|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-12-15 - 1:04 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 6
Ma: Poster Cristian Ronaldo Rais memberi salam lalu memanggil nama Hadi dari luar pintu pagar. Hadi berjalan ke arahnya. Rais yang bertubuh tinggi itu terpaksa membuatkan Hadi mendongak sewaktu dia berhadapan dengannya begitu. Di dalam pada itu, Hadi dapat melihat Rais membawa sebuah kotak penuh dengan beberapa keping poster dan majalah-majalah lama. "Mana Ma dan Pa?" tanya Rais. Dia menjenguk ke dalam rumah. "Diorang pergi pasar." "Dah lama depa keluar?" "Dah." "Hang tengah buat apa?" "Tengok kartun." "Hang dah makan sarapan?" "Dah." "Kenapa hang tak ikut depa ke pasar? Pasar Chow Kit pun bukannya jauh dari sini." "Diorang suruh Adi duduk kat rumah. Jaga rumah." "Hang nak jaga rumah ni dari apa? Dari kucing?" "Entah." Hadi menaikkan kedua belah bahunya. Dia melihat jika ada kucing yang tersesat masuk ke dalam rumah. Tak ada. Dia melepaskan nafas lega. "Aku nak bagi ni semua untuk kau." Rais menunjukkan kotaknya kepada Hadi. "Apa tu?" "Poster-poster lama aku dari bilik aku... Dan majalah-majalah bola sepak yang aku kumpul selama ini." "Ye ke!" ujar Hadi kesukaan. "Tapi kenapa?" "Aku nak bersihkan bilik aku. Jadi dari aku buang, baik aku bagi kat hang." Jawab Rais, langsung dia tidak mahu memberitahu Hadi sebab sebenarnya. Dia membersihkan biliknya dari segala apa yang mengingatkannya kepada kehidupan masa lampau dan impian-impiannya yang tidak pernah tercapai. Dia mahu melupakan semua ini sama sekali. "Oh.." "Hang nak ke tak nak ni? "Nak!" Rais tersengih melihat Hadi kesukaan begitu. "Hang suka Man U, kan?" "Ya, mana abang tahu?" "Kelmarin aku nampak hang pakai baju Man U." "Oh... baju tu Ma yang belikan." Beritahu Hadi dengan bangga. "Aku pun suka Man U." "Ye ke?" tanya Hadi dengan kedua belah tangannya memegang pintu pagar. "Abang minat dengan siapa?" "Aku suka dengan George Best. Bagi aku dia tetap pemain Man U yang terbaik sepanjang zaman... Dia baru sahaja meninggal dunia bulan lepas." "Oh... Adi tahu. Ayah Adi dah beritahu. Ayah Adi kata dia mati sebab dia banyak minum arak." "Ayah hang pun Minat Man U?" "Ya." "Dia minat dengan siapa?" "Ayah Adi minat Ryan Giggs." Beritahu Hadi. Dia menghela nafasnya. Matanya berubah sayu. "Ayah Adi pun, baru meninggal dunia. Dia dengan mak mati accident." Rais terdiam. Hadi berdiri terkebil-kebil di hadapannya. "Aku ada poster lama Beckham. Hang suka dengan Beckham tak?" tanya Rais memecah kesunyian yang terbuku di antara mereka. "Tak suka lah kat Beckham... Dia sekarang dah main untuk Real Madrid!" "Jadi hang suka dengan siapa?" "Ronaldo." "Christiano Ronaldo?" "Ya!" "Kalau tak salah aku, dalam salah satu majalah aku bagi kau ni ada poster dia. Hang carilah sendiri nanti. Tapi masa tu dia masih dengan pasukan Portugal dia tu... Sporting Lisbon." "Oh..." terlopong mulut Hadi dibuatnya. Dia tak sabar mahu menyelak majalah bola sepak yang mahu diberikan Rais kepadanya. "Kenapa kau suka dengan Ronaldo?"
