|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-10-28 - 11:35 a.m.
Selama ini, apa yang kita kenal dari Indonesia datangnya dari kelompok budaya popular dari Indonesia. Kita mengenali Dewa, Padi, Gigi, Ada Apa Dengan Cinta, Jelangkung, Rendra, Taufiq Ismail, Goenawan Mohamad dan Ayu Utami dari enjin media massa yang menjadikan mereka ikon dari Indonesia. Mereka menjadi ikutan, malah ramai di antara pemuda-pemudi kita sendiri menjadikan mereka sebagai 'role-model'. Bagaimana pula dengan ikon-ikon Indonesia yang namanya tidak pernah kita dengari? Salah satu darinya adalah Emha Ainun Nadjib. Sebelum ini perlu saya akui bahawa saya tidak pernah mendengar nama Kiai Kanjang, mahupun mendengar nama Emha Ainun Nadjib, (ataupun 'Cak Nun') tetapi setelah saya diberi peluang oleh saudara Dhojee untuk mengenali tokoh budaya dan intelektual ini, saya mula sedar mengapa beliau begitu popular di Indonesia. Saudara Dhojee telah melakukan satu eksperimen ringkas untuk membuktikan kepada saya bagaimana nama Emha ini dikenali oleh ramai pekerja (juga para pelajar) dari Indonesia. Beliau telah bertanyakan kepada seorang pelayan dari Indonesia yang melayani kami di sebuah restoran di Bangsar jika beliau mengenali siapa itu Emha. Ternyata, beliau mengenalinya, malah saya dapat melihat wajahnya menjadi berseri-seri apabila beliau diberitahu oleh saudara Dhojee bahawa Emha bersama kumpulan gamelan Kiai Kanjeng sedang berada di Malaysia untuk mengadalan persembahan mereka di sini. Untuk mengenali Emha dengan lebih dekat lagi, saya telah menghadiri persembahannya yang telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari Selasa yang lepas. Apa yang saya anggap satu perkara yang unik dalam persembahan Konsert Kiai Kanjeng adalah - Emha menyertakan sekali penonton dalam persembahannya. Mungkin di Malaysia, perkara ini sukar dilakukan, lebih-lebih lagi di atas pentas di dalam suasana yang agak rasmi. Tetapi saya telah diberitahu, di Indonesia suasana konsert lebih spontan. Penontonnya lebih ramai. Konsert Kiai Kanjeng di Indonesia mungkin kelihatannya seperti sebuah rapat umum. Di sana, penontonnya lebih senang berinteraksi dengan para pelaku di atas pentas. Dari para bupati, sehinggalah kepada golongan marhaen akan berjoget bersama. Saya kira, perkara ini senang dilakukan di sana, kerana mereka di Indonesia berkongsi sifat seperti mereka dari Amerika Latin (mungkin sebab itulah tradisi sastera dan seninya hampir selari); darah mereka lebih panas dari kita di sini - yang lebih suka duduk diam.
