zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-09-23 - 11:54 a.m.

Novel Mat & Mel oleh Nizam Zakaria: Bab 12
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.

Pagi-pagi lagi Tamrin telah mengetuk pintu bilik ku untuk mengingatkan ku bahawa kami ada kuliah pagi. Aku membuka mata ku. Matahari dah lama menunjukkan wajahnya. MALASNYA! Aku menjerit kuat-kuat. Aku berjalan ke arah komputer peribadi ku yang tidak ku matikan kerana mahu memuat turun beberapa mp3 dengan menggunakan perisian P2P. Aku mahu lihat jika aku ada terima e-mail baru. Ada, tapi tak berapa penting. Hampir semua e-mail yang aku terima adalah dari rakan-rakan sekuliah yang mahu berbincang tentang tugasan yang perlu mereka selesaikan. Aku malas nak membaca e-mail mereka. Aku ternampak e-mail dari Melati. Aku buka e-mailnya. Dia hantar e-kad yang ada gambar awan. Dia kata dia akan merindukan aku nanti bila dia tak ada bersama ku hujung pada minggu ini. Dia akan balik ke kampungnya di Muar bersama Hamiza.

Aku membuka baju dan melondehkan kain. Terus aku ambil tuala lalu aku sarungkan kemas-kemas pada bahagian bawah pusat ku. Seperti biasa, aku dapat dengar si Saadiah mencakar-cakap daun pintu ku untuk memastikan aku bangun dari tidur lalu memberinya makan. Tugas aku adalah untuk memberi Saadiah makan pagi dan Tamrin pula makan malam. Saadiah dah tahu benar dengan jadual ini. Sebab itu dia hanya kacau aku pagi-pagi buta macam ini dan Tamrin pula pada malam hari. Aku ke dapur. Aku ambil makanannya. Dia menggeselkan pipinya ke kaki ku kononnya untuk mengucapkan terima kasih. Aku tak tahu dia ikhlas sayang aku ataupun dia buat-buat sayang aku sebab dia nak makan.

Aku ke bilik mandi. Aku dapati pintunya terkuak. Tamrin dah mandi tetapi dia ingin bercukur. Dia sedang letakkan krim bercukur ke pipinya. Matanya terus ke cermin. Dengan selamba aku masuk ke bilik mandi lalu mengambil berus gigi ku.

Perlu ke kau beritahu si Hasnah siapa bapak kau tu sebenarnya? Tanya Tamrin sambil bercukur.

Aku buat-buat tak dengar. Aku terus menggosok giginya.

Dia tak perlu tahu, Amat.

Aku berkumur-kumur. Aku berdiri di sebelahnya dengan memandang ke arah wajahnya di hadapan cermin.

Apa yang dia cakap kepada kau tentang aku?

Dia kata kau tak sepatutnya merahsiakan hal ini darinya. Dia sepatutnya tahu awal-awal lagi. Semalam dia marahkan aku sebab dia kata aku cuba rahsiakan hal ini darinya.

Lantak lah!

Kau memang susahkan aku lah, Amat! Sekarang tengok apa dah jadi?

Apa yang dah jadi?

Tamrin merenung mata ku. Dia nampak marah, tapi dia macam tak jadi nak marah. Dia tarik nafasnya dalam-dalam. Aku tahu sangat dengan perangai si Tamrin ni. Dia memang tak suka marah-marah, tapi bila dia dah marah dia akan melenting macam orang gila. Tapi hari ini dia tak melenting, jadi aku rasa dia tak lah marah dengan aku sangat pun!

Tamrin keluar dari tandas tanpa berkata apa-apa lagi kepada ku. Dia diam. Aku tutup pintu tandas. Aku terus memandang ke arah wajah ku di muka cermin. Aku mengeluh sendiri.