"Tahu... Siapa tak tahu cerita fasal budak Martunis tu!" ujar Rais bersungguh-sungguh. Cerita ini sudah lama terukir di dalam benak fikirannya bak sebuah legenda yang tak akan mati. "Martunis yang berusia 8 tahun tu jadi mangsa Tsunami. Dia dijumpai merayau-rayau di tepi pantai setelah 19 hari dia hidup sendiri. Martunis dijumpai memakai baju pasukan Portugal. Bila Ronaldo dapat tahu, dia terbang ke Indonesia untuk melawat tempat-tempat yang dilanda tsunami. Kemudian dia banyak menderma untuk membantu mangsa-mangsa tsunami di Indonesia." "Sebab tu saya suka dengan Ronaldo!" kata Hadi bersungguh-sungguh. Rais menoleh ke tepi. Dia dapat melihat Ma dan Pa berjalan melenggang membawa barang-barang dapur yang telah mereka beli di pasar. "Kenapa tak jemput abang Rais masuk, Hadi?" tanya Ma mencari kunci rumah di dalam tas tangannya. "Pa kata jangan bagi sesiapapun masuk rumah ni." Jawab Hadi lantas memandang ke arah wajah Pa. Pa tersenyum puas kerana Hadi mendengar kata-katanya. "Poster-poster dan majalah ni Is nak bagi kat Hadi." Rais menyerahkan kotaknya terus kepada Hadi apabila pintu pagar di buka. Hadi menerima pemberian Rais dengan wajahnya jelas teruja. "Cakap apa kat abang Rais, Hadi?" tanya Pa ketika dia melangkah masuk ke dalam rumah. "Terima kasih bang Rais!" "Sama-sama." "Hang tak mahu singgah sekejap?" tanya Ma. "Tak apalah Ma..." Rais meraba-raba belakang tengkuknya. "Hang dah sarapan?" "Belum..." "Masuklah kalau ya pun. Makan dulu. Nasi lemak yang Ma sediakan pagi tadi masa ada lebihnya." Rais menggaru kepalanya. Dia masuk ke rumah. Apa salahnya kalau dia makan pagi ini di sini. Lagipun dia belum makan lagi. Perutnya kosong. Hadi mengeluarkan segala poster-poster dan majalah-majalah bola sepak yang telah diberikan Rais ke atas meja di ruang tamu. Dia memerhatikan poster-poster yang ada seperti seorang kurator muzium yang baru sahaja menerima sebuah koleksi lukisan dari seorang pelukis agung yang dihormatinya sejak kecil. "Nanti kita sama-sama tampal poster ni kat bilik Hadi, ya!" ujar Pa. Hadi mengangguk pantas. Dia mula memilih beberapa keping poster yang sesuai untuk ditampakkannya ke dinding. Dia meletak ke tepi poster Beckham. Dia memang tak suka dengan Beckham. Ma menjemput Rais ke dapur untuk makan lebihan nasi lemaknya. Rais menurut sahaja. Dia melihat Hadi tersenyum ke arahnya sebelum dia kembali membelek poster-poster yang kini menjadi kepunyaannya...
