zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-12-15 - 1:04 p.m.

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 9

Ma: Sambutan hari jadi Hadi ke-8

Sejak awal pagi lagi Ma telah memastikan agar keadaan rumahnya nampak cantik dan terurus apabila para jemputan hadir ke majlis sambutan hari jadi Hadi. Pa pula sibuk menghias beberapa sudut rumah dengan reben-reben dan belon yang digantung dari siling. Hadi membantu sama, walaupun Ma dan Pa meminta 'birthday boy' duduk berehat tanpa melakukan apa-apa. Apa tidaknya, hari ini adalah hari istimewanya.

Sejak pagi lagi Ma dan Pa memastikan agar Hadi memakai pakaian yang kemas dan cantik. Mereka tak mahu Hadi nampak selekeh dan tak terjaga. Nanti apa pula kata orang...

"Ye lah, kalau anak orang lain tunggang-langgang, kurang ajar, kaki curi dan nakal, orang tak akan cakap apa. Tapi kalau Hadi buat salah sikit walau sekecil kuman pun orang akan mengata!" leter Ma sendiri ketika dia sedang menyikat rambut Hadi. Sebelum ini Hadi berdegil tak mahu rambutnya disikat dan didandan dengan gel. Dia rasa rimas.

"Adi tahu lah Ma." Muka Hadi berkerut apabila rambutnya disikat leper ke tepi. Ma menyuruhnya memasukkan hujung kemeja-tnya ke dalam seluar. Kali ini Hadi menurut sahaja tanpa banyak soal.

Ma memandang ke arah jam di dinding. Pukul 2 petang. Dia telah meminta jemputan-jemputan lain datang pada pukul 3. Kawan-kawan yang terdekat dengannya disuruhnya datang pada pukul 2.

Lima belas minit kemudian, Linda dan Celisha muncul di muka pintu. Apabila mereka tiba, mereka dapati Hadi sedang duduk di ruang tamu bersama Rais. Mereka sedang berbual tentang bola - tentang pasukan Manchester United kesayangan mereka berdua.

Linda dan Celisha bersetuju Hadi ini comel budaknya.

"Macam mana agaknya Pa tu pakciknya, u'olls. Tak faham mak." Bisik Celisha kepada Linda apabila dia membuka kasut tumit tingginya.

"Kalau Pa tu tak botak... Tak chub. Dia ala-ala ayahda handsome agaknya. Ala-alah taste u'olls lah kan?" balas Linda, sempat dia mengusik Celisha.

"Choiiii!" Celisha menepuk bahu Linda. Si Linda ketawa berdekah-dekah.

Seperti biasa, Linda mahu kelihatan seperti seorang mak Datin. Dia memakai baju kurung merah jambu sedondon. Di antara kawan-kawan Ma dan Pa, si Linda inilah yang paling muda dan yang paling cantik. Umurnya baru mahu mencecah 30. Orang tak akan percaya Linda ini dahulunya lelaki. Apa tidaknya, wajahnya lebih cantik dari kebanyakan wanita di luar sana. Linda ini lulusan UiTM dalam bidang fesyen. Kini dia bekerja dengan seorang pereka fesyen terkenal sebagai penasihat fesyen kepada pelanggan-pelanggannya yang kebanyakannya terdiri dari wanita-wanita dari golongan elit. Impiannya adalah untuk membeli sebuah tas tangan dari Chanel berwarna merah jambu yang berharga lebih RM 5000. Kini dia telah berjaya mengumpul lebih RM 3000 dengan membantu mak ayamnya, Lady Sarah Shamara dengan kerja-kerja persediaan pengantinnya. Linda lah yang mereka beberapa pakaian pengantin yang ada di dalam koleksi Lady Sarah Shamara.

Celisha yang berasal dari Ipoh ini pula sering mengikuti fesyen terbaru dari Hong Kong. Celisha telah membawa dirinya ke Kuala Lumpur sejak dia berusia awal 20-an dengan tujuan utama untuk menjadi seorang penari. Dia ke Kuala Lumpur kerana dia merasakan dirinya yang terkenal dengan jolokan Boy George Ipoh pada tahun 80-an dahulu perlu ke sebuah kota besar untuk merealisasikan impiannya. Celisha telah memulakan kariernya sebagai seorang penari latar di dalam pertunjukan 'paperdoll' yang pernah dikendalikan oleh Lady Sarah Shamara. Pada awal tahun 90-an dahulu, dia telah menggunakan wang peninggalan bapanya yang telah meninggal dunia dengan membeli studio tarian di sebuah rumah kedai di Jalan Ipoh. Studio Dance Dance Dance (atau panggilan manjanya, 3D), kini menjadi di antara tempat yang paling popular di KL untuk mempelajari tarian tango - sejenis tarian dari Amerika Latin yang telah menjadi kegemarannya sejak kecil. Celisha dikatakan telah jatuh cinta dengan tarian tango setelah dia mendengar album Astor Piazzolla yang terdapat di dalam koleksi piring hitam lama kepunyaan bapanya...

