|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-12-15 - 1:04 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 8
Ma: Kad jemputan hari jadi Ma dan Pa sedar bahawa hari jadi Hadi akan jatuh pada hari lusa. Lusa nanti, usianya genap lapan tahun. Banyak kali Pa tanya kepada Hadi apa yang dimahukan untuk hadiah hari jadinya, tapi Hadi tak mahu apa-apa. Malah, sejak dua tiga hari ini Hadi kelihatan sedih. Dia banyak berdiam. Dia hanya nampak sedikit ceria ketika Ma dan Pa membawanya bermain bola di tepi padang selepas mengaji. "Ma dah beritahu Cikgu Sherita fasal birthday Hadi." Ujar Ma ketika dia sedang memerhatikan Hadi membuat kerja rumahnya di atas meja makan di dapur. "Tahu." "Dia dah beritahu kawan-kawan Hadi fasal birthday Hadi tak?" "Dah." "Cikgu Sherita dah bagi kawan-kawan Hadi kad jemputan yang Ma serahkan kepada dia pagi tadi?" "Dah." "Kawan-kawan Hadi nak datang tak?" "Tak tahu." "Hadi dah tanya diorang tak?" "Dah... Tapi-" "Tapi apa Hadi?" "Imah dengan Nurlea kata diorang tak boleh datang. Lagipun diorang kata diorang tak boleh kawan dengan Adi." Jelas Hadi. Imah dan Nurlea duduk di meja hadapannya. Ibu bapa mereka saling mengenali. "Kenapa Adi?" "Dia kata Adi ada heads." "Heads?" "Heads apa pulak ni Hadi?" "Blackheads? Hadi mana ada blackheads!" Ma memeriksa wajah Hadi dengan lebih dekat lagi. "Bukan!" "Dah tu?" "Penyakit heads." "Aids?" "Hah, betul lah tu. Heads!" "Astaghfirullah!" Ma mengurut dadanya. "Adi mana ada Aids!" "Mak bapak diorang kata Ma dengan Pa ni pondan. Dah tu pondan mesti ada heads. Sebab tu lah Imah dengan Nurlea tak boleh kawan dengan Hadi." Beritahu Hadi sambil mengeluh lesu. Wajah Ma terus berubah. Terkedu dia jadinya. Perasaannya marah. Mungkin sedih. Mungkin keliru. "Mak bapak diorang kata pondan ni jahat!" "Mak dan Pa memang pondan, Hadi... Tapi kami bukan penghidap penyakit Aids." Tegas Pa dari ruang tamu. Hadi mengangguk perlahan. Ma mengeluh lesu. Dia memandang ke arah Pa. Dia lihat Pa terus membaca akhbar The Star di ruang tamu tanpa sedikit pun menoleh ke arahnya. "Hadi rasa Ma dan Pa jahat ke Hadi?" tanya Ma dengan sayu. Hadi menggeleng pasti. "Hadi... dengar ni cakap Ma. Hadi beritahu kepada si Imah dan si Nurlea tu, mereka tak boleh dapat Aids dari bersentuh, makan bersama dan inikan pula berkawan dengan orang yang ada Aids." Ujar Ma sambil memegang lengan Hadi. Hadi menggigit hujung penselnya. Dia merenung ke arah Ma. Dia mendapati wajah Ma terlukis raut kesedihan. "Kalau diorang tak nak kawan dengan Hadi... Biarkan. Tentu Hadi ada kawan-kawan lain, kan?" tanya Pa dengan matanya sekilas menjeling ke arah Hadi. "Ada. Ramai. Tapi kawan baik Adi si Wan tu lah." Ujar Hadi dengan ringkas tanpa mahu menyambung kata-katanya itu lagi. "Kawan Hadi yang Hadi cakap dia dah besar nak jadi polis tu ke?" tanya Ma. "A ah." Hadi mengangguk sekali. "Dia kata dia nak bawak ayah dia sekali, sebab mak dia kerja, tapi ayah dia tak kerja lagi. Ayah dia baru keluar dari peserenti." "Pesantren ke? Bapak dia ustaz ke?" "Bukan... Pesenti." "Serenti?" "A ah. Serenti." "Oh... Pusat Serenti namanya. Bukan Peserenti." Ma membetulkan kata-kata Hadi. Hadi mengulangi kalimah 'Pusat Serenti' Ma tanpa memahami apa maksud kalimah tersebut. Pa merenung ke dalam akhbar tanpa membaca isinya. Dia memikirkan tentang apa yang terpaksa dilalui Hadi di sekolah. Adakah Hadi dapat menghadapinya semua dugaan ini dengan tabah? Dan yang paling penting sekali, apa yang bergolak di dalam diri Hadi apabila terdapat segelintir kawan-kawannya yang menyisihkannya kerana dia dijaga oleh dua orang mak nyah? Pa meletakkan akhbar The Star ke tepi. Dia berpaling ke arah Hadi. Hadi bertanyakan kepada Ma bagaimana untuk menyelesaikan soalan matematik yang terpaksa diselesaikannya. Wajahnya jernih. Wajah seorang anak kecil yang masih kabur tentang dunia di sekelilingnya.