Pa dan Ma memandang ke arah bilik Hadi. Sememangnya bilik ini perlu nampak seolah ia dihuni orang seorang budak lelaki dan bukan seorang mak nyah, fikir Ma. Dia mengingatkan dirinya supaya menukar langsir bilik Hadi yang beropol-ropol berwarna merah jambu itu kepada warna biru. Cadar yang sedondon warnanya dengan langsir itu juga patut diganti. Ma telah berbincang dengan Pa tentang hal ini semalaman. Kalau boleh dia mahu Hadi dibesarkan sebagai seorang budak lelaki dalam suasana kehidupan yang normal. Dia tak mahu Hadi mengalami zaman kanak-kanak yang serba kekurangan seperti yang dialaminya dahulu di Pulau Pinang. Ma dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang daif. Keadaannya yang lembut langsung membuat dirinya sering diejek dan dikeji oleh rakan-rakannya di sekolah. Ma telah berhijrah ke Kuala Lumpur bukan kerana dia mahu melarikan dirinya dari sesiapa, tetapi dia ke Kuala Lumpur kerana dia mahu mengadu nasibnya di sini. Ma kalau boleh mahu hidup dengan lebih selesa. Dia tak mahu hidup miskin. Cukuplah dia dapat hidup dengan makan minum yang cukup dan tidur berlindungkan bumbung. "Nok, kau rasa budak Hadi ni bila dah besar nanti... Boleh jadi pondan tak?" tanya Ma kepada Pa ketika mereka mahu masuk tidur malam semalam. "Eh, kau dah buat tebiat ke apa, nyah?" tanya Pa sambil menepuk bantalnya. "Ye lah... Kita kan dah macam ni. Kau rasa budak Hadi tu akan terikut-ikut, tak?" "Tak ada lah. Kalau boleh terikut-ikut... Dah lama aku terikut-ikut jadi askar macam bapak aku tu. Boleh?" "Perlu ke mak bayangkan kau jadi askar?" "Ini semua naluri, nok. Kalau budak tu nalurinya nak jadi jantan... Jantanlah dia. Jiwa kita ni sejak azali perempuan. Dah kita ke arah tu, ke situlah juga kita akhirnya." "Bukan apa nok... Bukan senang jadi lembut ni. Sejak kecik mak tak buat salah apa pun orang dah benci. Mak tak mencuri, tak mengeji... Tapi orang dah benci mak tak tentu fasal." "Itulah... Nak kata kita ni sopan, memang kita sopan mengalahkan perempuan. Baju keluarga kita cuci. Pinggang mangkuk kita bersihkan. Kalau ada baju yang koyak, kita yang jahitkan. Masak pun kita masak!" "Itu lah nok, semua kerja tu mak buat." "Bapak aku pernah heret aku keluar dari dapur. Dia tak bagi tolong mak aku masak. Dia kata lelaki tak perlu buat tu semua. Itu semua kerja perempuan." "Dunia dah banyak merubah, nok. Sekarang tak kira lelaki ke perempuan kena sama-sama bertanggungjawab dengan hal rumah tangga. Ye lah, bini pun kerja jugak. Ada tu, pekerjaannya melebihi gaji suami. Tak kan dah sama-sama kerja bila si isteri balik ke rumah dia jugak kena masak segala... Si suami goyang kaki saja ke?" Sememangnya dunia sekarang sudah banyak berubah, fikir Ma. Pasangan yang baru berkahwin selalunya tahu tentang tanggungjawab masing-masing. Lelaki dan wanita mempunyai hak sama rata. Apa yang masih belum berubah adalah persepsi masyarakat terhadap manusia sepertinya.
"Haiyoh!" ucap Ma sebaik sahaja dia memandang ke arah poster Ronaldo yang sedang berlengging itu. "Sentaps!" Pa hanya menjeling memandang ke arah poster tersebut. Dia melihat tangan Ma menggigil. "Taste ker?" bisik Pa perlahan ke telinga Ma, sengaja dia memerlinya. Ma mencebik. Ma mengambil poster Ronaldo lalu menampalkan poster itu di tempat yang ditunjukkan Hadi. Pa menyediakan cellotape. Mereka bertiga bersama-sama menghiasi dinding bilik Hadi sehingga dinding biliknya itu kini tidak lagi nampak hambar. Biliknya itu kini kelihatan seperti bilik seorang peminat sukan bola sepak, lebih-lebih lagi pasukan Manchester United. Hadi cukup puas melihat keadaan biliknya sekarang. Wajahnya jelas bangga. Dia mengucapkan terima kasih kepada Pa dan kemudian kepada Ma. Kalau boleh dia ingin mengucapkan terima kasih kepada Rais sekali, tapi Pa mengingatkan dia supaya mandi dan bersedia untuk pergi mengaji selepas sembahyang maghrib nanti... Oleh Nizam Zakaria
|