Pada tengah hari itu aku ponteng kelas tutorial semata-mata kerana ingin ambil tempat Azri di tempat kerja. Sebaik sahaja aku mula bekerja aku terima pesanan SMS dari Melati. Dia tanya aku kenapa aku macam tak ada mood bila aku jawab SMS dia pagi tadi. Aku jawab pesanan SMSnya dengan memberitahu aku sebenarnya sibuk dengan tugasan yang baru aku terima. Aku akhiri dengan perkataan: Awak tak perlu risau tentang saya. Saya okay jer ni.

Tapi aku tak okay. Bila masuk kerja aku kelesuan tak susah. Aku masih rasa bersalah kepada segala apa yang telah aku lakukan kepada Hasnah. Tapi dari apa yang aku ketahui dari Tamrin, Hasnah akhirnya telah memberitahu kepada ibunya bahawa kami telah mengambil keputusan untuk berpisah.

Di tempat kerja aku banyak termenung. Tengok raket aku termenung. Tengok bola aku termenung. Entah berapa ratus kali aku pandang jam tangan aku sebab aku dah tak sabar nak balik ke rumah. Aku nak balik dan tidur sampai pagi.

Aku tak tahu apa dosa aku tapi minggu ini macam-macam perkara berlaku kepada ku. Hari ini, satu lagi bala yang turun dari langit yang datang menghempas untuk merosakkan hari-hari ku.

Ketika perkara ini berlaku aku masuk ke dalam stor. Aku sedang membantu Laksmi mengambil sepasang kasut yang ingin dicuba oleh seorang bakal pembeli. Banyak kasut yang ingin dicubanya, jadi aku cuba ambil keempat-empat kotak yang terpaksa aku keluarkan. Bila aku keluar dari bilik stor, aku terlanggar seorang pengunjung. Kotak-kotak aku jatuh. Aku cepat-cepat meminta maaf. Dia cuba tolong aku, bila aku dongak aku dapat melihat wajahnya. Begitu juga dirinya.

Amat? Kau buat apa di sini?

Masa tu aku rasa macam jantung aku ni nak gugur. Tersirap darah aku hingga ke umbun-umbun. Tangan ku terketar-ketar.

Maaf encik. Silap saya. Maaf.

Aku cepat-cepat ambil kasut yang terjatuh di atas lantai lalu aku masukkan ke dalam kotak. Aku tak berani memandang ke arahnya. Bibir ku terasa pucat, sebal tak berdarah.

Dia memegang tangan ku. Agaknya dia tahu aku dah tak tentu arah masa tu. Dia suruh aku berhenti. Jadi aku berhenti. Dia ambil kasut-kasut yang aku jatuh kan kemudian satu persatu dia masukkan ke dalam kotak asalnya.

Aku toleh ke arah Laksmi. Dia hairan melihat keadaan ku pada waktu itu. Dia menoleh ke arah lelaki yang sedang membantu ku itu. Aku rasa dia mengenalinya. Apa tidaknya, muka lelaki ini pernah terpampang di muka hadapan surat khabar hampir setiap hari beberapa tahun yang lalu.

Kau bekerja di sini, Amat?

Aku tidak menjawab. Tekak ku tiba-tiba terasa kering. Dia memandang ke arah Name Tag yang aku pakai. Nama aku memang ada di situ, jadi dia tak salah orang.

Amat bekerja di sini?

Tanya dia lagi lalu memegang bahu ku. Kami berdiri lalu bertentang mata. Aku terus menepis tangannya.

Ya.

Amat masih belajar lagi di UM?

Ya.

Dia terus berdiri di hadapan ku, langsung dia tak mahu berganjak ke mana-mana. Dia menoleh ke belakang, ke arah seorang wanita yang telah ke sini bersamanya. Aku kenal benar dengan wanita itu. Usianya tak jauh dari usia ku sekarang ini.

Berani papa keluar dengan dia!

Kata ku dengan mata ku terus kepadanya. Dia langsung tidak mengendahkan kata-kata ku, seolah-olah kata-kata ku tadi terus tenggelam ke lantai.

