|
Zire 71 Photo of the day!
|
2005-09-13 - 4:09 p.m. Novel Mat & Mel oleh Nizam Zakaria: Bab 8
Satu perkara yang dapat aku pelajari melalui permainan The SIMS ini adalah pentingnya komunikasi. Komunikasi antara pasangan akan menentukan sama ada pasangan itu akan kekal atau sebaliknya. Hari ini aku terima surprise dari Melati. Dia datang ke tempat kerja ku untuk menjenguk ku. Dia ada membawa Hamiza bersamanya. Hamiza aku berjalan seorang diri melihat baju-baju sukan yang ada di jual di tempat ku bekerja. Melati pula berjalan dekat kepada ku sebelum dia menoleh memandang ke arah kasut-kasut yang ada dipamerkan. Aku tersenyum melihat gelagat Melati berlakon sebagai seorang yang ingin membeli kasut. Aku mendekatinya kemudian aku tanya kepadanya kasut apa yang mahu dibelinya. Dia menuding ke arah sepasang kasut jogging untuk wanita. Aku memintanya duduk lalu aku masuk ke dalam stor untuk mencari kasut yang dipilihnya itu mengikut saiz kakinya. Apabila aku berjaya mendapatkan saiz yang sesuai, aku suruh dia memakainya. Dia menggayakan kasut itu dengan berjalan seperti seorang model di hadapan ku. Dia memang nampak seksi giler pada waktu itu. Azri memerhatikan gelagat Melati dari jauh, lalu dia terus mendekati ku dan seperti biasa membisikkan segala fantasi lucahnya ke dalam telinga ku. Aku buat-buat tak dengar. Apabila aku melihat wajah Azri dah stim semacam dengan matanya yang kuyu itu, aku mendekati Melati lalu memberitahu Melati dengan menggunakan bahasa isyarat bahawa lima minit lagi syif kerja aku selesai. Aku suruh dia tunggu aku di luar. Siapa awek tu? Kau kenal dia ke? Tanya Azri ingin tahu. Kawan aku. Jawab ku ringkas. Kawan je ke? Ya, kawan. Kalau kawan jer, boleh aku kenal dengan dia tak? Dia bisu. Alah, bisu-bisu pun, body dia- Dia kawan aku lah wei! Kataku. Aku menjeling marah. Dia harap dia faham aku marah. Aku tahu dia bukan kawan kau... Cara kau tengok dia tadi saja aku dah boleh agak. Ikut suka hati kau lah nak cakap apa! Kau pernah beritahu dia kau sayang dia? Aku hairan bagaimana soalan ini terkeluar dari mulutnya. Aku tak tahu mengapa dia tiba-tiba sahaja bertanyakan soalan ini kepada ku. Sebenarnya aku tidak pernah meluahkan rasa sayang ku kepada mana-mana awek, termasuk Hasnah walaupun aku rasa aku sayang kepadanya. Memang tidak dapat aku nafikan aku pandai bermain dengan kata-kata tetapi tidak sekali-kali aku akan mengucapkan kata sayang kepada awek-awek ku. Hasnah banyak kali bertanya kepada ku jika aku sayang kepadanya - aku hanya akan mengangguk tanpa meluahkan sebarang kata-kata. Bila dia tanya aku kenapa aku tak meluahkan kata sayang dalam bentuk kata-kata, aku cakap TAK MACHO LAH MACAM TU! Aku tak percayakan kepada Cinta. Ada yang berpendapat bahawa cinta sejati akan berkekalan sampai bila-bila tetapi tak ada yang kekal di dalam dunia ini. Ketika aku kecil dulu, bapak aku selalu tanya aku jika aku sayang kepadanya. Apabila aku kata AMAT SAYANG PAPA! Dia terus akan mencium pipi ku. Dia berhenti bertanya soalan ini sebaik sahaja aku masuk ke sekolah rendah. Dia juga tidak lagi cium pipi ku sambil memberitahu bahawa PAPA JUGA SAYANGKAN AMAT, setiap kali aku memberitahunya bahawa aku menyayanginya. Tapi apa yang pasti, pada masa itu, aku fikir dia tetap sayangkan aku walaupun kata-kata ini tidak diluahkannya lagi. Seperti yang aku katakan tadi, tak ada yang kekal di dalam dunia ini termasuklah rasa cinta dan kasih sayang. Aku berhenti mempercayai ketulusan kasih apabila aku mula mengetahui siapa bapak aku itu