zire 71 photo
Zire 71 Photo of the day!


Dresanala II: Baladewa-x

 

Get your own
 diary at DiaryLand.com! contact me older entries newest entry

2004-11-22 - 2:01 p.m.

Seri Tertangguh: Bab 40

Seri Tertangguh

Kahar: Cincin di jari manisnya

Kahar termenung jauh memandang ke arah beberapa orang yang sedang lalu lalang di hadapannya. Pada waktu itu, dia sedang duduk di hadapan Kavita di Delifrance, Sogo. Seorang pelayan wanita tersenyum ke arahnya sambil mengelap meja di hadapannya. Kahar berpaling ke arah lain.

Kavita memandang ke dalam wajah muram Kahar. Dia tahu pasti ada yang tidak kena yang menganggu diri Kahar. Kavita cukup mengenali Kahar untuk mengetahui bahawa Kahar mempunyai sesuatu yang ingin diberitahunya tetapi tidak mampu diluahkan sehingga kini.

"Terima kasih sebab belikan I minyak wangi Ralph Lauren Blue... And the blue dress you bought for me is just fantastic!" kata Kavita sambil memandang ke arah beg kertas yang terkandung hadiah yang dibelikan Kahar tadi.

"You've earned it!" sambut Kahar yang memberi hadiah tersebut kepada Kavita untuk mengucapkan tahniah kepadanya kerana kumpulan Limau Nipis baru sahaja ditawarkan untuk merakamkan sebuah album. "Lagipun saya baru jer dapat gaji."

"Well, everything are blue today... Including you. So... What's been bothering you?" tanya Kavita sambil menongkat dagunya.

"Mmm... Saya sebenarnya nak jumpa awak sebab saya nak beritahu awak sesuatu." Kahar menolak apple turnovernya ke tepi.

Kavita menggigit bibirnya. Dia pasti apa yang mahu dikatakan oleh Kahar itu penting.

"I'm all ears..." Kavita memegang dua belah tangannya yang dirasakannya semakin sejuk.

"Baru-baru ini saya dan ibu saya pergi menemui datuk saya..."

"The same grandfather that has a problem talking to your mom?"

"Yes... But apparently not anymore."

"That's good to hear."

"Mereka dan berbaik..." Kahar menjelaskan sambil cuba mengukir senyuman. Kemudian dia diam seketika.

"Jadi apa yang awak nak beritahu saya tadi?"

"Oh... Datuk saya-"

"Kenapa dengan datuk awak?"

"Dia mahu saya meneruskan pelajaran saya..."

"That's great!" wajah Kavita bersinar-sinar. "Di mana?"

"Di tempat di mana dia pernah belajar dahulu..."

"Cambridge?" Kavita cuba memastikan sesuatu yang pernah diberitahu Kahar kepadanya dahulu.

"Ya..."

"Oh," wajah Kavita tiba-tiba berubah. "Di dalam jurusan apa? Matematik?"

"Ya... Atau mungkin jurusan perundangan. Datuk saya mahu saya menjadi seorang peguam. Kalau boleh dia mahu saya mengambil alih firma guamannya satu hari nanti. Itu salah satu dari permintaannya."

"Apa lagi permintaannya?"

"Dia mahu saya melakukan umrah bersamanya... dan selepas itu kami akan meneruskan perjalanan kami ke UK. Datuk saya mahu menghabiskan masanya bersama saya di UK. Dia mahu saya menulis kisah hidupnya... Jadi saya akan menghabiskan banyak masa saya di UK nanti."

"You mean... You'll be leaving us for good?" tanya Kavita teragak-agak.

"Tidak... Tapi mungkin seketika. Saya perlu menghabiskan masa bersamanya untuk menyiapkan biografinya. Kemudian saya akan meneruskan pelajaran saya di sana."

"Okay..." Kavita meraba-raba lengannya sendiri.

"Sebenarnya dah lama saya berfikir tentang hal ini. Untuk sambung belajar... Malah saya dah lama hantar permohonan untuk belajar di Cambridge." Kahar mengeluarkan sekeping surat dari kocek seluar kargonya. Dia menyerahkan surat tersebut kepada Kavita. Dengan berhati-hati Kavita membuka surat tersebut untuk membaca isinya.

"Tahniah! Pembroke College... Is this your first choice?"

