|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-11-12 - 2:29 p.m.
Ada pengkritik filem yang menyatakan bahawa filem ini adalah sebuah filem 'exploitative'. Tetapi sukar juga untuk menafikannya, walaupun nilai-nilai seni yang ada dalam filem ini agak ketara. Sewaktu menonton filem ini, kepala saya banyak berfikir, saya terpaksa bekerja keras untuk memahami filem ini. Ternyata, saya jenis penonton yang suka berfikir sewaktu menonton filem, jadi mungkin sebab itulah saya suka menonton filem ini (dan juga 'Momento'). Filem ini memaksa penontonnya berfikir. Yang membezakan filem ini dengan 'Momento' adalah teknik perfileman yang diguna pakai oleh Noe (yang telah dibuat agar ia nampak seperti sebuah program 'reality TV'; tetapi watak-watak yang ada tidak berinteraksi dengan penonton). Naratif Noe agak pelik. Yang lebih pelik adalah senimatografinya. Filem ini berjalan secara terbalik. Bahagian akhir cerita dapat kita tonton dahulu. Kemudian, perlahan-lahan kita akan memahami peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sehingga menyebabkan watak Marcus (Vincent Cassel) dibawa masuk ke dalam ambulans dan Pierre (Albert Dupontel) ditangkap polis. Isi filem ini terkupas dengan cantik semakin jauh kita menontonnya. Filem Irreversible dimulakan dengan bahagian kredit yang diterbalikan. Bahagian depan filem ini, kita akan dapat melihat watak Marcus dan Pierre mencari-cari seorang lelaki di dalam sebuah kelab S & M gay (yang akan membuat kelab S & M dalam filem Matrix Revolutions nampak seperti sebuah muzium seni). Mereka berdua mencari lelaki tersebut yang dikatakan telah merogol Alex (Monica Belluci). Dalam pencarian mereka yang penuh kalut untuk membalas dendam, seorang lelaki telah dipukul oleh Pierre dengan sebuah alat pemadam api sehingga mati (dan setelah menonton buat kali kedua barulah saya sedar bahawa lelaki yang dibunuhnya itu, bukanlah lelaki dicarinya). Filem ini penuh dengan adegan-adegan lucah dan ganas yang melampau. Ada kalanya, saya tertanya-tanya, adakah apa yang saya tonton ini sebuah kisah benar (dokumentari) ataupun sebuah filem. Perkara ini sukar untuk saya bezakan memandangkan filem ini kelihatan begitu 'real' sekali. Dan kerana inilah terdapat beberapa bahagian dalam filem ini yang akan membuatkan saya ternganga dan tertanya-tanya berkali-kali: "was that real?" Para pelakon pula, seperti Belucci dan Cassel berlakon dengan cemerlang, menambahkan lagi semangat realisme dalam filem ini. Perhatikan adegan apabila kepala lelaki dipecahkan oleh Pierre dengan alat pemadam api. Perhatikan bagaimana ia telah dilakukan. Perasaan ngeri akan tiba-tiba menusuk ke dalam diri kita. Tidak cukup dengan itu, kemudian kita akan dapat melihat adegan Alex dirogol di dalam terowong. Bahagian ini sengaja dibuat dengan kamera diletakkan di atas lantai selama hampir sepuluh minit. Dalam adegan ini, kita akan dapat melihat Alex dirogol dengan kejam. Buat beberapa ketika, saya dapat merasakan kekejaman yang dirasai oleh magsa rogol seperti Alex. Bahagian ini memang sukar untuk ditonton, kerana ia mampu menghantui jiwa. Adegan rogol ini penting, terutamanya apabila kita ditunjukkan kepada hubungan intim di antara Alex dengan Marcus di bahagian-bahagian akhir filem. Saya rasa untuk filem ini, hanya satu perspektif kamera digunakan. Saya tidak begitu kisah tentang hal ini, tetapi pada hemat saya, filem ini mungkin dapat difahami dengan lebih baik lagi jika Noe tidak menggunakan teknik pergerakan kamera yang terhoyong-hayang. Struktur Irreversible pada hemat saya lebih dalam dari filem 'Momento'. Filem ini, setelah ditonton akan meninggalkan rasa gusar yang amat sangat dalam diri saya. Saya sukar untuk membuat keputusan samada saya suka atau tidak filem ini. Apa yang saya tahu, tatkala menonton filem ini, cara saya berfikir perlu saya ubah sedikit untuk memahami jalan cerita. Kerja-kerja berfikir ini sahaja sudah cukup untuk meletakkan filem ini sebagai sebuah filem seni. Jika tidak ada seni, kita tidak perlu banyak berfikir (sebab itu dinding kosong tidak kita panggil karya seni). Filem ini pasti mengundang kontroversi. Filem ini sarat dengan unsur-unsur perkauman, homophobia, ganas, lucah dan entah apa lagi. Filem ini jijik lagi menjijikkan. Ia menampilkan secebis kisah yang pastinya wujud tetapi tidak pernah mahu diceritakan dalam bentuk naratif visual dengan berani. Maka, ia tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Rating: 3.75/5 Oleh Nizam Zakaria
|