sebenarnya. Jika dia benar-benar sayangkan aku dan keluarga aku, dia tak mungkin akan melakukan apa yang telah dilakukannya. Kerananya, aku mula berpendapat bahawa ucapan-ucapan sayang yang pernah diluahkan kepada ku selama ini hanya kata-kata kosong semata-mata yang langsung tidak memberikan sebarang makna kepada dirinya. Dan kepada diri ku. Kerananya, aku takut untuk meluahkan rasa kasih dan sayang kepada sesiapapun. Aku tak mahu mungkir janji. Kerana bagi ku, bapak aku telah memungkiri janjinya. Dia tidak jujur menyayangi ku. Mungkin dia tidak pernah jujur menyayangi sesiapapun termasuk dirinya sendiri. Aku tak percaya dengan kata-kata lafaz cinta yang tak membawa sebarang makna ni! Kata ku perlahan kepada Azri. TAHU TAKPER! Kata Azri sambil tersenyum kambing, lalu dia menambah lagi: Aku tahu kau tu playboy, Emmet! Bukannya aku tak tahu! It takes one to know one. Ujar ku di dalam hati. Azri berjalan meninggalkan ku sendirian. Aku memandang ke arah luar. Aku dapati Melati sedang duduk di atas sebuah bangku bersama Hamiza. Dia kemudian mendongak lalu mendapati aku sedang memandang dirinya dari jauh. Dia melambaikan tangannya ke arah ku. Aku tersenyum lalu membalas lambaiannya. Sebaik sahaja syif ku pada hari itu selesai, aku terus berjalan mendapatkan Melati dan Hamiza. Mereka bertanya kepada ku jika aku sudah makan malam. Aku memandang ke arah jam tangan. Baru pukul 6. Aku kata aku tak lapar lagi. Mereka pulak baru sahaja makan sebelum mereka bertolak ke sini. Aku bertanya ke Hamiza apa yang ingin mereka lakukan seterusnya. Hamiza kata mereka sebenarnya ingin ke Petaling Street. Buat apa? Tanya ku kepada Hamiza. Mel mahu pulang ke kampungnya pada hujung minggu ini, jadi dia ingin beli beg tangan untuk ibunya. Hamiza berkata sambil membuat isyarat tangan supaya Melati akan mengerti jawapan yang diberikan kepada ku. Awak nak balik kampung? Tanya ku kepada Melati dengan mengharapkan dia faham apa yang aku tanyakan kepadanya. Melati masih mengalami kesukaran untuk memahami ku. Dia masih mengalami kesukaran untuk membaca pergerakan bibir ku. Dia telah dilahirkan pekak. Dia tidak pernah mendengar sebarang bunyi seumur hidupnya. Sebab itulah dia sukar untuk membaca pergerakan bibir ku lalu memberikan sebarang makna kepada kata-kata ku kepadanya. Aku cuba bayangkan situasinya - dia tidak pernah mendengar muzik, suara, bunyi binatang dan kenderaan. Dia tidak dapat memahami terdapat pelbagai jenis bunyi yang wujud di sekelilingnya dan bagaimana pentingnya bunyi dalam kehidupan manusia. Tanpa suara tak akan ada bahasa. Tanpa muzik tak akan ada budaya. Tanpa bunyi dunia ini sunyi sepi. Melati mengangguk cepat setelah soalan ku tadi diterjemahkan Hamiza. Aku memandang ke arah Hamiza. Tanpa berkata-kata, aku faham bahawa dia bersetuju untuk menterjemahkan segala apa yang ingin ku katakan kepada Melati. Awak dah lama tak balik kampung ke? Tanyaku. [Lama juga... Dah dua bulan saya tak bertemu dengan ibu saya.] Sama lah kita... Awak rindu tak dengan mak awak? [Rindu!] Okay... Macam tu jom kita ke Petaling Street! Melati tersenyum sambil mengangguk. Kami tak mengganggu ke? Tanya Hamiza. Tidak. Jawabku pendek lalu mendekatkan diri ku kepada Melati. Suasana di dalam Mid Valley agak sibuk pada hari itu. Terlalu ramai manusia yang datang untuk membeli belah. Awal bulan, apa tidaknya. Aku sendiri baru sahaja dapat gaji ku yang pertama. Tak lah banyak mana tapi memadai. Kami telah ke Petaling Street dengan menaiki bas. Ramai yang bersesak-sesak-sesak