Ma memimpin tangan Hadi sewaktu dia berjalan ke arah rumah Lady Sarah Shamara. Hadi dapat merasakan tangan Ma sejuk. Ketika keluar dari rumah tadi, Pa mengingatkan Hadi supaya sentiasa hormat kepada Lady Sarah Shamara. Kata Pa, "Nenek Shamara tu garang... Jangan main-main depan dia. Nanti dia marah!" Ma dan Hadi memberi salam. Lady Sarah Shamara meminta mereka masuk. Seperti biasa rumahnya tak berkunci. Hadi masuk ke dalam rumah. Dia dapat mencium bau kuih yang dimasak di dalam oven. Ma mahu membawanya masuk ke dapur. Mata Ma dengan pantas berpindah kepada sebuah ukiran kayu yang diletakkan di atas pintu dapur. Setiap kali dia ke sini, dia pasti akan memandang kepada ukiran kayu ini yang tertulis perkataan: "Kenali Dirimu" yang diukir di dalam tulisan jawi. Seperti biasa, Lady Sarah Shamara duduk di sudut tepi di bahagian dapurnya sambil merokok tatkala menunggu kuihnya masak di dalam oven. Lady Sarah Shamara tersenyum apabila dia melihat Hadi melulu ke arahnya. Ma tak payah meminta Hadi mencium tangan Lady Sarah Shamara, terus Hadi mencium tangannya ketika mahu bersalam dengannya. "Comel cucu nenek ni." Ujar Lady Sarah Shamara sambil mengusap kepala Hadi dengan tangan kanannya. Tangan kirinya pula dipegang rokoknya yang semakin kontot. "Kami datang nak jemput Lady Shamara ke sambutan hari jadi si Hadi Sabtu ini." Ujar Ma. Dia menyerahkan kad jemputan kepada Lady Sarah Shamara. "Cantik kad ni... Siapa yang lukis gambar kek ni?" "Adi yang lukis!" sambut Hadi dengan pantas. "Pandai cucu nenek ni melukis." Ujar Lady Sarah Shamara. Dia dapat melihat matanya Hadi terkebil-kebil melihat kuih muih yang baru sahaja dikeluarkannya dari dalam oven sebentar tadi. Lady Sarah Shamara mengambil sekeping chocolate chip cookie bersaiz besar lalu diberikan kepada Hadi. Hadi menerima pemberian Lady Sarah Shamara sambil mengucapkan terima kasih lalu memakan chocolate chip cookie itu seolah-olah dah seminggu dia tak makan. Hadi menutup matanya apabila dia sedang menikmati kesedapan yang tak terhingga rasanya apabila cebisan chocolate chip cookie itu dikunyahnya di dalam mulut. "Kenapa kau nampak risau saja ni, Ma?" tanya Lady Sarah Shamara. Dia menenyeh puntung rokoknya ke dalam bekas abu rokok. "Hadi... pergi duduk di sana." Pinta Ma, menudingkan jarinya ke arah ruang tamu. "Tunggu sekejap." Lady Sarah Shamara berdiri untuk mengambil sekeping pinggan kecil lalu diletak empat keping chocolate chip cookie di atasnya. Seterusnya dia menuangkan susu yang diambilnya dari dalam peti ais ke dalam gelas. "Nah, ambil ni sekali." Katanya. Hadi tersenyum kesukaan. Ma termenung lalu mengeluh sewaktu dia melihat Hadi sedang duduk di ruang tamu sambil menonton sebuah rancangan telenovela dari Filipina yang tidak diketahui hujung pangkalnya. "Apa masalah kau, Ma?" tanya Lady Sarah Shamara menghidupkan puntung rokoknya. "Ada kawan-kawan si Hadi ni yang sisihkan dia sebab kita ni mak nyah. Ma tak nak nanti fasal kita nanti, dia kena ejek dek kawan-kawan dia nanti." Bisik Ma. "Fasal benda ni kau sedih lah ni?" Ma mengangguk lemah. "Ma tak mahu Hadi pulak rasa bahananya nanti. Dia masih budak-budak lagi, Lady Shamara. Nanti fasal kita ni siapa, kat sekolah dia tak ada kawan. Ma tak mahu dia lalui segala apa yang Ma lalui dulu." "Bukan semua orang yang kita jumpa dalam dunia ni akan dapat terima diri kita. Aku rasa kau sendiri dah tahu awal-awal," kata Lady Sarah Shamara meniti kata-katanya itu dengan perlahan. "Ada orang yang akan membenci kita tanpa sebab, tapi kita mesti ingat, dengan keadaan kita macam ni pun, masih ada juga orang yang sayang. Aku yakin budak ni lebih matang dan lebih cerdik dari yang kau sangka. Aku rasa dia boleh jaga diri dia. Kau tak perlu risaukan sangat. Biar dia hadapi semua ini dari awal-awal lagi. Lagipun aku rasa dia dah faham benar dengan keadaan kita." Ma mengangguk walaupun sukar untuk ditelannya kata-kata nasihat yang diberikan Lady Sarah Shamara. Sejak Hadi muncul di dalam hidupnya, dia mula memikirkan tentang keadaan dirinya dan bagaimana dirinya itu akan memberi sebarang kesan kepada Hadi. Kalau boleh, dia tak mahu menyusahkan hidup Hadi atau sesiapa sahaja yang disayanginya. Oleh Nizam Zakaria
|