zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2005-09-09 - 5:21 p.m.

Novel Mat & Mel oleh Nizam Zakaria: Bab 2
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.

Selama lebih seminggu aku terpaksa habiskan masa aku bersama Tamrin di perpustakaan menunggu gadis bisu yang dinyatakannya itu. Macam pungguk menyepi di dahan tinggi, menunggu bulan tak kunjung tiba lagaknya. Aku tak percaya aku sanggup melakukan ini semua semata-mata kerana aku ingin membuktikan sesuatu. Tapi aku memang pantang dicabar. Ketika aku berusia 12 tahun, kawan aku pernah cabar aku untuk panjat pokok kelapa di belakang sekolah aku. Aku panjat pokok kelapa itu untuk buktikan kepada semua aku anak jantan. Dan pada pandangan aku, anak jantan memang pantang dicabar. Pokok kelapa itu memang tinggi. Dalam sejarah sekolah aku hanya seorang budak sahaja yang pernah panjat pokok kelapa itu. Tapi menurut cerita, belum sempat budak tu dapat mencecah ke bahagian yang paling tinggi, dia terjatuh. Kami semua tak tahu apa yang terjadi kepadanya selepas itu. Ada cerita yang mengatakan budak tu mati, ada pula cerita yang mengatakan yang budak itu lumpuh. Aku pun tak tahu jika cerita ini cerita benar atau cerita yang dibuat-buat agar para pelajar takut untuk panjat pokok kelapa ini. Yang penting, selepas aku panjat pokok kelapa itu, budak-budak di sekolah aku mula pandang tinggi kepada aku. Mereka mula hormat aku. Mereka mula menganggap aku ini hero pejantan tangguh yang berani melakukan apa sahaja yang mereka sendiri takut untuk lakukan.

Hari ini aku akhirnya bersemuka dengan gadis yang disebutkan Tamrin. Budak perempuan itu memang cantik orangnya. Betullah seperti apa yang dikatakannya, budak itu memang ada tokoh untuk jadi model. Rambutnya dipotong pendek, tapi tak nampak pula macam pengkit. Tubuhnya tinggi lampai tapi berisi pada bahagian-bahagian yang patut berisi. Pendek kata, body dia memang cun habis. Tamrin nampak aku tengah stim bila aku pandang dia lama-lama dan buat video blue aku sendiri di dalam kepala aku. Aku tutup bonjolan aku dengan buku nota aku. Aku tekan butang stop untuk berhenti memainkan video blue aku di dalam kepala aku lalu aku simpan untuk stok tontonan malam ini.

Tamrin kata budak tu macam Twiggy, model terkenal tahun 60-an tu. Memang Tamrin cukup arif dalam hal macam ini semua. Dia dah hafal nama pereka fesyen dan supermodel yang terkenal dari seluruh dunia. Semua ini berkat si Raslan kawannya yang sama-sama belajar dengannya di Sekolah Alam Shah tu.

Mula-mula aku tak kenal siapa Twiggy tu, jadi Tamrin suruh aku guna Internet untuk cari gambar Twiggy. Dia suruh aku Google nama Twiggy.

EH, MEMANG MACAM TWIGGY SIAL! Kata ku kepadanya kemudian bila akhirnya gambar Twiggy terpapar di monitor. Dia suruh aku diam, sebab dia kata bila aku bersuara, satu perpustakaan boleh dengar suara aku.

Seperti yang aku katakan tadi, gadis bisu ini tinggi lampai. Sebelum ini aku tak pernah ada awek yang tinggi lampai. Mereka semunya lebih rendah dari aku. Dia tak pakai tudung sedangkan kebayakan awek-awek aku dulu pakai tudung. Dia bisu sedangkan semua awek-awek aku dulu SEMUANYA boleh bercakap (dan membebel). PERFECT!

Kau rasa macam mana aku nak usha dia? Aku tanya soalan ini kepada Tamrin. Dia kemudian pandang aku macam aku dah hilang akal. Bila aku fikir-fikirkan balik memang tak patut aku tanya soalan ini kepadanya. Dia bukannya ada pengalaman nak usha awek.

Tamrin kata aku pandai mengayat. Dia kata sesiapapun boleh cair bila dengar aku mengayat. TAPI MASALAHNYA DIA PEKAK! Kata ku kepadanya. Dia termenung buat beberapa saat sebelum dia tersenyum puas.

Anggap itu sebagai cabaran! Katanya lalu menolak tubuh ku dari arah para buku tempat kami bersembunyi sejak tadi. Bila aku menoleh ke belakang aku dapat melihat dia mengambil sebuah buku tebal lalu cuba berpura-pura menelaah buku tersebut. Buku kamus Cina-Inggeris.

