zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-09-23 - 11:54 a.m.

Novel Mat & Mel oleh Nizam Zakaria: Bab 14
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.

Ibu Melati langsung tidak kelihatan seperti seorang wanita yang usianya sudah mencecah 40 tahun. Wajahnya nampak muda dan berseri-seri. Kini barulah aku sedar dari siapa Melati mewarisi kecantikannya.

Mak juga cantik orangnya. Walaupun kini aku dapat melihat bagaimana wajahnya dimakan usia dek pengkhianatan bapak aku terhadap dirinya. Mak cukup terseksa dengan apa yang telah dilakukan oleh bapak aku kepadanya. Dari seorang wanita yang ceria, dia berubah menjadi seorang wanita yang berduka setiap masa.

Pada awal pagi itu, sebaik sahaja aku bangun dari tidur, Tamrin telah meminta ku supaya mandi. Melati dan Hamiza sudah lama menunggu, katanya. Sejurus aku masuk tidur selepas aku sembahyang subuh mereka sudah mandi dan mengemaskan pakaian. Aku menggeliat. Aku lihat Tamrin sedang menelaah buku teksnya. Dia dah lama mandi dan bersiap. Bila aku tanya dia hendak ke mana, dia kata ibu Melati mahu membawa kami semua ke kampungnya.

Mana kampungnya? Tanya ku sambil menggosok mata ku yang kabur diselaputi tahi mata.

Tak jauh dari sini... Kampung Sawah Ring.

Oh.

Kita akan tinggal di sana malam ni.

Aku mengeluarkan tuala ku dari dalam beg. Aku mahu mandi. Apabila aku ke belakang, ke bilik air, aku dapat melihat Melati dan ibunya sedang menyediakan sarapan. Aku sempat senyum sebelum masuk ke dalam bilik mandi.

Pagi itu kami sarapan ringan. Kami makan roti dengan kaya. Kopi 'O' panas yang disediakan ibu Melati memang 'kau'. Terus aku rasa segar. Selepas sarapan kami semua naik kereta untuk ke Kampung Sawah Ring.

Ketika kami ke sana, ibu Melati memberitahu bahawa musim menuai akan tiba tidak lama lagi. Padi nampak keemasan saujana mata memandang. Dia menudingkan jarinya ke arah sebuah gunung yang menghiasi kawasan landai ini. Dia memberitahu kami bahawa apa yang ditunjukkan kepada kami itu adalah Gunung Ledang. Aku tak pernah menyangka aku akhirnya akan tiba ke tempat seperti ini.

Kami masuk ke kawasan kampung. Kami berhenti di sebuah rumah di tepi sawah. Rumah ini rumah arwah datuk dan nenek Melati yang sudah lama meninggal dunia. Di sana, kami diperkenalkan kepada Nek Saadah, nenek saudara Melati yang sudah tua tapi masih kuat lagi sihat tubuh badannya. Dia duduk di rumah ini dan menjaga sawah bendang peninggalan datuk dan nenek Melati. Dia tak pernah berkahwin. Aku diberitahu, selama ini ibu Melati lah yang telah menjaga makan minumnya.

Nek Saadah cukup gembira dengan kedatangan kami. Agaknya sebab dia jarang ada pengunjung, jadi dia layan kami cukup-cukup. Dia sayang kepada Melati. Dia cium pipi Melati lalu memberitahunya betapa cantiknya Melati sekarang. Dia tunjukkan album lama Melati yang disimpannya baik-baik. Aku dapat melihat gambar-gambar lama Melati ketika dia kecil dahulu. Memang Melati seorang anak yang comel, sebab itu aku tak hairan jika Nek Saadah sayang dengan Melati. Sesiapapun akan sayang kepada seorang anak kecil yang comel wajahnya seperti Melati.