"Ya. Datuk saya dari Pembroke. Sebab itulah saya pilih Pembroke."

"How long will you be gone?"

"Entahlah... Mungkin lama juga. Tapi saya berjanji akan kembali pada musim cuti nanti." Kahar memberitahu. Kavita jelas nampak sedih. Dia cuba mencerna segala apa yang diberitahu Kahar kepadanya tadi. Dia mula sedar dia akan kehilangan Kahar sekali lagi.

"Saya ada satu soalan..." Tanya Kavita.

"Apa dia, Kavita?"

"Awak sayang saya?"

"Ya... Saya sayang awak. Percayalah!" suara Kahar penuh kesungguhan.

"That's all I need to know." Sambut Kavita perlahan.

Kahar mengeluarkan sebuah kotak kecil dari dalam seluar kargonya. Dia menyerahkan kotak tersebut kepada Kavita.

"You are full of surprises today!" Kavita tersenyum sambil mencapai kotak berwarna hijau muda dari tangan Kahar. Kemudian dia membuka kotak dengan tulisan Tiffany & Co di atasnya itu untuk melihat isinya. Kavita terkejut. Dia menutup mulutnya.

"Ini hadiah ikhlas dari saya sebagai tanda bahawa saya akan setia kepada awak sampai bila-bila."

"Tapi saya tak ada apa-apa yang dapat saya berikan kepada awak!" manik-manik jernih mula terbit di dalam kelopak mata Kavita ketika Kahar menyarungkan cincin tersebut di jari manisnya.

Kahar menyapu air mata Kavita. Terukir senyuman di wajahnya. Kata Kahar kemudian:

"Percayalah, Kavita... Awak tak perlu berikan apa-apa kepada saya. Senyuman awak sahaja sudah cukup membuatkan saya gembira."

"What took you so long?" tanya Kavita sambil memegang tangan Kahar dengan erat.
"Huh?"

"To tell me about all this..."

"Saya menunggu masa yang sesuai-"

"You're afraid I can't take it... Bukan begitu?"

Kahar mengangguk sekali sambil tersenyum lega. Sememangnya dia berfikir Kavita akan kesedihan malah tidak dapat menerima hakikat dia akan menghilang buat satu jangka masa yang lama.

"You know I would do anything to make you happy-"

"Awak sanggup tunggu saya sehingga saya selesai belajar nanti?"

"Of course I do, sayang!" Kavita tersenyum dengan kepalanya terlentok ke tepi. Kahar merasa cukup gembira pada saat itu. Terus dia menceritakan kepada Kavita tentang perkara-perkara yang ingin dilakukannya sebelum dia pergi menunaikan umrah bersama datuknya nanti, seperti menyiapkan skrip Ranjang Empat dan menelaah beberapa buah diari lama kepunyaan datuknya yang perlu dibacanya sebelum dia boleh memulakan projeknya untuk menulis cerita mengenai datuknya itu.

"I wonder, though," bisik Kavita. "How do your grandfather look like?"

"Macam saya... Cuma tua sedikit." Jawab Kahar sambil menghirup air kopinya. Dia merenung ke dalam mata Kavita. Mungkin betul kata hatinya. Mungkin dia boleh melihat pelangi di dalam mata Kavita yang terus membuatnya mahu mengucapkan rasa sayang kepadanya...

Seri: Mama tidak perlu berahsia lagi...

Aku dan abang sedang memandang ke arah abang Rahmat. Aku terkedu seketika. Sememangnya wajah abang Rahmat iras-iras mama...

Sebelum aku menyambung cerita mengenai pengalamanku berjumpa dengan abang Rahmat, aku rasa aku harus menceritakan tentang apa yang telah berlaku sehingga menyebabkan aku dan abang akhirnya dapat berjumpa dengan abang Rahmat...

Dua hari sebelum abang kembali ke UK, abang mengetuk pintu bilikku. Katanya, dia mahu bercakap denganku. Dia mengunci pintu bilik. Lalu dia berkata dengan perlahan:

"Tadi abang pergi berjumpa dengan abang Rahmat. Mr. K yang bawa abang berjumpa-"

"Apa?" tanyaku kembali tidak percaya.

"Ya...Tadi. Di kedai keknya."