di dalam bas sehingga lemas aku jadinya. Nasib baiklah perjalanan tak begitu jauh. Setibanya kami di Stesen Bas Klang, kami bertiga terus berjalan ke arah Petaling Street. Hari semakin gelap. Suasana di Petaling Street seperti biasa agak meriah. Ramai para pelancong dan orang tempatan yang datang berkunjung. Aku mahu berhenti melihat koleksi DVD cetak rompak yang terbaru, tapi aku dapati beberapa orang penjual DVD sedang sibuk mengemaskan koleksi DVD yang ingin mereka jual. Aku dengar seorang pengunjung yang mengatakan serbuan akan diadakan sebentar lagi. Aku dapati rupa Petaling Street tidak lagi seperti Petaling Street yang pernah aku kenali dahulu. Aku rasa aku suka versi Petaling Street yang lama walaupun masa tu pasar malam ini kelihatan kacau bilau, sempit, kotor dan panas. Bagi ku, faktor-faktor inilah yang menyebabkan Petaling Street ini istimewa. Sekarang Petaling Street ini rupanya seperti ia telah diklonkan kepada sesuatu yang nampak terlalu teratur, kaku dan plastik - seperti kebanyakan tempat-tempat di KL. Aku dengar kawasan Chow Kit pun akan dicantikkan tak lama lagi. Aku harap perkara ini tak akan berlaku. Aku tak mahu KL jadi macam Singapura apabila segala-galanya kelihatan palsu. Apabila aku dapati terlalu ramai manusia yang bersesak-sesak-sesak di sini, aku terus memegang tangan Melati. Dia membiarkan aku memegang tangannya. Aku lihat Hamiza tersenyum kelat. Mungkin dia tak suka agaknya, tapi apa aku peduli. Melati dan Hamiza rambang mata melihat barang-barang yang ada di jual di sini. Mereka akan berhenti di hampir setiap gerai yang ada di sini tanpa membeli apa-apa. Aku tak tahu apa sebenarnya yang mereka cari, tapi aku rasa perempuan memang begini ketika keluar membeli belah. Segala-galanya ingin mereka lihat dan belek. Melati kemudian menguis bahu ku. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Dia tertarik dengan sebuah tas wanita Louis Vuitton tiruan berwarna putih yang dicorakkan dengan lambang LV berwarna warni. Tas wanita tersebut tergantung bersama beberapa buah tas wanita dab beg wanita yang lain. Dia meminta aku mencapainya mungkin kerana tubuh ku tinggi. Aku mengambil tas wanita tersebut menyerahkan kepadanya. Si nyonya penjual beg tu nampaknya tersenyum melihat gelagat kami. Awak suka tak? Tanya ku kepada Melati dengan menggunakan isyarat tangan ditambah dengan mimik muka ku. Melati mengangguk cepat. Dia berkenan dengan apa yang dilihatnya. Dia menyerahkan beg tersebut kepada Hamiza agar Hamiza dapat melihatnya. Hamiza membuat beberapa isyarat tangan dengan mengatakan dia juga suka dengan rekaan tas wanita ini. Berapa ni harganya? Tanyaku kepada nyonya di hadapan ku. Tak mahal, 80 Ringgit sahaja. Jawabnya dengan bersahaja. Nyonya ini aku rasa sudah mencecah umur 50-an, tapi masih nampak bergaya. Eh, kenapa mahal sangat? Apa pulak mahal... Murah harganya ni! Beg ni kan tiruan, nak letak harga mahal-mahal buat apa? Okay lah, gua kasi kurang sikit... 70 ringgit. Mahal lah! Kata ku macam nak bertekak dengannya. Aku menoleh ke arah Melati. Dia sedang bertanyakan kepada Hamiza apa yang sedang berlaku di antara aku dengan nyonya di hadapan ku ini. Dah murah lah ni! Nyonya tekan saya dengan harga mat saleh, mana aci! Kalau mat saleh gua bagi dia harga 150 ringgit. Dia beli tau! Tapi saya bukan mat saleh, saya belajar lagi. Mana ada duit. Okay, bagi tahu gua berapa harga lu nak. 40 Ringgit. Haiyah! Macam ni gua tak untung tau! Alah, kos nak buat beg ni pun bukannya tinggi mana pun. Nyonya ini