Tengah hari itu kami semua makan tengah hari di sebuah pondok kecil yang letaknya beberapa ratus meter dari kediaman Nek Saadah. Kami terpaksa meredah tanah bendang untuk ke sana. Aku beritahu kepada Tamrin aku tak pernah alami ini semua. Dia kata dia tahu. Aku dilahirkan di bandar Johor Baru di rumah datuk dan nenek ku di Larkin, kemudian aku dibesarkan di Shah Alam. Jadi semua ini adalah pengalaman baru bagi diri ku.

Melati dan ibunya memakai baju kebaya ketat berwarna putih. Ibunya membawa sebatang payung merah bersamanya lalu mereka berjalan berpimpin tangan berjalan merentas bendang. Sesekali Melati akan menoleh ke arah ku lalu melemparkan senyuman ke kepada ku. Desiran angin yang bertiup merendah lembut membelai rambut Melati. Tamrin aku lihat sedang memimpin tangan Nek Saadah sambil bercerita kepadanya tentang suasana kampungnya di Pulau Pangkor.

Gunung Ledang yang terletak nun jauh membingkahi horizon kelihatan seperti lukisan di atas kanvas - dengan langit terang membiru ditambah dengan awan dan kabus berbalam-balam.

Bunyi apa tu Nek? Tanya ku apabila mendengar permainan muzik yang sayup-sayup kedengarannya.

Kempling... Cucu Wak Sanip kahwin hari ni. Nek Saadah memberitahu, kemudian dia mengingatkan ibu Melati supaya ke majlis makan malam perkahwinan Cucu Wak Sanip pada malam ini.

Perlu ke, Mak Ngah? Tanya Ibu Melati. Wajahnya berkerut.

Alah, jangan pedulik apa orang nak kata fasal kau. Kau pergi sahaja. Inikan majlis perkahwinan anak saudara kau jugak, Kalsom? Kalau bukan kerana duit yang kau sedekahkan, kau ingat majlis perkahwinan si Hassan tu boleh jadi macam ini meriah?

Ibu Melati terus diam. Dia tidak menjawab. Melati memandang penuh ke arah ibunya. Aku rasa dia tahu apa yang berlaku. Dia memegang tangan ibunya dengan erat, seolah-olah dia mahu menenteramkan perasaannya yang gusar pada saat itu.

Masakan Nek Saadah memang sedap, walaupun sukar untuk aku makan ayam yang aku sendiri tangkap dan disembelih Tamrin. Kalau ayam yang dibeli di supermarket atau di KFC senang pulak aku makan. Aku lihat Tamrin siap mintak nasi tambah lagi. Nek Saadah suka benar melayannya.

Kami duduk makan bersama sambil menikmati suasana yang indah di hadapan kami. Jiwa ku pada waktu itu terasa tenang, setenang tiupan angin yang membuatkan batang padi menari mengikut ayunan angin. Selesai makan, aku lihat Melati membawa ibunya berjalan di atas batas. Mereka duduk di atas bendang menghadap ke Gunung Ledang. Ada sesuatu yang ingin mereka ceritakan bersama.

Sesekali aku lihat ibu Melati menudingkan jarinya ke arah kepulan-kepulan awan di hadapan mereka.

Apa yang mereka lakukan Hamiza? Tanyaku kepadanya tatkala Tamrin sedang sibuk berceloteh dengan Nek Saadah.

Aunty Kalsom akan bercerita tentang dirinya dengan menggunakan awan. Melati akan memahami apa yang terbuku di dalam hatinya dengan memandang kepada awan yang ditunjukkan kepadanya.

Aku dapat melihat ibu Melati menuding ke arah sekumpulan awak hitam yang berkepul-kepul berkumpul di atas Gunung Ledang. Kemudian aku lihat Melati mendakap tubuh ibunya dengan erat dan dengan penuh kesungguhan meminta ibunya jangan bersedih.

Orang-orang kampung menyisihkan mereka. Kata Hamiza akhirnya memberitahu kepada ku dengan suara perlahan.

Apa yang sebenarnya telah berlaku kepada Aunty Kalsom?

