|
Zire 71 Photo of the day!
|
2004-11-18 - 8:44 a.m. Seri Tertangguh: Bab 38
Kahar: Permintaan Tan Sri Kamal Cuaca petang yang panas dan berangin itu sungguh-sungguh menyamankan. Fendi berenang di dalam kolam renang semahu-mahunya. Dia merasa begitu bebas tatkala berenang begitu. Ketika terapung di dalam air, dia tidak merasa dirinya rendah, malah dia merasa dirinya sama tinggi dengan Zek. Kalau boleh dia mahu begini selamanya. Zek dan Fendi sedang menghayati suasana indah petang di kolam renang kondominium Desa Kudalari. Sekali-sekala mereka akan berpaling ke arah Kahar yang sedang duduk di bawah lindungan sebuah payung yang besar sambil menulis di dalam buku notanya. Mereka memerhatikan, Kahar banyak mengambil masanya termenung dari tunduk menulis. Kahar kala dia akan bercakap seorang diri lalu menulis beberapa patah perkataan pendek ke dalam buku notanya itu. Zek mengambil keputusan untuk berhenti dari terus berenang dan bermain di dalam kolam bersama Fendi. Dia keluar dari kolam renang lalu berjalan ke arah Kahar. Tubuhnya basah lencun. Tanpa memandang ke arah Zek, Kahar mencapai sehelai tuala di dalam sebuah beg plastik di sisinya, lalu diserahkan kepada Zek. Zek cepat-cepat mencapai tuala itu lalu mengelap tubuhnya. Angin yang bertiup manja membuat tubuhnya yang terdedah itu terasa sejuk. Dia menggigil seketika. "Kau tengah buat apa tu?" tanya Zek. Sejam tadi jenuh dia memujuk Kahar agar berenang bersamanya dan Fendi di kolam renang. Tapi Kahar jenuh menolak. Kahar memang tak suka berenang, malah dia tak tahu berenang. Menghabiskan masa di dalam kolam renang bukan salah satu kegemarannya. Tetapi dia tidak keberatan untuk menemani Fendi dan Zek di kolam renang. "Menulis." Jawab Kahar pendek. Dia mengeluarkan bekalan air sejuk di dalam botol air yang dibawanya lalu dituangkan ke dalam sebiji cawan plastik sebelum diserahkan kepada Zek. "Kau nak sambung semula cerita yang kau tulis dahulu? Apa namanya tu... Ranjang Empat?" "Ya." "Baguslah macam tu." Zek tersenyum puas. Dia cukup sedar sejak Kavita muncul kembali di dalam hidup Kahar, kehidupan Kahar nampaknya kembali seperti sedia kala. Kahar tidak lagi menghabiskan masanya termenung kosong di dalam biliknya di hujung minggu, bekerja sehingga lewat malam di pejabatnya di hari-hari biasa serta mengasingkan dirinya dari kawan-kawannya. Kini keadaan Kahar semakin ceria. "Kali ini, cerita apa pula kau tulis?" "Tajuknya, Cinta Tudung Labuh. Cerita kedua dari siri Ranjang Empat." "Cerita ini mengenai apa?" tanya Zek dengan penuh minat. "Kisah ini mengenai seorang gadis bertudung labuh..." "Okay... This is interesting-" "Gadis bertudung labuh ini tidak faham mengapa dia dipandang serong semata-mata kerana dia menganggotai sebuah kumpulan muzik rock... Kerana gadis sepertinya difikirkan harus lebih cenderung meminati lagu-lagu nasyid dan bukan lagu-lagu rock. Dan dia juga tidak faham mengapa ramai orang yang rapat dengannya yang mempersoalkan dirinya kerana mempunyai seorang kekasih mat rock. Pendek kata, dia sedar akan persepsi masyarakat yang prejudis terhadap dirinya semata-mata kerana dia memilih untuk memakai tudung labuh. Di dalam masa yang sama, dia juga sedar persepsi masyarakat yang juga prejudis terhadap wanita yang memilih untuk berpakaian seksi. " Zek menongkat dagunya ketika dia mendengar penjelasan dari