Linda dan Celisha masing-masing menyerahkan hadiah kepada Hadi. Hadi mengucapkan terima kasih. Dia menggoncang kotak hadiah Linda dan kemudian Celisha. Dia mahu tahu apa yang dihadiahkan kepadanya. Pa meminta Hadi supaya meletakkan hadiah di atas meja makan. Hadi menurut sahaja walaupun dia tak sabar mahu membuka kotak hadiah pemberian Linda dan Celisha tadi.

Lady Sarah Shamara tiba kita-kira setengah jam kemudian. Dia dipersilakan Ma dan Pa masuk ke dalam rumah dengan penghormatan yang seharusnya diberikan kepada mak ayam sepertinya. Ma dan Pa telah menyediakan sudut khas untuknya di dapur. Di situ juga mak nyah-mak nyah lain berkumpul.

Pada pukul 3, pengunjung mula datang. Ustazah Saleha datang bersama suaminya Tarmizi. Mereka hanya datang berdua. Sudah tiga tahun mereka berkahwin, tapi masih belum dikurniakan anak. Ustazah Saleha terus masuk ke dapur untuk membantu apa yang patut dan bergurau senda. Dia memang rapat dengan beberapa mak nyah di situ. Ada di antara mereka yang datang belajar mengaji dengannya.

Cikgu Sherita pula datang bersama suaminya, seorang pegawai tentera yang bertugas di Wisma Pertahanan, Jalan Semarak. Mereka baru sahaja berkahwin pada awal tahun ini. Mereka nampak bahagia bersama. Ma cukup-cukup berbesar hati kerana Cikgu Sherita dapat datang.

"Tak kan lah saya tak datang, Ma... Hadi ni dah mula jadi murid kesayangan saya." Jelas Cikgu Sherita ketika dia sedang menuangkan air untuk Wan yang datang bersama bapanya itu.

Wan menyerahkan air kepada bapanya yang sedang duduk di ruang tamu. Rambut bapanya itu dipotong pendek. Tubuhnya kurus. Dia agak pendiam orangnya. Hadi dan Wan duduk bersama. Beberapa orang rakan sekelas Hadi datang sendiri kerana kebetulan mereka duduk di kawasan flat yang sama. Kawan-kawan mengajinya pun ada. Rumah Ma dan Pa kini sesak dengan pengunjung kanak-kanak dan dewasa.

Ma cukup berpuas hati dengan jumlah pengunjung yang datang. Rumahnya yang kecil ini walaupun sesak, kelihatan meriah dan ceria. Pada pukul 3.45 petang, setelah diadakan beberapa peraduan untuk pengunjung kanak-kanak yang disertakan dengan hadiah, mereka pun memulakan upacara meniup lilin.

Ma mengeluarkan kek yang telah dimasak sendiri oleh Lady Sarah Shamara. Kek keju blueberry itu kelihatan seperti sebuah kek yang telah dibeli dari sebuah hotel terkemuka. Di atasnya Ma meletakkan lapan batang lilin kecil. Ma meletakkan kek tersebut di atas meja. Pa membantu dengan menghidupkan lilin.

Lagu hari jadi Hadi dinyanyikan beramai-ramai. Setelah lagu selesai, Hadi meniup lilin. Ma, Pa dan Hadi sama-sama memotong kek. Buat seketika, wajah Hadi tak lagi nampak sayu seperti sebelumnya. Entah mengapa, Hadi kelihatan layu sejak pagi. Dia cuba senyum dan ketawa, tetapi ada kalanya akan nampak buat-buat. Pa risau benar melihatkan keadaan Hadi begini, tetapi buat sementara waktu ini dia diam sahaja.

Cabutan bertuah diadakan selepas kek dipotong lalu diberikan kepada semua pengunjung yang ada. Cikgu Sherita dan Ustazah Saleha memuji kek yang dibuat oleh Lady Sarah, apa tidaknya, suami masing-masing mahu kek tambah setelah kek yang mereka makan dihabiskan dengan pantas.

"Kalau cikgu dan ustazah nak belajar buat kek ni saya boleh ajar." Lady Sarah Shamara menawarkan dengan ikhlas. Cikgu Sherita dan Ustazah Saleha bertukar-tukar nombor telefon dengan Lady Sarah Shamara. Masing-masing tahu di antara rahsia kebahagiaan rumah tangga adalah melalui perut suami mereka.

Pada pukul 5 jumlah pengunjung semakin berkurangan. Yang hanya tinggal adalah rakan-rakan mak nyah Ma dan Pa juga beberapa rakan Hadi yang sedang melihatnya membuka bungkusan hadiah yang telah diserahkan kepadanya. Hadi membuka bungkusan hadiah pemberian Linda. Dia mendapati Linda telah menghadiahkannya dengan sepasang jam digital. Celisha pula telah menghadiahkannya dengan sepasang tracksuit. Ma dan Pa keduanya telah mengumpulkan wang lalu menghadiahkan Hadi alat permainan video PS2.

