|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-09-16 - 3:51 p.m. Novel Mat & Mel oleh Nizam Zakaria: Bab 10
Pada pagi itu, ketika di dalam kuliah, tiba-tiba sahaja aku terima pesanan SMS dari Azri. Dia memberitahu ku dia terpaksa pulang ke kampung. Ibunya sakit. Dia minta aku gantikan tempatnya bekerja mulai petang ini. Katanya, aku hanya perlu bekerja pada shif petang hari Isnin, Selasa dan Rabu. Hari-hari yang lain akan digantikan oleh Kumar seorang kawan kami yang bekerja di tempat yang sama. Aku termenung seorang diri di dalam kuliah. Aku menoleh ke arah Tamrin. Dia senang sibuk menyalin segala apa yang sedang ditulis oleh pensyarah ke dalam buku notanya. Agaknya apabila dia perasan aku sedang memandang ke arahnya, dia terus menoleh. Dia menyuruh aku tumpukan perhatian aku kepada apa yang diajar. Wajahnya nampak serius. Aku menggigit hujung pen ku. Aku membalas pesanan SMS yang aku terima dari Azri dengan memberitahunya bahawa aku boleh membantunya. Aku sempat memberitahunya bahawa aku doakan agar ibunya cepat sembuh. Nampaknya aku kena batalkan banyak rancangan aku pada minggu ini. Aku tak boleh pergi main futsal dengan Tamrin. Aku cadang-cadang nak bawak Melati tengok aku main futsal. Tu pun kena kensel. Tapi tak apalah. Aku harap diorang faham. Tamrin akhirnya dapat tahu aku kena kerja pada hari ini dan tak boleh ikut dia main futsal. Mula-mula dia marah jugak. Tapi aku bersungguh-sungguh beritahu dia aku nak tolong kawan. Dia akhirnya faham. Dia kata mula-mula aku nak kerja sambilan, tapi sekarang aku macam kerja full-time pulak. Sejurus selepas kuliah pada petang hari ini selesai, aku terus ke Mid Valley. Aku terus masuk kerja. Aku ambil tempat Azri. Hari ini hari bekerja, jadi tak ramai pengunjung yang datang, tak macam hari-hari hujung minggu. Jadi aku lebih banyak habiskan masa aku untuk kemaskan barang-barang yang mahu dijual agar nampak lebih kemas. Sedang aku melipat beberapa helai baju yang telah diusik oleh seorang pengunjung, tiba-tiba nama ku dipanggil dari belakang. Aku menoleh. Wajah ku tiba-tiba berubah pucat. Nazim... Apa Nazim buat di sini? Tanya ku kenapa adik Hasnah yang masih berusia tujuh tahun itu. Ikut mak shopping. Dia nak belikan Zim kasut Heelys baru. Zim kan dah ada kasut tu? Dah tak boleh pakai lagi lah bang! Memang budak Nazim ni ganas sikit. Dia akan pakai kasut Heelys yang beroda pada bahagian tapaknya ini ke mana sahaja dia pergi. Walaupun masih kecil dia otai jugak main Heelys ni.Dia suka meluncur laju-laju dengan Heelysnya ini. Pernah sekali dia terjatuh tersungkur bila kakaknya Hasnah bawak dia keluar dengan aku berjalan-jalan di taman KLCC. Lututnya dan sikunya luka berdarah. Terus masa tu, aku suruh Hasnah masuk KLCC dan beli pembalut luka di Guardian Pharmacy. Nazim menangis tak henti-henti. Aku tak tahu bagaimana untuk memujuknya. Jadi bila aku fed-up, aku beritahunya, tak macho kalau budak lelaki macamnya menangis. Terus dia berhenti menangis. Kenapa sekarang Kak Hasnah tak nak bawak Zim jalan-jalan dengan abang macam dulu? Tanya Nazim mencebik. Soalannya ini sukar untuk aku menjawabnya. Aku dapat melihat ibu Hasnah, puan Fazilah berjalan ke arah kami. Dia terkejut melihat ku di sini. Emmet kerja