"Kenapa tak bawa Seri sekali?" tanyaku lagi meminta penjelasan. Aku mencekak pinggang.

"Pagi tadi abang pergi berjumpa abang Zek di apartmentnya. Kebetulan Mr. K ada di sana. Tiba-tiba entah mengapa tergerak hati abang minta dia bawa abang berjumpa dengan abang Rahmat. Jadi begitulah ceritanya."

"Lama abang berjumpa dengannya?"

"Dengan abang Rahmat?"

"Ye lah, siapa lagi!"

"Sejam lebih kot." Jawab abang dengan perlahan.

"Jadi... Apa yang abang bualkan dengan dia."

"Tak ada apa-apa... Dia cuma tak selesa berjumpa dengan abang. Katanya, dia dah berjanji dengan mama untuk tidak cuba menghubungi kita."

"Mama minta dia buat begitu?"

"Ya." Jawab abang sambil mengeluh.

"Bang... Seri rasa dah sampai masanya kita berdepan dengan mama tentang hal ini."

"Tak tahu lah Seri... Abang takut."

"Takut apa ni bang? Abang takut mama histeria ke nanti?"

"Macam tu lah kot..." Aku fikirkan abang berjenaka, tapi mungkin tidak, kerana wajahnya jelas serius.

"Mama kita tak macam tu lah, bang. Dia cekal orangnya!"

"Jadi kenapa dia perlu rahsiakan hal ini dari kita selama ini?"

"Dia ada sebabnya tersendiri..." Kataku sambil berpaling kepada trofi Bintang Asli yang aku letakkan di atas meja di sebelah katilku. "Apa kata kita tanya dia sendiri!"

"Bila?"

"Sekarang!"

"Jangan mengarut lah Seri!"

"Why not!" aku bergegas keluar dari bilikku. Aku tak tahu mengapa aku bersikap begini. Mungkin aku marah dengan abang kerana tidak membawaku berjumpa dengan abang Rahmat atau mungkin aku marah dengan mama. Entahlah.

Abang tidak sempat untuk menghalangku. Aku memanggil mama. Suaraku berdengung memenuhi ruang rumah. Aku tahu dia sedang berada di bawah untuk membantu menyediakan makan malam bersama Kak Erni di dapur. Abang bergegas mendapatkanku lantas cuba menutup mulutku.

"Ya, Seri..." Jawab mama ketika menemui kami. Mama menggelengkan kepalanya apabila melihat gelagat kami berdua. "Korang berdua kan dah besar! Kenapa masih main macam budak kecik ni?" tegur mama apabila dia melihat abang cuba menutup mulutku tadi. Aku tersenyum. Abang pula tersengih walaupun wajahnya jelas risau.

"Mama... boleh kita duduk?" pintaku. Mama menarik meja makan lalu kami bertiga duduk di situ. Aku memegang tangan abang untuk memintanya bertenang.

"Kenapa ni Seri... Darwis? Ada apa yang tak kena?"

"Ma... Kami nak tahu tentang abang Rahmat." Kataku dengan perlahan. Terus aku dapat melihat wajah mama kaku. Pucat.

"Dari mana Seri tahu tentang dia?" tanya mama perlahan. Dia tidak berani memandang kami.

"Ma... Tu semua tak penting." Kataku dengan nada memujuk. "Yang penting sekarang... Kami tahu. Tapi mama tak perlu risau, kami faham-"

"Dah lama kamu berdua tahu tentang hal ini?"

"Lama ma." Jawab abang takut-takut.

"Ma... Mama tidak perlu risau tentang papa. Seri dan abang tidak akan beritahu kepada papa."

Mama tidak menjawab. Dia sekadar termenung kosong ke arah sebuah lukisan abstrak di ruang makan rumahku itu.

"Seri... Darwis... Mama mahu minta maaf kerana selama ini mama telah merahsiakan hal ini dari kamu berdua."

"Mama tak perlu minta maaf kepada kami... Mama tak bersalah." Jelas abang. Dia terlalu sayangkan kepada mama. Dia tidak sanggup melihat jiwa mama terseksa begitu.

Aku lihat mama mengeluh panjang. Dia mengulurkan tangannya untuk mengusap-usap rambut abang.