Kahar. Dia mula dapat merasakan Kahar mungkin mendapat ilhamnya untuk menulis dari melihat kehidupan yang dialami oleh Seri. "Dia merasakan begitu kerana itulah yang telah ditetapkan oleh pandangan masyarakat yang tertutup mindanya. Gadis yang bertudung sepertinya tidak bebas melakukan perkara-perkara yang dapat dilakukan oleh gadis-gadis yang memilih untuk tidak bertudung. Menurutnya, bertudung bukan bermakna seseorang wanita itu langsung dijerat kebebasannya. Dia tidak setuju dengan keadaan di mana wanita bertudung labuh sepertinya sukar untuk mendapatkan kerja-kerja seperti Perhubungan Awam dan Eksekutif Akaun agensi pengiklanan. Dia sukar untuk menerima hakikat bahawa terdapat sesetengah pekerjaan yang memerlukan wanita kelihatan cantik dan seksi, maka menguatkan lagi teori Naomi Wolf tentang Mitos Kecantikan bahawa kecantikan wanita sebenarnya adalah konstruksi patriarki lelaki dan kapitalisme. "Dia juga tidak bersependapat dengan kaum lelaki yang memaksa kaum wanita bertudung. Kaum lelaki yang bersifat misoginis berfikir bahawa wanita seharusnya berpakaian mengikut apa yang ditentukan mereka. Segelintir dari lelaki-lelaki seperti ini sering berpendapat wanita menjadi mangsa rogol kerana mereka berpakaian yang mendedahkan... Sedangkan mereka tidak pernah menyalahkan kaum lelaki yang tidak tahu mengawal nafsu sendiri. "Dari mengajar kaum lelaki agar tahu mengawal nafsu serakah, mereka meminta dan memaksa kaum wanita agar bertudung... Tapi kita semua tahu, wanita bertudung juga menjadi mangsa keganasan seks lelaki-lelaki yang tidak tahu mengawal nafsu. Jadi sampai bila kita mahu 'blame the victim' atau menyalahkan mangsa? "Si gadis bertudung ini akan bermonolog... Dia akan memberitahu penonton bahawa dia bertudung di atas pilihannya sendiri. Di dalam masa yang sama, dia menghormati mereka yang memilih untuk tidak bertudung. Wanita, katanya seharusnya diberikan kebebasan untuk memilih cara hidup mereka sendiri atau cara mereka berpakaian tanpa perlu rasa diri mereka tertekan kerana harus mengikut kehendak masyarakat terutamanya lelaki. Jika mereka mahu bertudung sekalipun, itu juga hak mereka, maka mereka tidak seharusnya disekat kebebasan mereka ini - bertudung atau sebaliknya. "Apa lagi cerita yang akan kau tulis untuk melengkapkan siri Ranjang Empat ini?" Tanya Zek. Dia sendiri mula merasakan dia harus membiasakan dirinya ditanya dengan soalan yang bertubi-tubi seperti ini. Pada awal bulan hadapan, dia terpaksa berhadapan dengan wartawan hiburan dari seluruh dunia di dalam 'press junket' filem sains fiksyen yang dilakonkannya di Los Angeles nanti. "Kisah ketiga bertajuk Koma... Cerita mengenai ibu yang menceritakan kepada anaknya yang sedang koma mengenai rahsia kehidupannya yang lalu dan cerita keempat pula bertajuk Musuh Dalam Selimut. Sebuah cerita mengenai seorang isteri yang menjadi mangsa keganasan seks suaminya sendiri, tetapi tidak mempunyai tempat untuk mengadu." "Jadi... Kisah Ranjang Empat yang kau tulis ini menyentuh isu-isu wanita?" "Ya... Wanita dan emansipasi wanita." "Bagus tu..." Zek bangga mendengar penjelasan Kahar. Tidak kisahlah apa yang hendak ditulis oleh Kahar, fikirnya. Yang penting, Kahar kembali menulis. Pada ketika mereka sedang sibuk berbual, Aishah datang mendapatkan Kahar. Wajahnya tampak keruh. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya pada waktu itu. "Kenapa bu?" tanya Kahar kehairanan. Dia jarang melihat ibunya keresahan begini. Dia meletakkan buku nota dan pennya ke tepi. "Tadi... Datuk telefon ibu." Jelas Aishah akhirnya. Bapanya itu sudah lama tidak berhubungan dengannya. Sekarang entah mengapa, tiba-tiba sahaja bapanya itu ingin bercakap dengannya melalui telefon. "Apa yang dia cakap dengan ibu?" "Dia nak ibu dan Kahar berjumpa dengannya." "Bila?" "Sekarang..." "Tapi kenapa?" "Entahlah." "Ibu nak berjumpa dengannya?" tanya Kahar meminta kepastian. Aishah memandang ke arah Kahar dengan satu pandangan yang kosong. Kemudian dia mengangguk lemah. Kahar berdiri. Dia berpaling ke arah Zek dan Fendi. Dia dapat melihat Fendi sedang melambaikan tangannya ke arahnya. Kahar berjalan perlahan di samping ibunya ke arah apartmen mereka. Kahar berjalan diam. Dia tidak pasti jika ibunya telah mengetahui bahawa sebelum ini dia telah terserempak dengan datuknya itu... * Kereta Volvo kepunyaan Aishah yang dipandu Kahar diletakkan di hadapan sebuah rumah banglo di Tepian Tunku yang terletak di Bukit Tunku. Kahar mematikan enjin kereta. Dia keluar dari dalam perut kereta sambil menarik nafasnya. Sudah lama dia tidak ke sini, fikirnya. Sejak neneknya meninggal dunia, dia tidak pernah ke sini lagi. Begitu juga ibunya. Ibunya menekan butang loceng di hadapan rumah. Beberapa detik kemudian muncul seorang pengawal keselamatan yang bertubuh tegap yang datang untuk membuka pintu pagar. Dia tak banyak bercakap. Dia terus menjemput Kahar dan Aishah untuk masuk ke dalam rumah. Aishah menemui bapanya di dalam sebuah taman kecil yang terletak di sebelah banglonya. Dia dapat melihat Tan Sri Kamal sedang memotong dahan sebatang pokok orkid peliharaannya. Wajahnya tekun ketika memotong dahan pohon orkidnya itu. "Kahar tunggu di sini, ya?" pinta Aishah kepada Kahar. Kahar mengangguk. Dia duduk di sebuah sofa rotan yang terdapat di bahagian veranda rumah datuknya itu. Dia duduk sambil memegang erat tubuhnya. Dari jauh Kahar dapat melihat ibunya berbual dengan datuknya. Beberapa kali dia dapat melihat ibunya tertunduk sebelum dia bercakap dengan datuknya itu. Ibunya mengangguk kepalanya berkali-kali seolah bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh datuknya. Setelah ibunya selesai berbual, Kahar dapat melihat ibunya mendakap tubuh tua datuknya dengan agak lama. Ibunya mengesat air matanya sebelum dia menoleh ke arah Kahar. Aishah melambaikan tangannya untuk memanggil Kahar agar datang ke arahnya. Kahar berdiri dari keadaan duduknya lalu dia berjalan ke arah Aishah dan Tan Sri Kamal. Dengan satu nafas, Aishah memberitahu kepada Kahar tentang apa yang dibincangkannya dengan Tan Sri Kamal tadi. Kahar tidak berani berpaling ke arah datuknya. Dia sekadar memandang ke arah bunga orkid Laelia tenebrosa yang terjuntai di hadapannya. Kahar tahu segalanya berada di tangannya sekarang. Dia harus memberi keputusan untuk menerima atau menolak permintaan datuknya itu. "Sebenarnya, dah lama saya fikirkan tentang itu semua, tok..." Kahar bersuara dengan tertunduk. Aishah memandang ke arah Kahar sambil tersenyum puas. "Tapi saya nak bincang dengan lebih lanjut dengan emak dan ibu saya nanti sebelum saya membuat apa-apa keputusan lanjut." Tan Sri Kamal mengangguk perlahan. Dia menghormati permintaan