|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-09-16 - 8:34 a.m.
'One for the Road' merupakan koleksi cerita perjalanan dalam bentuk autobiografi hasil tulisan Julian Davison, yang pernah diterbitkan di dalam majalah Expat. Untuk pengetahuan semua, Davison telah menghabiskan masa kanak-kanaknya di Singapura pada tahun 50-an dan 60-an. Neneknya, telah dilahirkan di Singapura pada tahun 1894. Ibunya juga telah dilahirkan di Singapura, maka membuatkannya generasi ketiga bangsa Inggeris yang telah dilahirkan Singapura. Suasana lama Malaya dan Singapura sememangnya sukar untuk dibayangkan. Apa tidaknya, pembangunan yang dialami terlalu pesat. Di dalam buku ini, Davison mengingatkan kita bahawa Belakang Mati merupakan Pulau Sentosa di Singapura, bukannya istilah bebal NTV7 yang menggunakan nama yang sama untuk lorong Haji Taib. Selain dari itu, banyak perkara tentang sejarah lama kita yang telah diingatkannya, seperti keadaan pantai di Singapura yang pernah jernih dan di penuhi ikan jerung dan perjalanan kereta api di negara kita yang pada satu masa mungkin tidak sebaik dan semoden yang kita ada sekarang ini, tetapi mempunyai tarikan nostalgianya yang tersendiri. Agak menarik juga untuk kita melihat pandangan seorang 'orang puteh' tentang cara hidup orang-orang kita di masa yang lalu. Yang lebih menarik lagi, beliau membuat kajian yang mendalam terhadap subjeknya lantas mempersembahkan cerita-cerita yang cukup mengasyikkan. Keistimewaan buku ini adalah cara Davison bercerita. Saya dapati, penggunaan ayat Davison ada kalanya membuatkan saya terkial-kial membuka kamus, tetapi gaya bahasanya tetap menarik dan sebenarnya senang difahami. Yang paling menarik sekali adalah gambar-gambar lama koleksi peribadi Davison yang telah disertakan sekali dalam buku ini. Yang paling bererti bagi saya adalah gambar lama East Coast di Singapura, salah satu tempat bermain saya dahulu yang berjaya mengimbau nostalgia saya sendiri di sana. Sikap terbuka Davison tatkala menulis tentang pengalaman kolektif bangsa Inggeris di Malaya adalah sesuatu yang agak jarang diperhatikan. Sebagai contoh, dengan ikhlas, beliau menulis tentang sikap kurang sensitif Sir Alfred Duff Cooper, wakil khas Churchill di Timur Jauh, dalam siaran radio sebelum perang Dunia Kedua meletus mengatakan "Adalah sudah menjadi satu keperluan untuk memindahkan ramai dari penduduk awam (Pulau Pinang). Kita seharusnya berterima kasih kerana ramai penduduk telah berjaya dapat dipindahkan." Sememangnya beliau telah merujuk kepada penduduk Eropah di Pulau Pinang, dan bukannya penduduk tempatan di sana. Peristiwa seperti inilah, menurut Davison, telah menyebabkan penduduk tempatan mula sedar bahawa 'colonial masters' mereka yang beria-ia berjanji mahu mempertahankan Malaya merupakan janji palsu semata-mata. Kesedaran inilah yang memungkinkan semangat nasionalisme semakin berputik di Malaya. Cerita-cerita Davison berjaya membawa saya ke satu dunia yang begitu asing rasanya. Anekdotnya mengenai kehidupan di Singapura dan di Persekutuan Tanah Melayu disulaminya dengan kaca mata anak kecil yang naif, atau menurutnya sendiri, pengalaman indah 'halycon days of youth'nya... Kesilapan penterjemahan adalah sesuatu yang biasa dilakukan oleh penulis 'expat' yang menulis tentang negara kita, tetapi agak minimum di dalam buku ini. Hanya satu kesilapan yang dilakukan: "...the Malayan campaign later same to be known locally as 'tarek orang puteh lari, 'the time the white men ran.'" Dalam pada itu, perhatikan juga satu kesilapan yang disengajakan, "Satu Empat jalan" yang membawa maksud, "one four the road", satu ungkapan yang hanya terdapat di Malaya:
"This was the rallying cry for a generation of Englishmen in the East: the hour may have been getting late and it was almost certainly time to balek rumah, but for the drinking man (and there were many), there was always time for satu empat jalan." Buku ini cukup senang saya baca. Satu 'adventure' yang membuat saya terangsang untuk memahami tentang latar belakang negara kita ini dengan lebih mendalam lagi dari kaca mata orang-orang lama... Rating: B+ Oleh Nizam Zakaria
|