zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-12-15 - 1:04 p.m.

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 7

Ma: Main bola di waktu malam

Hadi menutup muqaddamnya. Dia lihat wajah Ustazah Saleha tersenyum ke arahnya. Dia sempat memuji Hadi kerana Hadi cepat menghafal surah-surah yang perlu dihafalnya. Hadi mencium tangan Ustazah Saleha diikuti oleh kawan-kawannya yang lain. Mereka semua beramai-ramai keluar dari rumah Ustazah Saleha. Di luar, Hadi dapat melihat Ma dan Pa sedang menunggunya.

"Macam mana belajar tadi?" tanya Ma, dia mengambil beg kecil Hadi yang diisi muqaddam.

"Macam biasa Ma." Jawab Hadi sambil memandang wajah Pa yang selalu sahaja nampak serius itu.

Pa dan Ma berjalan pulang. Hadi cepat-cepat mendapatkan Pa lalu memimpin tangannya. Dia sempat melambaikan tangannya ke arah beberapa rakan baru yang dikenalinya di tempat dia belajar mengaji.

Apabila berjalan di tepi padang, Hadi dapat melihat Rais duduk di atas motornya. Di sisinya ada sebiji bola. Matanya terus ke arah padang.

"Abang Rais!" jerit Hadi. Rais menoleh ke arahnya. Dia tersenyum.

Hadi menarik tangan Pa. Pa mengeluh lalu menoleh ke arah Ma.

"Apa abang Is buat kat sini?" tanya Hadi sambil mengambil bola di atas rumput.

"Termenung."

"Hang tu tak habis-habis termenung!" Perli Ma.

Hadi menendang bola lalu bermain dengan bola di atas padang. Pa bercekak pinggang. Dia ingin bersuara, tapi Ma memintanya membiarkan sahaja.

"Dia minat dengan bola, Pa." Beritahu Rais kepada Pa.

"Aku tahu."

"Bagi lah dia peluang main. Tak kan nak biarkan dia terperap jer dalam rumah macam budak perempuan."

"Aku tak mahu dia berkawan dengan budak-budak nakal." Pa menjawab.

"Betul tu Pa... Hadi ni budak lelaki. Lain sikit cara jaganya." Celah Ma. "Kalau kita control sangat hidup dia, lain pulak jadinya nanti. Nanti minat mengemas lah, minat jahit langsir lah, minat tarian tradisi lah, minat-"

"Ye lah, aku tahu! Ish!" Pa menjeling. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Tak ada orang. Dia berjalan ke arah Hadi. Hadi menendang bola ke arahnya.

"Auuwww!" jerit Pa sambil mengelak dirinya dari terkena bola sepakan Hadi. Dia mengurut-urut dadanya.

"Nyah, bola tu tak makan orang!" ujar Ma ketawa terkekeh-kekeh. Rais tersenyum melihat telatah Pa.

Pa menjeling. Dia pergi mendapatkan bola tadi. Dia menyelak kainnya. Dia menyepak bola kembali ke arah Hadi.

Ma seronok melihat Hadi dan Pa bermain di atas padang yang sepi itu. Dia meminta Rais menjaga beg Hadi lalu dia sendiri turun padang. Hilang rasa malunya untuk bermain bola kerana tak ada orang yang memerhatikan kecuali Rais.

Ma tahu dia kaki bangku. Sejak kecil lagi jika budak-budak lelaki lain bermain bola, dia akan main netball dengan kawan-kawan perempuannya. Walaupun ditertawakan, Ma tak ambil pot. Dulu, hanya budak-budak lelaki sahaja main bola. Sekarang , lelaki perempuan main bola. Jadi dia tidak kisah sangat jika dia sendiri cuba bermain bola dengan Pa dan Hadi.

Hadi menggelecek bola lalu di tendang ke arah Ma. Ma menerima bola lalu menyepak ke hadapan. Bola melantun jauh sehingga ke hujung padang.

"Wah, keluar tenaga jantan kau segala, nyah!" ujar Pa cuba menahan dirinya dari tersengih.

Rais turun dari motornya. Dia berlari-lari anak mendapatkan bola yang telah disepak Ma tadi yang kini menghilang di dalam kegelapan padang.

Ma bercekak pinggang. Kelibat Rais hilang dalam gelap. Beberapa detik kemudian dia dapat mendengar bunyi bola ditimbang. Perlahan-lahan Rais dapat dilihatnya muncul dari dalam gelap sambil menimbang bola lalu ditendangnya bola itu ke arah Hadi.

"Macam ni lah caranya orang main bola." Ujar Rais dengan nada takbur kepada Ma dan Pa. Ma mengesotkan bibirnya ke tepi.

"Sejak bila hang terrer main bola ni?" tanya Ma. Rais tidak menjawab. Dia melepaskan nafasnya. Pa menerima bola dari tendangan Hadi. Pa mengembalikan bola kepada Rais. Rais dengan cekap menerima bola pada hujung kakinya, kemudian ke dadanya sebelum dia menangkap bola itu dengan tangan kanannya.

"Alah! Apa ni, Pa!" Hadi merengek manja.

"Esok Hadi kena bangun pagi-pagi." Kata Pa dengan tegas.

"Kita main sikit lagi lah!"

"Tak boleh." Kata Pa. Rais tersenyum. Dia menggerakkan kepalanya untuk memberi isyarat kepada Hadi supaya mendengar kata Pa. Hadi mengeluh. Pa sudah mula berjalan beberapa tapak ke hadapan. Ma memegang rambut Hadi untuk memujuknya pulang. Hadi menurut sahaja, walaupun pada dasarnya dia degil. Dia tahu bagaimana dia perlu membawa dirinya sekarang. Dia sedar akan kedudukannya sebagai seorang anak yatim piatu yang hanya hidup menumpang di atas belas simpati orang lain...

