zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2003-10-07 - 1:51 p.m.

Satelit Ink - OAGSaya telah diperkenalkan kepada kumpulan OAG (kini dieja O@G) sejak di Amerika Syarikat lagi. Tatkala itu, seorang rakan telah meminta saya mendengar sebuah lagu Inggeris dendangan OAG (tak salah saya, lagu 'Spactic Youth') yang telah dihantarkan kepada saya melalui MP3. Saya cukup-cukup terpesona mendengarnya lagu yang telah diberikan kepada saya. Saya tidak menyangka sama-sekali bahawa lagu yang saya dengar tu ini datangnya dari anak-anak muda Malaysia yang jika diberikan peluang, boleh bersaing diperingkat antarabangsa dengan lagu-lagu yang mereka bawa.

OAG pada mulanya dicapkan sebagai sebuah kumpulan 'alternatif', walaupun saya tidak begitu faham mengapa mereka diletakkan ke dalam kategori ini.

OAG konsisten membawa lagu-lagu retro 60-an dengan kombinasi susunan muzik kontemporari. Bagi peminat-peminat muzik Indonesia, pasti akan menyamakan apa yang cuba dibawa oleh OAG dengan kumpulan Naif. Memang sukar untuk dinafikan bahawa persamaan ini ketara, lebih-lebih lagi apabila OAG mula membawakan lagu-lagu mereka dalam Bahasa Malaysia. Tetapi dengan iklas ingin saya nyatakan di sini, setelah mendengar album baru mereka, 'Satelit Ink' saya mulai yakin bahawa apa yang mereka persembahkan adalah jauh lebih baik dari kumpulan Naif (walaupun ada beberapa lagu dari kumpulan Naif yang cukup kuat dari segi liriknya).

Saya anggap album 'Opera Radhi-o-Friendly' sebuah album yang baik. Album ini begitu menghiburkan dengan lagu-lagu yang 'radio-friendly' yang dibawakan dalam Bahawa Malaysia, lantas memperkenalkan OAG kepada peminat-peminat muzik yang sebelum ini tidak begitu mengenali mereka. Lagu seperti 'Slumber' dan 'Biru' menjadi siulan anak-anak muda kita yang sudah muak mendengar lagu-lagu meleleh dendangan kumpulan gitar kapok yang sudah nampak 'poyo'. Jika anda minat dengan album 'Opera Radhi-o-Friendly', anda pasti akan lebih menyukai album terbaru dari mereka ini.

Lagu pertama yang diperkenalkan dari album ini sudah beberapa bulan berkumandang di radio; 'Akustatik'. Lagu ini cukup popular dan mengasyikkan. Tetapi bagi peminat-peminat setia OAG, mungkin lagu 'Nowwhy2' akan mereka anggap sebagai antara lagu yang terbaik yang pernah dicipta Radhi dari OAG.

Lagu 'Nowwhy2' agak keras iramanya, mengingatkan saya kepada rentak yang sering dibawa oleh kumpulan Smashing Pumpkins, terutamanya untuk album mereka; 'Mellon Collie And The Infinite Sadness'. Lirik lagu ini menampakkan kematangan dan yang lebih penting lagi, keikhlasan Radhi dalam membuat lagu. Saya suka lagu ini kerana susunan lagunya menarik.

Lagu kedua mereka, 'Konspirasi Bising International' juga sama. Tetapi lagu ini lebih bersifat ceria dalam melankolik liriknya. Seperti biasa, Radhi mempersembahkan lirik yang luar biasa yang tidak biasa kita dengar dari kumpulan-kumpulan muzik yang lain. Yang saya rasa bersifat puitis simbolik dekat kepada karya-karya Rimbaud.

Lagu kegemaran saya dalam ini adalah lagu ketiga dari album 'Satelit Ink' ini yang berjudul 'Venusia'. Aduh, lagu ini cukup istimewa kepada saya. Lagu ini mengasyikkan, lantas mampu membawa saya ke satu suasana indah dalam fikiran saya yang sudah lama tidak saya terokai. Lagu ini, dibuat dengan tradisi 'mellow' lagu-lagu 'The Beach Boys'. Lagu ini saya fikirkan sesuai untuk dibuat iklan. Lebih-lebih lagi untuk iklan-iklan seperti Celcom dan Astro yang kita lihat baru-baru ini. Untuk menikmati lagu ini, (seperti lagu-lagu lain dalam album ini) kita hanya perlu tutup mata dan membiarkan diri kita dibuai mimpi-mimpi di siang hari...

'Beautifool' adalah sebuah lagu Inggeris yang dibawa OAG dalam album dwi-bahasa ini. Lagu ini rancak, menarik dan bertenaga. 'Danish' dibuka dengan suana anak kecil yang menangis. Lagu ini juga mempunyai lirik yang dalam oleh Radhi. Sebuah lagu penuh bermakna dengan lirik yang ringkas di bawa dengan irama yang segar. Lagu 'Stereokumonomu' juga sebuah lagu yang senafas dengan 'Venusia'. Tetapi lagu ini lebih bersifat riang dan girang.

Lagu 'Angelik' adalah sebuah lagu rancak dengan irama gitar yang keras. Sekali lagi dalam lagu ini Radhi memakai ungkapan 'karisma', satu perkatan yang saya rasa menjadi kegemarannya. Lagu ini menonjolkan sama sekali tema utama album ini, mengenai angkasa lepas segala...

Saya tidak hairan jika lagu 'Akustatik' menjadi lagu kegemaran mereka yang mendengar lagu ini. Sememangnya lagu ini sedap didengar dengan lirik tentang perasaan rindu yang kita semua lalui tanpa perlu dibuat mendayu-dayu.

Lagu 'TV 60-an' pula adalah versi Bahasa Malaysia lagu Inggeris yang pernah dibawa mereka satu ketika dahulu. Track 10 dan 11 merupakan versi minus-one 'Nowwhy2' dan Venusia (track 11 hanya ada dalam versi CD).

Dalam album Satelit Ink, Radhi telah memberi peluang kepada anggota-anggota OAG yang lain seperti Alim dan Nazar untuk sama-sama berganding bahu membuat lirik untuk lagu-lagu dalam album mereka ini. Album ini telah diterbitkan oleh Paul Moss bersama Luke Mason dan Greg Henderson dari Synchrosound Studios.

Semua lagu-lagu yang ada dalam 'Satelit Ink' bagus. Sukar untuk saya mencari kelemahan yang ada, kerana album ini memang superb! Walaupun begitu, saya tidak berapa suka teknologi 'Copy Control' yang digunakan kerana komputer saya sering kali terpaksa di 'restart' apabila saya memainkan album ini terlalu lama...

Rating: 4/5

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!