Nafas ku turun naik dengan pantas. Dah lama aku tak berkata-kata dengannya inikan pula bersemuka dengannya. Tapi bila aku mula bersuara kepadanya tadi, perasaan marah yang meluap-luap terus singgah ke dalam jiwa ku ini.

Kenapa Amat bekerja di sini? Amat tak cukup duit ke?

Dia bertanya dengan nada serba salah.

Dia tahu bila aku berdiri diam di hadapannya dengan mata ku berkelip perlahan begitu jawapannya adalah 'ya'. Aku tidak mampu berbohong kepadanya walaupun dalam keadaan diam ku. Hanya dengan dia sahaja aku akan jadi begini. Hanya dengan dia sahaja aku boleh menangis hatta dia menegur aku dengan cara halus sekalipun.

Nanti papa akan berikan Amat duit... Amat tak perlu risau.

Saya tak mahu duit papa. Dah saya katakan dahulu. Saya tak mahu sesen pun duit papa! Kata ku dengan sedaya upaya cuba mengawal suara ku.

Memang aku tak nak duit dia. Masa aku lagi sikit nak tumbuk muka dia, memang dia ada cakap; lepas ni, satu sen pun duit dia tak akan diberikan kepada ku. Dia ingat aku kebulur sangat dengan harta dia? Bila dia cakap macam ni, dalam keadaan marah aku jawab: AKU PUN TAK NAK DUIT KAU!

Sebelum kejadian ini berlaku, aku herdik dia cukup-cukup. Aku cakap dia tak layak jadi manusia.

Lepas tu dia tolak aku sampai aku terjatuh. Tapi aku cepat-cepat berdiri. Terus aku nak tumbuk dia.

Nasib baik masa tu, mak tengking aku. Dia tarik aku jauh-jauh dari bapak aku. Kalau dia tak buat macam tu, aku rasa malam tu aku dah bertumbuk dengan bapak aku depan mak aku.

DIA DAH JAHANAMKAN HIDUP KITA MAK! Aku menjerit sekuat hati. Mak aku tempeleng muka aku lepas tu. Dia kata dia tak didik aku untuk jadi anak yang kurang ajar.

Lepas tu aku menangis. Aku menangis semahu-mahunya. Mak aku yang selama ini tak pernah sentuh aku bila dia marahkan aku tiba-tiba sahaja tempeleng muka aku dengan kuat sehingga merah pipi aku dibuatnya.

Bila aku menangis, mak terus peluk tubuh ku. Dalam masa dia sedang menahan rasa sedihnya yang sedang di alaminya sendiri, dia masih sempat untuk meminta maaf kepada ku. Aku kata dia tak perlu minta maaf dari ku kerana aku memang anak yang kurang ajar. Dia meminta aku menutup mulut ku. Dia mengesat air mata ku yang turun mencurah-curah. Dia kata dia tak mahu Hani dan Nani melihat abang mereka menangis begini.

Bapak aku mendengus marah. Dia melangkah keluar dari rumah lalu terus menghilang entah ke mana. Pada malam itu, mak telah mengemaskan barang-barangnya dengan tujuan untuk membawa Hani dan Nani keluar dari rumah kami. Pada malam itu juga dia mahu pergi membawa dirinya pulang ke kampungnya. Pada malam itu aku beritahu kepada Tamrin apa yang telah berlaku. Tak sampai setengah jam kemudian, dia datang dengan Abang Rastam. Pada malam itu juga Abang Rastam membawa ku, mak dan adik-adik ku ke Johor Baru - ke rumah datuk dan nenek ku yang terletak di sana.