cucunya itu. Satu-satunya cucu yang ada di dalam hidupnya. Kahar memandang ke arah ibunya. Dia dapat melihat ketenangan di dalam wajah ibunya. Mungkin fikiran ibunya itu tenang setelah dia dapat berbaik semula dengan bapanya. Seri: Kejutan konsert terakhir Aku kasihan melihat Malik. Dia kesedihan pada hari itu setelah dia dinasihati oleh penerbit agar 'mengeraskan' dirinya sedikit. Imejnya sebagai seorang Lelaki Lembut sedikit sebanyak merisaukan penerbit yang mengatakan terdapat beberapa tulisan-tulisan yang tidak begitu menyenangkan di dalam Internet mengenai dirinya. "Aku dah macam ni, nak buat macam mana lagi?" keluh Malik kepadaku sebaik sahaja kami selesai mengadakan latihan vokal dan setelah jurukamera pergi berehat buat sementara waktu sebelum menyambung kembali rakaman latihan vokal. "Alah kau risau sangat buat apa?" tanyaku kembali. "Apa kau peduli dengan cakap-cakap kosong orang lain?" "Entahlah... Aku ni lembut sangat ke?" "Ya!" jawabku dengan jujur, walaupun aku rasa dia mahu aku berkata tidak agar dapat menyedapkan hatinya. "Tapi kalau kau dah semula jadi macam ni, kau nak buat apa lagi?" "Kau rasa aku boleh berubah?" "Kau nak berubah buat apa? Untuk siapa? Ego siapa yang kau nak puaskan?" Aku bertanya bertubi-tubi dalam suara hampir berbisik. Aku tidak mahu sesiapapun mendengar perbualan kami. Lebih-lebih lagi seorang wartawan hiburan yang datang untuk menemu ramah kami tengah hari itu. Wartawan itu nampaknya sedang sibuk menemu ramah Rizal sambil menyuruh jurukameranya mengambil gambar Rizal yang popular di kalangan penonton wanita. "Entahlah Seri. Otak aku ni buntu." "Just be yourself, lah!" "Tapi bagaimana aku nak jujur dengan diri aku kalau masyarakat tak terima aku seadanya." "Kadangkala kita perlu sedar... Bukan semuanya tentang masyarakat kita ni yang betul. Ada juga yang tak betulnya." Aku memberitahunya sesuatu yang aku sendiri ketahui dari apa yang pernah disebutkan oleh Mr. K kepadaku satu ketika dahulu. "Tapi sampai bila aku nak macam ini?" "Sampai bila kau nak berlakon sesuatu yang bukan diri kau?" aku bertanya kembali. "Tapi kalau aku mahu jadi artis... Kau rasa aku patut buat ini semua?" "Tidak." Jawabku pendek. "Just be yourself. Bersyukur dengan apa yang kau ada. And never let other people say otherwise." Malik mengeluh. Dia melentikkan tangannya di hadapanku. Aku tersenyum meleret. Mungkin dia tidak sedar ramai di luar sana yang mahu kami berkasih-kasih sedangkan hubungan kami hanyalah sekadar kawan baik. "So... Final nanti macam mana? Kau tak nervous ke?" tanya Malik kepadaku sambil mengibaskan rambutnya yang panjang yang telah diluruskannya itu. "Nervous jugak..." "Kau kena nyanyi lagu Laila Majnun, lagu hits mak kau. Kelas kan?" "Biasa jer. I will try my best." Itulah jawapan standard yang dapat aku berikan kepadanya. "Aku dengar akan ada kejutan khas untuk kau pada malam konsert akhir nanti." "Kejutan apa pulak ni?" "Entahlah... Semua peserta dah ada kejutan masing-masing. Minggu lepas aku menyanyi diiringi oleh penari-penari Yayasan Pahang. Minggu ni pula pasti giliran kau pula kan?" "Kita tunggu dan lihat sahaja..." kataku perlahan tanpa mahu berfikir panjang. Aku tidak mengharapkan kemenangan. Malah, aku tidak mengharapkan apa-apa lagi kecuali peluang untuk kembali ke dalam kehidupanku seperti dahulu... Oleh Nizam Zakaria
|