Hello. Kataku kepada gadis tersebut. Aku dapati dia tidak menjawab. Matanya masih kepada sebuah buku rujukan tentang geografi. Sekali lagi aku memanggilnya, tapi dia tak menjawab. Sah lah dia pekak.

Awak nak apa? Tanya kawannya yang sedang duduk di sebelahnya. Dia memegang tangan kawannya yang pekak dan bisu itu untuk menarik perhatiannya -bahawa aku telah datang dengan hasrat untuk berbual dengannya. Kawannya itu memandang aku dengan wajah yang garang. Mungkin dia marah kerana aku telah datang lalu mengganggu ketenteramannya belajar.

Saya nak berkenalan dengan awak berdua. Kataku dengan berbisik agar suara ku tidak dapat didengari oleh orang lain. Nampak gaya budak perempuan bertudung yang menjadi rakan kepada budak bisu memang tak suka aku datang mengganggu. Mukanya nampak masam.

Dia diam tak menjawab. Kalau lebih lama dia duduk diam membisu, mesti aku akan terlupa aku ada mendengar dia bercakap tadi lalu akan berfikir dia juga bisu. Ketika dia diam begitu aku cuba membayangkan keadaan dirinya jika dia tidak bertudung. Dari pengalaman aku selama ini, aku boleh teka jika seorang awek bertudung itu berambut pendek atau panjang hanya dengan memandang wajahnya. Awek garang di hadapan aku ini berambut panjang. Aku pasti rambutnya itu lurus. Dia memakai cermin mata retro dengan bingkai hitam yang diperbuat daripada plastik. Aku rasa mesti dia minat dengan lagu-lagu alternatif.

Nama saya Amat, panggil sahaja Emmet. Kataku. Bila selesai sahaja aku bercakap dia terus membuat isyarat tangan kepada kawannya. Kemudian di gadis bisu yang masih aku tidak kenali namanya ketika itu tersenyum ke arah ku.

Macam Emmet dari kumpulan Butterfingers tu ke?

Ya. Jawabku pantas. Bukan aku dah agak budak ni suka dengar lagu-lagu alternatif?

Nama kawan saya ini Melati, saya pula Hamiza.

Melati? Sedap namanya. Aku terus memandang ke arah Melati. Aku mula sedar dia sedang memakai baju serba hitam. Matanya nampak sedikit cengkung kerana dia memakai celak hitam yang menggelapkan lagi bahagian matanya. Sah lah budak Melati ni, Puteri Goth. Jika aku boleh buat dia suka aku, lepas ini aku rasa aku boleh buat buku rujukan dengan tajuk: "How to Seduce a Goth Princess".

Ya, namanya Melati, tapi panggil saja dia Mel. Alah, kalau awak panggil dia Jantan ke Senah ke Joyah ke, bukannya dia tahu. Dia pekak. Kan Joyah, kan?

Melati hanya mengangguk sambil tersenyum. Aku tergamam, tak tahu nak cakap apa. Buat pertama kalinya aku mula sedar tentang rintangan komunikasi yang wujud di antara aku dengan dia. Tapi bayangkanlah; kalau aku jumpa awek cun depan aku dan puji-puji awek tu dia tak akan marah atau membebel. PERFECT!

Melati membuat isyarat tangan kepada Hamiza. Kemudian Hamiza bertanya kepada ku apa tujuan aku mahu berkenalan dengannya.

Kata kepadanya saya mahu belajar bahasa isyarat.

Untuk apa?

Supaya saya dapat berbual dengannya.

Gosh, that sounds so cheesy! Katanya dengan muka mencemik. Dia sengaja memanjangkan perkataan "cheesy" tu macam dia sengaja nak perli aku.

Aku menoleh ke belakang ke arah tempat Tamrin bersembunyi tadi. Aku dapati dia tak ada di situ atau di mana-mana. Tamrin pasti tak dapat bayangkan betapa sukarnya untuk aku tarik perhatian Melati.

Dia faham apa yang saya cakapkan kalau saya bercakap dengannya? Tanyaku lalu memastikan dia dapat melihat pergerakan bibirku.

Hamiza bertanyakan soalan yang aku tujukan itu kepada Melati, lalu Melati memberikan jawapannya melalui Hamiza.

Tidak. Tapi dia kata bibir awak cantik.

Ke situ pulak budak-budak ni. Kemudian aku melihat mereka berdua ketawa kecil sambil menutup mulut. Aku tak tahu apa yang membuat mereka ketawa. Aku rasa mereka sengaja nak buat lawak. Aku cukup pantang tengok budak-budak perempuan yang berderai ketawa di depan aku macam ni. Macam perempuan gedik pulak!

Jadi macam mana-

Macam mana apa... Emmet, nama awak Emmet kan?

Ya, Emmet. Macam mana kalau saya nak berkenalan dengannya?

Kalau awak nak berkenalan dengan Mel apa salahnya. Saya boleh tolong.

Awak nak tolong ke?