Pagi-pagi lagi Ma dan Pa sudah bangun dari tidur. Ma menyediakan sarapan dan bekal untuk Hadi. Pa pula, menyerika uniform sekolah Hadi dan pakaian yang mahu dipakainya ketika membawa Hadi ke sekolah.

Ma terpaksa mengejutkan hadi berkali-kali sebelum dia boleh bangun. Hadi memang liat bangun pagi. Lebih susah lagi apabila dia sudah biasa bangun lewat setelah lebih sebulan bercuti.

Setelah Hadi selesai mandi, dia dapati baju sekolahnya sudah diletakkan dengan kemas di atas katil. Apabila dia keluar dari biliknya, dia dapat melihat Pa dan Ma di meja makan.

"Kenapa Pa pakai baju lelaki?" tanya Hadi mahu ketawa. Pa tak pakai rambut palsu, jadi kepalanya nampak botak berkilat. Dia sedang memakai kemeja dan seluar pejabat. Dia nampak janggal dengan pakaian yang dipakainya.

"Pa kena jumpa cikgu besar Hadi." Jawabnya dengan suara yang rendah. Dia mengunyah roti bakarnya macam lembu mengunyah rumput.

"Ma ikut sekali, ke?" tanya Hadi.

Ma memandang ke arah Pa. Dia tahu Pa kalau boleh tidak mahu Ma ikut serta.

"Ma ikut sekali, lah!" pinta Hadi.

"Ma sibuk, Hadi." Ujar Pa.

"Alah, tak best lah macam ni!"

Pa berpaling ke arah Ma. Dia tahu Ma mahu ikut. Dia hanya menunggu masa sahaja untuk Ma membuka mulutnya:

"Okay... Ma temankan Hadi pergi sekolah ya! Tapi hari ini sahaja, tau!"

Hadi mengangguk pantas. Dia keseronokan. Ma pula dengan cepat menghilangkan diri. Dia mahu ke biliknya untuk menukar pakaian.

Pa merasakan dirinya seperti badut. Ma yang sedang memakai baju kurung labuh itu memegang tangan Hadi sewaktu dia melangkah masuk ke kawasan Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda. Pa terus ke pejabat pentadbiran. Dia mahu mendaftarkan Hadi. Dia meminta Ma supaya menemani Hadi di luar pejabat.

Lima belas minit kemudian, Pa keluar dengan sekeping kertas. Dia diarahkan supaya ke sebuah kelas yang letaknya di bangunan sebelah.

"Hari ni Hadi naik darjah dua. Hadi bukan budak-budak lagi. Hadi mesti pandai jaga diri Hadi. Pa nak Hadi belajar rajin-rajin."

Hadi mengangguk. Dia mencium tangan Pa, kemudian tangan Ma.

"Tengah hari nanti Pa tunggu di luar... Bagi kertas ini kepada cikgu Hadi. Beritahu kepadanya Hadi murid baru."

"Okay." Sambut Hadi macam tak sabar-sabar mahu masuk ke dalam kelasnya.

"Ini duit belanja Hadi." Ma mengeluarkan wang sebanyak seringgit. Pa memeluk tubuhnya. Sejak awal-awal tadi dia telah menyediakan duit belanja untuk Hadi. Dia rasa apa yang diberikannya mencukupi. Ma tak perlu memberi lagi.

Hadi masuk di dalam kelas. Dia menyerahkan kertas yang diberikan Pa kepada gurunya. Gurunya itu membaca lalu menoleh ke luar kelas. Dia tersenyum ke arah Ma dan Pa.

"Murid-murid semua... Kita ada kawan baru seorang lagi. Namanya Hadi." Gurunya itu memperkenalkan hadi kepada kawan-kawannya yang lain. Kawan-kawannya yang lain diam sahaja. Mata mereka semuanya tertumpu pada Hadi.

"Sebelum ini Hadi bersekolah di mana?

"Sekolah Kebangsaan Kampung Sialang, Muar."

"Oh... Ibu dan ayah Hadi baru berpindah ke Kuala Lumpur?"

"Mak dengan ayah Adi dah mati." Jawab Hadi perlahan. Hadi menoleh ke arah Ma dan Pa, begitu juga cikgunya tadi. Pa berdiri tegak dengan wajah tanpa emosi. Ma pula menarik nafasnya dalam-dalam.

"Nama Cikgu, Sherita... Sherita Aziz. Hadi duduk di sana, ya. Duduk di sebelah Wan." Perintah Cikgu Sherita dengan lembut sambil menudingkan jarinya ke arah seorang budak lelaki berkulit cerah dan bertubuh lebih kecil dari Hadi.

Hadi menurut sahaja tanpa banyak soal. Dia duduk di sebelah Wan.

"Kat luar tu siapa?" tanya Wan dengan perlahan kepadanya.

"Ma dan Pa."

"Tapi awak kata mak dengan bapak awak dah mati!"

"Sekarang Ma dengan Pa yang jaga saya."

"Ohh..." katanya dengan mulut terlopong sambil mengangguk. "Nama saya Wan. Bila saya dah besar saya nak jadi polis. Awak pulak nak jadi apa?"

"Pemain bola."

"Awak pun suka main bola ke?"

Hadi mengangguk. Kini dia pasti dia mempunyai seorang kawan baru yang sealiran dengannya. Dia tersenyum. Hadi memandang ke luar kelas. Dia mendapati Ma dan Pa tidak ada lagi di situ.


Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!