|
Zire 71 Photo of the day!
|
2003-11-07 - 12:22 p.m.
Filem ini bermula seperti biasa dengan montaj kod Matrix, (disulami dengan corak 'fractal') yang menurut saya, agak cantik jika diperhatikan betul-betul. Kemudian kita diingatkan tentang keadaan Neo (Keanu Reeves) yang berada dalam keadaan koma. Neo, kemudian akan dapati sedang berada dalam sebuah dunia di antara dunia mesin dan dunia Matrix (tak tahu pula bagaimana perkara ini boleh berlaku). Neo terperangkap di Mobile Ave.; (jika disusun semula perkataan 'mobile' akan menjadi 'limbo') sebuah stesen kereta api bawah tanah. Untuk kembali ke dunia Matrix, Neo perlu menaiki sebuah kereta api khas yang dikendalikan oleh Trainman (Bruce Spence). Walau bagaimanapun, Trainman ini bekerja untuk Merovingian (Lambert Wilson) yang menjadi petualang kepada Neo. Adegan dalam stesen Mobile Ave. ini mengingatkan saya kepada filem sci-fi Stanley Kubrick ('2001, A Space Odyssey') yang diatur dengan set yang nampak 'sterile' dan tata cahaya yang terang (kemudian keseluruhan bahagian filem ini akan nampak gelap dan 'grimy'). Malah, perbualan Neo dengan keluarga berbangsa India (mereka adalah program) juga seakan-akan sama dengan 'style' arahan Kubrick. Dan seperti Kubrick, perhatikan bagaimana Wachowski Brothers suka mengambil pelakon-pelakon dari pelbagai lapisan bangsa. Untuk menyelamatkan Neo, maka Morpheus (Laurence Fishburne) bersama Trinity (Carrie-Anne Moss) dengan pertolongan Seraph (Colin Chou) pergi berjumpa sendiri dengan Merovingian di sebuah kelab malam S&M untuk memintanya agar Neo dapat dibebaskan keluar dari Mobile Ave. Maka dalam adegan inilah kita dapat melihat aksi-aksi koreografi Yuen Wo Ping. Bahagian ini terdapat sedikit inovasi dari Wo Ping, tetapi terasa sedikit basi setelah kita sudah terbiasa sangat dengan adegan seperti ini (perhatikan bagaimana adegan dalam kelab S&M nampak seperti filem aksi klasik dari Hong Kong). Sayang sekali watak Merovingian dan Persephone (Monica Belucci) tidak digunakan dengan sebaiknya. Persephone hanya meluahkan satu ayat dalam filem ini, sedangkan wataknya (seperti watak Boba Fett) saya pasti akan terus diingati sampai bila-bila sebagai satu watak berstatus 'cult' dengan pengikutnya tersendiri. Pada filem Reloaded, penonton akan tertanya-tanya di mana perginya watak kesayangan mereka, Tank yang tiba-tiba sahaja hilang (pelakonnya, Marcus Chong tidak diambil semula berlakon kerana perselisihan faham dengan Wachowski Brothers). Dalam 'Revolutions' pula, watak The Oracle diambil oleh Mary Alice (setelah pelakon asalnya, Gloria Foster meninggal dunia). Perhatikan alasan yang diberikan oleh 'The Oracle' mengapa wajahnya bertukar. Agak mengelirukan. Tetapi, jika difikirkan, apa yang tidak mengelirukan dalam filem ini? Filem ini penuh dengan adegan-adegan aksi yang menarik. Perhatikan adegan aksi dalam Dock Station dalam kota Zion. Adegan ini pasti akan membuatkan penonton yang meminati filem-filem aksi rasa teruja. Kemudian, diadakan pula adegan lawan ala Superman (atau mungkin ala adegan lawan dalam siri anime Dragon Ball Z?) di antara Neo dengan Agent Smith (Hugo Weaving). Tapi entah mengapa, saya rasa adegan ini terlalu meleret walaupun menarik untuk ditonton. Wachowski Brothers memang ahli dari segi arahan adegan-adegan aksi - satu perkara yang sukar untuk dipersoalkan. Tetapi dari segi arahan watak dan dialog, mereka gagal. Lakonan-lakonan watak dalam filem ini kaku, ditambah lagi dengan dialog yang mungkin lebih sesuai digunakan dalam persembahan teater. Perkara ini membuatkan kita rasa sukar untuk mendalami watak yang ada. Sebagai contoh, sukar untuk saya mempercayai bahawa Neo dan Trinity adalah pasangan yang sedang bercinta. Dan tatkala Neo mengucapkan selamat jalan kepada Trinity sebelum memasuki dunia mesin, dialognya mampu membuatkan sebilangan penonton ketawa... Nasib baik jugalah 'Revolutions' tidak terkandung bebelan falsafah seperti mana yang terkandung dalam 'Reloaded', jika tidak filem ini pasti membosankan. Wachowski Brothers perlu tumpukan perhatian mereka kepada adegan aksi dan itu sahaja, kerana mereka lebih ahli dalam hal ini. Tak perlu lah untuk membuat kepala penonton sarat dengan idea-idea falsafah yang berat. Cukuplah sekadar kita tahu bahawa terdapat golongan mesin yang menjadikan manusia sebagai bateri dan mereka semua hidup dalam alam Matrix (dan sebilangannya di Kota Zion). Persoalan-persoalan yang berat seperti idea falsafah Baudrillard sebagai contoh, hanya akan mengelirukan penonton. Filem 'Revolutions' adalah sebuah filem yang cantik untuk ditonton. Efek tatavisual oleh John Gaeta sukar untuk ditandingi oleh filem-filem yang telah dibuat sebelum ini. Di tambah pula dengan susunan muzik oleh Don Davis yang saya anggap antara yang terbaik di antara filem-filem aksi yang telah diterbitkan sejak kebelakangan ini. Filem Matrix Revolutions ini walaupun menarik untuk ditonton, tetap ada sesuatu di dalamnya yang mungkin tak cukup perencahnya. Pada bahagian akhir, ada dibayangkan bahawa kemungkinan, filem ini masih ada sambungannya kerana 'ending'nya sedikit tergantung (jangan cakap tak ada, di Hollywood. Siri 'Indiana Jones' yang dikatakan akan berakhir dengan 'The Last Crusade', kini akan ada sambungannya lagi). Jadi bagi kita yang penyabar, mungkin boleh menunggu. Jika tidak boleh terima dengan seadanya persembahan dari Wachowski Brothers kali ini, anggaplah filem ini sekadar hiburan semata-mata, jika tidak, kita akan rasa sedikit kecewa. Bagi saya, filem ini mungkin tidak 'perfect', tetapi tetap menggegarkan. Rating: 3/5 Oleh Nizam Zakaria
|