Setelah selesai membuka kesemua hadiahnya, Hadi pergi menemui Linda dan Celisha yang sedang duduk di dapur sambil bergurau senda dengan Ma dan Pa lalu mengucapkan terima kasih kepadanya. Dia sempat memakai jam yang dihadiahkan Linda dan tracksuit pemberian Celisha. Hadi juga telah memberitahu Ma dan Pa bahawa Rais akan membantunya memasang PS2 terus ke TV sebentar lagi.

"Hadi suka tak dengan hadiah hadi tu?" tanya Ma.

"Suka Ma, Pa. Terima kasih!" ucap Hadi dengan ikhlas. Kemudian dengan pantas dia berjalan keluar dari dapur apabila Rais memberitahunya dia telah berjaya memasang alat permainan video PS2 ke kaca TV.

"Baik budak ni... Sopan sangat. Suka kat dia!" ujar Linda kepada Celisha. Celisha mengangguk bersetuju. Dia memandang ke ruang tahu untuk melihat Hadi yang sedang keseronokan melihat Rais memulakan permainan FIFA Soccer 2005 pada alat PS2 barunya itu...

Pa mendapati Hadi tidak keluar-keluar dari biliknya sejak dia disuruh mandi setelah semua tetamu pulang ke rumah. Jam menunjukkan pukul 9 malam. Yang tinggal di rumahnya kini hanya Ma, Linda dan Celisha. Mereka bertiga sedang sibuk mengemas rumah sambil berbual-bual dan bergosip.

"Dia kepenatan agaknya." Ujar Ma. Dia menyusun beberapa cekera padat permainan PS2 yang bersepah di depan TV.

Pa rasa tidak sedap hati. Dia masuk ke dalam bilik Hadi. Dia dapati Hadi sedang duduk di atas katilnya sambil merenung ke arah kasut bola pemberian bapanya yang sehingga kini masih belum dipakainya lagi. Sepatutnya Hadi menerima kasut itu sebagai hadiah hari jadinya pada hari ini.

"Kenapa Hadi?" tanya Pa, dia duduk di sisi Hadi.

"Tak ada apa-apa."

"Kenapa Hadi nampak sedih jer dua tiga hari ni?"

Hadi tidak mahu menjawab. Matanya terus merenung ke arah kasut bolanya.

"Kalau Hadi ada masalah, Hadi beritahu saja. Pa sedia mendengar." Pa memegang bahu Hadi. Hadi menoleh ke arah Pa. Wajahnya jelas sedih.

"Dulu... Tiap-tiap tahun Mak dengan Ayah akan sambut birthday Adi. Mak dengan ayah akan bawa Hadi pergi KFC kat bandar Muar. Lepas tu kami pergi jalan-jalan. Tapi sekarang mereka dah tak ada lagi." Hadi akhirnya bersuara, meluahkan punca kesedihannya.

"Dulu lain, Hadi." Ujar Pa dengan nada serba salah. "Kita tak boleh samakan masa yang dah lepas dengan sekarang."

"Ayah dengan mak mati sebab Adi nak kasut ni!" mata Hadi mula berkaca-kaca. Dia tak dapat menahan lagi rasa sedihnya yang telah lama terbuku.

"Jangan cakap macam tu Hadi."

"Semua ni salah Adi! Kalau Adi tak mintak kasut ni, diorang tak akan mati!"

Pa terus mendakap Hadi. Tubuh kecil Hadi nampak kerdil di dalam dakapannya. Hadi menangis teresak-esak dalam kemarahannya menyalahkan dirinya kepada segala apa yang berlaku kepada orang tuanya.

"Bukan Hadi yang sebabkan mereka mati. Semua ini takdir, Hadi... Kita tak boleh melawan takdir. Tuhan sayang dengan mak dan ayah Hadi sebab tu mereka pergi dalam usia begitu muda."

"Tapi kenapa Adi pulak kena? Orang lain ada mak dan ayah! Kenapa Hadi kena jadi anak yatim?"

"Itulah ujian dari Allah untuk menguji ketabahan hamba-hambanya."

"Adi rindukan mak dengan ayah Adi!"

"Pa tahu... Pa pun rindukan mak Hadi. Pa sayang dengan dia, Hadi. Pa menyesal sebab Pa degil tidak mahu pulang ke kampung untuk melawatnya walaupun sudah dipujuk banyak kali." Dalam diam, air mata Pa berlinangan membasahi pipinya. "Pa pun rasa bersalah sebab terlalu ikutkan perasaan Pa. Sampai bila-bila Pa akan tanggung rasa bersalah ini, Hadi."

Pa mengesat air matanya dengan pantas. Dia tidak mahu Hadi tahu dia menangis. Dia terus mendakap tubuh kecil Hadi mengharapkan segala kesedihan di dalam diri Hadi berpindah kepadanya agar dia sahaja yang menanggungnya. Hadi terus menangis teresak-esak di dalam dakapannya.


Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!