Pada ketika itu juga aku mula sedar tanpa Hamiza, aku tidak mungkin dapat berkomunikasi dengan Melati. Nak tak nak, aku terpaksa melayan kerenah Hamiza yang banyak songeh ini!

Ya. Getusku sambil menggigit bibirku. Aku lihat sesekali mata Melati akan berpindah ke bibirku. Sampai sekarang aku tak tahu mengapa budak-budak perempuan yang aku temui suka sangat melihat bibir ku. Mungkin bibir ku merah. Tamrin kata bibir aku nampak seksi. Kalau boleh dia nak ada bibir macam bibir aku. Dan kalau boleh dia nak ada mata macam mata aku, rambut macam rambut aku, dan hidung macam hidung aku dan tubuh seperti tubuh aku sebab dia kata dia nak jadi lelaki hensem macam aku. Dia kata kalau muka hensem, "you can even get away with murder".

Aku menarik nafas ku dalam-dalam. Kalau dia awek normal (maksud aku yang tak bisu lah!), aku dah bagi nombor telefon aku kepadanya. Aku hanya perlu tunggu paling lama empat jam sebelum mereka menelefon aku. Kawan-kawan aku selalunya akan menunjukkan rasa cemburu yang teramat sangat bila mereka mendapat tahu aku ada daya tarikan seperti ini - apabila mereka melihat sendiri bagaimana awek-awek yang cun akan menelefon aku setelah nombor aku diberi kepada mereka.

Kalau awak ada handphone, dia boleh SMS awak. Kata Hamiza akhirnya setelah dia lihat aku duduk terpinga-pinga seorang diri.

Ya, saya ada handphone. Kataku dengan pantas. Aku mengambil pen Hamiza yang diletakkan di atas meja lalu menulis nombor ku di atas buku nota kepunyaan Melati.

Mel ni bisu dan pekak, dia bukan terencat akal. So, awak boleh berkomunikasi dengannya dengan menggunakan SMS. Awak nak chat dengan dia pun boleh pakai Yahoo Messenger. Hamiza memberitahu.

Saya jarang chat. Tapi tak apa, ini ID saya. Kataku lalu menulis nama yang aku gunakan: "Emmet_kl" di sebelah nombor handphone ku yang telah aku tulis tadi.

Aku menoleh ke tepi. Aku mendapati seorang budak perempuan Cina mula merenung ke arah aku kerana aku telah mengganggu konsentrasinya ketika sedang belajar. Aku menggaru-garu janggut ku. Aku memandang ke luar tingkap. Hari dah petang.

Beritahu kepada Mel jika dia sudi keluar makan malam dengan saya di Mid Valley? Pintaku kepada Hamiza.

Aku lihat Melati termenung sebentar untuk berfikir setelah Hamiza selesai memberitahunya tentang hasrat ku ini.

Mel kata boleh, tapi awak kena hantar dia pulang.

Ye ke?

Awak nak ke sana dengan apa?

Naik motor.

Mel rasa-rasanya tak pernah naik motor.

Saya tak bawak laju.

Sure?

Sumpah!

Hamiza berpaling ke arah Melati. Aku nampak dia buat isyarat yang menyerupai orang sedang menaiki motosikal kemudian jari telunjuknya diletakkan di tepi kepalanya lalu digerakkan dalam bentuk bulatan. Kemudian mereka ketawa berdekah-dekah.

Dia tak boleh pulang lewat. Tuan rumah kami tak suka jika kami pulang lewat ke bilik sewa kami.

Okay. Kamu berdua tinggal di mana?

Kami tinggal di kawasan perumahan berdekatan dengan Stesen LRT Asia Jaya. Seksyen 14.

Dekat dengan ColdStorage?

Ya.

Saya akan bawa dia pulang sebelum pukul 10. Okay tak? Lagipun esok hari Sabtu.

Boleh. Kami tidak boleh pulang selepas pukul 12 malam tanpa sebab-sebab yang munasabah. Satu lagi... Awak kena tanya dia lah fasal hal ini semua. Saya kawan baik dia bukan penjaga dia. Dia bukan budak kecik. Bukan terencat akal. Dia dah dewasa. Dia macam kita semua, cuma dia pekak dan bisu sahaja.

Saya faham. Sambut ku serba salah. Aku menarik nafas ku dalam-dalam. Aku tersenyum tawar. Buat kali ketujuh belas hari ini aku berfikir kembali mengapa aku sanggup melakukan kerja gila ini. Tapi bila aku pandang wajah Melati, entah mengapa aku rasa mungkin segala apa yang akan aku lakukan ini mungkin tak sia-sia. Aku tak tahu bagaimana untuk aku jelaskan dengan kata-kata. Tapi aku dapat melihat sesuatu di dalam matanya. Sesuatu yang kurang aku fahami yang perlu aku selami.

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!