menangis di dalam gelap kerana buat beberapa detik tadi dia dapat memerhatikan Rais mengesat air matanya. Mungkin Ma tersilap lihat, fikirnya di dalam hati. Apa tidaknya, dia rabun malam tapi dia tetap berkeras tak mahu pakai cermin mata. Kononnya kalau dia pakai cermin mata nanti hilanglah seri wajahnya nanti. Rais menghidupkan enjin motosikalnya. Dia mengambil bola yang berada di sisinya tadi lalu dipegangnya dengan erat. Dia meninggalkan kawasan padang ini dengan pantas tanpa teragak-agak lagi. Malam ini, seperti malam-malam sebelumnya, dia akan pulang lewat ke rumah sewanya... Oleh Nizam Zakaria
|