Ibu dan bapanya telah meninggal dunia ketika dia berusia 18 tahun... Kemudian dia jadi mangsa rogol. Mel... Hasil daripada kejadian hitam yang menimpa dirinya dahulu.

Mel tidak kenal siapa bapanya?

Tidak... Ketika itu dia bekerja di sebuah kilang berdekatan dengan bandar Muar untuk menyara hidupnya dan adik-adiknya, dia telah diculik kemudian dibawa ke pinggir hutan. Dia telah dirogol beramai-ramai. Ketika itu dia berusia 19 tahun, Emmet.

Cerita Hamizah membuat tekak ku tiba-tiba terasa kering dan sakit.

Orang kampung terus menyisihkannya bila mereka dapat tahu tentang perkara ini, lebih-lebih lagi apabila dia sarat mengandung. Hanya pelacur-pelacur di Pekan Bukit Gambir yang sanggup menjaganya pada waktu itu, sehinggalah Mel dilahirkan. Mereka jugalah yang telah menjaga Mel sehingga dewasa. Aunty Kalsom pula terus bekerja di sana agar dia dapat menjaga Mel dan adik-adiknya yang lain ketika itu masih bersekolah.

Apa jadi kepada keluarga Aunty Kalsom yang lain? Apa jadi kepada adik-adiknya yang lain yang telah dibesarkannya sendiri?

Mereka masing-masing kini ada kehidupan mereka sendiri... Tak ada seorang pun yang mahu pulang ke sini untuk menjenguknya atau menjenguk Nek Saadah yang telah menjaga mereka dahulu. Mungkin mereka malu dengan apa yang dilakukan oleh Aunty Kalsom selama ini... Entahlah Emmet.

Kenapa manusia ni kejam, Hamiza? Tanya ku dengan perlahan.

Hamiza menaikkan kedua belah bahunya. Dia tidak mungkin dapat menjawab soalan ku ini.

Kadangkala saya rasa semuanya ini tak adil. Ucap ku perlahan. Aku memikirkan tentang nasib yang menimpa Melati. Aku juga memikirkan tentang nasib yang menimpa diri ku, ibu ku dan adik-adik ku sendiri. Hati ku kini sudah sebal.

Emmet, Aunty Kalsom pernah beritahu kepada Mel supaya jangan jalan melangkah ke belakang. Walaupun perlahan langkahnya, dia harus berjalan maju ke hadapan. Kata Hamiza, seolah-olah dia tahu tentang latar belakang ku dan apa yang membelenggu perasaan ku selama ini.

Apa maksudnya?

Kita tak seharusnya membiarkan apa yang menimpa diri kita di masa lalu dari menghambat kebahagiaan yang mahu kita kecapi.

Aunty Kalsom berkata begini kepada Mel?

Ya. Dia juga beritahu kepada Mel supaya jangan sekali-kali berputus asa di dalam hidup. Kehidupan ini memang banyak dugaannya Emmet. Jika kita mahu kecapi kebahagiaan, kita tak harus senang berputus asa.

Aku turun dari pondok tempat ku berteduh. Aku berjalan beberapa tapak ke hadapan sehingga ke tepi bendang. Aku terus termenung ke hadapan. Aku tarik nafas ku dalam-dalam kemudian aku menutup mata ku rapat-rapat. Aku biarkan cahaya terik memamah wajah ku. Aku biarkan sepoi angin menyapu wajah ku yang letih.

Apabila aku membuka mata ku, aku dapat melihat Melati dan ibunya masih duduk memandang ke awan berteduhkan sebatang payung merah menyala. Semangat mereka kental untuk melalui kehidupan ini yang serba tak kena untuk mereka.

Kepada awan kini ku khabarkan tentang darah jiwa ku yang tidak berwarna. Kepada awan ku ceritakan tentang kisah kesepian yang kian mencengkam jiwa ku.

Bila keinginan semakin pudar. Tatkala jiwa tidak lagi berkobar. Ketika harapan semakin samar. Kepada awan ku luah perasaan.


Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!