Sebelum bapak aku menjahanamkan hidup ku, mak aku dan adik-adik aku, perangai aku tak macam sekarang. Dulu aku budak baik. Aku rasa masa aku mula-mula masuk matriks dulu, kawan-kawan aku ingat aku ni budak skema. Kalau aku masuk Akademi Fantasia, sah-sah aku boleh menang lalu diangkat menjadi "Ikon Remaja Islam" atau "Contoh Remaja Islam yang Ideal" macam Mawi. Ramai awek-awek nak berkenalan dengan aku sebab aku ni budak baik. Tapi masa tu aku langsung tak mahu tahu tentang awek-awek yang nak berkenalan dengan aku. Aku tak minat nak ada awek. Tapi sekarang lain pula ceritanya. Aku rasa aku dah banyak berubah. Macam-macam perangai aku bawak. Bertimbun-timbun dosa terpaksa aku tanggung kerana mengikut nafsu serakah ku ini.

Bapak aku mengurut tengkuknya. Perempuan jalang tu pula berjalan mendekatinya. Dia sempat senyum ke arah ku. Aku terus menjeling ke arah lain dengan rasa penuh jijik.

Papa tak mahu Amat bekerja di sini lagi. Papa mahu Amat tumpukan masa amat kepada pelajaran Amat.

Bapak aku keluarkan dompetnya lalu mengeluarkan wang berkepuk-kepuk. Dia mahu serahkan duitnya itu ke tangan ku. Tapi aku tak mahu. Aku mengambil semula kotak yang aku ambil tadi lalu berjalan ke arah Laksmi.

Kalau dia tak nak, jangan paksa dia, bang. Dia kan memang degil, macam abang jugak! Kata perempuan jalang tu. Nak aja aku campak kotak-kotak kasut yang sedang aku angkat ke mukanya. Berkali-kali aku beritahu kepada diri ku supaya jangan buat kerja gila macam tu. Jadi aku buat-buat tak dengar dalam keadaan telinga ku merah padam menahan marah.

Aku menyerahkan kotak-kotak kasut yang diperlukan Laksmi. Di hujung mata ku aku dapat melihat bapak ku keluar dari kedai sukan tempat aku bekerja ini. Laksmi tanya kepada ku jika aku sakit. Aku menggeleng.

Muka dia familiar lah! Kata Laksmi kepada ku. Pelanggannya menyampuk dengan menyebut nama penuh bapak aku lalu mengingatkan Laksmi apa yang telah dilakukan olehnya sehingga membuatnya terkenal lalu dikenali ramai.

Aku meninggalkan mereka berdua lalu aku kembali ke stesen tempat ku bertugas. Laksmi Memandang ke arah ku. Mungkin dia mula sedar bahawa lelaki yang dilihatnya tadi ada bapak aku sendiri.

Pada hari itu selepas aku menyelesaikan tugas ku, aku tukar baju lalu memasukkan uniform tempat kerja ku di dalam plastik. Aku tulis di atas sekeping nota kecil untuk memberitahu kepada Andrew aku mahu berhenti kerja.

Aku mahu berhenti kerja bukan kerana bapak aku menyuruh aku berhenti. Aku mahu berhenti kerana pada petang itu semua kawan-kawan sekerja ku mula sedar aku ini anak siapa.

Aku tak sanggup lagi ke situ untuk bekerja. Aku malu.

Apabila aku pulang ke rumah, Tamrin memberitahu ku bapak aku ada tinggalkan sekeping sampul surat kepada ku. Tamrin menyerahkan sampul surat itu kepada ku. Dalam sampul surat tebal itu ada wang. Aku rasa dia beri aku wang sebanyak RM2000.

Tamrin lihat aku berdiri kaku di ruang tamu. Aku tak tahu jika aku sedang marah, sedih, sebak ataupun bingung.

Jom kita ke Muar! Kata ku tiba-tiba. Dia tanya untuk apa. Aku kata aku nak hilangkan tension. Dia pandang muka aku lama-lama sebelum dia mengangguk perlahan. Dia amat-amat memahami. Buat sekian kali, Tamrin telah membuktikan bahawa dia lebih memahami kepada segala apa yang terpaksa aku lalui lebih dari orang lain...

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!