Apa yang cuba dilaksanakan di atas pentas oleh Emha mengingatkan saya kepada apa yang telah dilakukan oleh Brecht dan Boal dalam pementasan teater mereka yang bersifat egalitarian. Mereka menggunakan pentas sebagai satu medium untuk berkomunikasi dan mengajak penonton berfikir tentang hala tuju nasib mereka sendiri. Emha, seperti Brecht dan Boal tidak menjadikan pentas sebagai medan pertarungan ideologi politik, tetapi tempatnya untuk mengajak penonton berfikir bagaimana keadaan semasa politik serta status quo yang ada mempengaruhi hidup mereka. Mereka ini semua berkarya untuk rakyat. Kerja-kerja mereka diusahakan oleh rakyat untuk rakyat. Dan mungkin sebab inilah juga, para pelaku Konsert Kiai Kanjeng terdiri kebanyakannya dari para pemuzik amatur. Emha sendiri memperkenalkan pemuzik-pemuziknya ini dengan bangga sebagai mereka yang tergolong dalam kelas pekerja. Penentuan terhadap 'gebrauchsmusik' dalam Kiai Kanjeng ini cukup egalitarian malah melawan segala arus budaya popular Indonesia yang sedang meledak sekarang ini, (dan percikan ledakannya dapat dirasakan di seluruh Nusantara). Saya sendiri, sering memuji pemuzik-pemuzik Indonesia kerana berjaya membawa lagu dengan muzik serta seni kata yang sarat dengan struktur. Kiai Kanjeng, bergerak jauh dari ini semua. Maka, mereka membawa lagu tanpa perlu disarati dengan struktur yang tetap (kalau mahu cari makan dengan muzik, semua ini perlu diteliti). Jadi kita dapat melihat sesungguhnya mereka bermain muzik semata-mata untuk kepuasan mereka sendiri tanpa perlu memikirkan naik turun lagu-lagu yang mereka bawa di atas carta. Bercakap tentang muzik tanpa struktur yang tetap, mungkin sebab itu jugalah agaknya Kiai Kanjeng banyak kali memainkan lagu-lagu berbentuk Jazz, dan jika dilihat dari segi rentak lagu yang mewakili golongan tertindas, dibawakan pula lagu-lagu berentak Blues. Emha banyak kali menegaskan bahawa beliau sangat fleksibel terhadap pilihan-pilihan lagu yang dibawakan oleh Kiai Kanjeng. Di Malaysia, pilihan lagu-lagu dibawa berlainan dengan apa yang dipersembahkan di kota-kota besar di Jawa. Di Malaysia, tidak banyak dibawakan lagu-lagu tradisional Jawa dan mungkin sebab inilah saya rasa sedikit terkilan. Pada awal konsert yang telah saya di saksikan di Balai Budaya Tun Syed Nasir di DBP, Kiai Kanjeng ada membawakan lagu berentak tradisional Jawa yang begitu melankolik dan mengasyikkan. Kemudian, apa yang dibawa lebih bersifat 'Islamic' dan barat. Kadangkala, lagu-lagu yang berunsur 'Islamic' ini menarik juga, walaupun mungkin tidak seasyik lagu-lagu yang dibawa oleh Nusrat Fateh Ali Khan. Pada bahagian akhir konsert, kerinduan saya kepada lagu dangdut terubat juga apabila sebuah lagu dangdut dibawakan oleh Kiai Kanjeng. Emha berdakwah melalui karya-karyanya. Beliau amat-amat menitik beratkan soal estetika dalam karya-karyanya malah menekankan bahawa seni dan sastera perlu saling dialektik. Keindahan sajak-sajak tulisannya juga dapat kita nikmati dengan cara beliau mendeklamasi sajak (bersama seorang penonton, seorang pelajar dari Indonesia) diiringi irama gamelan-pop oleh Kiai Kanjeng. Satu kekuatan yang ada pada diri Emha adalah kebolehannya untuk berinteraksi dengan penonton. Perkara ini amat-amat saya puji. Emha mempunyai karisma, tetapi beliau tidak ego mahu menjadikan Kiai Kanjeng satu platform untuk dia dan dirinya sahaja. Banyak kali beliau memberikan peluang untuk anak-anak buahnya, malah isterinya, Novia Kolapaking untuk menghiburkan penonton.
Emha bukan seorang ahli politik, tetapi seorang seniman yang mahu mendekatkan dirinya kepada rakyat. Saya rasa, perkara ini merupakan satu impian bagi mereka yang ikhlas berkarya, tetapi sukar untuk dilakukan. Bukan senang bagi seorang seniman turun ke padang dan di dalam masa yang sama, berkarya. Emha sendiri mengakui tentang perkara ini. Beliau tidak lagi dapat menumpukan dirinya untuk berkarya secara total. Bagi saya, persembahan Kiai Kanjeng yang saya saksikan merupakan satu persembahan yang seharusnya di buat di sebuah padang yang besar dalam keadaan yang santai, tetapi telah dimartabatkan ke atas pentas. Jika diberikan peluang, saya pasti mahu mengikuti persembahan Kiai Kanjeng di kalangan ribuan pengikut-pengikut Emha di Indonesia. Pasti, pengalaman ini akan menjadi satu pengalaman yang mengagumkan buat diri saya. Oleh Nizam Zakaria
|