|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-11-11 - 4:04 p.m.
Plot Ong-Bak agak tipis. Mungkin kerana filem ini lebih tertumpu kepada 'showcase' aksi-aksi yang ingin ditonjolkan oleh pengarahnya. Ong-bak menceritakan tentang seorang pemuda bernama Ting (Panom Yeerum) yang terpaksa keluar dari kampungnya, Nong Pradu untuk mencari semula kepala patung Buddha (patung tersebut bernama Ong-Bak) yang telah dicuri dari kampungnya itu. Apabila beliau tiba ke kota, beliau telah menemui George (Mum Jokmok), seorang kaki judi dan Muay (Pumwaree Yodkamol) seorang gadis comel bersuara nyaring yang saya kurang pasti mengapa watak ini diwujudkan, kecuali untuk menyakitkan hati penonton dengan rengekkan suaranya. Koreografi filem Ong Bak memang baik (malah saya anggap cemerlang). Sayangnya, suntingan serta arahan filem ini terlalu teruk. Jika kita ketepikan aspek ini dan tumpukan kepada koreografi, kita akan dapat melihat gerak langkah yang sebelum ini jarang-jarang dapat kita lihat. Dalam aksi lawan, pelakon utamanya, Panom Yeerum, banyak menggunakan pergerakkan Muai Thai. Aksi-aksi kejar-mengejar (juga aksi kejar mengejar dengan tuk-tuk) juga menarik dan menampakkan ketangkasannya. Memang menyeronokkan jika ditonton bahagian aksi dalam filem ini. Panom Yeerum saya lihat beraksi seperti Jackie Chan (baca: Jackie Chan wannabe). Memang aksi yang dilakukannya menarik dan sukar untuk dilakukan, tetapi sayang, tidak ada kepelbagaian dan kreativiti seperti mana yang ditonjolkan oleh Jackie Chan dan Bruce Lee. Seperkara lagi, lakonannya terlalu kaku. Suaranya halus dan lembut (walaupun Stallone or Schwarzenegger bersuara monotone, suara mereka tetap keras dan jantan). Sukar untuk saya fikir jika Panom Yeerum dapat pergi jauh ke persada antarabangsa dengan lakonannya, kerana beliau tak ada karisma… Lagipun, watak apa yang boleh diberikan kepadanya?
Satu perkara yang menyakitkan hati saya tatkala menonton filem 'Ong Bak', adalah pengarah filem Ong-Bak, Prachya Pinkaew suka sangat mengulang-ulang (dan ulang dan ulang…) bahagian aksinya berkali-kali (macam filem B-rated tahun 70-an). Jika teknik ini digunakan sekali dua tidak apa, tetapi berkali-kali sehingga menggusarkan kepala saya dan seringkali saya tertanya-tanya jika Prachya Pinkaew benar-benar tahu tentang filem. Yang lebih meloyakan, adalah 'pesanan' yang diletakkan oleh Prachya Pinkaew di dalam filemnya (dalam bentuk grafiti di hadapan sebuah kedai) kepada Steven Spielberg. Ternyata, kita dapat lihat di sini bahawa Prachya Pinkaew langsung tidak tahu tentang filem. Perlu saya nyatakan di sini bahawa, genre aksi seperti yang dibikinnya bukan satu genre yang sealiran dengan Spielberg, tetapi lebih menjurus kepada filem-filem yang diarahkan oleh Jan De Bont, Michael Bay dan James Cameron. Filem ini terlalu banyak kelemahannya. Terlalu banyak stereotype dan klise sehingga mengaburi bahagian-bahagian yang sememangnya terdapat adegan-adegan yang menarik (lebih menarik lagi jika suntingan, arahan, skor muzik diselaraskan dengan betul). Filem ini saya rasa boleh diletakkan di dalam kelasnya sendiri. Maksud saya, ia pasti akan dianggap sebuah filem 'cult' oleh sesetengah penonton yang meminati filem aksi seperti ini. Rating: 3/5 Oleh Nizam Zakaria
|