di sini? Dia bertanya sebaik sahaja kami bersemuka. Aku hampir-hampir terlupa bahawa Hasnah mempunyai seorang ibu yang anggun. Wajahnya kelihatan muda walaupun usianya sudah mencecah 40-an. Kalau Hasnah berjalan dengan ibunya itu, pasti orang akan ingat mereka ni adik-beradik. Ya, aunty. Kerja sambilan? Ya. Study Emmet pula macam mana? Okay jer, tak ada masalah aunty. Dah lama Emmet tak datang ke rumah kami... Sebenarnya aunty baru sahaja tanya kepada Hasnah minggu lepas fasal Emmet. Aunty nak jemput Emmet makan malam dengan kami. Tapi Hasnah kata Emmet sibuk. Betul tu aunty. Saya memang sibuk. Weekend saya kena kerja di sini. Kata ku berbohong tanpa sedikit pun rasa bersalah. Oh, sebab itulah Emmet jarang keluar dengan Hasnah sekarang? Ya, aunty. Bila aku fikir-fikir balik, baru aku sedar betapa rapatnya hubungan aku dengan keluarga Hasnah. Aku rasa selama aku mengenali Hasnah, sudah empat kali aku dijemput untuk makan malam dengan mereka sekeluarga. Aku rasa mereka suka Hasnah berkawan dengan ku. Hasnah tidak pernah ceritakan kepada aunty Emmet bekerja di sini. Alah, benda kecik jer ni aunty. Kata-katanya membuat dia termenung sebentar. Nazim memegang tangan ku. Dia mahu aku pilihkan kasut Heelys yang dibelinya. Aku dengan pantas memberi isyarat kepada Laksmi supaya dia menggantikan tempat aku dan aku pula melayan Nazim di tempatnya. Nazim menudingkan jarinya ke arah kasut Heelys yang paling mahal. Aku mengambil kasut itu lalu meminta Nazim membeleknya. Aku tanya jika dia suka dengan model ini. Dia mengangguk. Aku memintanya duduk. Aku menghilang masuk ke dalam bilik stor untuk mencari saiz kasut Heelys yang dia berkenan itu. Di dalam stor aku mengeluh seorang diri. Kepala ku tiba-tiba berdenyut-denyut. Aku mengeluarkan handphone aku. Mahu sahaja aku menelefon Hasnah lalu memberitahunya bahawa ibunya ada bersama ku sekarang. Mahu sahaja aku memintanya untuk memberitahu kepada ibunya bahawa aku dengan dia dah tak ada apa-apa lagi. Tapi aku tak buat apa-apa. Macam zombie aku ambil kasut yang dipilih Nazim ni dalam stor lalu aku bawa dua buah kotak kasut keluar. Satu kotak mengikut saiznya yang aku ketahui dahulu dan satu lagi saiz yang besar sedikit dari sekarang. Puan Fazilah duduk di sebelah Nazim ketika aku menyuruhnya memakai kasut yang dipilihnya. Aku dapati Nazim lebih selesa memakai kasut dengan saiz yang lebih besar dengan saiz kasutnya sekarang. Dia suka benar dengan kasut pilihannya itu. Dia terus memberitahu kepada ibunya itulah kasut yang ingin dibelinya. Ibunya tak banyak bersoal jawab tentang harga. Yang penting baginya, Nazim anak bongsunya itu suka dengan kasut barunya itu. Sekarang aunty tengok Hasnah selalu sahaja duduk diam di dalam biliknya... Emmet tahu tak kenapa? Tanya Puan Fazilah tiba-tiba ketika aku memasukkan kasut lama Nazim ke dalam kotak kasut barunya. Dia mahu terus memakai kasut barunya itu. Emmet dah makan ke belum? Belum. Aku menjawab secara automatik. Terus aku memaki hamun diri ku di dalam hati. Apa kata kita keluar minum petang. Lagipun si Nazim ni sejak tadi kata dia lapar. Aku memandang ke arah jam tangan. Aku sepatutnya boleh keluar berehat pada waktu itu. Jadi aku mengangguk di dalam keadaan serba salah. Aku