termenung memandang ku seolah-olah mahu menunggu ku untuk mengalah. Kemudian dia memandang ke arah Melati. Dia dapat baca dari wajah Melati bahawa Melati sudah bertekat untuk mendapatkan tas wanita yang dijualnya. Lu punya girlfriend dah suka, lu beli saja lah! Muka hensem macam lu pun nak lokek kah? Dia nak belikan untuk mak dia kat kampung. Kataku perlahan. Ye ke? Wah, pandai dia pilih pattern untuk mak dia. 40 Ringgit lah nyonya! Tak boleh lah. Nya... Kesian kan dia. Dia dah lama tak jumpa mak dia. Dia nak hadiahkan mak dia dengan beg ni. Kata ku dengan suara perlahan. Aku buat muka kesian. Dia pandang muka aku. Haiyah! Dia mengeluh sambil menggeleng. Kemudian dia menggunakan tangan untuk memberitahu ku dia akan menjual beg pilihan Melati dengan harga 50 Ringgit. Melati dan Hamiza sibuk berbincang tentang harga. Aku rasa mereka sudah bersetuju dengan harga yang ditawarkan. Lu punya girlfriend ni bisu kah? Ya. Oh. Wajahnya berubah. Dia sedang memikirkan sesuatu. Aku tak tahu apa. Apa yang pasti dia nampak simpati. Dia berjalan ke arah Melati. Dia beritahu Melati bahawa dia mempunyai wajah yang cantik. Katanya, sebelum ini dia ingatkan Melati adalah seorang pelakon remaja filem Melayu, setidak-tidaknya seorang model iklan. Melati hanya tersenyum walaupun dia tak tahu sepatah haram yang dikatakan kepadanya. Nyonya itu kemudian mengambil tas wanita yang sedang di belek Melati. Dia mengambil sekeping beg plastik lalu memasukkan tas wanita itu ke dalam beg plastik tersebut. Cincailah. 40 Ringgit. Katanya kepada ku dengan wajah berkerut. Dia menyerahkan plastik yang terkandung tas wanita yang mahu dihadiahkan Melati kepada ibunya itu kepada ku. Tanpa berfikir panjang aku terus mengeluarkan dompet wang ku. Aku menyerahkan wang RM50 kepada Nyonya yang asyik bertekak dengan ku tadi. Dia cepat-cepat mengeluarkan wang RM10 yang dikeluarkannya dari beg kecil di pinggangnya. Mel mahu mengeluarkan wang dari dalam dompetnya. Aku menahannya. Beritahu kepadanya saya ikhlas mahu belikan beg ini untuk ibunya. Kata ku kepada Hamiza. Melati nampak serba salah. Hamiza cuba memberitahunya sesuatu. Akhirnya Melati membalas lalu memandang ke arah ku. Dia nak belanja awak makan malam. Kata Hamiza. Eh, tak payahlah! [Apa pulak! Bagi saya peluang untuk belanja awak, ya?] Aku mengangguk. [Awak nak makan kat mana?] Mana-mana pun boleh... Apa kata kita makan kat McD Central Market? Tapi sebelum tu saya nak solat Maghrib dahulu. Boleh kan? Melati menganggukkan kepalanya. Aku menyerahkan plastik yang terkandung tas wanita untuk ibu Melati ke tangan Hamiza. Ingat orang ni amah Indon dia ke? Tempelak Hamiza sambil menjeling. Aku ketawa kecil. Aku terus memegang tangan Melati. Kami terus bergerak ke arah Central Market tanpa berhenti di mana-mana gerai lagi di situ. Kehidupan ini memang macam permainan The SIMS. Sesuatu yang dilakukan pasti ada tindak balasnya sama ada positif atau negatif. Dan aku pula telah melakukan sesuatu untuk menarik perhatian Melati agar dia merasakan dirinya semakin dekat kepada ku. Satu tindak balas positif. Apa yang aku lakukan tadi tidak pernah aku lakukan kepada awek-awek lain. Buat pertama kali sejak aku mengenali Melati, aku benar-benar mahu dia menyayangi ku. Tapi aku keliru. Dalam masa yang sama aku rindukan Hasnah. Lebih sebulan kami tak bersemuka. Kalau perkara ini berlaku dalam permainan The SIMS, pasti pasangan itu akan berpisah dan membuat hal masing-masing. Tetapi kehidupan ini bukan satu permainan... Oleh Nizam Zakaria
|