"Mama sememangnya bersalah, Darwis. Sampai bila-bila pun mama tak mungkin boleh lari dari kesalahan dan kesilapan masa lampau mama ini... Mama sedar mama tidak boleh lari dari rahsia mama ni. Mama tahu satu hari nanti kamu berdua pasti akan tahu tentang hal ini, tapi mama harapkan bila masa ini tiba kelak, mama dah lama tak ada di dunia ini...

Mama bersuara sedih, tetapi dia masih terus mahu bercerita tentang kisah lamanya kepada kami. Mungkin akhirnya dia mahu kami tahu tentang rahsianya itu:

"Ketika itu mama muda lagi. Dan mama pernah bekerja di sebuah kelab malam di Muar sebagai seorang penyanyi. Mama telah berkahwin ketika usia mama tua sedikit sahaja dari usia Seri sekarang ini. Mama berkahwin dengan seorang lelaki bernama Jumairi kerana mama sayangkan dia. Tapi sayang mama kepadanya tak ke mana. Dia curang. Kaki judi. Kaki perempuan. Pemabuk...

"Setelah berkahwin dengan Jumairi, mama, telah melahirkan anak pertama mama. Kami telah menamakannya Rahmat. Mama sayang kepada Rahmat... Ibu mana yang tidak sayangkan anaknya? Tapi mama telah meninggalkan dia kepada Jumairi ketika mama membawa diri mama ke KL...

"Seorang penerbit dari KL telah datang ke kelab malam tempat mama bekerja dan menawarkan mama peluang untuk membuat album di KL, dengan syarat mama melupakan kehidupan mama sebagai seorang penyanyi kelab malam dan memulakan hidup yang baru di KL. Mama bersetuju. Pada waktu itu mama memang mahu menjadi seorang penyanyi. Mama mahu jadi terkenal. Mama tak sanggup hidup dengan Jumairi yang selalu balik rumah mabuk-mabuk dan kadangkala memukul mama bila dia marah.

"Jadi mama ke KL. Mama akhirnya dapat capai impian mama untuk jadi penyanyi di sini. Dan mama temui papa kamu dan akhirnya mama dikurniakan dengan kamu berdua. Dan sekarang mama terpaksa menanggung dosa lama mama meninggalkan abang tiri kamu. Mama tak tahu jika dia sudah benar-benar memaafkan mama..."

"Dia memang dah lama maafkan mama..." kata abang. "Dia sendiri yang beritahu kepada saya. Cuma dia terkilan mama tidak dapat menerimanya sebagai anaknya sendiri."

"Mama takut kehilangan kamu berdua-"

"Ma... Mama tidak perlu takut tentang itu semua. Kami tetap sayang dengan mama." Kataku dengan ikhlas. Aku berjalan ke arahnya lalu memeluknya dari belakang. Aku lihat mama cuba menahan dirinya dari menangis, tetapi dia akhirnya menangis. Dia menoleh lalu mendakap tubuhku.

"Ma... Seri nak berjumpa dengan abang Rahmat." Pintaku sambil berbisik ke dalam telinganya. Mama mengangguk perlahan tanda bersetuju.

Kak Erni masuk ke ruang makan dengan membawa makanan. Mama cepat-cepat mengesat air matanya. Aku kembali duduk di meja makan. Kami bertiga terus mendiamkan diri kami sehinggalah Kak Erni selesai membawa segala jenis lauk pauk ke meja makan dan duduk makan bersama kami. Rumah kami dengan reka bentuk modenis itu buat pertama kalinya tidak lagi aku rasakan kaku, keras dan dingin..

*

Jadi pada tengah hari itu, mama telah menguruskan agar abang Rahmat datang ke rumah kami. Abang Rahmat datang tepat pada masa yang dijanjikan. Dia datang seorang diri. Mama menjemputnya masuk untuk menemui kami di ruang tamu.

Itulah kami pertama aku bertentang mata dengan abang Rahmat. Abang Rahmat sempat mengucapkan tahniah kepadaku kerana telah memenangi pertandingan Bintang Asli. Aku mengucapkan terima kasih kembali kepadanya dengan malu-malu. Aku segan dengannya. Aku segan dengan abang tiriku sendiri...

Mama dengan suara yang tenang memberitahu kepada abang Rahmat bahawa mulai hari ini dia mahu mengenali abang Rahmat dengan lebih dekat lagi. Kata mama selanjutnya, dia tidak perlu lagi berahsia dengan kami tentang kisah silamnya. Dia merasa lega.