langsung tidak boleh berkata tidak kepada Puan Fazilah. Dia macam ada kuasa ajaib untuk mengawal minda ku. Apa tidaknya, dia seorang majistret. Tapi pernah juga terlintas dalam kepala ku untuk berkata: "Kalau aku boleh kelentong seorang majistret macam mak si Hasnah ni, dengan sesiapapun aku boleh kelentong". Aku kelentong dengannya tentang latar belakang keluarga aku. Kalau dia tahu siapa bapak aku sebenarnya, aku rasa dah lama dia tak akan beri Hasnah berkawan dengan ku. Jadi selepas Puan Fazilah membayar harga kasut Nazim, aku terus keluar untuk makan petang dengannya. Nazim pegang tangan aku sambil kami berjalan ke arah Madam Kwan's. Dia tanya kepada aku, bila lagi aku dan Hasnah akan membawanya berjalan-jalan di Taman KLCC. Aku kata aku tak tahu. Aku tak boleh janji sebab aku sibuk sekarang ini. Zim, abang Emmet belajar di universiti. Dia kena belajar rajin-rajin supaya dia boleh berjaya di dalam hidupnya. Kata Puan Fazilah sambil mengusap-usap rambut Nazim yang lembut itu. Buat kali entah berapa ratus dalam masa tak sampai seminit sejak aku keluar dari tempat kerja ku, aku bertanya kepada diri ku apa yang telah merasuk jiwa ku sehingga aku bersetuju untuk teman kan Puan Fazilah untuk keluar minum petang bersama Nazim. Dah sah lah aku ni gila. Kami telah diberikan tempat duduk yang paling tepi di Restoran Madam Kwan's. Di situ aku dapat melihat pengunjung Mid Valley lalu lalang dengan jelas. Di tepi restoran ini pula ada kedai mainan Toys 'R' Us. Nazim nampak tak senang duduk lalu dia mengajak aku ke sana sahaja dari duduk di sini bersama ibunya. Puan Fazilah merenung ke dalam mata Nazim sambil berkata: Behave, Zim! You are not a small kid anymore! Nazim terus duduk diam sambil berpeluk tubuh. Ibunya memesan minuman dan kuih-muih untuk kami bertiga. Dia sikit pun tak tanya apa aku mahu minum. Dia terus pesan teh panas. Aunty nak tahu apa yang sebenarnya berlaku di antara Emmet dengan Hasnah. Kamu berdua bergaduh ke? Dia bertanya dengan wajah yang serius. Aku dah agak dah dia mesti akan tanya aku soalan cepumas macam ni. Aku cuba mencari jawapan yang paling sesuai. Satu jawapan yang tak akan membebankan aku atau Hasnah nanti. Kami berselisih faham. Dah berapa lama kamu berdua tak bertegur sapa? Aku merapatkan mulut ku. Aku bertekat tidak mahu menjawab soalannya itu. Kamu berdua dah dewasa... Sepatutnya kamu berdua mencari jalan untuk berbaik. Kalau bergaduh tu, masing-masing perlu cuba memahami punca pergaduhan. Aku menganggukkan kepala ku walaupun pada saat itu aku pekakkan telinga ku. Nak jer masa tu aku berdiri dan blah macam tu jer. Tapi pemikiran aku masih rasional. Aku tak nak buat fasal. Lagipun Nazim ada depan aku. Aku tak nak tunjuk perangai buruk aku depan budak ni. Aku takut nanti dia akan terikut-ikut bila dia besar nanti. Aku tak nak dia jadi macam aku. Aku nak dia jadi budak baik. Ketika aku kecil dulu bapak aku tak pernah buat perangai di depan aku atau di depan adik-adik aku. Aku tak pernah lihat mak dan bapak aku meninggikan suara mereka walaupun ketika mereka sedang bertengkar. Mak bapak aku sebenarnya jarang bertengkar, jadi selama ini aku fikirkan aku mempunyai keluarga yang paling bahagia. Tapi itulah agaknya masalahnya. Mak aku