zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-11-28 - 11:13 a.m.

Master and Commander: The Far Side of the WorldSebelum pergi menonton filem terbaru Peter Weir, 'Master and Commander: The Far Side of the World', saya sudah boleh mengagak bahawa filem ini adalah sebuah filem yang baik. Mungkin saya rasa begini kerana Weir merupakan di antara sutradara yang saya segani (filem 'Dead Poets Society' arahannya adalah filem yang telah 'mendidik' saya agar mengejar impian saya untuk menjadi seorang penulis). Setelah saya selesai menonton filem terbarunya yang panjangnya 2 jam 19 minit ini, saya terus memberitahu diri saya bahawa ini merupakan filem terbaik Weir, malah 'Master and Commander' merupakan filem terbaik yang telah saya tonton tahun ini.

'Master and Commander: The Far Side of the World,' adalah sebuah filem tentang pelayaran sebuah kapal perang kepunyaan England yang sedang dikejar oleh sebuah kapal 'privateer' dari Perancis tatkala perang Napoleon sedang meletus di Eropah di antara kedua-dua buah negara tersebut.

Kapten Jack Aubrey (Russell Crowe) adalah kapten kapal HMS Surprise, seorang ketua yang berkarisma, dihormati oleh anak-anak kapalnya dan di dalam masa yang sama, seorang strategis perang yang hebat. Kepada peminat Star Trek, The New Generation pasti akan membandingkan Kapten Picard dengan Kapten Aubrey. Mereka berdua tegas, tetapi dalam masa yang sama, masih mempunyai ruang untuk mengambil pendapat pegawai-pegawai yang terdekat dengannya dan menggunakan taktik yang luar biasa untuk memastikan kemenangan di tangan mereka.

Kapten Audbrey mempunyai hubungan yang paling rapat dengan Maturin, yang bertugas sebagai doktor. Watak Maturin dilakonkan oleh Paul Bettany, yang sebelum ini pernah digandingkan dengan Russel Crowe dalam filem 'A Beautiful Mind'. Watak Maturin adalah satu watak kegemaran saya dalam filem ini. Beliau adalah satu watak yang serupa seperti Charles Darwin; seorang ahli sains yang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang biologi dan kita dapat melihat bahawa beliau berada di dalam kapal perang HMS Surprise agar beliau dapat menjajah ke pelosok dunia yang jarang dijelajah oleh manusia yang sezaman dengannya. Melalui Maturin, kita dapat melihat watak Kapten Aubrey yang lebih dinamik dengan minatnya kepada muzik 'chamber' (Aubrey bermain violin, dan Maturin pula bermain cello).

Filem ini telah diadaptasi oleh siri novel oleh Patrick O'Brian, seorang penulis sejarah perang laut yang terkenal. Di dalam novel yang asal, diceritakan tentang Kapten Aubrey mengejar sebuah kapal dari Amerika pada tahun 1812. Tetapi Weir mengambil keputusan untuk menukar seteru Kapten Aubrey kepada 'privateer' Perancis (Mengapa, ya? Ada kena mengena dengan isu kontemporari di antara sekutu UK/US dengan Perancis?). Walau apa-apa pun, adaptasi Weir dan John Collee, mereka berjaya membawa cerita yang direka oleh O'Brian ke layar perak dengan baik sekali.

Apa yang menarik tentang filem ini adalah hampir keseluruhan dari adegan yang kita saksikan berlaku di dalam lingkungan kapal HMS Surprise yang dikejar (dan kemudian mengejar) kapal 'privateer' Perancis, 'Acheron'. Walau bagaimanapun, arahan Weir yang teliti langsung tidak membuatkan penonton rasa terkongkong (baca: 'claustrophobic'). Yang menarik lagi, sebagai penonton, kita akan berkali-kali tertanya-tanya bagaimana Weir mengarahkan adegan-adegan penuh aksi dalam filemnya ini, di mana pergerakan kamera nampak begitu dinamik untuk menaikkan lagi rasa teruja di kalangan penonton. Perhatikan adegan HMS Surprise melawan ombak di Cape Horn. Adegan ini bagi saya, antara yang terbaik yang difilemkan untuk genre filem ini, malah lebih baik dari 'The Perfect Storm'.

Mungkin akan ada sebilangan penonton yang tidak berpuas hati kerana para petualang dalam filem ini tidak diperlihatkan sehingga ke bahagian akhir filem. Tetapi bagi saya, teknik ini sesuai untuk digunakan dalam filem ini, lebih-lebih lagi dengan adanya 'twist' pada bahagian akhir filem. Dan mungkin juga, Weir ingin kita merasakan apa yang dirasakan oleh anak-anak kapal HMS Surprise yang langsung tidak dapat melihat kapal Perancis, 'Acheron' yang telah menyerang mereka di kawasan laut berdekatan dengan Brazil.

Dalam filem ini kita akan dapat melihat stratifikasi masyarakat Inggeris pada abad ke-19, di mana mereka yang berkedudukan tinggi perlu dihormati dan disegani. Lord Blakeney, (Max Pirkis) walaupun masih berusia 12 tahun, telah diberi satu kedudukan di mana dia memimpin anak-anak kapal HMS Surprise. Dalam satu adegan lain, anak kapal yang tidak menghormati seorang pegawai bernama Hollom, (Lee Ingleby) dihukum pasung dan sebat.

Filem ini bukan sahaja penuh dengan aksi perang laut. Sebagai sebuah filem yang diadaptasi, unsur-unsur kemanusiaan diselitkan dengan baik. Pengarah kelahiran Australia, Weir sememangnya ahli dalam hal ini. Beliau sememangnya dalam membuat pelakon-pelakonnya membawa watak-watak yang diambil mereka dengan baik. Lakonan Crowe sebagai contoh, memang tidak boleh dinafikan lagi kecemerlangannya, tetapi Weir terus membuat watak Kapten Aubrey satu watak yang pastinya akan dihormati dan disanjung penonton.

Filem ini adalah sebuah filem yang cantik. Sinematografinya (Russell Boyd) cantik walaupun keadaan kapal yang kecil menyukarkan eksplorasi estetika visual (kecuali dalam adegan di kepulauan Galapagos). Skor muzik dalam filem ini juga baik dan penyerapan lagu-lagu klasikal memantapkan lagi filem ini. Filem ini telah dibuat dengan kajian dan ketelitian yang tinggi. Perhatikan di mana inilah di antara beberapa buah filem yang hampir kesemua pelakon-pelakonnya adalah lelaki. Jika projek ini diberikan kepada pengarah lain, mungkin filem ini akan ditokok tambah dengan watak wanita dengan unsur-unsur romantis yang pastinya akan merosakkan jalan cerita.

Saya memang suka kepada filem ini. Saya rasa, filem ini mempunyai peluang yang amat cerah untuk memenangi beberapa hadiah penting dalam anugerah Academy pada tahun hadapan, termasuklah untuk anugerah Filem Terbaik.

Rating: 5/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!