Abang Rahmat menerima apa yang dikatakan mama sambil mengangguk perlahan. Aku pula merasa semakin sayang kepada mama. Mungkin kerana mama tidak lagi berahsia kepadaku.

Walaupun pada mulanya aku malu-malu ketika berbual dengan abang Rahmat, aku akhirnya dapat berbual dengannya dengan lancar. Banyak yang aku tanyakan kepadanya, seperti pekerjaannya dan jenis muzik yang diminatinya.

Sebelum abang Rahmat pulang, dia sempat memberitahu kepada kami mungkin pada tahun hadapan dia akan melangsungkan perkahwinannya. Katanya, dia akan berkahwin dengan seorang gadis yang dipanggilnya dengan nama Timah. Mama gembira mendengar berita ini dari abang Rahmat. Mama kemudian berjanji akan melakukan apa sahaja untuk memastikan perkahwinan abang Rahmat dapat berjalan dengan lancar.

*

Abang membawaku memandu di sekitar Kuala Lumpur sejurus selepas abang Rahmat meninggalkan kami petang itu. Katanya dia mahu membeli sekeping buku nota. Dia mahu menulis tentang pengalamannya, sebelum dia terlupa. Dia takut jika berlaku apa-apa kepadanya nanti, dia akan melupakan segala apa yang dialaminya tadi. Dia tidak mahu melupakan tentang kisah mama, aku dan segala-galanya yang dikongsinya bersama abang Aizizi. Memori ini, katanya adalah satu-satunya harta yang paling berharga bagi dirinya.

Hujan mula turun membasahi bumi. Abang kemudian memberitahuku bahawa dia pernah hilang dua tahun dari hidupnya. Dia tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada dirinya lagi. Selama ini, aku tidak pernah membayangkan perkara ini mampu mengganggu fikiran abang. Tetapi mungkin aku tidak begitu memahami perasaannya di dalam hal ini. Mungkin dia sendiri mahu tahu apa yang telah berlaku ke atas dirinya pada dua tahunnya yang hilang itu sehingga dia mahu menjadi seorang fanatik. Mungkin soalan ini tidak akan terjawab olehnya sampai bila-bila.

Kami berdua berjalan di Jalan Telawi, Bangsar. Abang cuba mengingatkanku tentang pengalaman kami ketika kami masih kecil berjalan di sini bersama mama dan papa. Ketika itu tempat ini masih sunyi. Kawasan Jalan Telawi tidak dipenuhi oleh kelab-kelab malam dan restoran-restoran yang mahal. Ketika itu kami mengenali erti kasih, tetapi bukan cinta - kami tidak tahu erti mendambakan seseorang yang dekat di hati kami. Kami tidak tahu bahawa tanpa cinta, hidup ini tidak bermakna buat kami.

Pada hari esoknya Rosli datang kerumahku. Dia mahu bersamaku ketika kami sekeluarga menghantar abang pulang ke UK. Dia telah menelefonku untuk bertanyakan jika dia boleh buat begitu. Aku memberitahunya dia tidak payah bertanyakan kepadaku lagi soalan yang sama pada masa hadapan, kerana dirinya sudah menjadi sebahagian dari diriku.

Di lapangan terbang aku dapat melihat Mr. K di samping Kavita. Abang Aizizi juga ada bersama, walaupun kami tahu dia sibuk dengan rakaman filem terbarunya. Mereka mengucapkan selamat tinggal kepada abang. Dan abang pula memberitahu kepada kami bahawa dia tidak akan pergi lama. Sebaik sahaja semesternya berakhir nanti dia akan cepat-cepat kembali. Itulah janjinya kepada kami.

Pada saat itu aku memikirkan tentang papa yang sedang melambaikan tangannya kepada abang dan mama yang sedang memegang tangan papa yang semakin berkedut. Tua. Aku memikirkan tentang diriku dan Rosli yang sedang memegang tanganku dengan erat. Pada hari itu aku bahagia.

Oleh Nizam Zakaria

previous - next

about me - read my profile! read other Diar
yLand diaries! recommend my diary to a friend! Get
 your own fun + free diary at DiaryLand.com!