|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-12-07 - 4:19 p.m. Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom)
Prolog Hadi dari Kampung Sialang, Muar berusia 7 tahun ketika kejadian ini berlaku. Dia adalah seorang budak lelaki yang suka bermain bola. Dia makan, bola minum, tidur pun bola. Bapaknya Razak hampir-hampir dipilih untuk mewakili pasukan bola sepak Johor tetapi gagal kerana mengalami kecederaan yang teruk pada bahagian lututnya. Ibunya Mastura pula (ketika itu dia bertugas sebagai jururawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baru), mula berkenalan dengan bapanya ketika bapanya itu menjalani rawatan di hospital akibat kecederaan pada bahagian lututnya itu. Kejadian ini berlaku kira-kira 17 tahun yang lepas. Ini bermakna, Razak dan Mastura terpaksa menunggu selama 10 tahun sebelum anak sulung mereka dilahirkan. Kerana itulah Hadi telah dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Dia telah dijaga seperti menatang minyak yang penuh. Razak yang kecewa tidak dapat memenuhi mimpinya untuk bermain dengan pasukan Johor berharap satu hari nanti Hadi akan meneruskan perjuangannya. Sejak kecil lagi dia akan membawa Hadi ke mana-mana perlawanan bola yang diadakan di Muar atau di bandar-bandar berdekatan. Jika dia ada masa, dia akan memastikan masanya itu dihabiskan dengan Hadi bermain bola dengannya. Razak sayangkan isterinya. Ketika isterinya minta ditukar ke pusat kesihatan berdekatan dengan kampungnya di Kampung Sialang (untuk menjaga arwah bapanya yang uzur), dia sanggup mengikut isterinya ke sana. Mastura mempunyai seorang adik bernama Shukor yang berusia setahun lebih muda darinya. Sejak kecil lagi hubungannya dengan Shukor memang rapat kerana keluarganya kecil. Syukorlah satu-satunya adik yang dia ada. Selain dari Syukor, Mastura rapat dengan sepupunya yang juga duduk berjiran dengannya bernama Rosmah. Sejak kecil lagi mereka berkawan baik. Di dalam detik-detik terakhir hidupnya, Mastura telah memberitahu kepada Rosmah, "jika aku pergi, aku mahu Shukor jaga Hadi. Aku mahu dia bawak Hadi ke Kuala Lumpur dan jaga dia baik-baik." Syukor akhirnya menerima berita kematian kakaknya seminggu selepas kakaknya dikebumikan. Syukor dihubungi sesudah nombornya dijumpai di dalam telefon bimbit Mastura yang akhirnya dipulangkan oleh pihak Polis bersama kasut bola yang telah dibelikan oleh Razak untuk Hadi dua hari selepas kemalangan tragik ini berlaku. Hadi tidak sedikit pun menangis apabila dia mendengar berita tentang kematian kedua orang tuanya. Di dalam masa yang sama, dia langsung tidak membuka mulutnya untuk berbual dengan sesiapa. Dia terus diam membisu seribu bahasa. "Makcik dah telefon Pakcik Syukor kau tu kelmarin... Makcik dah beritahu kepadanya tentang apa yang telah berlaku. Baru tadi dia telefon makcik. Dia beritahu kepada makcik, dia akan datang ke sini esok untuk bawa kau ke Kuala Lumpur." Beritahu Rosmah kepada Hadi. Hadi menganggukkan kepalanya dengan perlahan. Anak-anak Rosmah, Khairul dan Khairil yang berusia 10 dan 12 tahun itu terus merenung ke dalam wajah murung Hadi. Hadi telah menetap di rumah mereka sejak kedua ibu dan bapanya meninggal dunia seminggu yang lalu. Hadi tidak seceria dahulu. "Pakcik Syukor tu baik orangnya Hadi. Dulu makcik dengan dia kawan baik, tau!" Ujar Rosmah dengan perlahan sambil mengusap-usap rambut Hadi yang lembut itu. Hadi masih duduk diam. "Makcik tahu Hadi tak pernah berjumpa dengannya... Makcik juga tahu, arwah mak Hadi tentu selalu ceritakan tentang hal dia kepada Hadi, kan?" Hadi mengangguk lesu. Seumur hidupnya dia tidak pernah bertemu dengan pakciknya itu. Dia hanya ditunjukkan dengan gambar pakciknya ketika pakciknya itu ketika masih kecil dan berusia belasan tahun. Jadi dia tidak tahu bagaimana rupa pakciknya itu yang sudah lebih 20 tahun tidak pulang ke kampungnya sendiri. Syukor telah melarikan dirinya dari Kampung Sialang setelah dia tamat peperiksaan SPMnya. Sejak dari hari itu dia telah berjanji kepada dirinya bahawa dia tidak akan sekali-kali pun pulang ke kampungnya itu. Pengalaman lampaunya yang penuh dengan titik-titik hitam bersama bapanya telah membuatnya bertekat untuk lari ke Kuala Lumpur buat selama-lamanya. Oleh Nizam Zakaria
|