ini terlalu baik orangnya. Dia lebih suka berdiam dari melawan. Cuma satu kali itulah dia cuba melawan dan pada waktu itulah aku nyaris-nyaris mahu tumbuk muka bapak aku sendiri. Mak aku tak macam Puan Fazilah. Mak aku ni lain sikit. Mak aku orangnya pendiam. Puan Fazilah ni aku tengok macam garang semacam orangnya. Aku rasa, bila dia di mahkamah, mesti semua orang kecut tengok dia sebab dia boleh tentukan untung nasib orang lain. Puan Fazilah ni berpelajaran tinggi. Dia belajar sampai ke UK macam suaminya jugak. Mak aku pula belajar tak setinggi mana, tapi orangnya cantik. Menurut cerita, mak aku ni pilihan nenek dan datuk aku sebelah bapak aku sendiri. Datuk aku ustaz. Orang kuat agama. Jadi mak aku ni memang alim orangnya. Dia sendiri yang ajar aku mengaji ketika aku kecil dahulu. Fasal dia juga aku kalau boleh tak nak tinggal sembahyang walaupun aku tahu aku tak lah sebaik mana. Seperti yang aku katakan, mak aku ni penyabar orangnya. Jadi kenapa agaknya aku tak nak ikut sahaja perangai dia tu? Kenapa aku tak boleh jadi macam dia? Kenapa agaknya aku lihat semakin hari semakin aku mula menyerupai bapak aku dalam segala hal. Kenapa? Kenapa aku perlu jadi macam bapak aku? Puan Fazilah menyuruh aku menjamah makanan yang dipesannya. Aku hanya mampu tersenyum. Aku langsung tak ada mood untuk makan. Aku lihat Nazim macam dah tak sabar lagi untuk ke Toys 'R' Us. Aku minta diri untuk pergi kerana aku kena masuk kerja. Dia terima alasan yang ku beri. Aku terus keluar dari Madam Kwan's tanpa menoleh ke belakang. Seperti yang aku jangkakan, pada malam itu Hasnah menelefon ku. Dan entah mengapa aku menjawab panggilannya. Dia menangis tersedu-sedu ketika dia akhirnya dapat bercakap dengan ku setelah lebih sebulan kami berpisah. Aku sebenarnya rindu mendengar suaranya, bohong kalau aku kata tak rindu. Macam semua orang, aku pun ada perasaan jugak, bukannya tak ada. Jadi sebab itulah agaknya aku layan dia walaupun aku dah berjanji untuk tak mahu bercakap dengannya lagi. Hasnah dapat tahu tentang perkembangan terbaru aku dari ibunya. Aku suruh dia diam bila dia salahkan dirinya dengan mengatakan bahawa dialah yang telah menyebabkan aku terpaksa mencari kerja. Aku cakap dia tak salah apa-apa. Ini semua masalah aku, jadi aku yang kena tempuhinya sendiri. Aku tak perlukan bantuannya atau sesiapapun. Dalam sedu sedannya, dia kata dia nak bertemu dengan aku. Aku terang-terang cakap aku tak ada masa untuk berjumpa dengannya. Dia kata sekejap pun jadilah. Aku langsung tak cakap ya ataupun tidak. Hasnah ada beritahu kepada ku bahawa dia cukup sedih bila aku meninggalkannya. Dia kata hari-hari dia menangis. Aku cakap aku tahu, sebab Tamrin yang beritahu. Aku mintak maaf jika aku telah melakukan ini semua kepadanya. Mati-mati dia kata semua ini bukan salah ku. Dia kata dia tahu mana silapnya. Dia kata dia boleh berubah. Awak tak salah apa-apa, jadi tak payah lah awak nak berubah. Kata ku dengan nada yang tegas. Masa tu aku malas nak bertekak dengannya. Dia pun macam nak menangis balik bila aku tinggikan suara ku. Jadi aku beritahu kepadanya aku nak masuk tidur awal. Belum sempat dia nak jawab apa-apa aku terus putuskan panggilannya. Aku matikan telefon ku. Oleh Nizam Zakaria
|